Wednesday, May 21, 2008

MB gesa ikuti penghakiman Pulau Batu Puteh

BATU PAHAT: Rakyat Johor khususnya, diajak mengikuti siaran langsung keputusan penghakiman berhubung pertindihan tuntutan Pulau Batu Puteh antara Malaysia dengan Singapura oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) Jumaat ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata keputusan penghakiman di The Hague, Belanda berhubung tuntutan itu dianggap agak luar biasa kerana ia membabitkan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, segenap lapisan masyarakat terutama penduduk negeri Johor, harus meluangkan sedikit masa untuk mengikuti siaran langsung keputusan penghakiman itu.

"Mana yang berkesempatan, silalah tengok siaran langsung itu yang mungkin disiarkan pada waktu pagi kerana saya difahamkan keputusan akan diumumkan pada jam 4 petang di Belanda.

"Rakyat harus mengetahui perkembangan itu kerana saya percaya ada ulasan selari dari sana dan ini akan menambah pengetahuan anda mengenai kes tuntutan Pulau Batu Puteh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang Negeri Johor 2007 di Kampung Sungai Lurus, Senggarang, di sini, petang kelmarin.

Abdul Ghani berkata, seluruh rakyat Johor juga harus mendoakan supaya keputusan itu memihak kepada Malaysia, kerana ia bukan saja mengembalikan hak Johor ke atas pulau berkenaan, tetapi juga membabitkan kedaulatan negara.

Beliau berkata, berdasarkan hujah yang dibentangkan wakil Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) November lalu, beliau yakin keputusan akan menggembirakan seluruh rakyat Malaysia.

"Keyakinan itu berasaskan hujah hasil penyelidikan dari sumber sejarah mengenai apa yang berlaku pada pulau itu serta dokumentasi yang dibentangkan," katanya.

Pertikaian kedaulatan pulau itu antara isu kedua-dua negara yang sudah berlarutan hampir 28 tahun. Singapura mendakwa Pulau Batu Puteh miliknya selepas pemetaan wilayah dibuat Malaysia pada 1979.

Tuntutan terhadap Middle Rock kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Batu Puteh dan South Ledge berada 1.7 batu nautika dari Middle Rock, dibuat Singapura pada 1993. Pulau Batu Puteh terletak kira-kira 7.75 batu nautika (14.3 kilometer) dari Tanjung Penyusop, Johor berbanding 25 batu nautika (46.3km) dari Singapura - Berita Harian

Batu Puteh verdict to be telecast live on TV1

KUALA LUMPUR, Wed - Will Pulau Batu Puteh be ours? Find out on Friday live as RTM1 will be televising the judgement from The Hague from 4pm.

Information Minister Datuk Ahmad Shabery Cheek said the judgment, expected to last about two hours, would be telecast live from the International Court of Justice.

Speaking after briefing editors and journalists from local publications at Parliament House yesterday on the 28-year-old dispute over the island between Malaysia and Singapore, he said the decision to telecast the judgment live was to enable Malaysians to understand the issues raised by the court.

He said interpretation from a third party, such as news services, might be inaccurate.

Shabery said RTM had been carrying a programme on the Pulau Batu Puteh issue as an educational process for the people to understand the matter.

He urged Malaysians to accept the decision and and not to get too emotional if the court ruled in Singapore’s favour.

“Whatever the decision... it should not lead to any negative implication,” he said - NST

RTM siar secara langsung penghakiman kes Pulau Batu Puteh

KUALA LUMPUR: RTM1 akan menyiarkan secara langsung penghakiman oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pertikaian hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura mulai jam 4 petang Jumaat ini, kata Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, hari ini.

"Siaran langsung dari The Hague, Belanda itu akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia, khususnya anak Johor, mengikuti prosiding kes berkenaan daripada kaca mata Malaysia," katanya pada majlis taklimat di Bangunan Parlimen di sini.

Shabery berkata ramai orang Johor mengadakan doa selamat dan sembahyang hajat agar keputusan kes itu memihak kepada Malaysia kerana kes berkenaan amat dekat di hati mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua negara berjanji akan akur terhadap keputusan ICJ berhubung pertikaian itu dan pihak yang menang, tidak akan mengadakan sebarang sambutan kemenangan.

"Yang penting di sini ialah mencapai penyelesaian bagi konflik yang berlarutan sejak sekian lama,” katanya sambil menambah bahawa rakyat Malaysia akan menerima apa saja yang diputuskan oleh mahkamah atau sistem antarabangsa.

Isu Pulau Batu Puteh membabitkan pertikaian mengenai hak asal Malaysia terhadap pulau berkenaan apabila ia dituntut Singapura mulai 1980.

Pulau terbabit terletak 7.7 batu nautika dari tanah besar Malaysia dan 25.5 batu nautika melalui laut dari Singapura.

Malaysia adalah pemilik asal Pulau Batu Puteh sejak sekian lama dan pulau itu menjadi sebahagian daripada wilayah Johor.

Malaysia berhujah bahawa kehadiran Singapura di pulau berkenaan adalah semata-mata melalui pembabitannya dalam membina dan menyenggara sebuah rumah api di situ - itupun setelah mendapat restu dan keizinan pemegang kedaulatan pulau berkenaan iaitu Johor - dan oleh itu, ia tidak menyebabkan Malaysia hilang kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh - Bernama

M'sia dan S'pura janji tidak timbulkan masalah hasil keputusan Batu Puteh

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura bersetuju untuk tidak menimbulkan sebarang angkara atau masalah hubungan dua hala dalam menerima penghakiman Mahkamah Keadilaan Antarabangsa pada Jumaat ini berhubung isu tuntutan Pulau Batu Puteh.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini berkata ini bermakna sekiranya keputusan memihak kepada Malaysia, Singapura akan terus berbaik sangka dan tidak menimbulkan sebarang prejudis atau prasangka dan begitu juga sebaliknya.

"Kita akan menghormati keputusan dan terus menjelmakan bibit persahabatan antarabangsa dan kejiranan. Kita harus menerima ia sebagai satu yang biasa dan dalam keadaan terbuka.

"Sehubungan itu satu jawatankuasa teknikal sudah dipersetujui untuk diwujudkan dan jawatankuasa itu akan merumus, mentadbir dan melaksanakan keputusan mengikut lunas pentadbiran antarabangsa,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Rais berkata, jawatankuasa berkenaan akan menentukan antara lainnya hal berkenaan siapa yang harus berada di pulau itu selepas keputusan diambil dan juga soal kawasan perikanan.

Sebelum itu Rais memberi taklimat ringkas mengenai kes itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Anggota Parlimen - Berita Harian

Terima keputusan ICJ: Rais

Oleh Norliza Wasilan

Rakyat perlu tenang hadapiisu perebutan Batu Puteh dengan Singapura

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu menerima dengan tenang sebarang keputusan berhubung pemilikan Pulau Batu Puteh yang menjadi rebutan antara Malaysia dan Singapura sejak 28 tahun lalu yang akan diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, Jumaat ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim, berkata rakyat perlu bertenang dengan keputusan ICJ itu sama ada Malaysia berjaya atau sebaliknya untuk mendapatkan Pulau Batu Puteh.

"Jika apa yang diharapkan tidak menjelma, kita tidak harus jelmakan keputusan itu ke dalam tindakan luar dugaan dan luar undang-undang, ia harus diterima dengan terbuka.

"Janganlah dijelmakan sebagai sesuatu yang huru-hara, mempunyai unsur tunjuk perasaan atau mengeluarkan kata-kata kesat. Kita perlu hormat lunas undang-undang terutama undang-undang antarabangsa kerana jika tidak masyarakat antarabangsa akan menganggap kita tidak menghormati lunas undang-undang yang kita sendiri sama-sama tandatangani untuk menerima penghakimannya," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, keputusan ICJ itu akan disampaikan Naib Presiden Mahkamah itu, Hakim Awn Shawkat Al Khasawneh yang juga Pemangku Presiden.

Terdahulu, Rais mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ahli Dewan Rakyat termasuk pembangkang dan sebahagian Ahli Dewan Negara untuk sesi taklimat ringkas mengenai latar belakang tuntutan Pulau Batu Puteh sehingga dibawa ke ICJ serta memberi beberapa nota hujah kedua-dua belah pihak antara Malaysia dan Singapura.

Rais juga berkata, dari aspek moral, Malaysia mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan Pulau Batu Puteh, tetapi sebarang keputusan harus diterima sebaiknya tanpa ada sebarang perasaan prejudis ataupun perkara yang boleh memberi kesan kepada hubungan dua hala.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata keputusan itu akan disiarkan menerusi RTM1 mulai jam 4 petang dan dijangka berlanjutan sehingga dua jam - Berita Harian