Thursday, January 30, 2003

Kedudukan Pulau Adang dalam peta sempadan Jupem dipersoal

Saudara Pengarang,

BERIKUTAN krisis Pulau Batu Putih yang hangat diperkatakan baru-baru ini, saya telah berkunjung ke Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (Jupem) untuk mendapatkan peta sempadan perairan Malaysia keluaran terbaru.

Selain Pulau Batu Putih, saya juga meninjau kedudukan pulau-pulau di perairan utara Pantai Barat Semenanjung. Sempadan perairan antara Perlis dengan Setul (Satun), Thailand agak unik kerana ia merupakan garisan lurus yang bermula dari Bukit Batu Putih dan hanya berakhir di Selat Cincin, Langkawi.

Garisan lurus itu telah menyebabkan Pulau Berasmana (Ko Prathmana) di utara Kuala Perlis, Malaysia berada betul-betul di atas garisan sempadan bersama.

Kedudukan Pulau Berasmana itu pernah menimbulkan kegusaran ahli-ahli politik Thai di Bangkok sebelum ini.

Akan tetapi langkah bijak Kerajaan Negeri Perlis di bawah kepimpinan Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak menimbulkan sebarang tuntutan bertindih, malah baru-baru ini ingin memajukan Pulau Panjang yang terletak di perairan Setul, Thailand secara bersama telah sedikit sebanyak meredakan kebimbangan itu. Langkah ini bijak memandangkan kebanyakan penduduk Pulau Panjang adalah berketurunan Melayu.

Bagaimanapun, bukan isu Pulau Batu Putih atau Pulau Panjang yang ingin saya ketengahkan persoalan kepada pihak Jupem tetapi adalah isu Pulau Adang yang terletak di barat laut sempadan bersama yang kini menjadi tumpuan kaki-kaki pancing dari Malaysia melalui pelabuhan Pak Bara (Kuala Bara).

Jika mengikut peta-peta perairan negara sebelum ini, titik terakhir sempadan perairan Malaysia-Thailand ialah di kedudukan 6 darjah 35 min. U (6 35 U) pada arah hala ke barat laut lebih kurang 20 batu nautika di barat Langkawi.

Kedudukan ini bermakna seluruh laut yang terentang di barat Pulau Langkawi adalah kepunyaan Malaysia.

Malah jika garisan itu dipanjangkan sebagaimana di perairan Kelantan-Narathiwat di Pantai Timur Semenanjung akan menyebabkan seluruh gugusan kepulauan Adang-Rawi yang meliputi pulau (Koh) Adang, Rawi, Nipis, Kuih Besar dan Tangga akan terletak dalam perairan Malaysia.

Walaupun demikian Malaysia tidak bertindak demikian kerana masih mempunyai semangat setiakawan di dalam ASEAN dan menghormati perjanjian Anglo - Siam yang membentuk sempadan moden negara selepas 1909.

Sebaliknya, dalam peta terbaharu keluaran Jupem, saya dapati kedudukan 6 35 U (BL) itu telah diturunkan sehingga 6 18 U dari titik asal untuk memberi laluan secara mengelilingi kepada kepulauan Adang menyebabkan Pulau Langkawi terkepung pada sebelah barat dan timur oleh perairan Thailand. Walhal kedudukan 6 35 U hala arah barat laut yang ditinggalkan oleh pasukan ukur British sebelum ini adalah kedudukan terbaik bagi Malaysia dalam menghadapi diplomasi dengan pihak berkuasa Thai yang selama ini kerap membuat tuntutan bertindih ke atas wilayah Malaysia.

Memang diakui bahawa kerajaan Thai pernah dan masih menjajah sebahagian Semenanjung Melayu. Tetapi ini tidak bermakna negara ini lemah tapi berupaya membuat tuntutan balas dengan menggunakan diplomasi tahap tertinggi dalam sebarang perundingan.

Pihak Jupem seharusnya bijak dalam proses ini, bagi memastikan kepentingan negara sentiasa berada dalam kedudukan terbaik.

Saya bukan seorang pakar dalam bidang ilmu ukur kelautan, tetapi saya tetap mempersoalkan tindakan Jupem dalam menjaga kepentingan negara Malaysia. Persoalannya adakah peta yang dikeluarkan oleh pihak Jupem merupakan sempadan muktahir negara?

Mengapa kedudukan 6 35 U yang merupakan titik paling utara sempadan perairan negara sebagaimana dipersetujui sebelum ini boleh diturunkan sehingga 6 18 U bagi memberi laluan kepada kepulauan Adang?

Mengapa kaedah yang memisahkan Pulau Berasmana di perairan Perlis-Setul tidak digunakan di Pulau Adang? Jika kaedah ini digunakan seluruh lautan di barat Langkawi dan batu-batu karang selatan Pulau Adang yang kaya dengan sumber perikanan akan dapat dimanfaatkan oleh nelayan Malaysia.

Perlu diingat sempadan moden antara Malaysia dan Thailand pada hari ini adalah hasil perjanjian Anglo-Siam 1909, dan bukan sempadan pembahagian etnik antara Melayu dan Thai. Perjanjian itu menyebabkan dua buah negeri Melayu utara iaitu Setul dan Pattani masih berada dalam pentadbiran Thai, selepas usaha British untuk meletakkan dua negeri Melayu tersebut ke bawah pentadbirannya gagal.

Peristiwa petani di Perlis kehilangan tanah dusun kepada Taman Negara Thale Ban, Thailand serta kejadian bot pasukan keselamatan dan nelayan kita dihalau dari perairan sendiri di Pulau Batu Putih akan berulang lagi jika kepentingan Malaysia sentiasa diperlecehkan oleh negara-negara jiran. Hayati pesanan Perdana Menteri bahawa kemerdekaan negara akan terjajah semula jika rakyat sendiri mengambil mudah dan tidak menjaganya. - JORAN PULAU ADANG, Kuantan.

Jangan layan helah Singapura - Hisham

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Semua pihak dalam Barisan Nasional (BN) termasuk Pergerakan Pemuda UMNO tidak perlu melayan kerenah dan helah Singapura berhubung tindakan sayap pemuda Parti Tindakan Rakyat (PAP) - Young PAP, yang menyediakan satu ruang perbincangan dalam laman webnya mengenai cadangan serangan ke atas Malaysia.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana pihak berkenaan akan melakukan apa sahaja yang boleh menguntungkan mereka termasuk mewujudkan laman web bagi memburuk-burukkan negara ini.

``Bagaimanapun, apabila berdepan dan berhujah dengan Young PAP... mereka akan menafikannya pula,'' katanya kepada pemberita selepas Program Taja Gemilang, di sini hari ini.

Hishammuddin mengulas laporan akhbar hari ini mengenai Young PAP yang `cuba menutup malu' dengan mendakwa laman web itu dirancang dan diwujudkan oleh pihak Malaysia.

Laporan itu turut menyebut Young PAP mengesahkan bahawa ada dua atau tiga peserta perbincangan dalam laman web itu yang mengesyorkan atau bertanya mengenai perang sebagai pilihan dalam penyelesaian isu dengan Malaysia.

Hishammuddin yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kesemua pihak tidak perlu terlalu emosional, sebaliknya melihat perkara tersebut secara rasional.

``Saya ingin ingatkan Singapura bahawa kita tidak akan melayan kerenah atau helah mereka yang memutarbelitkan kenyataan demi `menguntungkan' kedudukan mereka.

``Bagi saya, tindak tanduk mereka bukannya perkara ganjil kerana sejak dahulu lagi mereka hanya memikirkan kedudukan sendiri dan kepentingan diri, tidak ada semangat kejiranan dan keikhlasan,'' tambahnya.

Walaupun begitu, Hishammuddin berharap pihak berkenaan akan meneruskan persefahaman sebelum ini iaitu membawa isu Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan tidak melakukan sesuatu sehingga boleh mengeruhkan keadaan.

``Singapura jangan jadikan isu Pulau Batu Putih untuk kepentingan politik dalaman mereka,'' katanya.

Mengenai hubungan di antara kedua-dua pihak, Hishammuddin berkata, ia berjalan seperti biasa.

``Saya tidak ambil kira sangat dengan apa yang disiarkan oleh laman web itu tetapi hubungan di antara Pemuda BN dan Young PAP sama seperti dulu. Tak ada perkara yang mengeruhkan keadaan selain apa yang disiarkan oleh laman web berkenaan,'' katanya - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO mahu nilai semula hubungan dengan Pemuda PAP

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Pergerakan Pemuda UMNO mahu menilai semula hubungan dan kerjasamanya dengan Pemuda Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang terjalin selama ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, ini berikutan tindakan cabang golongan muda parti itu - Young PAP membangkitkan cadangan mengenai kemungkinan republik berkenaan akan berperang dengan Malaysia.

``Saya rasa kita perlu lihat semula hubungan dengan mereka, ini tindakan orang gila. Mereka langsung tidak mempunyai pemikiran yang rasional,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah Young PAP, cabang golongan muda PAP, parti pemerintah Singapura yang menyediakan laman Young PAP Discussion Forum' bagi memberi peluang kepada rakyat negara itu membincangkan kemungkinan republik itu berperang dengan Malaysia.

Peperangan dengan Malaysia dicadangkan oleh beberapa penghantar e-mel sebagai langkah untuk menyelesaikan beberapa isu antara kedua-dua negara termasuk soal air dan tuntutan Pulau Batu Putih.

Abdul Aziz berkata, hubungan antara Pemuda Umno dengan Pemuda PAP selama ini telah dikeruhkan oleh tindakan `gila' cabang golongan muda PAP itu.

Menurutnya, walaupun negara itu mendakwa mereka bertamadun dan merupakan negara maju, tetapi sekarang terbukti bahawa pemikiran mereka masih ketinggalan.

Ini katanya, berbeza dengan generasi muda Malaysia yang sibuk mempromosikan keamanan dunia seperti yang dijalankan menerusi kempen Aman Malaysia.

Namun Pemuda UMNO tetap bersedia mempertahankan segala hak negara dengan tidak membenarkan mana-mana pihak mengambil kesempatan atas sikap negara yang mengutamakan keamanan.

``Kita sentiasa berpendapat bahawa keamanan perlu dihargai, tetapi kita bersedia menghadapi apa jua kemungkinan'' tegasnya.

Katanya, Pemuda UMNO menganggap kerjasama dengan Singapura dan negara-negara ASEAN sangat penting dan generasi mudanya perlu mempunyai hubungan yang rapat.

``Tetapi kalau keikhlasan kita selama ini diambil kesempatan oleh Young PAP, kita akan tengok hubungan itu sama ada hanya membuang masa atau perlu lakukan sesuatu yang lebih baik,'' katanya.

Mengenai kemungkinan Pemuda UMNO akan menghantar bantahan kepada Singapura mengenai sikap Young PAP itu, Abdul Aziz berkata, tindakan itu tidak perlu - Utusan Malaysia

Monday, January 27, 2003

Singapura tidak berhak beri amaran - PM

SUBANG 26 Jan. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, Singapura tidak berhak memberi amaran kepada Malaysia supaya menjauhi Pulau Batu Putih kerana negara ini tidak mengiktiraf dakwaan pemilikan oleh republik berkenaan.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai hak yang sama untuk berada di perairan pulau itu seperti yang dilakukan oleh Singapura kerana hak milik mutlak pulau berkenaan belum diputuskan.

``Kita tidak iktiraf Singapura sebagai berkuasa di perairan Pulau Batu Putih.

``Perairan itu masih dalam pertikaian, belum tentu, jadi dengan itu kita juga berhak, sama seperti Singapura berhak,'' katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di sini hari ini, sekembalinya daripada lawatan ke Lubnan dan Mesir serta menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertahanan merangkap Timbalan Perdana Menteri Singapura, Dr. Tan Keng Yam, pada Rabu lalu yang mengeluarkan amaran bahawa Malaysia harus bertanggungjawab terhadap sebarang ketegangan dan risiko berlakunya kejadian yang tidak diingini sekiranya pihak berkuasa negara ini mendekati perairan Pulau Batu Putih.

Beberapa hari sebelumnya, Keng Yam membuat kenyataan keras di Parlimen republik itu supaya Malaysia menghentikan rondaan di kawasan pulau berkenaan.

Dalam kenyataan balas pada Khamis lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Malaysia akan terus menjalankan rondaan di kawasan perairan Pulau Batu Putih.

Najib yang menyifatkan Keng Yam itu membuat kenyataan provokatif, telah menegaskan bahawa negara ini berhak untuk melakukan rondaan berterusan seperti yang dilakukan sejak 1964 lagi sehingga pemilikannya ditentukan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Kedua-dua negara sebelum ini bersetuju untuk menandatangani perjanjian pada 6 Februari ini untuk membawa isu tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih ke ICJ di The Hague, Belanda.

Merujuk pula kepada kenyataan Menteri Luar Singapura, S. Jayakumar semalam, Perdana Menteri berkata, layanan Singapura terhadap Malaysia dalam isu Pulau Batu Putih langsung tidak mencerminkan hubungan antara dua negara jiran yang sama-sama berhak terhadap pulau berkenaan.

Malaysia, tegasnya, tidak pernah bersikap angkuh dengan menghalau Indonesia dari Pulau Sipadan dan Ligitan semasa pertikaian kedua-dua negara berhubung pemilikan pulau berkenaan.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, tuduhan Singapura bahawa Malaysia membuat perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh republik berkenaan terhadap negara ini dalam isu Pulau Batu Putih adalah tidak benar.

``Tidak (seperti Singapura)... di Sipadan, tentera Indonesia datang dan ada yang mendarat di situ, tetapi kita tidak halang mereka, kita layan mereka dengan baik.

``Kita tidak buat perangai macam Singapura, kita tidak halau mereka atau usir mereka jauh-jauh,'' tegas beliau.

Jayakumar dilaporkan berkata, tindakan negaranya di Pulau Batu Putih tiada bezanya dari segi undang-undang jika dibandingkan dengan tindakan Malaysia di Pulau Sipadan.

Jayakumar mendakwa Malaysia juga telah melakukan tindakan yang tidak mesra dan membelakangkan semangat kejiranan dengan meneruskan aktiviti di Pulau Sipadan.

Menteri itu bagaimanapun tidak pula menyebut mengenai tindakan pihak berkuasa Singapura menghalau nelayan dan pihak berkuasa Malaysia daripada mendekati Pulau Batu Putih - Utusan Malaysia

Syed Hamid ingatkan Jayakumar jangan cari sebab

PUTRAJAYA 26 Jan. - Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini mengingatkan rakan sejawatannya di Singapura, agar tidak mencari sebab untuk menuduh pemimpin dan media Malaysia tidak bertanggungjawab dalam memperkatakan isu yang melibatkan kepentingan negara ini.

Syed Hamid mengingatkan S. Jayakumar, sekiranya Malaysia mengambil pendekatan yang sama seperti dilakukan oleh Singapura sekarang, ia pasti akan mencetuskan ketegangan dalam hubungan dua hala.

Syed Hamid berkata, Malaysia juga boleh menyenaraikan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Singapura yang selama ini membuatkan rakyat negara ini tersinggung dan marah, tetapi tidak berbuat demikian kerana menghormati jiran.

``Saya berharap rakan sejawatan saya jangan sentiasa mengambil pendekatan `itemise' apa yang kita buat...ini kerana kalau kita hendak mengkategorikan perkara-perkara apa yang telah Singapura lakukan untuk menyinggung perasaan dan membangkitkan ketegangan di negara ini, memang banyak,'' katanya ketika ditemui pemberita di Hotel JW Marriot di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan, Menteri Hal Ehwal Luar republik itu dalam sidang tergempar di Parlimen Singapura semalam yang menuduh ahli-ahli politik dan media di Malaysia khususnya akhbar berbahasa Melayu suka `lepas cakap' mengenai perang dalam menyelesaikan isu Pulau Batu Putih.

Jayakumar mendakwa, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin kanan Malaysia adalah merujuk kepada peperangan dan perbuatan itu memberi kesan kepada emosi yang sukar dikawal.

Syed Hamid menegaskan, adalah tidak adil apabila sesuatu isu yang membabitkan kepentingan negara diperkatakan dan diperbahaskan secara umum, pemimpin-pemimpin Singapura pula mengambil sikap menuduh pemimpin politik atau media di Malaysia mencetuskan ketegangan.

``Saya rasa semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin Singapura ini bukan semangat timbang rasa sedangkan sebagai jiran, setiap perkara yang dibuat akan memberikan kesan kepada kita.

``Kita tidak pernah mengambil sebarang pendekatan secara fizikal atau mengisytiharkan perang.

``Pendekatan kita apabila ada masalah kita selesaikan dengan cara rundingan,'' katanya.

Menurut Syed Hamid, Malaysia sering menjalankan dasar memperkayakan jiran dengan sikap sopan-santun dan timbang rasa.

``Yang membuat para pemimpin-pemimpin politik dan media kita `bangkit' sekarang ialah apabila Singapura membuat tuduhan kepada kita apabila isu dua hala ditimbulkan.

``Sudah pasti, perkara-perkara yang menjadi kepentingan Malaysia akan menarik minat ramai serta pemimpin politik yang bertanggungjawab kepada kedudukan negara kita. Bukannya kita ingin membangkitkan ketegangan,'' katanya.

Beliau menambah, perkara itu juga timbul apabila Singapura menganggap Pulau Batu Putih adalah di bawah kedaulatannya sedangkan republik itu sendiri memahami ada tuntutan bertindih.

Kata beliau, tindakan Singapura yang agresif ketika melakukan rondaan di Pulau Batu Putih dan tidak membenarkan nelayan-nelayan Malaysia menghampiri pulau berkenaan turut mengundang rasa tidak senang rakyat negara ini.

``Apa yang penting sekarang, kita tunggu keputusan muktamad Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Masing-masing harus menyediakan hujah-hujah kukuh untuk mendapatkan pulau tersebut daripada mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan,'' katanya.

Bagaimanapun, katanya, sementara menunggu keputusan muktamad ICJ, Malaysia berhak membuat rondaan di pulau berkenaan.

Menjawab tuduhan Jayakumar yang mendakwa kapal tentera laut dan polis Malaysia mengambil kesempatan daripada suasana tegang untuk memperhebatkan rondaan di perairan Batu Putih sejak sebulan lalu, beliau berkata:

``Kita tidak bertindak agresif ketika membuat rondaan dan saya ingin tegaskan kita akan meneruskan rondaan di pulau berkenaan kerana agak aneh tidak melakukannya,'' kata Syed Hamid - Utusan Malaysia

Sunday, January 26, 2003

S'pura dakwa tindakannya di Batu Putih sama Malaysia di Sipadan

SINGAPURA 25 Jan. - Singapura berkata tindakannya di Pulau Batu Putih tiada bezanya daripada segi undang-undang jika dibandingkan dengan tindakan Malaysia di Pulau Sipadan.

Menteri Luarnya, S. Jayakumar memberitahu Parlimen republik itu hari ini bahawa Malaysia mendakwa ia tidak pernah melakukan apa-apa tindakan yang `tidak mesra' ataupun `membelakangkan semangat kejiranan' terhadap Indonesia dalam pertikaian antara kedua-dua negara itu berhubung tuntutan terhadap Pulau Sipadan dan Ligitan.

Dengan memberi contoh dokumen-dokumen yang difailkan oleh Indonesia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), beliau berkata Jakarta telah membantah sekurang-kurangnya lima kali mengenai aktiviti Malaysia yang berterusan di Sipadan.

Aduan-aduan ini, katanya, ditolak oleh Malaysia, dengan alasan mereka hanya meneruskan aktiviti yang telah mereka mulakan sebelum timbulnya pertikaian itu.

``Dalam hal ini, tindakan Singapura di Pedra Branca (Pulau Batu Putih) tiada bezanya daripada segi undang-undang berbanding tindakan Malaysia di Pulau Sipadan,'' kata beliau.

Malaysia dan Singapura menuntut kedaulatan pulau berkenaan di sempadan maritim kedua-dua negara itu dan menunggu untuk menandatangani perjanjian di Putrajaya pada 6 Februari ini bagi merujuk isu kedaulatan pulau itu ke ICJ di The Hague.

Mengenai dakwaan Singapura meneruskan aktiviti pembinaan dan aktiviti lain di pulau itu, Menteri itu berkata tiada aktiviti pembinaan baru di pulau itu dan struktur terakhir yang didirikan di pulau itu dibina pada 1991 iaitu sudah lebih 10 tahun.

``Bagaimanapun, tiada alasan bagi kita untuk menjadikannya satu isu, memandangkan undang-undang antarabangsa jelas menyatakan bahawa sebarang tindakan pihak-pihak dalam pertikaian untuk membuktikan kes mereka selepas pertikaian itu timbul tidak akan diambil kira,'' kata Jayakumar.

Pendirian Singapura terhadap pulau itu masih jelas dan konsisten, katanya.

``Kedaulatan kita dan tuntutan hak milik kita terhadap Pedra Branca (Pulau Batu Putih) adalah berdasarkan kepada fakta dan prinsip undang-undang.''

Menekankan bahawa Singapura sedia untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam menggerakkan proses ICJ itu, Menteri itu berkata: ``Kita sentiasa menguruskan tuntutan Malaysia secara persahabatan dan atas semangat muhibah, dan akan terus berbuat demikian.'' - Bernama

Saturday, January 25, 2003

Jangan peduli ugutan Singapura

KUALA LUMPUR 24 Jan. - Beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan hari ini meminta kerajaan tidak mempedulikan ugutan Singapura terhadap pihak berkuasa Malaysia berhubung perairan Pulau Batu Putih di Johor yang dituntut oleh republik itu.

Menurut mereka, ugutan seumpama itu jelas menunjukkan sikap angkuh pemimpin negara tersebut yang semakin melupakan jasa baik jiran yang banyak membantu mereka sebelum ini.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, Singapura patut berasa malu apabila membuat ugutan itu kerana pulau tersebut bukan milik mereka.

Tegas beliau, sekiranya Malaysia dilarang membuat rondaan di pulau yang masih menjadi pertikaian itu, maka pihak berkuasa Singapura juga perlu mengikut langkah yang sama.

``Pihak berkuasa kita meronda di situ semata-mata untuk mengekalkan keamanan di sana, bukannya untuk berperang.

``Jadi apa yang Singapura takut sangat sedangkan pulau itu bukannya milik mereka pun,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Singapura menghentikan semua bentuk ugutan dan ancaman terhadap negara ini berhubung isu Pulau Batu Putih sebelum hak kedaulatannya diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Sambil melahirkan rasa kesal dengan amaran oleh Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Tan Keng Yam, beliau berkata, pihak berkuasa negara ini akan terus melaksanakan haknya untuk mengadakan rondaan aman di perairan pulau itu seperti yang dilakukan Singapura.

Ujar beliau, ancaman itu juga tidak wajar memandangkan kedua-dua negara menganggap pulau itu sebahagian daripada wilayah masing-masing.

Sebelum itu, Keng Yam berkata, negara itu akan mengambil tindakan tegas sekiranya pihak berkuasa Malaysia mendekati Pulau Batu Putih.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Datuk Mansor Md. Jaafar berkata, pihaknya menyokong penuh langkah kerajaan mengerahkan Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia meneruskan rondaan di sekitar pulau berkenaan.

Menurut beliau, Malaysia tidak boleh lagi bertolak ansur dan tunduk kepada desakan atau ugutan Singapura yang kini semakin pudar semangat kejiranannya.

``Bagi kita tidak ada salah sekiranya kedua-dua negara membuat rondaan di situ sehingga ICJ membuat keputusan terhadap pertikaian yang ada,'' katanya sambil meminta pemimpin negara itu berhenti membuat kenyataan `celupar' yang boleh mengeruhkan semula hubungan kedua-dua buah negara.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim berpendapat, Singapura sengaja mahu mencari gaduh dengan Malaysia dengan membuat kenyataan berbentuk provokasi.

Bagaimanapun, katanya, pemimpin negara itu lupa bahawa Malaysia tidak akan mudah melatah dengan ancaman atau ugutan yang dibuat - Utusan Malaysia

Batu Putih: Tindakan perlu rasional

Oleh: Wan Hasnan Hasan

JOHOR BAHRU 24 Jan. - Sebarang tindakan berhubung pertikaian tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih perlu dilakukan secara profesional bagi mengekalkan keamanan di rantau ini, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, sikap profesional itu perlu kerana ia melibatkan urusan dua buah negara berjiran dan kedua-duanya mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengekalkan keamanan.

``Kita mesti bersikap rasional, bertanggungjawab dan jangan menimbulkan apa-apa bentuk konflik sekali pun kerana ini akan menjejaskan kepentingan kedua-dua negara,'' katanya selepas merasmikan Ekspo Kerjaya Bersama Angkatan Tentera Malaysia 2003 di Dataran Bandaraya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas amaran yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Tan Keng Yam bahawa Malaysia harus bertanggungjawab terhadap sebarang ketegangan dan risiko berlakunya kejadian yang tidak diingini jika pihak berkuasa negara ini mendekati Pulau Batu Putih.

``Saya tak faham apa yang dimaksudkan bahawa Singapura memberi amaran ataupun suatu ugutan kepada kita bahawa kita akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sesuatu peningkatan ketegangan atau risiko berlakunya kejadian yang tidak diingini.

``Apakah ini bererti (jika) dia dah melepaskan tembakan dan mengatakan tertembak?,'' tegas beliau.

Katanya, sewaktu Indonesia menuntut Pulau Sipadan dan Ligitan pun mereka menghantar pasukan tentera laut untuk mengadakan rondaan di kedua-dua pulau berkenaan.

``(Bagaimanapun) kita dapat mengekalkan keadaan tanpa timbul sesuatu konflik yang tidak diingini sebab kita menilai persahabatan antara negara jiran,'' katanya.

Najib menegaskan, kedua-dua negara tidak seharusnya melakukan sebarang perkara yang boleh menjejaskan hubungan baik khususnya di antara dua negara berjiran.

Tegas beliau, kalau ada konflik sudah tentunya ada pendapat yang bercanggah seperti pertindihan tuntutan dan sebagainya tetapi Malaysia mempunyai mekanisme untuk menyelesaikan masalah tersebut.

``Inilah cara yang bertamadun untuk menyelesaikan masalah antara mana-mana negara, lebih-lebih lagi (ia melibatkan) negara jiran,'' ujar beliau.

Tambah Najib, sebarang gertakan, ugutan atau amaran adalah tidak rasional dibuat kerana ia tidak akan membantu mengekalkan suasana yang positif dalam usaha untuk menyelesaikan apa jua masalah yang timbul dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, katanya, operasi pengawasan oleh pihak berkuasa Malaysia akan diteruskan kerana masalah berhubung tuntutan bertindih terhadap pulau itu masih belum diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

``Operasi pengawasan akan diteruskan dan kita akan berbuat demikian kerana kita membuat tuntutan terhadap pulau itu, begitu juga Singapura tetapi selagi keputusan mengenai tuntutan itu belum diputuskan, kita mempunyai hak untuk membuat rondaan di kawasan itu - Utusan Malaysia

Friday, January 24, 2003

Jangan ugut kami

TPM: Malaysia akan terus laksana hak rondaan di Pulau Batu Putih

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Malaysia mahu Singapura menghentikan semua bentuk ugutan dan ancaman terhadap negara ini berhubung isu Pulau Batu Putih sebelum hak kedaulatannya diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Pihak berkuasa Malaysia juga akan terus melaksanakan haknya untuk mengadakan rondaan aman di perairan pulau berkenaan seperti yang dilakukan oleh Singapura.

Reaksi tegas Malaysia itu disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Di Putrajaya, Abdullah yang kesal dengan amaran tindakan keras oleh Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Tan Keng Yam, sekiranya pihak berkuasa Malaysia mendekati Pulau Batu Putih berkata, ancaman itu tidak wajar memandangkan kedua-dua negara menganggap pulau itu sebahagian daripada wilayah masing-masing.

``Ini bukanlah masanya untuk mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman atau nak mengugut, itu bukan caranya kita mahu menyelesaikan isu Pulau Batu Putih.

``Kita sama-sama hendak bawa kes itu ke ICJ jadi sebelum ia diputuskan, tidak ada sesiapa yang boleh mengatakan pulau itu dia punya dan orang lain tidak boleh pergi ke situ,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bagi Meningkatkan Daya Saing Negara di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Kelmarin, Keng Yam mengeluarkan amaran bahawa Malaysia harus bertanggungjawab terhadap sebarang ketegangan dan risiko berlakunya kejadian yang tidak diingini sekiranya pihak berkuasa negaraini mendekati perairan Pulau Batu Putih.

Kedua-dua negara sebelum ini bersetuju untuk menandatangani perjanjian pada 6 Februari ini untuk membawa isu tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih ke ICJ di The Hague, Belanda.

Menurut Abdullah, kenyataan Keng Yam itu tidak akan membantu penyelesaian isu tersebut sebaliknya boleh memburukkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

``Sebab-sebabnya kita hendak bawakan kes itu ke mahkamah dunia adalah untuk mengelak daripada kita berpanjangan berbalah mengenai pulau berkenaan.

``Kalau dia sudah berkata begitu, tidak apalah, kita tunggu sahaja keputusan yang akan dibuat di ICJ,'' ujar Timbalan Perdana Menteri.

Di Melaka, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan terus menjalankan rondaan di kawasan perairan Pulau Batu Putih kerana pulau tersebut masih dalam pertikaian dan belum menjadi milik Singapura.

Beliau menegaskan, Malaysia mempunyai hak untuk melakukan rondaan berterusan dan tindakan sedemikian bukan perkara baru malah telah dilakukan sejak tahun 1964 lagi.

Katanya, republik itu juga membuat kenyataan provokatif apabila menuduh Malaysia melakukan pencerobohan terhadap perairan pulau tersebut.

Menurutnya, kenyataan itu boleh menghangatkan lagi perasaan rakyat negara ini, khususnya anggota-anggota tentera yang berkhidmat di atas kapal TLDM.

``Tuduhan Singapura bahawa kehadiran kita di situ akan menimbulkan ketegangan atau boleh membawa kepada sesuatu kejadian tidak diingini, tidak timbul sama sekali.

``Malah (kenyataan itu) boleh disifatkan provokatif kerana ini akan menghangatkan lagi perasaan rakyat Malaysia dan anggota-anggota TLDM,'' tegasnya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat tahunan Kementerian Pertahanan, di sini.

Najib menarik perhatian bahawa pihak berkuasa Malaysia boleh melakukan rondaan di perairan tersebut seperti biasa.

Malah, katanya, Indonesia turut melakukan perkara yang sama terhadap perairan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan semasa kedua-dua pulau berkenaan masih dalam pertikaian dahulu.

Menurut beliau, rondaan pihak keselamatan Malaysia di kawasan perairan itu dibuat secara tidak agresif, jauh sama sekali untuk meningkatkan tahap ketegangan di kawasan itu.

``ATM akan bersifat profesional dalam hal ini dan kita tidak akan lakukan apa-apa yang boleh menambahkan ketegangan.

``Kita tidak akan tunjukkan meriam kita, misil dan radar kita, jauh sekali untuk timbulkan tindakan provokatif di kawasan itu,'' kata beliau.

Sehubungan itu, Najib mengingatkan pemimpin republik itu supaya tidak membuat kenyataan yang boleh menimbulkan konflik atau mencetuskan ketegangan antara kedua-dua buah negara.

``Kita mahukan perkara ini diselesaikan cara aman bukan melalui konflik atau sebarang tindakan yang boleh timbulkan ketegangan antara kedua-dua buah negara,'' katanya - Utusan Malaysia

Tuesday, January 21, 2003

Singapura tuduh kapal kita ceroboh perairan Batu Putih

SINGAPURA 20 Jan. - Singapura hari ini menuduh kapal-kapal Malaysia sering kali menceroboh kawasan perairan dekat Pulau Batu Putih dan berikrar untuk mempertahankan kedaulatannya ke atas pulau itu.

``Tiga pencerobohan dilakukan oleh kapal-kapal Malaysia sejak minggu terakhir Disember lalu. Sebanyak lima lagi pencerobohan berlaku pada minggu lepas,'' Menteri Pertahanan, Tony Tan memberitahu Parlimen.

``Dalam kesemua insiden itu, kapal-kapal Malaysia datang dekat Pedra Blanca (Pulau Batu Putih) dan melakukan pelbagai aktiviti,'' kata Tan.

``Pedra Blanca ialah wilayah Singapura. Tentera Laut Singapura akan terus melakukan misi mengawal kedaulatan dan kesatuan wilayah Singapura,'' katanya pada satu sesi Parlimen.

``Tentera Laut Singapura akan terus mengawal perairan kita di luar pesisir Pedra Branca,'' katanya lagi. - AFP

Monday, January 20, 2003

Segera ambil balik pengurusan Pulau Pisang

Saudara Pengarang,

UMUM sudah mengetahui akan tuntutan yang dibuat oleh Singapura ke atas Pulau Batu Putih. Dengan bersandarkan fakta yang rapuh, mereka cuba untuk mempertahankan sesuatu yang bukan milik mereka.

Bagaimanapun ditakuti jika Singapura berjaya dalam timbang tara itu, mereka akan menambak sehingga menjangkau 65 kilometer dari pulau besar negara itu.

Bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, seandainya dari dulu lagi kerajaan Johor menyelia sendiri Pulau Batu Putih, tuntutan ini pasti tidak timbul.

Sudah sampai masanya kita mengurus sendiri segala kepunyaan kita. Dalam hal ini, kerajaan negeri dan pusat perlu memperuntukkan belanjawan untuk mengurus sendiri Pulau Pisang dan Pusat Tadahan Air Pulai dari sekarang. (Sila rujuk artikel oleh Noraini Abdul Razak dalam Utusan Malaysia tentang isu perjanjian air Malaysia - Singapura mulai 6 Januari 2003).

Sinonimnya perlukah kita membiarkan pelanggan (Singapura) untuk mengurus sendiri pembelian air mereka? Teori perniagaan apakah ini? (Perlu disebut perniagaan kerana Singapura langsung tidak mengambil pusing hubungan sejarah). Sepatutnya penjual (Malaysia) menguruskan segalanya.

Lupakan sejarah lalu dalam menjalankan urusan air dan lain-lain hubungan dengan Singapura. Sesuatu yang juga sukar untuk kita hasratkan Singapura bergabung semula dengan Malaysia.

Sewajarnya segala hak Malaysia diuruskan sendiri oleh anak watan. Pulau-pulau ini seharusnya telah lama diuruskan sendiri oleh kerajaan Johor. Bukannya kita tidak memiliki kepakaran, malah jauh lebih daripada itu.

Tambahan pula mereka bebas untuk keluar masuk dari pulau-pulau itu. Kalau kita, dapatkah peluang berkenaan di Singapura? Jangan mimpilah.

Sedikit masa lalu, seorang juruterbang TUDM pernah membangkitkan isu kawalan udara timur Johor yang diurus selia oleh Singapura apabila juruterbang berkenaan terpaksa meminta panduan penerbangan di ruang angkasa Johor daripada Singapura.

Bagaimanapun keresahan beliau tidak mendapat perhatian serius pihak berkuasa. Secara peribadi, saya berasakan juruterbang berkenaan pada masa itu telah nampak akan impak yang bakal melanda keselamatan negara sekiranya kita masih bergantung kepada negara jiran berkenaan.

Cuba pembaca fikirkan seandainya Singapura mempunyai niat yang terselindung, tidak mustahil mereka suatu hari nanti akan memberi maklumat yang tidak tepat kepada juruterbang di ruang angkasa Johor.

Rentetan daripada pengharaman eksport pasir dan tanah ke Singapura, kerajaan disaran agar melarang serta-merta pemilikan hartanah oleh warga Singapura pada masa hadapan.

Rasionalnya jika mereka memiliki banyak hartanah, lambat-laun aset itu akan dijadikan pula tebusan untuk mengugut Malaysia bagi hal-hal yang kita tidak terfikirkan.

Ketepikan seketika berkenaan kesannya terhadap ekonomi hartanah tempatan, yang penting masa depan negara dapat diselamatkan secara tidak langsung.

Seharusnya kita bersikap proaktif dan bukannya sudah terhantuk baru tengadah (reaktif). Sisipkanlah sedikit perasaan ragu-ragu dan prasangka terhadap pihak seberang itu.

Jangan lupa bahawa kita juga perlu untuk meneruskan kehidupan sehingga bumi Malaysia ini diwarisi oleh anak cucu.

Selama ini Singapura sering memperkotak-katikkan Malaysia tanpa sedikit pun mengambil kira faktor-faktor sejarah lampau hubungan Malaysia-Singapura tetapi kita asyik mengingatkan sebaliknya.

Saya juga berbangga dengan kepekaan yang ditunjukkan oleh Pemuda UMNO Johor dan kerajaan dalam mempertahankan wilayah Malaysia.

Di sini saya menyeru pihak kerajaan agar tanpa melengah-lengahkan masa, segera mengambil balik pengurusan Pulau Pisang dan Pusat Tadahan Air Pulai.

Dikhuatiri pula Singapura akan mendakwa Pulau Pisang, pusat tadahan air malah ruang angkasa Johor sebagai hak mereka kerana mereka yang menguruskannya selama berdekad-dekad tanpa campur tangan kerajaan Malaysia.

Pada masa itu kita sekali lagi akan termasuk ke dalam jerat mereka. Jangan biarkan bangsa Malaysia `dipijak' oleh orang asing. Semoga Allah merahmati Malaysia. - ANAK PERTIWI, Alor Gajah, Melaka.

Wednesday, January 15, 2003

Angkara penjajah

Oleh Noraini Abdul Razak

Perjanjian Inggeris Belanda 1824 yang lebih dikenali sebagai Perjanjian London ternyata memberi implikasi yang besar terhadap sejarah politik, ekonomi dan sosial Kepulauan Melayu.

Perjanjian yang ditandatangani di London bagi menyelesaikan kemelut perebutan kuasa antara Inggeris dan Belanda menyaksikan gugusan Kepulauan Melayu terbahagi kepada dua bahagian.

Perjanjian ini akhirnya menjadi penentu kepada sempadan Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Di bawah perjanjian itu Belanda menyerahkan Melaka serta jajahan takluknya kepada Inggeris dan mengaku tidak akan membuka sebarang penempatan di Semenanjung Tanah Melayu atau menandatangani apa-apa perjanjian dengan mana-mana raja dan pembesar di situ.

Belanda juga bersetuju untuk mengakui Singapura sebagai hak Inggeris selain menyerahkan semua lojinya di India kepada Inggeris.

Pihak Inggeris pula berundur dari Sumatera dan menyerahkan Bangkahulu serta semua hak miliknya di Sumatera kepada Belanda sebagai pertukaran dengan Melaka.

Inggeris juga berjanji tidak akan membuka sebarang penempatan atau membuat sebarang persetiaan di Sumatera dan tidak akan menandatangani sebarang perjanjian dengan mana-mana pemerintah pribumi di sana.

Selain itu pihak Inggeris juga tidak dibenar membuka sebarang penempatan atau membuat perjanjian dengan mana-mana pihak di Pulau Karimon, semenanjung Riau Lingga dan mana-mana pulau di Selatan Selat Singapura.

Kedua-dua kuasa mengaku tidak akan membuka sebarang tempat baru tanpa pengetahuan pihak yang lain dan jika mana-mana pihak berundur daripada salah satu kawasannya, pihak yang lain hendaklah diberi peluang untuk memiliki kawasan tersebut.

Mengenai perniagaan pula Belanda diberi hak monopoli di kepulauan rempah tetapi tidak sama sekali di Semenanjung Tanah Melayu, perjanjian monopoli tidak boleh dibuat dengan mana-mana pihak, kedua-dua pihak bersetuju memberi layanan negara istimewa di Ceylon (kini Sri Lanka), India dan Semenanjung Tanah Melayu.

Pihak Belanda hendaklah menamatkan perjanjian monopoli bijih timah dengan Perak dan Selangor, pedagang-pedagang tempatan hendaklah dibenarkan berdagang di pelabuhan-pelabuhan kedua-dua pihak dan juga pelabuhan tempatan. Kedua-duanya hendaklah bersama-sama membasmi kegiatan lanun.

Hasil perjanjian itu seluruh kawasan Nusantara dikuasai sepenuhnya oleh kedua-dua kuasa dan membahagi-bahagikan kepada kawasan pengaruh masing-masing.

Kedua-dua kuasa menentukan Selat Singapura sebagai sempadan kawasan pengaruh mereka, kawasan sebelah utara Selat Singapura diletak di bawah pengaruh Inggeris manakala sebelah selatannya di bawah pengaruh Belanda.

Kawasan yang banyak terlibat ialah tanah kerajaan Johor yang dengan sewenang-wenangnya telah dibahagikan sama ada kepada Belanda atau Inggeris.

Dalam hal ini pemerintah Johor tidak dirujuk terhadap apa-apa keputusan yang dibuat mengenainya.

Akibat daripada perjanjian ini Inggeris dapat menguasai pusat perniagaan bebas yang makmur di tengah-tengah kawasan yang sebelum itu dikuasai Belanda untuk tempoh yang lama.

Dengan menguasai Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura jalan perniagaan timur barat terbuka seluas-luasnya kepada pihak Inggeris.

Akibat perjanjian ini, kerajaan Johor-Riau dipecahkan oleh Inggeris dengan Belanda. Ketika itu Singapura adalah sebahagian daripada kerajaan Johor-Riau.

Inggeris menumpukan perhatian kepada Singapura yang strategik sementara Belanda berusaha mengambil alih kepulauan Riau.

Ketika Inggeris mengambil alih pulau Singapura dari kerajaan Johor-Riau, ia tidak membabitkan Pulau Batu Putih. Hanya kemudiannya, Inggeris mendirikan sebuah rumah api untuk kemudahan penguasaan laluan perairannya dengan izin kerajaan Johor. Kerajaan Johor membenarkan operasi rumah api itu tetapi tidak pernah melepaskan hak miliknya.

Dalam perjanjian Inggeris-Belanda hanya Pulau Singapura yang disebut secara jelas diserahkan kepada Inggeris dan bukannya pulau-pulau lain di perairan itu.

Cuma apa yang dinyatakan ialah hak wilayah Singapura telah ditetapkan iaitu setakat 10 batu sahaja dari pantai Singapura.

Oleh itu dari segi lokasi, Pulau Batu Putih lebih dekat ke pantai Johor daripada Singapura. Ia terletak kira-kira 64 kilometer dari Singapura berbanding 12.8 kilometer sahaja dari Teluk Rumania di Johor.

Singapura yang sememangnya menyedari fakta itu enggan bersetuju dengan pendekatan Malaysia yang menggunakan faktor wilayah dalam tuntutannya.

Sebaliknya republik berkenaan yang telah menambah struktur bangunan di Pulau Batu Putih lebih senang menggunakan konsep `siapa cepat dia dapat'.

Dalam erti kata lain, walaupun fakta sejarah dan geografi menyebelahi Malaysia tetapi Singapura memperjuangkan faktor pentadbiran rumah api di Pulau Batu Putih oleh Inggeris yang ketika itu menguasai Singapura.

Mereka mendakwa menemui Pulau Batu Putih lebih awal dan membina rumah api di situ untuk mengawasi keselamatan kapal-kapal pedagang sambil tidak pernah menafikan pulau tersebut adalah dalam perairan Malaysia.

Republik berkenaan juga membangkitkan tindakan Malaysia yang dikatakan tidak pernah membantah pemilikan Pulau Batu Putih oleh Singapura hinggalah ke tahun 1979.

Tiada bukti sama ada melalui cakap-cakap atau dokumentasi yang menunjukkan British ketika mencadangkan kemasukan Singapura ke dalam Malaysia turut menyebut nama Pulau Batu Putih.

Apatah lagi dalam Perjanjian Perpisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965, nama pulau tersebut juga tidak langsung disekalikan.

Oleh itu, tindakan Singapura mendirikan pelbagai struktur binaan termasuk sebuah jeti marin dan tempat pendaratan helikopter sememangnya keterlaluan walaupun mereka beria-ia mempertahankan tindakan tersebut.

Pulau Batu Putih sememangnya sebahagian dari Malaysia dan Singapura hanya memasukkan tuntutannya terhadap pulau berkenaan selepas berpisah dengan Malaysia pada tahun 1965.

Berpisah dengan Malaysia tidak mengubah fakta kedudukan yang Pulau Batu Putih masih di situ, masih dalam kawasan perairan Johor.

Fakta sejarah juga menunjukkan pembinaan rumah api di Pulau Batu Putih lebih banyak untuk mengawal selat Johor berbanding Singapura.

Walaupun yakin Pulau Batu Putih yang dilihat tidak mempunyai sebarang kepentingan ekonomi tetapi penting untuk keselamatan milik kita, Malaysia tidak keberatan kes tersebut dirujuk ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Singapura mendakwa menjadi pihak pertama mencadangkan kepada Malaysia untuk merujuk tuntutan bertindih terhadap pulau itu ke ICJ pada tahun 1989 tetapi tindak balas mereka sering dilihat sebagai terlalu perlahan.

Malaysia yang telah lama menetapkan tarikh untuk menandatangani perjanjian khas bagi membawa tuntutan tersebut ke ICJ menunggu giliran Singapura bersetuju dengan tarikh itu.

Seolah-olah tidak peka dengan tindakan Malaysia ditambah pula dengan isu Pulau Batu Putih yang semacam semakin dilupakan, Singapura terus membisu.

Bagaimanapun, sebaik sahaja Pulau Sipadan dan Ligitan menjadi milik Malaysia, nama Pulau Batu Putih menjadi popular semula dan Singapura terpaksa akur.

Di peringkat awal, Singapura mencadangkan supaya perjanjian itu ditandatangani di luar sesi mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Eropah di Brussels dan telah menimbulkan tanda tanya di pihak Kuala Lumpur.

Akhirnya Singapura bersetuju menandatangani perjanjian khas pada 6 Februari depan di Wisma Putra - Utusan Malaysia

Monday, January 13, 2003

Rumah api bukan bukti

Oleh Noraini Abdul Razak

Sekadar memberi alasan pengurusan rumah api di Pulau Batu Putih telah ditadbir oleh Inggeris (yang ketika itu menduduki Singapura) sejak tahun 1840 belum cukup untuk membuktikan pulau itu milik republik berkenaan.

Ini jelas kerana Pulau Batu Putih bukan diserah bulat-bulat untuk dimiliki oleh Singapura sebaliknya hanya kuasa untuk menjalankan kerja-kerja pengawalseliaan kapal-kapal yang berlayar di perairan di situ.

Fakta sejarah juga menunjukkan pentadbir Singapura yang dikenali sebagai Temasik itu menggunakan hasil kutipan tol oleh kapal-kapal yang menggunakan perairan di Pulau Batu Putih sebagai modal untuk mentadbir rumah api di situ.

Sejarah awal pembukaan rumah api di Pulau Batu Putih tidak menampakkan penggunaan sumber sendiri di pihak Inggeris yang ketika itu menduduki Singapura untuk menguruskan rumah api berkenaan.

Penyelidikan terhadap status Pulau Batu Putih yang ditonjolkan oleh Singapura sebagai Pedra Branca jelas membuktikan Kesultanan Johor telah melaksanakan sepenuhnya bidang kuasa dan kedaulatan terhadap pulau itu sejak 1513 lagi.

Kesultanan Johor-Riau-Lingga telah diasaskan pada tahun 1513 oleh Sultan Mahmud yang melarikan diri selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.

Kehadiran kuasa Eropah seperti Inggeris dan Belanda di perairan Johor-Riau pada awal abad ke-19 telah mengancam keutuhan kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga.

Perebutan kawasan-kawasan strategik antara Inggeris dan Belanda telah membawa kepada termeterainya Perjanjian Inggeris Belanda 1824 yang menentukan nasib Singapura seperti termaktub dalam Artikel 12;

``Raja Belanda menarik balik semua bantahan yang telah dibuat terhadap pendudukan rakyat Yang Mulia Raja Inggeris di Singapura bagaimanapun Yang Mulia Raja Inggeris berjanji tidak ada penempatan Inggeris yang akan dibuka di Pulau Karimon, Batam, Bintang dan Pulau Linggi atau mana-mana pulau yang terletak di selatan Selat Singapura, juga pihak Inggeris tidak akan menandatangani sebarang perjanjian dengan ketua-ketua pulau ini.''

Perjanjian London mengakibatkan keutuhan dan kedaulatan kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga terjejas.

Kerajaan yang besar itu telah terbahagi kepada dua iaitu kerajaan Melayu Johor dan kerajaan Melayu Riau-Lingga.

Tidak ada satu perkataan pun dalam Perjanjian London dan perjanjian-perjanjian selepasnya yang memasukkan nama Pulau Batu Putih bersekali dengan Singapura.

Oleh itu memang memeranjatkan apabila Singapura secara tiba-tiba mendakwa pulau yang walaupun kecil tetapi telah menjadi milik Johor (Malaysia) sejak beratus tahun sebagai milik mereka.

Sememangnya Malaysia sebelum ini berdiam diri terhadap kerja-kerja pembinaan yang dilakukan oleh Singapura di pulau itu walaupun ia bertentangan dengan syarat-syarat yang telah dipersetujui.

Jika Singapura mendakwa Pulau Batu Putih milik mereka, republik berkenaan mesti membuktikan pulau itu telah diserahkan kepada Inggeris pada bila-bila masa dalam sejarah.

Sehingga kini tidak ada bukti bertulis yang mencadangkan Pulau Batu Putih telah diserahkan kepada Inggeris oleh Sultan Johor sama ada pada tahun 1918, 1927 atau pada bila-bila masa.

Jika benar Pulau Batu Putih adalah hak Inggeris yang kemudiannya diserahkan kepada Singapura, tidak ada sebab bagi pihak berkuasa Inggeris mendapatkan kebenaran dari Kesultanan Johor untuk membina rumah api di situ.

Rumah api tersebut telah dibuka secara rasmi pada tahun 1851 dan British telah menduduki pulau berkenaan sambil melakukan kerja-kerja pentadbiran di situ.

Tidak ragu-ragu lagi persetujuan antara kerajaan Johor dan Inggeris bertujuan membenarkan kuasa Barat itu membina dan menyelenggara rumah api berkenaan.

Kerajaan Johor sememangnya tidak berniat langsung untuk menyerahkan pulau tersebut kepada British.

Pakar sejarah berpendapat, adalah menjadi beban yang berat kepada Singapura untuk membuktikan Pulau Batu Putih hak mereka yang diwarisi daripada British menerusi mana-mana perjanjian sekalipun.

Sememangnya amat ketara Pulau Batu Putih adalah sebahagian dari negeri Johor malah Malaysia yakin hak Johor ke atas pulau tersebut akan terus kekal dan tidak tergugat bersandarkan kepada fakta sejarah yang menunjukkan Singapura hanya sebagai pengurus rumah api di situ.

Fakta-fakta sejarah dan pemetaan jelas membuktikan Pulau Batu Putih adalah hak Johor iaitu hak Malaysia.

Kerajaan Johor juga tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian melibatkan penyerahan hak pulau tersebut.

Malaysia mempunyai bukti-bukti yang kukuh yang ditunjukkan melalui peta-peta yang diterbitkan bahawa Pulau Batu Putih adalah sebahagian dari Negeri Johor.

Peta-peta yang dikeluarkan sejak tahun 1926 hingga sekarang sama ada oleh Kerajaan Johor, Kerajaan Melayu Bersekutu (Federated Malay States), Kerajaan Persekutuan, Kerajaan India, Tentera Amerika jelas menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih adalah hak Johor dan sebahagian wilayah Malaysia.

Kehadiran Singapura sebagai pengurus rumah api di Pulau Batu Putih serupa dengan kehadiran mereka di rumah api di Pulau Pisang.

Kedua-duanya bertujuan untuk mengurus rumah api dengan kebenaran daripada Kerajaan Johor (Malaysia).

Malaysia telah menjalankan tugas untuk mengawal pulau dan perairan dengan mengadakan rondaan kerap oleh Tentera Laut Malaysia, Polis Marin Malaysia dan pegawai-pegawai penguatkuasaan Jabatan Perikanan Malaysia.

Tindakan `provokasi' pihak Keselamatan Singapura adalah satu tindakan yang tidak wajar dan Malaysia sebagai negara yang cintakan kedamaian tidak akan terpedaya dengan tindakan ini.

Selain itu, kerajaan Johor juga berkali-kali menegaskan mereka tidak pernah memberi apa-apa kebenaran kepada Singapura untuk membina bangunan lain, selain rumah api sedia ada.

Malaysia telah membuat bantahan sejak 1979 ke atas hasrat Kerajaan Singapura untuk membina bangunan lain di atas pulau tersebut.

Malah, katanya, Singapura juga tidak dibenarkan membina sebarang struktur lain di pulau berkenaan.

Hakikatnya fakta sejarah cukup untuk menyandarkan keyakinan kerajaan negeri Johor dan Malaysia bahawa kita mempunyai hak terhadap Pulau Batu Putih.

Malah, British menerima hakikat bahawa pulau batu karang itu adalah sebahagian daripada Johor dengan mengambil kira rumah api di pulau itu asalnya dikendalikan oleh Syarikat Hindia Timur.

Bukti lain turut wujud termasuk surat daripada Temenggung Johor bertarikh 25 November 1844, surat Sultan Johor bertarikh yang sama, surat gabenor Negeri-Negeri Selat kepada setiausaha Kerajaan India bertarikh 26 Ogos 1846 serta perjanjian kawasan perairan di antara Britain dan Johor pada 1927.

Menteri Luar Singapura, Prof S. Jayakumar dalam kenyataannya di Parlimen republik berkenaan pada 16 Mei lalu mengungkap sejarah Pedra Branca yang didakwa milik mereka.

Menggunakan hujah yang mudah, beliau berkata, kerajaan Singapura telah menduduki dan melaksanakan kedaulatan sepenuhnya terhadap Pulau Batu Putih dan kawasan perairan sekitarnya sejak 150 tahun lalu iaitu pada tahun 1840.

Malah dengan nada yang sama, beliau menegaskan, pemilikan dan kedaulatan terhadap Pulau Batu Putih tidak pernah dicabar oleh mana-mana negara termasuk Malaysia.

Beliau juga tidak teragak-agak mendakwa Malaysia secara berterusan mengiktiraf kedaulatan Singapura terhadap pulau berkenaan sejak lebih 130 tahun.

Katanya, pengiktirafan itu hanya `terhenti' apabila Malaysia mengemukakan bantahan pada tahun 1979.

Sambil terus menidakkan hak milik Malaysia terhadap Pulau Batu Putih, Singapura menegaskan: ``Kita akan membentangkan kes ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) apabila Malaysia bersedia berbuat demikian.''

Soalnya, siapakah yang tidak bersedia atau sengaja melewat-lewatkan proses menetapkan tarikh bagi menandatangani perjanjian untuk membawa kes itu ke ICJ.

Malaysia sentiasa bersedia, sama ada kedudukan Pulau Batu Putih sama seperti Pulau Sipadan dan Ligitan, biarlah ICJ yang menentukan.

Malaysia sendiri tidak pernah mengiktiraf tuntutan Singapura ke atas Pulau Batu Putih kerana tidak ada bukti kukuh untuk menyokong tuntutan tersebut dan Singapura pula tidak menyerahkan apa-apa dokumen sebagai bukti.

Sekadar mengemukakan peranan sebagai pentadbir rumah api di Pulau Batu Putih sejak 1840 tidak cukup untuk meyakinkan Malaysia bahawa pulau berkenaan adalah hak mereka - Utusan Malaysia

Sunday, January 12, 2003

Sejarah tuntutan Pulau Batu Putih

Oleh Azman Anuar

DALAM peta Malaysia yang terkini, ditunjukkan dengan jelas kedudukan Pulau Batu Putih (White Rock Island). Nama pulau ini digunakan sejak dari dahulu kerana dari jauh pulau itu pada asalnya kelihatan berwarna putih kesan tompokan-tompokan najis burung-burung laut.

Ahli-ahli pelayaran Portugis pada masa dahulu pula memanggil pulau ini Pedra Branca dan nama inilah yang digunakan oleh Singapura hingga sekarang.

Ketika pertikaian tuntutan bertindih ke atas pulau-pulau di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan reda, baru-baru ini muncul pula ketegangan di sudut barat daya perairan itu. Kedaulatan pulau berbatu yang mempunyai wilayah yang cukup kecil tetapi amat strategik menjadi tuntutan bertindih antara Malaysia dan Singapura.

Perkembangan isu Pulau Batu Putih mencapai tahap kemuncak baru-baru ini apabila semakin banyak artikel dan laporan mengenainya dihebahkan melalui media.

Pulau kosong tanpa hidupan dan tumbuhan itu pada asalnya tidak siapa peduli hinggalah terbina rumah api di pulau tersebut.

Mengikut tulisan R. Haller-Trost, Historical Legal Claims: A Study of Disputed Sovereignty Over Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) 1993, pada tahun 1842, seorang bendahari, James Horsburgh telah mengumpulkan yuran di Canton, China daripada para pedagang untuk disumbangkan kepada Kerajaan Negeri-Negeri Selat (Straits Settlements Government) supaya membina rumah api bagi kemudahan kapal-kapal yang melalui perairan yang bahaya di bahagian timur selat Singapura, terutama bagi mengelakkan kapal-kapal mengalami kemalangan merempuh batu-batu di laluan berkenaan akibat pertambahan lalu lintas kapal.

Hingga sekarang pun masih berlaku kemalangan pelanggaran antara kapal. Pada 3 Januari lalu kapal anti kapal selam Singapura, RSS Courageous berlanggar dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di belanda, kira-kira 1.8 batu nautika dari Pulau Batu Putih.

Berikutan cadangan Horsburgh itu, rumah api yang dinamakan sempena nama beliau dibina pada 1850 dan ia mula beroperasi pada 15 Oktober 1851. Tarikh inilah digunakan oleh Singapura sebagai tarikh bertapaknya kuasa mereka ke atas pulau itu.

Kedudukan batu-batuan yang membentuk pulau ini terletak di pintu masuk ke timur selat Singapura pada garisan 1*19.8'U, 104*24.4'T. Mengikut maklumat daripada Thomson, arkitek Rumah Api Horsburgh, terdapat sedikit anjakan daripada koordinatnya iaitu 1*20.15'U. 104*25'T.

Mengikut keterangan daripada Laporan Marin Bengal, permukaan pulau ini diukur berdasarkan panjangnya 137 meter semasa air pasang rendah dari arah timur laut ke barat daya. Bahagian permukaan besar pulau itu terdapat di sebelah utara, sementara bahagian selatan hanya sedikit sahaja.

Pada aras air rendah didapati permukaan batu-batu dipisahkan pada jarak 20 hingga 30 meter dari batu besar.

Kedudukan paras paling tinggi ialah 8.2 meter ketika air pasang tinggi. Bagaimanapun rupa bentuk Pulau Batu Putih sudah berubah sejak Singapura membina tempat pendaratan helikopter dan kemudahan radar dan marin di atas batu itu.

Permulaan pertikaian

Pembuktian hak ke atas wilayah biasanya menimbulkan masalah disebabkan penyediaan dokumen dan kandungannya yang tidak lengkap. Trost yang membuat kajian ke atas Pulau Batu Putih mendapati kebanyakan dokumen rasmi yang ditemui di India Office Library dan Public Record Office di London, hanya menunjukkan sedikit sahaja rujukan kepada Rumah Api Horsburgh di Pulau Batu Putih, dan tidak mengaitkan persoalan tentang kedaulatan ke atas wilayah berbatu itu sebelum struktur binaan didirikan.

Masalah pemilikan bonjolan batu itu hanya berbangkit selepas Malaysia mengeluarkan peta baru yang menunjukkan wilayah perairan dan sempadan pentas dunia pada 21 Disember 1979. Dalam peta baru itu Malaysia memasukkan pulau batu itu ke dalam wilayah perairannya bagi mengukuhkan turning point (TP) 30 pada persilangan pembahagi bersudut tepat (tegak) segi tiga yang dibentuk oleh tiga titik iaitu Pulau Batu Putih, Tanjong Sanding dan Tanjong Berakit (di Pulau Bintan, Indonesia).

Bukti

Tiada kenyataan atau bukti tentang sebarang pertikaian Pulau Batu Putih ditimbulkan sebelum 1979. Walaupun pada tahun 1953, setiausaha kerajaan negeri Johor yang menjawab soalan daripada kerajaan Singapura bahawa ia tidak menuntut pemilikan ke atas Pulau Batu Putih kerana kedua-dua kerajaan pada masa itu di bawah kawalan kerajaan British.

Pada September 1991, Menteri Besar Johor ketika itu menyatakan bahawa ``dari sudut pandangan sejarah, Pulau Batu Putih adalah milik kita'' dan ``kerajaan Johor bersedia menyediakan bukti jika perlu bagi membuktikan sesungguhnya pulau itu milik Johor.''

Pendapat ini diulangi pada forum khusus tentang Pulau Batu Putih yang diadakan di Johor Bahru pada Oktober 1991 yang dihadiri oleh ahli-ahli sejarah Malaysia.

Dalam menuntut kembali kedaulatan pulau tersebut, Malaysia menunjukkan bahawa Sultan Johor mempunyai hak ke atas kedaulatan Pulau Batu Putih itu sejak 1513 apabila Kesultanan Johor-Riau-Lingga ditubuhkan oleh Sultan Mahmud yang berundur setelah Portugis menawan Melaka pada 1511. Berdasarkan teori warisan negara, Pulau Batu Putih juga menjadi milik Persekutuan Malaysia kerana penyatuan Johor yang menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya pada 1957.

Malaysia terus menyandarkan fakta bahawa Singapura hanya dibenarkan menguruskan rumah api sahaja dan ia tidak melibatkan kesan hak milik ke atas pulau itu.

Manakala Singpaura pula terus beranggapan bahawa ia mempunyai hak sepenuhnya ke atas kedaulatan dan kuasa perundangan di Pulau Batu Putih berdasarkan Perjanjian Anglo-Belanda.

Malah ia juga berdasarkan fakta bahawa Syarikat Hindia Timur Inggeris yang membina rumah api dan menyelenggarakannya sejak 1851 dan kemudian menyerahkan pengurusannya kepada Singapura.

Tanggapan ini diperkuatkan lagi apabila tiada pihak berkuasa mana-mana kerajaan termasuk Johor dan Malaysia yang membuat sebarang tuntutan atau membantah status Pulau Batu Putih sehingga 1979.

Oleh yang demikian, Singapura mengambil kira batu-batu di perairan 7.7 batu nautika di tenggara Johor itu menjadi bahagian sah dalam wilayah republik itu.

Walau apa pun, beberapa dokumen yang ada kaitan dengan Pulau Batu Putih perlu dikaji dengan teliti termasuk maklumat abad terdahulu bersama-sama dokumen masa kini.

Sebenarnya tiada kesangsian lagi bahawa wujud hubungan rapat antara Johor dengan Riau-Lingga yang juga merangkumi seluruh wilayah Singapura dan kepulauan di sekitar berhampirannya, kerana ia diperintah oleh seorang sultan. Berdasarkan kepada wilayah-wilayah tertentu, fakta yang jelas ialah Johor dan Riau-Lingga pernah merupakan satu entiti politik yang diiktiraf.

Berdasarkan sejarah hubungan Sultan Johor dengan sekutu dan seterunya pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19, yang akhirnya membelah dua empayar Kesultanan Johor dengan Kesultanan Riau-Lingga pada 1814 hingga 1824, ia adalah akibat daripada Konvensyen London 1814.

Agenda konvensyen antara Britain dengan Belanda itu berkaitan dengan tanah jajahan Belanda di mana, British menyerah balik kepada kerajaan Belanda beberapa kedudukan tanah jajahan tertentu yang telah ditangani mereka pada 1803.

Perjanjian ini kemudian memberi laluan kepada pembahagian tanah jajahan di Asia Tenggara antara Britain dan Belanda melalui Perjanjian Anglo-Belanda 1824.

Pada Mac 1824, Perjanjian Anglo-Belanda itu akhirnya memisahkan Riau-Lingga daripada empayar Sultan Johor. Temenggung Hussain (Johor) dan Temenggung Jaafar (Riau-Lingga) yang bertelagah pula terlepas perhatian tentang Pulau Batu Putih kerana sibuk menjaga kepentingan masing-masing.

Syarikat Hindia Timur Inggeris membayar pampasan kepada Temenggung Johor itu sementara Belanda meningkatkan pendapatan kepada Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga.

Pulau Singapura pula secara langsung menjadi milik British dan kemudian ditubuh pentadbiran Kerajaan Negeri-Negeri Selat yang merangkumi Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Jika diambil kira tulisan R. Haller-Trost dari Unit Penyelidikan Sempadan-sempadan Antarabangsa, Universiti Durham, London itu, perjanjian yang sedia ada membuktikan bahawa isu kedaulatan Pulau Batu Putih ada kaitan dengan Kerajaan Negeri-Negeri Selat dan Pejabat Tanah Jajahan British di India bagi satu pihak dan Johor pada satu pihak lain.

Analisis

Ini tidak memeranjatkan kerana sifat pulau itu adalah bersendirian, kecil, hanya batu-batu yang tidak ada habitat dan kewujudannya sebelum ini tidak menarik minat mana-mana kerajaan atau pemerintah.

Menurut Trost, jika berdasarkan geografi, pulau itu bukan sebahagian Pulau Ramunia, sebuah pulau kecil 6 batu nautika ke barat laut, dan bukan dipunyai oleh Beting Ramunia pada jarak yang sama lebih ke utara sedikit.

Analisis yang digunakan oleh Trost menunjukkan bahawa Pulau Ramunia yang berada 3 batu nautika di luar pantai Johor adalah milik Sultan Johor, tetapi Pulau Batu Putih berada di luar penguasaannya. Ia tidak termasuk dalam perjanjian Crawfurd 1824 yang mengehadkan 10 batu geografi, diukur dari tanah besar Singapura. Ini menunjukkan bahawa pulau itu tidak boleh dimasukkan ke dalam wilayah Negeri-Negeri Selat dan Akta Perairan Johor 1928.

Bagaimanapun mengikut kajian Malaysia pula, Pulau Batu Putih terletak di utara garisan - lebih tepat 7.5 batu nautika utara Tanjong Sanding (di Pulau Bintan, Indonesia) dan kemudian disahkan berada di wilayah jajahan British. Negeri-Negeri Selat khususnya Singapura hanya menguruskan rumah api di Pulau Batu Putih sehingga Malaysia memasukkan pulau itu ke dalam petanya pada 1979.

Apabila Singapura berpisah dari Malaysia pada 1965, republik itu mengkanunkan wilayah-wilayahnya sebelum tahun 1963 yang kemudian menjadi sebahagian Malaysia, ia harus dikembalikan kepada Singapura.

Dengan demikian Kerajaan Singapura berkata Pulau Batu Putih atau Pedra Branca itu adalah miliknya. Malah Singapura menegaskan bahawa rumah api yang dikendalikannya di bonjolan batu itu adalah salah satu bukti pulau tersebut merupakan milik mereka.

Bagaimanapun kerajaan negeri Johor tidak pernah menyerahkan Pulau Batu Putih kepada mana-mana pihak termasuk Singapura dan kedudukan pihak berkuasa republik itu di pulau tersebut hanyalah sebagai pengurus rumah api yang dibina ketika di zaman penjajahan Inggeris.

Menurut Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, negara jiran itu juga tidak dibenarkan membina sebarang struktur bangunan lain di pulau tersebut.

``Pembinaan rumah api di Pulau Batu Putih adalah dengan kebenaran Kerajaan Johor yang ketika itu di bawah pentadbiran Sultan Sir Abu Bakar semasa penjajahan Inggeris.

``Kerajaan Johor tidak pernah memberikan pulau itu kepada mana-mana pihak dan tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian melibatkan penyerahan hak pulau tersebut.

``Kebenaran membina rumah api tidak bermakna menyerahkan pulau tersebut kepada Singapura,'' katanya.

Menurut Abdul Ghani, peta-peta yang dikeluarkan sejak tahun 1926 hingga yang terkini jelas menunjukkan pulau tersebut adalah dalam wilayah Johor.

Sehubungan itu, kata beliau, Kerajaan Johor berpendirian bahawa pulau itu sejak dahulu lagi adalah sebahagian daripada Johor dan hak negeri ini terhadapnya akan terus kekal dan tidak akan tergugat.

Menurut beliau, kehadiran republik itu di Pulau Batu Putih sama seperti di Pulau Pisang iaitu untuk menguruskan rumah api dengan kebenaran Kerajaan Johor dan Malaysia.

Pun begitu, Malaysia dan Singapura sudah mencapai persetujuan untuk mengemukakan tuntutan masing-masing ke atas Pulau Batu Putih kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague dengan memeterai perjanjian mengenai perkara tersebut di Wisma Putra, Putrajaya pada 6 Februari 2003 - Utusan Malaysia

Tambak laut: Tuntutan ganti rugi akan dikaji

PEKAN 11 Jan. - Kerajaan perlu membuat kajian terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada bantahan terhadap kerja-kerja penambakan laut oleh Singapura akan turut meliputi aspek ganti rugi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan perlu membuat kajian bagi menentukan skop bantahan itu terlebih dahulu dan ini memerlukan sedikit masa.

``Soal taksiran dan sebagainya itu agak perlu masa sedikit bagi menentukan kesan yang boleh ditaksir, kita kena tunggu dulu,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau mengulas mengenai aspek bantahan yang akan dikemukakan oleh Malaysia kepada Singapura berhubung penambakan laut oleh negara berkenaan berhampiran Tanjung Pengelih, Johor.

Rabu lepas, mesyuarat Kabinet dimaklumkan mengenai kesan negatif akibat kerja penambakan itu selepas menerima laporan daripada jawatankuasa khas yang menjalankan kajian berkenaan.

Penambakan laut yang dijalankan itu dibimbangi akan menyebabkan kesan terhadap ekologi dan alam sekitar serta mengakibatkan perubahan arus di kawasan berkenaan.

Najib berkata, hasil kajian yang dijalankan terhadap isu berkenaan adalah penting sebagai landasan kepada bantahan berkenaan.

``Bantahan kita bukan sesuatu yang tidak berasas sebaliknya kita telah membuat kajian yang mendalam, kajian saintifik bagi menunjukkan kesan penambakan laut itu,'' katanya.

Menurutnya, meskipun penambakan laut itu dilakukan di perairan Singapura, namun kesannya dirasai oleh Malaysia dan perkara itu memerlukan tindakan sewajarnya.

Ditanya mengenai isu Pulau Batu Putih, Najib berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tetap menjalankan rondaan di sekitar pulau berkenaan seperti biasa,

``TLDM membuat rondaan seperti biasa dan ia dijalankan dengan baik, tanpa perlu bertindak agresif malahan kita menutup meriam dan radar kita,'' katanya.

Jelasnya, rondaan yang dijalankan itu bukan bertujuan untuk berbalah dengan negara jiran tetapi demi keselamatan wilayah negara.

Ditanya sama ada kapal TLDM pernah diusir oleh pihak Singapura ketika berada di sekitar pulau itu, Najib berkata, pada umumnya kehadiran mereka diperhatikan oleh tentera negara jiran itu - Utusan Malaysia

Saturday, January 11, 2003

Singapura didesak benarkan rakyat Malaysia ke Batu Putih

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Singapura membenarkan rakyat Malaysia memasuki perairan Pulau Batu Putih kerana republik tersebut tidak mempunyai hak selagi status pulau itu tidak diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Naib Ketuanya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir ketika dihubungi berkata, Singapura sepatutnya tidak sekadar bersetuju untuk menandatangani perjanjian kes tuntutan pulau itu ke ICJ sebaliknya mereka perlu turut membenarkan rakyat Malaysia bebas untuk memasuki kawasan itu.

Abdul Aziz diminta mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam bahawa Singapura telah bersetuju dengan cadangan Malaysia mengenai tarikh 6 Februari ini untuk menandatangani perjanjian berkenaan.

Menurut Syed Hamid, beliau akan mewakili Malaysia dan rakan sejawatannya Profesor S. Jayakumar dari republik itu akan mewakili Singapura.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Profesor Hamdan Adnan berkata, Malaysia perlu memanfaatkan kepakarannya dalam membuat tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih.

``Malaysia boleh menggunakan kepakaran dan pengalamannya berikutan kejayaan kita dalam isu tuntutan bertindih dengan Indonesia ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan, Sabah menerusi ICJ di The Hague, Belanda baru-baru ini,'' katanya.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Senator Zainal Rampak berkata, Singapura perlu akur kepada semangat ASEAN dalam isu tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih.

Beliau menyifatkan tindakan Singapura yang berlagak menguasai Pulau Batu Putih itu telah menjejaskan semangat ASEAN.

Zainal menegaskan, Singapura tiada hak untuk melakukan pembinaan di Pulau Batu Putih, selain menyekat kemasukan nelayan Malaysia ke perairan tersebut yang mempunyai hubungan sejarah yang amat dekat dengan negara ini - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK -- AWANG SULUNG

Awang lega akhirnya Malaysia dan Singapura menetapkan tarikh untuk menandatangani perjanjian membawa kes tuntutan ke atas Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Apa yang tampak rumit dengan tiba-tiba dapat dipersetujui dengan agak mudah.

Maka tertanya-tanya Awang apa yang mendorong Singapura tiba-tiba bersetuju menandatanganinya setelah begitu lama mendiamkan diri.

Apakah mungkin kerana isu Pulau Batu Putih juga tiba-tiba dibangkitkan semula?

Sekadar peringatan, akhbar Awanglah yang membangkitkan semula perkara ini dalam Mingguan Malaysia pada 21 Disember lalu di bawah tajuk `Batu Putih milik Singapura?'

Berita inilah yang mencetuskan semula kontroversi pulau itu di mana wartawan Utusan mendapati kerja-kerja pembinaan terus dilakukan oleh Singapura.

Bila tercetus kontroversi, Awang termenung dan bertanya sama ada telah membuat keputusan yang betul dengan menyiarkan berita tersebut. Hari ini, Awang termenung dan bertanya sama ada terdapat rahmat tersembunyi di sebalik penyiaran berita itu dan kontroversi yang menyusul.

Syukur, satu kebaikan terbit akhirnya.

-- Awang - Palu gendang bila perlu.

Malaysia perlukan tentera berwibawa

Oleh:Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Malaysia masih memerlukan angkatan tentera yang berwibawa walaupun amalan sekarang lebih menjurus kepada proses `timbangtara' ataupun pengadilan antarabangsa dalam mencari penyelesaian bagi sesuatu isu membabitkan negara lain.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan itu Malaysia tidak akan mengenepikan pembangunan angkatan tentera meskipun ia mengutamakan saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa.

``Walaupun amalan itu (timbangtara) akan menjadi amalan popular pada masa depan, ia tidak menafikan keperluan kita memiliki sebuah angkatan tentera yang berwibawa dan kredibel.

``Sekiranya kita lemah, orang luar boleh menindas kita atau memperlekehkan kita,'' katanya ketika berucap pada majlis penyampaian diploma dan penutupan kursus Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) siri 22/2002 di sini.

Menurut Najib, kemunculan peranan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam pertikaian bertindih mengenai Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan serta Pulau Batu Putih merupakan suatu perubahan besar yang harus diambil kira dalam perkiraan strategik negara.

Pada 17 Disember lepas, ICJ telah memutuskan bahawa Pulau Sipadan dan Ligitan di Perairan Sabah dimiliki oleh Malaysia, sekali gus menamatkan pertikaian selama hampir 30 tahun dengan Indonesia.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengumumkan bahawa Malaysia dan Singapura akan menandatangani Perjanjian Khas pada 6 Februari ini di Putrajaya bagi merujuk pertikaian mengenai Pulau Batu Putih di perairan Johor ke ICJ.

Menurut Najib, kerajaan Malaysia menghargai reaksi Jakarta yang menerima dengan baik keputusan ICJ tanpa menimbulkan sebarang isu yang boleh mengugat hubungan yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, tindakan merujuk tuntutan ke ICJ adalah selaras dengan dasar negara yang mahu sebarang pertikaian diselesaikan secara diplomatik bagi menjaga kestabilan dan keamanan rantau ini.

``Dasar kita jika terdapat sebarang pertikaian, akan diselesaikan menerusi meja perundingan,'' katanya.

Najib menambah dunia kini telah berubah dan ini menyebabkan perbezaan dalam mengendalikan peperangan atau operasi ketenteraan - Utusan Malaysia

Friday, January 10, 2003

ICJ: Tandatangan dengan Singapura di Putrajaya 6 Feb.

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Perjanjian untuk membawa kes tuntutan Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan ditandatangani oleh Malaysia dan Singapura pada 6 Februari ini di Wisma Putra, Putrajaya.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Singapura telah bersetuju dengan tarikh berkenaan yang dicadangkan oleh Malaysia.

Bercakap kepada Bernama hari ini, Syed Hamid memberitahu dalam majlis menandatangani perjanjian itu, beliau akan mewakili Kuala Lumpur sementara Singapura oleh Menteri Luarnya, Prof S.Jayakumar.

Dilaporkan kedua-dua pihak sebelum ini telah mencadangkan beberapa tarikh tetapi ia tidak dapat diterima oleh Malaysia kerana Syed Hamid akan berada di luar negara selama 11 hari bermula Sabtu ini.

Dengan tarikh perjanjian telah diputuskan, Syed Hamid berharap tuntutan bertindih terhadap pulau itu, yang pertama kali timbul pada 1979 dan menjadi lebih hangat sejak beberapa bulan kebelakangan ini tidak akan menjadi polemik.

Beliau juga berharap perjanjian itu akan mengekalkan status quo terhadap Pulau Batu Putih, iaitu sama ada KL ataupun Singapura tidak akan menuntut kedaulatan pulau itu sehingga diputuskan oleh ICJ.

"Saya berharap kedua-dua pihak akan menggunakan hak masing-masing tanpa halangan ataupun gangguan daripada mana-mana pihak dan saya berpendapat tiada pihak buat masa ini boleh menuntut kedaulatan pulau itu," kata Menteri Luar.

Syed Hamid berkata, kedua-dua pihak telah membuat keputusan yang betul dalam memilih jalan penyelesaian menerusi ICJ di sebalik menghadapi konflik terbuka.

Beliau juga berkata, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ICJ akan dihormati tidak kira keputusan itu memihak kepada Kuala Lumpur ataupun sebaliknya.

"Saya rasa orang ramai berhak mengambil berat akan isu itu tetapi saya rasa mereka juga harus sedar akan akibat tuntutan itu diselesaikan melalui mahkamah keadilan," katanya.

Syed Hamid juga ditanya mengenai hikmah tarikh 6 Februari dan mengapa ia tidak ditandatangani di luar sesi Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) bulan depan seperti yang diramalkan oleh pelbagai pihak.

"Sebab mengapa kita tidak melakukannya di luar sesi sidang kemuncak itu ialah kerana kita ikut apa yang Singapura pernah katakan sebelum ini."

Dalam menjelaskan ini Syed Hamid berkata, semasa Malaysia mahu menandatangani Perjanjian Khas ini di luar proses rundingan air bersama Singapura pada tahun lepas, Menteri Luar republik pulau itu berkata, ia "dokumen yang sangat penting" untuk ditandatangani di luar aturcara ataupun secara sampingan.

"Saya kata O.K. Bagus. Saya bersetuju dengannya. Mari kita cari satu tarikh."

Tetapi aneh sekali, Singapura telah mencadangkan supaya perjanjian ini ditandatangani di luar sesi mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Eropah di Brussels bulan depan, katanya.

"Sebab itulah saya tidak memilih (untuk menandatangani perjanjian) di luar sesi NAM dan juga mesyuarat ASEAN-EU."

"Ia harus merupakan perjanjian tersendiri dan saya mahu melakukannya secepat mungkin supaya ia tidak terus menjadi polemik. Dan terdapat banyak fitnah, banyak faktor yang akan menegangkan keadaan yang saya rasa kedua-dua negara harus elakan."

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Hamid berkata, sementara Kuala Lumpur dan Singapura menunggu penghakiman ICJ, kedua-dua pihak harus melaksanakan hak masing-masing terhadap pulau itu, kecuali dalam pengurusan rumah api itu yang akan dikendalikan oleh Singapura sehingga pertikaian itu selesai.

Oleh sebab itu, Syed Hamid berkata, Singapura tidak harus menghalang nelayan-nelayan Malaysia menangkap ikan di kawasan pulau itu yang kaya dengan sumber ikan.

"Saya rasa mereka tidak harus melakukan sesuatu yang akan menganggu ataupun menjejaskan hak orang untuk menangkap ikan di situ.

"Itu (kawasan) adalah kawasan penangkapan ikan tradisional bagi nelayan di sekeliling. Mereka telah menangkap ikan di kawasan itu untuk agak lama. Mereka sebelum ini sentiasa berada di situ," kata beliau. - Bernama

Thursday, January 09, 2003

Malaysia, Singapura setuju tandatangan sebelum 28 Januari

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian khas bagi membawa isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum 28 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tempat untuk pemeteraiannya pula akan dibuat sama ada di Malaysia atau pun di Singapura.

``Ini satu kelegaan... Malaysia tidak suka melihat isu-isu dua hala antara Malaysia dan Singapura terbiar tanpa dapat penyelesaian,'' kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Persetujuan itu dicapai setelah Malaysia menolak cadangan Singapura supaya perjanjian berkenaan disempurnakan di Brussels, Belgium sempena mesyuarat ASEAN-Kesatuan Eropah pada 27 dan 28 Januari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia pada dasarnya bersetuju dengan cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas mengenai pertikaian itu ke ICJ, tetapi mahu ia diadakan di negara ini atau Singapura.

Abdullah seterusnya berkata, kedua-dua pihak perlu mengenal pasti aspek-aspek mana yang hendak diberi perhatian sebagai parameter supaya ia tidak berleret-leret di ICJ kelak.

Beliau menjelaskan mesyuarat Kabinet hari ini turut menyentuh soal tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih yang terletak 7.7 batu nautika dari Tanjung Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia tetap berpegang kepada prinsip tiada hak bagi sesiapa jika wujud tuntutan bertindih seperti ke atas Pulau Batu Putih.

Oleh itu, katanya, Singapura yang dibenarkan mengendalikan rumah api di pulau tersebut tidak boleh menganggap ia pulau mereka.

``Soal kejar mengejar tidak patut berlaku di sekitar perairan pulau itu, dan kalau tersilap boleh berlaku insiden yang tidak diingini,'' katanya ketika diajukan kes bot polis Marin Malaysia dihalau keluar oleh kapal tentera Singapura di perairan berkenaan baru-baru ini.

Pada 3 Januari lalu, sebuah kapal peronda antikapal selam Tentera Laut Singapura, RSS Courageous, rosak teruk dan hampir tenggelam akibat berlanggar dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda dekat Pulau Batu Putih.

Abdullah berkata, sepatutnya kawasan perairan Batu Putih boleh dilawati oleh kedua-dua pihak, asalkan ia saling dalam pengetahuan bersama.

``Kedua-dua negara perlu memahami bahawa pulau itu akan diputuskan kelak oleh ICJ.

``Keputusan itu kelak kita akan terima dan bersetuju dengannya,'' tegas beliau.

Pada perkembangan yang sama, Bernama melaporkan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kedua-dua pihak bersetuju dengan salah satu daripada tiga tarikh yang dicadangkan oleh Malaysia.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus ketiga-tiga tarikh berkenaan.

``Kami kini cuba menetapkan tempat (untuk menandatangani perjanjian), sama ada di Singapura atau Malaysia. Jadi, esok atau lusa, kita boleh beritahu anda,'' katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Ireland Brian Cowen di Kementerian Luar, Putrajaya, hari ini.

Ditanya sama ada perjanjian itu akan dilakukan sebelum Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN-Kesatuan Eropah, Syed Hamid berkata: ``Lebih awal.''

Mengulas mengenai bagaimana persetujuan mengenai tarikh itu dicapai, Syed Hamid berkata, beliau mencadangkan tiga tarikh, manakala Singapura mengemukakan satu tarikh.

Syed Hamid bagaimanapun berkata, tarikh yang dicadangkan Singapura tidak sesuai memandangkan beliau tidak berada di sini.

Republik itu bagaimanapun bersetuju dengan ketiga-tiga tarikh yang dikemukakan Malaysia, katanya.

``Jadi, saya pilih satu tarikh untuk menandatangani perjanjian itu,'' katanya.

Syed Hamid berkata persoalan mengenai bila perjanjian itu akan ditandatangani tidak wajar menjadi satu polemik memandangkan kedua-dua pihak bersetuju supaya tuntutan bertindih itu dirujuk kepada ICJ.

``Sebaik kita rujuk kepada ICJ, ini bermakna status quo kekal. Status quo bermakna tidak ada mana-mana negara boleh menuntut kedaulatan eksklusif ke atas pulau yang dipertikaikan itu sehingga ia diselesaikan oleh ICJ,'' katanya.

``Ini penting untuk difahami,'' katanya.

Syed Hamid menegaskan bahawa setelah keputusan dibuat oleh ICJ, ia adalah muktamad dan konklusif dan kedua-dua negara perlu menerima apa sahaja keputusan.

Beliau berkata, keputusan merujuk tuntutan ke atas Pulau Batu Putih ke ICJ merupakan tindakan yang baik bagi mengelak konflik antara kedua-dua negara berjiran itu.

Menjawab soalan mengenai kehadiran kapal-kapal tentera laut di kawasan Pulau Batu Putih, Syed Hamid berkata: ``Jika mereka mahu meronda di kawasan itu, mereka boleh berbuat demikian, tetapi tiada siapa yang boleh menghalang kita daripada meronda kawasan itu.'' - Utusan Malaysia

Singapura eksploit kelemahan jiran

Singapura berperanan sebagai pelabuhan entreport moden sejak 1819 lagi. Hubungan ekonomi yang erat kedua-dua negara membolehkan kedua-duanya membangun dengan pantas. Sekiranya hubungan ini berkenaan berterusan diperkemaskan lagi sudah tentu ia akan membawa banyak manfaat kepada kedua-dua negara.

Ekonomi Singapura dari dulu lagi bergantung dan berkembang berasaskan sektor perkhidmatan. Pada masa dulu, sebagai sebuah negara yang rendah cukai importnya Singapura pernah menjadi pusat membeli-belah antarabangsa yang besar.

Identiti Singapura sebagai sebuah pelabuhan bebas dan kedudukannya yang strategik menjadikan ia sebagai pintu keluar-masuk barangan bagi negara jiran, khasnya Malaysia dan Indonesia. Fungsi ini diperkukuhkan lagi dengan kecekapan sektor perkhidmatan negara itu. Kecekapan sektor perkhidmatannya menyebabkan ramai pengeksport dan pengimport Malaysia memilih untuk menggunakan pelabuhan negara itu berbanding dengan pelabuhan domestik.

Begitu juga dengan pedagang antarabangsa, mereka lebih gemar menggunakan pelabuhan Singapura, berbanding pelabuhan lain di rantau ini. Justeru, banyak syarikat besar dunia, bukan sahaja dalam bidang perkapalan malah di dalam bidang urus niaga lain pun membuka ibu pejabat mereka di Singapura. Ini semua menyemarakkan lagi kedudukan sektor perkhidmatan di negara itu.

Aktiviti ekonomi Singapura ketika itu samalah seperti peranan orang tengah di sektor pertanian. Mereka membeli barangan di rantau ini, kemudian menjualnya ke negara lain. Maka, import negara itu terlalu besar berbanding bila-ngan penduduknya agak kecil. Misalnya, pada tahun 2000, jumlah import Singapura ialah RM485 bilion, 40 peratus lebih besar daripada import Malaysia. Ini terjadi kerana negara itu mengimport untuk dieksport semula, sedikit sahaja untuk penggunaan dalam negeri. Justeru, eksport negara itu juga lebih besar dari Malaysia, sedangkan kapasiti industri perusahaan dan pembuatannya amat terhad. Pada 2000, jumlah eksport negara itu ialah RM527 bilion berbanding dengan Malaysia yang hanya RM373 bilion.

Seperti kata Fellow Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Azmi Setapa, kejayaan Singapura mengeksploitasi pasaran di rantau ini ialah kerana kelemahan teknologi, pengurusan kewangan, pengurusan perniagaan dan penerokaan pasaran di negara lain. Keupayaan ekonomi Singapura yang lebih baik de-ngan negara jirannya, sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor sejarah. Tahap ekonomi penduduk, infrastruktur dan pendidikan yang ditinggalkan oleh penjajah British begitu tinggi.

Tanpa perlu membentuk dasar ekonomi yang kompleks kerana tidak ada ketidakseimbangan pendapatan antara kaum dan geografi, Singapura sudah tentu mampu menggerakkan ekonominya de-ngan mudah. Jadi pembentukan dasar ekonomi di Singapura hanya perlu menumpukan kepada kecekapan ekonomi sahaja.

Bagaimanapun kini lebih banyak barang kita diproses dan dieksport sendiri secara terus ke destinasinya. Pada 1990, 26.9 peratus daripada barang industri pembuatan kita dieksport ke Singapura. Peratusan ini jatuh kepada 24.1 peratus (2000).

Begitu juga dengan minyak sawit, eksportnya ke Singapura jatuh dari 13.2 peratus di tahun 1990 kepada hanya 4.3 peratus (2000). Eksport kayu digergaji ke republik itu juga jatuh dari 8.9 peratus kepada 4.3 peratus untuk tempoh yang sama. Paling ketara sekali ialah eksport petroleum mentah. Ia jatuh dengan banyaknya daripada 26.8 peratus kepada 3.9 peratus sahaja bagi tempoh masa yang berkenaan.

Kini Malaysia mulai beralih kepada ekonomi yang lebih bergantung kepada sektor perkhidmatan. Tumpuan dasar kini sama dengan Singapura. Sektor perkhidmatan di Malaysia akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan sektor-sektor lain di dalam ekonomi.

Sekiranya sektor perkhidmatan kita dibangunkan sepenuhnya, ekonomi kita tidak memerlukan sektor perkhidmatan Singapura lagi. Menyedari hakikat ini, Singapura mula beralih perlahan-lahan, mewujudkan rantaian ekonominya di kawasan persempadanannya dengan Indonesia yang masih rendah taraf ekonominya.

Sektor perkhidmatan tidak boleh berdiri sendiri. Ia perlu disokong oleh sektor-sektor lain. Di Singapura, sektor lain adalah terhad dan sempit atau lebih tepat tidak boleh memberi sokongan kuat kepada sektor perkhidmatannya.

Di Malaysia, sektor perkhidmatan disokong kuat oleh pelbagai sektor lain. Kita boleh terus meneroka dan mencipta produk baru. Dengan keupayaan kita, kita tahu untuk mencari pelanggan dan memasarkannya terus ke destinasi tanpa perlu melalui Singapura. Ini akan menggugat kedudukan Singapura sebagai orang tengah atau broker terhormat.

Perkara kedua yang mungkin menjadi agenda Singapura ialah melemahkan sentimen pelaburan di negara kita yang sememangnya sudah dilemahkan oleh isu keganasan. Perselisihan pendapat antara dua negara jiran akan dilihat oleh pelabur sebagai tanda-tanda tidak sihat yang boleh membawa kepada ketidakstabilan ekonomi. Perkara sebegini akan memberi kesan buruk kepada Malaysia kerana pelaburan asing adalah salah satu faktor penting untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia. Berbeza dengan Singapura yang kuat bergantung kepada sektor perkhidmatan, Malaysia memerlukan modal dan kepakaran asing untuk membangunkan pelbagai aktiviti industri. Singapura pula mempunyai rizab yang besar untuk bertahan daripada kemerosotan ekonomi jangka pendek. Pelaburan pula banyak dibuat di luar negara.

Singapura boleh melabur di mana sahaja dan membawa balik keuntungan. Jadi kesan daripada menurunnya sentimen pelaburan di rantau ini akan lebih memberi kesan negatif kepada Malaysia.

Ketiga, Singapura mungkin menggunakan isu tuntutan pulau ini sebagai mengendurkan ketegasan Malaysia di dalam membincangkan isu air. Apakah Malaysia akan setuju untuk menurunkan harga air yang dituntut sekiranya Singapura menggugurkan tuntutannya ke atas Pulau Batu Putih?

Sebenarnya, jika Singapura sanggup meneruskan hubungan baik antara kedua negara, masih banyak faedah yang boleh digembleng walaupun taraf kemajuan kedua-dua negara hampir sama. Oleh kerana Singapura, selama ini mengaut kekayaan dengan mudah iaitu dengan mengambil kesempatan daripada kemunduran teknologi, pengurusan dan penerokaan pasaran negara serantau, mereka tidak bersedia untuk bersaing secara bersih seperti dikehendaki oleh Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

- NIK YAHYA RAHMAN, Kuala Lumpur.

Tuesday, January 07, 2003

Singapura diberi tempoh terhad cari anak kapal

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Kapal peronda Tentera Laut Singapura hanya dibenarkan berada di perairan Malaysia berhampiran Pulau Batu Putih dalam tempoh terhad semasa operasi mencari dan menyelamat tiga anak kapal RSS Courageous yang hilang sejak Jumaat lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tempoh yang diberikan kepada negara itu mencukupi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Tambahnya, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga menempatkan dua buah kapal peronda di perairan Pulau Batu Putih dan bersedia membantu dalam operasi mencari dan menyelamat jika diminta berbuat demikian.

``Kita tidak mempunyai halangan dalam perkara ini kerana ia merupakan pertolongan yang berasaskan aspek kemanusiaan.

``Terpulang kepada Singapura sama ada hendak menerima bantuan dua buah kapal peronda TLDM itu dalam operasi mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, dekat sini hari ini.

Dalam kemalangan lewat malam Jumaat lepas, kapal tentera laut anti kapal selam Singapura, RSS Courageous berlanggar dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda, kira-kira 1.8 batu nautika dari Pulau Batu Putih.

Seorang anak kapal wanita yang juga pakar pengendalian senjata disahkan terbunuh manakala tiga lagi rakannya, semuanya wanita dilaporkan hilang selepas kejadian itu.

Dalam hubungan ini, Najib berkata: ``Malaysia berhak meletakkan dua buah kapal peronda TLDM di perairan Pulau Batu Putih kerana kita menganggap pulau itu sebagai hak kita.''

Jelasnya, selagi Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) belum memutuskan mengenai tuntutan bertindih itu, semua kapal peronda TLDM berhak berada di perairan Pulau Batu Putih - Utusan Malaysia

Mayat kedua dikenali

SINGAPURA 6 Jan. - Mayat kedua yang ditemui malam tadi di pulau Bintan di negara jiran Indonesia telah dikenal pasti sebagai Sarjan (I) Seah Ai Leng, 25, antara yang dilaporkan hilang selepas kapal peronda Tentera Laut Singapura RSS Courageous bertembung dengan sebuah kapal kontainer pada Jumaat lepas.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Singapura hari ini, mayat Seah ditemui di Sebong, di barat laut pulau Bintan pada 8.18 malam tadi.

Seah, yang menyertai Tentera Laut Singapura pada Julai 1995 merupakan lulusan Politeknik Singapura dalam bidang kejuruteraan elektronik.

Kementerian berkata, usaha-usaha masih diteruskan untuk mencari Sarjan (II) Chua Bee Lin, 24 yang dilaporkan hilang.

Semalam, dua mayat terdampar di pantai Bintan, satu ditemui pada pukul 8 pagi dan satu lagi lebih kurang 10 jam kemudian. Mayat pertama dikenal pasti sebagai Sarjan (I) Heng Sock Ling, 24.

Sabtu lalu, para penyelamat tentera laut berjaya mengeluarkan mayat Korporal Goh Hui Ling, 22, daripada bahagian kapal peronda anti kapal selam itu yang remuk teruk.

Kapal RSS Courageous itu berlanggar dengan kapal kontainer ANL Indonesia seberat 52,000 tan yang berdaftar di Belanda pada Jumaat lalu di perairan dekat Pulau Batu Putih, yang kedaulatannya dituntut oleh Malaysia dan Singapura.

Keempat-empat mereka dikatakan sedang tidur di ruang tidur kapal itu apabila kapal kontainer itu melanggar bahagian tersebut.

Indonesia dan Malaysia telah menawarkan diri untuk membantu dalam usaha mencari dan menyelamat. - Bernama

Bincang cara beradab

Oleh Badrul Azhar Rahman

Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong tidak malu untuk mendakwa dirinya begitu matang dalam mentadbir republik tersebut khususnya dalam menguruskan isu tuntutan Pulau Batu Putih.

Kenyataan Chok Tong yang menyifatkan media-media di Malaysia sebagai `kebudak-budakan' dalam menangani isu Pulau Batu Putih itu jelas menunjukkan pemimpin tersebut seperti syok sendiri. Dia boleh digolongkan sebagai pemimpin yang `masuk bakul angkat sendiri.'

Penulis merasakan begitu kerana kalau Chok Tong merasakan dirinya sudah matang dan berhak menilai tahap media di Malaysia sebagai kebudak-budakan, dia juga seharusnya bersedia untuk menerima kritikan dan kecaman. Dalam hal ini, media Malaysia juga mempunyai hak untuk membuat penilaian atau ulasan tersendiri terhadap pemimpin sedemikian dan Chok Tong tidak harus `melatah' atau terperanjat.

Tapi media Malaysia tidak mahu terperangkap dalam permainan Chok Tong. Kita tidak perlu meletakkan tahap pemikiran kita ke tahap pemikiran Chok Tong. Media yang berpengaruh seharusnya tidak emosional, tidak melenting dan tidak mudah berputus asa dengan kata-kata yang dilemparkan oleh individu sedemikian. Peranan media juga lebih meluas dan lebih besar daripada cita-cita politik Chok Tong serta lebih berpandangan jauh.

Kenapa mesti media Malaysia naik berang dengan telatah Chok Tong walaupun perkataan `melatah' yang digunakan oleh beliau menggambarkan sesuatu yang negatif dan tidak baik. Menurut Kamus Pelajar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, `melatah' boleh bermaksud penyakit saraf yang menyebabkan seseorang itu melakukan atau mengucapkan sesuatu tanpa disedarinya apabila dirangsang. `Melatah' juga menurut kamus itu adalah berkelakuan seperti orang gila kerana sebab-sebab tertentu.

Apakah sebenarnya maksud Chok Tong menggunakan perkataan `melatah' itu tidak dapat dipastikan tetapi secara kasarnya boleh melambangkan kepimpinan dan perwatakan beliau yang sebenar.

Tidak hairanlah kalau Singapura begitu bongkak menetapkan terlebih dulu untuk menandatangani perjanjian khas dengan Malaysia berhubung isu Pulau Batu Putih pada hujung bulan ini di Brussels.

Apa juga alasannya, Singapura seharusnya berbincang dengan Malaysia terlebih dulu tentang tarikh dan tempat untuk menandatangani perjanjian tersebut. Biarlah ia dibuat secara beradab dan tersusun. Lagipun isu yang mahu diselesaikan merupakan isu yang besar yang melibatkan kedaulatan, maruah dan kepentingan nasional.

Belum selesai isu tuntutan Pulau Batu Putih, republik Singapura dikejutkan pula dengan kemalangan kapal peronda tenteranya di kawasan berhampiran pulau yang dituntut itu malam Jumaat lalu. Setakat ini tiga pegawai tentera republik itu disahkan terbunuh dan seorang lagi masih hilang.

Sebagai jiran yang baik, Malaysia turut menghantar dua buah kapal peronda tentera bagi membantu operasi mencari dan menyelamat. Atas permintaan Singapura, republik itu juga diberi kebenaran untuk meneruskan gerakan mencari di perairan negara ini.

Alangkah baiknya jika semangat setiakawan seperti ini dapat dipanjangkan di meja perundingan.

Kemalangan ini juga menimbulkan satu pertanyaan. Apakah mungkin kerana terlalu banyak kapal peronda tentera Singapura berkeliaran di perairan Pulau Batu Putih hingga tiba-tiba saja dilanggar oleh sebuah kapal kargo Indonesia? - Utusan Malaysia

Negara ketiga tidak perlu

PUTRAJAYA 6 Jan. - Malaysia hari ini mengulangi pendirian untuk menandatangani perjanjian khas dengan Singapura berhubung kes tuntutan bersama Pulau Batu Putih di mana-mana tempat asalkan di Malaysia atau Singapura.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid berkata, Kuala Lumpur berpendapat kedua-dua pihak tidak ada keperluan untuk melakukan perjanjian tersebut di negara ketiga kerana ia agak tidak tepat dalam konteks perhubungan negara tersebut.

Katanya; ``Tak perlu kita tandatangani perjanjian ini di negara ketiga kerana kita bukannya sedang berperang antara satu sama lain.

``Cuma masalah yang timbul ialah mereka (Singapura) agak tidak bersetuju dengan beberapa isu berbangkit sebelum ini dan mungkin fikir bahawa ia (perjanjian) harus dibuat di negara ketiga,'' katanya pada sidang akhbar di Wisma Putra di sini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar Singapura, Profesor S. Jayakumar semalam yang menyuarakan hasrat republik itu bersedia menandatangani perjanjian khas dengan Malaysia di mana sahaja untuk membawa kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menurutnya, Kuala Lumpur boleh mengemukakan tarikh baru sekiranya mendapati 27 atau 28 Januari iaitu tarikh yang dicadangkan Singapura tidak sesuai untuk ditandatangani di Brussels, Belgium.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, Malaysia akan menghantar cadangan tarikh baru kepada republik itu dalam tempoh terdekat ini setelah meneliti kesesuaian antara kedua-dua pihak.

Katanya, Wisma Putra akan memaklumkan kepada media massa dan orang ramai mengenai persetujuan tarikh tersebut.

``Kita akan carikan tarikh yang sesuai untuk kedua-dua pihak dan akan maklumkan kepada anda semua (media) bila sampai masanya,'' jelasnya.

Terdahulu, Syed Hamid menghadiri majlis penyerahan sumbangan pena daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk disampaikan kepada wakil kerajaan Timor Leste dan Afghanistan.

Hadir menyerahkan sumbangan tersebut ialah Pengerusi Angkasa, Profesor Diraja Ungku Aziz - Utusan Malaysia

Hormati perasaan rakyat Johor

Keberanian kapal peronda pantai dan kapal tentera laut Singapura menghalau kapal polis marin Malaysia yang bawa wartawan di perairan Pulau Batu Putih telah membuka tembelang sebenar Singapura terhadap jiran mereka, Malaysia.

Singapura ternyata terlalu berani dan langkah tersebut amat berbahaya jika tidak diambil tindakan betul-betul.

Jika benar-benar jiran tentu mereka faham kapal polis marin Malaysia itu bukanlah kapal milik lanun. Jadi tentulah mereka akan layan kapal polis marin Malaysia dengan baik. Lagipun pulau tersebut bukanlah jauh sa-ngat dari Malaysia, cuma 20km sahaja.

Apakah salahnya jika mereka layan dengan baik kapal polis kita. Lagipun pulau itu amat dekat dengan Johor berbanding dengan Singapura. Nampaknya Singapura telah lupa asal-usulnya?

Kenapa mereka sanggup halau polis marin Malaysia? Inilah satu kejadian yang patut dikupas lebih lanjut dan dijadikan pengajaran. Tanah kita sepatutnya kitalah yang membangunkannya.

Walaupun alasannya ialah kerana mereka fikir Pulau Batu Putih itu milik mereka, namun sikap Malaysia selama ini yang rela memberi tanahnya dibangun dan dijaga oleh orang lain telah membuatkan mereka fikir boleh menakluk pulau tersebut.

Dengan tunjukkan kapal perang, mereka mahu menunjuk-nunjuk agar Malaysia jangan rapat dan cuba ambil kembali pulau itu. Apakah mereka fikir Malaysia boleh terus berdiam diri ke atas wilayah yang cuba ditakluk oleh musuh?

Sungguhpun kerajaan Singapura akan bersetuju membawa perkara itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tapi tindakan kapal perang mereka menghalau kapal polis marin dan nelayan-nelayan kita amat mengguris hati kita. Setelah kita merdeka daripada penjajahan Barat, kini luka lama cuba ditoreh kembali.

Walaupun tanah kita itu se-kangkang kera namun kita mesti tetap pertahan. Ini telah diperakui oleh kerajaan kita.

Hakikatnya Singapura sukar menerima hakikat bahawa mereka cuma menguruskan rumah api di atas pulau wilayah Johor, Malaysia. Oleh kerana Singapura sukar terima hakikat ini maka untuk menyedarkan mereka, perkara ini wajar diputuskan segera oleh ICJ.

Saya berpendapat Singapura berasa bahawa pulau itu memang sah milik mereka hanya kerana mereka mengurus rumah api, tapi kenapa mereka takut nak bawa perkara itu segera ke ICJ? Kenapa mereka melambat-lambatkan proses membawa perkara itu?

Andai kata jika ICJ memutuskan bahawa pulau itu sah milik Johor, Malaysia, bagaimana de-ngan status rumah api dan bangunan yang mereka buat itu kelak? Apakah mereka sanggup memusnahkan dengan bom? Jika ini berlaku maka nama Singapura akan terjejas di peringkat antarabangsa kerana melanggar undang-undang antarabangsa.

Walau apa pun yang berlaku, saya yakin bahawa Singapura akan terus menjadikan diri mereka sebagai biadab dan kurang ajar untuk survival pemerintah mereka.

Oleh kerana negara mereka satu-satunya negara yang ganjil kerana diperintah oleh sesuatu kaum dalam lingkungan sekitar kepulauan rumpun yang lain, maka mereka rasa ganjil dan terancam.

Jadi tak mustahil mereka akan susah menyesuaikan diri dengan suasana hidup rumpun Melayu. Justeru selamanya hubungan akan sentiasa sulit. Ini sudah semestinya mendorong kita menambah kekuatan ketenteraan kita pada masa akan datang bagi menghadapi situasi sulit ini.

Jadi isu perebutan Pulau Batu Putih telah menjadi medan ujian terbaik untuk menilai tahap sebenar kejujuran dan sikap Singapura terhadap Johor, Malaysia. Tembelangnya sudah nyata. Apa yang nyata mereka telah menghantar isyarat jelas kepada kita melalui tindakan mereka terhadap polis marin dan nelayan kita. Kita amat simpati dengan penduduk Johor dengan keadaan ini.

Kita bukan hendak bergaduh atau berperang. Kita lebih suka selesaikan di ICJ dengan segera agar yang putih jadi putih yang hitam jadi hitam.

Singapura perlulah lebih rasional dan janganlah bertindak tanpa memikirkan kesan jangka panjang. Apa pun hormatilah perasaan rakyat Johor yang paling hampir dengan mereka. Rakyat Malaysia tiada pilihan lain jika Singapura memilih untuk berperang demi kedaulatan dan kemerdekaan.

Peringatan Perdana Menteri kita bahawa mana-mana negara yang cuba menggugat kedaulatan wilayah kita akan menerima padah, bukanlah kata-kata kosong.

Singapura tetap akan diawasi kerana ia berpotensi mengancam keselamatan Johor, Malaysia khasnya.

- Reza Aljunaid, Jelebu, N. Sembilan.