TANGGAL 23 Mei ini, adalah tarikh bersejarah dalam hubungan dua hala Malaysia-Singapura. Ini kerana pada tarikh itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan bersidang di The Hague, Belanda untuk mengumumkan keputusan kes terpenting membabitkan kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge yang menjadi pertikaian sempadan berlarutan antara kedua-dua negara.
Malaysia sebagai negara berdaulat dan menghormati undang-undang antarabangsa dengan persetujuan Singapura mengambil keputusan merujuk pertikaian ini ke ICJ. Semua pihak nanti perlu menghormati keputusan ICJ.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim mengambil keputusan berani menulis satu surat terbuka dalam bentuk rencana yang mencerminkan pendirian rasmi kerajaan Malaysia seperti disiarkan Berita Harian minggu lalu.
Tersirat dalam tulisan itu adalah beberapa persoalan berikut sekiranya keputusan ICJ memihak kepada Malaysia dan adakah Singapura:
Persoalan ini penting kerana keputusan ICJ tidak mempunyai unsur penguatkuasaan undang-undang. Kuasa ICJ adalah setakat mendengar kes dan membuat keputusan yang bijak supaya negara yang bertelagah dapat pengadilan saksama tanpa perlu menyelesaikannya secara kekerasan.
Bagi sebuah negara maju, moden dan makmur seperti Singapura, tidak menghormati keputusan ICJ bermakna ia berdepan satu 'stigma sosial' sebagai negara 'pariah' antarabangsa. Sejauh mana Singapura sanggup menerima hukuman ini banyak bergantung kepada keegoan pemimpin mereka serta pengaruh luar yang sentiasa menangguk di air keruh.
Memandangkan pemimpin Malaysia dan Singapura terdiri daripada orang terpelajar dan berfikiran waras di samping mempunyai ikatan darah dan talian persaudaraan, kita amat yakin Singapura mampu menunjukkan kepada dunia bahawa ia amat menghormati undang-undang antarabangsa walaupun keputusan ICJ jika tidak memihak kepadanya.
Dalam hubungan negara matang dan moden, saluran terbaik menyelesaikan sebarang pertikaian sempadan adalah melalui diplomasi. Untuk itu, saluran komunikasi sentiasa harus terbuka supaya kedua-dua pihak saling memahami isi hati terpendam.
Untuk tujuan itu, Malaysia dan Singapura bersetuju bertemu dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama sebelum kes ini diumumkan ICJ supaya "..tidak seharusnya akan timbul rasa sakit hati oleh mana-mana pihak tidak kiralah apa pun keputusan mahkamah ICJ nanti."
Sekiranya keputusan ICJ memihak kepada Malaysia, nelayan Singapura sentiasa dialu-alukan berehat di pulau itu sebagaimana nelayan dari Johor menggunakannya turun-temurun.
Yang penting menurut Rais dalam tulisannya, "walau apapun keputusannya, Malaysia dan Singapura seharusnya kekal sebagai rakan dan jiran yang saling terikat kukuh dengan semangat persefahaman dan keharmonian...".
HASSAN TALIB,
Pesara kerajaan yang pernah
berkhidmat di Kementerian Luar
(1990-1993 Bahagian Asia
Tenggara/Singapura).