Monday, February 10, 2003

Kita berhak tempatkan aset di Batu Putih - Najib

PEKAN 9 Feb. - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Malaysia kini berhak untuk menempatkan atau mewujudkan aset-asetnya di Pulau Batu Putih yang dipertikaikan.

Beliau berkata, ia berikutan persetujuan Singapura supaya isu bertindih pulau berkenaan dengan Malaysia diselesaikan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menurut beliau, hak untuk menempat atau mewujudkan aset di pulau berkenaan sama seperti hak Malaysia untuk melakukan rondaan dari semasa ke semasa di sekitar pulau berkenaan.


``Ia kawasan yang dipertikaikan. Malaysia menuntut, Singapura menuntut. Jadi kedua-dua negara telah bersetuju membawa masalah ini ke ICJ bagi tuntutan muktamad.

``Sementara kawasan tersebut menjadi kawasan tuntutan bertindih, masing-masing berhak membuat rondaan atau mewujudkan atau menempatkan aset-aset kita dari semasa ke semasa di kawasan itu,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat berkelompok 117 cawangan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.

Baru-baru ini Malaysia dan Singapura telah menandatangani perjanjian supaya isu bertindih Pulau Batu Putih diselesaikan di ICJ.

Bagaimanapun pulau yang dipertikaikan itu hanya menempatkan aset milik Singapura sahaja termasuk kawasan pendaratan helikopter manakala Malaysia tidak ada langsung.

Najib menjelaskan, walaupun kedua-dua negara jiran ini mempunyai banyak persamaan, kedua-duanya juga tidak boleh mengambil sebarang tindakan merugikan kepentingan negara masing-masing.

``Kita tidak boleh ambil tindakan yang merugikan kepentingan negara masing-masing. Kalau ada pertikaian, ia mesti diselesaikan melalui rundingan.

``Kalau tak boleh melalui rundingan kita kena rujuk kepada ICJ kerana itulah cara sebaik-baiknya,'' ujar beliau.

Menurutnya, walaupun penyelesaian di ICJ itu mengambil masa, mungkin tiga tahun dan mungkin timbul masalah antara kedua-dua negara dalam tempoh itu, Malaysia bersedia menghadapinya.

``Tak apa. Kita berharap tak ada apa bentuk konflik yang akan berlaku (dalam tempoh itu).

``Kita boleh mengawal keadaan supaya tak berlaku perkara tidak diingini, begitu juga Singapura. Kita percaya Singapura tahu apa implikasi atas sebarang tindakan yang mereka lakukan,'' jelasnya - Utusan Malaysia