THE HAGUE, Belanda 18 Nov. – Pasukan Malaysia dan Singapura akan menggulung hujah lisan masing-masing bermula esok pada pusingan kedua hujah lisan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini.
Kedua-dua pasukan diberi dua hari untuk mempertahankan tuntutan ke atas ketiga-tiga bentuk maritim itu selepas pusingan pertama yang berlangsung selama lapan hari berakhir Jumaat lalu.
Singapura akan memulakan hujah lisan serta menggulung kes mereka bermula esok dan Selasa manakala pasukan Malaysia akan menyempurnakan gilirannya pada Khamis dan Jumaat.
Persidangan akan berlangsung di hadapan Naib Pengerusi ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh yang mendengar kes itu bersama 15 hakim lain.
Keputusan tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge akan diputuskan enam bulan lagi.
Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad mengetuai delegasi Malaysia yang turut terdiri daripada Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Barisan peguam yang akan mempertahankan pendirian Malaysia terdiri daripada Profesor Elihu Lauterpacht, Profesor James Crawford, Profesor Nicolas Jan Schrijver, Profesor Marcelo G. Kohen dan Penelope Nevil.
Malaysia berpegang kepada pendirian bahawa ketiga-tiga pulau itu miliknya berdasarkan hujah-hujah bahawa kesemua bentuk maritim itu telah menjadi sebahagian daripada empayar kesultanan Johor sejak tahun 1511 lagi.
Kedaulatan ke atas pulau-pulau tersebut juga tidak terjejas selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 atau selepas British mendirikan Rumah Api Horsburgh di Pulau Batu Putih pada tahun 1847.
Hujah Malaysia dikuatkan lagi dengan fakta bahawa British membina rumah api itu dengan keizinan Sultan serta Temenggung Johor dan ia tidak pernah menzahirkan niat untuk mendapatkan hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih.
Tindak-tanduk British sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh amat jelas dan ia kemudian diteruskan oleh Singapura di bawah Sistem Rangkaian Rumah Api Negeri-Negeri Selat.
Malaysia juga akan mempertahankan hujah bahawa Singapura menerusi tindak-tanduknya tidak pernah menunjukkan bahawa ia mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih sehingga tercetus pertikaian pada tahun 1980.
Hujah itu dikuatkan lagi dengan fakta pemetaan apabila tiada satu pun peta Singapura yang dikeluarkan sebelum tahun 1995 menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge termasuk dalam wilayah mereka.
Keadaan itu amat bertentangan dengan dakwaan Singapura bahawa ia mempunyai hak kedaulatan di situ sejak tahun 1851.
Malaysia juga akan meneruskan hujah bahawa ketiga-tiga pulau itu sentiasa menjadi miliknya. Dalam kes perairan Pulau Batu Putih, ia sentiasa digunakan oleh nelayan di Johor untuk menangkap ikan dan Tentera Laut Diraja Malaysia turut melakukan rondaan di perairan berkenaan.
Amalan persempadanan oleh Malaysia, Singapura dan negara-negara di Selat Singapura serta Laut China Selatan juga sejajar dengan kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Putih.
Malaysia juga akan meneruskan hujah bahawa Middle Rocks dan South Ledge tidak berangkai dengan Pulau Batu Putih seperti yang didakwa oleh Singapura sebaliknya ketiga-tiga bentuk maritim itu mempunyai karakter geologi dan geomorfologi yang berbeza - Utusan Malaysia
Monday, November 19, 2007
Penggulungan hujah bermula
Posted by 9T9 at 2:19 PM 0 comments
Labels: Batu Putih, Hujah, ICJ, Media, Ulasan
Subscribe to:
Posts (Atom)