Tuesday, July 27, 2004

Cendekiawan - UM belum ketandusan tokoh

Oleh Wahid Hashim

FAKULTI Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) masih unggul sebagai `sarang' kelompok cendekiawan (think tank) ketika negara memerlukan buah fikiran berhubung sesuatu isu.

``Kita pernah ada barisan tokoh dari fakulti ini seperti Khoo Kay Kim, Zainal Kling, Taib Othman dan banyak lagi.

``Kita membuktikan bahawa sekarang pun kita belum ketandusan tokoh,'' kata dekannya, Prof. Dr. Mohammad Raduan Mohd Ariff kepada Utusan Malaysia di Kual Lumpur, baru-baru ini.

Mereka merupakan tokoh awam atau public intellectual yang rapat dengan masyarakat, katanya.

Beliau merujuk kepada isu yang melanda negara, dan kemudian dirujuk kepada penyelidik di fakulti itu seperti isu Pulau Batu Putih, isu penyemakan tarif air dengan Singapura dan perebutan kepulauan Ligitan dan Sipadan.

Katanya, ketika negara berhadapan dengan isu pulau Batu Putih, kajian oleh Pengarah Institut Asia-Eropah, Prof. Datuk Shahril Talib menjadi rujukan kerajaan.

``Kemudian tesis sarjana oleh Rohana Jalil, yang kini pelajar Institut Asia Eropah, dijadikan rujukan penting semasa isu tuntutan kenaikan tarif air.

``Begitu juga dengan isu tuntutan kepulauan Ligitan dan Sipadan yang merujuk kepada kajian Ranjit Singh, profesor dari Jabatan Sejarah,'' ujarnya.


Ditanya mengenai program dwipengkhususan sepertimana yang pernah dicadangkan oleh Kementerian Pelajaran, Dr. Mohammad Raduan berkata, beliau tidak bercadang untuk mengambil kesempatan daripada pelanjutan tempoh pengajian daripada tiga kepada empat tahun untuk menawarkan dwipengkhususan.

Katanya, semua fakulti di UM bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengajian daripada tiga kepada empat tahun pada satu mesyuarat senat baru-baru ini.

Bagi beliau, program dwipengkhususan hanya sesuai untuk guru yang memilih opsyen tertentu.

Beliau juga tidak mendapat gambaran yang jelas sama ada apa yang dimaksudkan dengan dwipengkhususan itu adalah gandingan major dengan major, major dengan minor atau bergraduat dengan dua gulung ijazah sekali gus.

Secara prinsipnya, beliau lebih bersetuju sekiranya fakulti memantapkan sesuatu kursus dan sahsiah pelajar.

Katanya, kalau seorang pelajar hendak membuat dwipengkhususan, mereka perlu melengkapkan 120 jam kredit.

``Ini belum termasuk 15 jam kredit kursus universiti,'' ujarnya.

Menurut beliau, sudah tentu seorang pelajar aliran sastera tidak boleh mengambil kursus perubatan sebagai pasangan dwipengkhususannya.

Beliau berharap kesilapan silam iaitu membenarkan pelajar membuat dwipengkhususan tanpa melengkapkan unit secukupnya tidak diulangi.

``Dahulu boleh ambil pasangan Bacelor Sains dengan Pendidikan, tetapi berakhir dengan pengangguran kerana tidak cukup jam kredit, iaitu prasyarat bidang kimia,'' ujar beliau.

Katanya konsep dwipengkhususan yang difahami di United Kingdom ialah seorang bergraduat dengan dua ijazah, misalnya Bacelor Geografi dan Bacelor Sejarah.

Beliau turut mempersoalkan graduan yang half-baked dengan ijazah dwipengkhususan.

Tambah beliau, kekeliruan juga timbul bila pengijazahan hendak dilakukan.

``Bagaimana kita hendak mendefinisikan seorang pelajar yang lulus daripada Akademi Pengajian Islam dan pasangan Sains?

``Adakah kita dahulukan Bacelor Pengajian Islam dengan Sains atau Sains dengan Pengajian Islam?'' katanya.

Beliau membuat kesimpulan, lebih baik memberi tumpuan kepada keperluan pekerjaan seperti pengukuhan bahasa Inggeris, kemahiran berkomunikasi dan pengukuhan bidang daripada meminta pelajar membuat dwipengkhususan.

Mengenai syarat ke fakulti, Dr. Mohammad Raduan memberitahu cut-off point Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang ditetapkan ialah 2.8.

``Cut-off point yang dikenakan ke Fakulti Sastera dan Sains Sosial lebih tinggi kalau dibandingkan dengan kursus-kursus sains,'' ujarnya.

Kemasukan ke fakulti itu adalah berdasarkan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Katanya, memang ada usaha untuk meminggirkan peranan bidang sastera di UM, sehingga tidak ada keseimbangan antara sastera dan sains sosial.

``Kita semakin mengecil apabila Akademi Pengajian Islam dan Pengajian Melayu dikeluarkan daripada fakulti ini,'' katanya.

Ditanya jika universiti mem-punyai perancangan untuk melakukan penstrukturan semula, beliau berkata:

``Kita lihat mana-mana kursus yang tidak diperlukan akan digugurkan.''