Oleh: Bazli Abdul Rahman
PENGERANG 24 Dis. - Pasukan Pengawal Pantai (PPP) Singapura hari ini mengusir sekumpulan wartawan Malaysia yang membuat tinjauan di perairan Pulau Batu Putih setelah memberi amaran bahawa perairan itu adalah milik Singapura.
Amaran itu dikeluarkan ketika pasukan tersebut menghalang laluan para wartawan terbabit menggunakan sebuah bot laju.
SEBUAH kapal perang Tentera Laut Singapura melintasi Pulau Batu Putih bagi menghalang sebuah bot yang membawa sekumpulan wartawan Malaysia dari menghampiri pulau tersebut pada kira-kira pukul 2 petang semalam. - Gambar ABDUL NAZIR MOHAMAD.
Salah seorang anggota berpakaian seragam dari bot itu kemudian menggunakan pembesar suara dan berkata: ``Anda telah memasuki perairan Singapura. Sila keluar sekarang''.
Selain bot PPP itu, sebuah kapal perang Tentera Laut Singapura yang datang dari jauh kemudian turut menghalang laluan bot para wartawan.
Bagi menjaga keselamatan, para wartawan terlibat bersepakat meninggalkan perairan pulau yang menjadi tuntutan bertindih Malaysia dan Singapura itu.
Suasana sedemikian tidak berlaku semasa wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia membuat tinjauan di perairan pulau tersebut 21 Disember lepas.
Pihak berkuasa Singapura kemungkinan bertindak sedemikian ekoran isu tersebut semakin hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak di Malaysia.
Sehingga kini, Singapura terus melakukan kerja-kerja pembinaan di pulau tersebut termasuk mendirikan sebuah bangunan dua tingkat dan tempat pendaratan helikopter.
Tindakan berkenaan juga memperlihatkan sikap sebenar Singapura seolah-olah pulau tersebut telah disahkan oleh ICJ menjadi miliknya.
Di Pulau Batu Putih itu juga, terdapat kuarters dua tingkat untuk pekerja, yang asalnya hanya berupa premis setingkat. Di situ juga ditempatkan menara radar yang dipercayai untuk pengawasan kapal.
Sekalipun pulau kecil itu yang terdiri daripada batu tanpa sebarang pokok dan tidak mempunyai kepentingan ekonomi termasuk daripada sektor pelancongan, namun ia mempunyai kepentingan daripada segi keselamatan dan maritim kerana terletak di laluan antarabangsa yang sentiasa sibuk dengan kapal dagang.
Pulau Batu Putih merupakan lokasi yang cukup strategik di laut terutama untuk mengawasi laluan kapal-kapal di Laut China Selatan.
Bagi nelayan pula, pulau berkenaan menjadi tempat perlindungan sementara, terutama semasa ribut taufan atau ombak bergelora secara tiba-tiba.
Pulau Batu Putih yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dengan bot laju dari Teluk Ramunia, Kota Tinggi itu adalah milik Malaysia berdasarkan sejarah, lokasi dan pemetaan.
Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pengerang, Harun Abdullah berkata, Singapura tidak berhak menghalau rakyat negara ini termasuk nelayan menjalankan aktiviti penangkapan ikan berhampiran pulau itu - Utusan Malaysia
Wednesday, December 25, 2002
Batu Putih: Singapura usir wartawan Malaysia
Posted by 9T9 at 2:00 PM
Labels: Bantahan, Pulau Batu Putih, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment