Friday, January 03, 2003

Tegas, bersatu hati tangani keangkuhan Singapura

Saudara Pengarang,

MALAYSIA adalah sebuah negara yang sememangnya mengajar rakyatnya supaya bersikap lebih toleransi serta patuh kepada nilai-nilai ketimuran. Malaysia secara dasarnya menentang mana-mana tindakan ketenteraan tanpa mengambil pendekatan diplomasi terlebih dahulu. Ini dasar luar yang diiktiraf terbaik serta paling efektif.

Tetapi jika kita melihat dalam situasi Singapura sebagai jiran serta ahli ASEAN, mereka sama sekali tidak langsung membawa mesej persahabatan dan keharmonian. Singapura secara terang-terangan menuduh Malaysia dan Indonesia sebagai sarang pengganas tanpa mempunyai bukti yang kuat. Tindakan Singapura ini jelas tidak menghormati semangat ASEAN serta telah mencalarkan imej negara-negara yang dituduhnya.

Ini juga menunjukkan bahawa Singapura takut dengan bayang-bayang sendiri. Singapura merasakan diri mereka seperti Israel kecil di tengah-tengah kumpulan negara Arab. Seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri, Singapura tidak harus menganggap diri mereka sebagai Israel manakala Malaysia dan Indonesia sebagai kuasa Arab Islam yang sering mengancam mereka.

Hubungan Malaysia-Singapura menjadi keruh selepas keengganan mereka bertolak ansur dalam isu air. Kemudian ditambah pula dengan isu Pulau Batu Putih yang dianggap sebagai kepunyaan mereka tanpa ada sebarang bukti rasmi serta kukuh. Insiden pasukan keselamatan Singapura menghalau para wartawan Malaysia daripada menghampiri Pulau Batu Putih jelas menunjukkan keangkuhan serta kebongkakan Singapura yang merasakan mereka cukup kuat menghadapi apa juga ancaman serta tindakan.

Dr. Mahathir telah mengeluarkan kenyataan yang paling keras menerangkan doktrin Malaysia pada mana-mana kuasa yang ingin bertindak tanpa mengambil kira kedaulatan negara-negara lain. ``Kita berjanji jika ada sesiapa mencabul kebebasan negara kita dengan tindakan pre-emptive atau forward defence mereka akan dapat apa yang disebut mat saleh sebagai a bloody nose (padah)''. Ini adalah kenyataan polisi luar yang paling keras pernah dikeluarkan oleh Malaysia.

Malaysia sememangnya tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan atas sikap toleransi serta menghormati jiran yang selalu diamalkan olehnya.

Kenyataan Perdana Menteri juga menguji tahap kecintaan kita kepada negara. Malaysia sememangnya adalah negara kebajikan yang sentiasa mengambil kira kebajikan keperluan rakyatnya. Perasaan kasih dan sayang kepada negara oleh rakyatnya seharusnya berada dalam keadaan yang cukup tinggi. Rakyat Malaysia seharusnya mempunyai semangat patriotik yang cukup tinggi dalam menghadapi saat serta ketika yang cukup sukar ini.

Kita tidak seharusnya membiarkan Perdana Menteri kita berjuang secara bersendirian. Kita seharusnya perlu serta bersama-sama menentang anasir luar yang cuba menggugat kedaulatan negara kita. Generasi sekarang tidak pernah merasa keperitan 400 tahun dijajah. Tetapi generasi sekarang seharusnya tahu bahawa negara kita berada dalam keadaan yang cukup berbahaya untuk dijajah semula.

Rakyat tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada bersama-sama kerajaan bersikap tegas serta bersatu hati menangani anasir-anasir ini khasnya apabila berhadapan dengan keangkuhan Singapura.

Singapura harus diajar. Mereka harus diajar menghormati tatasusila dan semangat ASEAN yang dipupuk sejak 1963. Mereka harus menerima padah atas tindakan mereka. Mereka juga harus diberi amaran paling keras atas tindakan mereka. Sebagai sekutu kuat Amerika di rantau ini, Singapura harus disedarkan bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasa yang ingin mengambil kesempatan ke atasnya.

Sebagai sebuah kuasa Islam yang paling kuat di rantau ini Malaysia terus berdepan dengan pelbagai masalah khasnya masalah melibatkan jirannya iaitu Singapura. Malaysia harus kembali mendesak tanpa berundur ke belakang. - SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN, Institut Perkembangan Minda (INMIND), Petaling Jaya.

Batal niat ke Batu Putih beramai-ramai - Polis

MUAR 2 Jan. - Polis menasihatkan Pergerakan Pemuda UMNO Johor supaya membatalkan niat untuk menganjurkan lawatan beramai-ramai ke Pulau Batu Putih dengan menaiki bot-bot nelayan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mukhtar Ismail berkata, langkah itu tidak selamat kerana kebanyakan bot nelayan tidak dilengkapi dengan jaket keselamatan.

``Nasihat ini untuk keselamatan mereka sendiri, lebih-lebih lagi jika berlaku kemalangan di laut, usaha menyelamat sukar dijalankan.

``Saya hormati hasrat murni mereka tetapi sebagai orang yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan, saya nasihatkan mereka jangan teruskan niat itu,'' tegasnya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ketua-Ketua Polis Daerah di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rancangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor yang mahu meneruskan usaha ke pulau tersebut sebagai membantah tindakan Singapura menjalankan kerja-kerja pembinaan di pulau berkenaan.

Mukhtar berkata, lagipun, sudah ada persetujuan antara kedua-dua negara supaya kes tuntutan pulau tersebut dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

``Biarlah isu itu diselesaikan antara kerajaan dengan kerajaan kerana persetujuan sudah hampir tercapai untuk membawa kes ini ke ICJ,'' tambah beliau sambil menegaskan nasihat tersebut turut ditujukan kepada semua pihak yang bercadang berbuat demikian.

Kelmarin, polis telah menghalang sekumpulan pemimpin dan ahli Pergerakan Pemuda UMNO Johor daripada berlepas ke Pulau Batu Putih dengan menaiki bot-bot nelayan di jeti nelayan Sungai Rengit di Kota Tinggi.

Terdahulu, beliau menasihatkan institusi-institusi kewangan dan kedai-kedai emas di seluruh negeri agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian samun menjelang perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Mukhtar berkata, mereka mesti memastikan sistem litar kamera tertutup di premis masing-masing berfungsi dengan baik bagi memudahkan polis menjalankan siasatan jika berlaku sebarang kes rompakan.

Ini kerana dalam beberapa kejadian rompakan, polis mendapati sistem tersebut tidak berfungsi dengan baik menyebabkan siasatan sukar dijalankan - Utusan Malaysia

Pulau Batu Putih: Malaysia sedia terima keputusan ICJ

Oleh:Jamdi Nasir

KUALA TERENGGANU 2 Jan. - Malaysia bersedia menerima risiko terlepas hak ke atas Pulau Batu Putih jika Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan demikian suatu hari nanti.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar bagaimanapun berkata, sementara menunggu keputusan tersebut Malaysia tetap mempertahankan bahawa tidak ada pihak boleh mendakwa pulau itu sebagai hak mutlak mereka.

Menurut beliau, Singapura perlu faham bahawa status Pulau Batu Putih masih dalam tuntutan bersama dan tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan konflik dan ketegangan.

``Kita nak apabila kapal-kapal (ronda) kita juga terbabit menjaga keselamatan pulau itu dan dia (Singapura) tidak mengancam atau mengambil tindakan yang berbahaya.

``Status quo pulau itu pada masa ini adalah kedua-dua pihak menuntut kedaulatan dan dia tidak boleh kata pulau itu sudah menjadi hak mutlak dia, bermakna kedua-dua pihak mempunyai persamaan untuk menentukan kawasan itu bebas dari ancaman,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar Wanita Dalam Era Globalisasi anjuran Biro Hal Ehwal Wanita Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), di sini hari ini.

Syed Hamid berkata, sikap Malaysia yang bertolak ansur dalam menyelesaikan isu Pulau Batu Putih tidak bermakna negara ini lemah atau beralah.

Sebaliknya ujar beliau, Malaysia mahukan sesuatu pertelingkahan dapat diselesaikan secara baik termasuk melalui ICJ meskipun berhadapan dengan risiko keputusan yang tidak akan menyebelahi negara.

``Kita kena selesaikan konflik itu dengan bijaksana melalui pendekatan pengadilan undang-undang untuk mendapatkan kepastian. Bila keputusan dikeluarkan tidak akan ada apa-apa lagi yang boleh dipertikaikan,'' ujar beliau.

Tambah beliau, semua pihak perlu sedar meskipun Pulau Batu Putih hanya sekadar batu tetapi ia mempunyai makna yang besar kepada negara kerana berkait secara langsung dengan maruah dan kedaulatan.

``Walaupun sekadar batu ini soal maruah, kedaulatan dan martabat...jika bawa ke ICJ kita kena menerima hakikat keputusan sama ada menang atau kemungkinan kita kalah.

``Tetapi pada masa ini jangan Singapura ingat dia berhak ke atas pulau itu. Dia belum lagi berhak kalau dia bersetuju serah kepada ICJ, sehinggalah ICJ putuskan nanti,'' ujar beliau - Utusan Malaysia

Singapura dijangka umum hari ini tarikh tandatangani perjanjian

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Kementerian Luar Singapura dijangka mengumumkan tarikh untuk menandatangani perjanjian khas bagi merujuk tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, beliau menjangka pengumuman tarikh itu dalam maklum balas kementerian republik berkenaan kepada Wisma Putra.

Kata beliau, pihaknya masih menunggu maklum balas Kementerian Luar Singapura sebelum mengambil sebarang pendirian sama ada bersetuju atau tidak dengan tarikh tersebut.

Beliau berkata, Wisma Putra masih menguruskan soal penetapan tarikh tersebut dan pihaknya sudah pun membuat persediaan yang lengkap dari segi dokumen yang berkaitan tuntutan Pulau Batu Putih.

``Saya fikir esok kita akan mendapat tahu bilakah tarikh yang Singapura mahukan untuk menandatangani perjanjian khas itu,'' kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Syed Hamid lagi, kementeriannya juga mengalu-alukan kesediaan kerajaan Johor untuk membantu menyediakan dokumen tertentu khususnya yang berkaitan bahan sejarah dan arkib dalam membuat tuntutan di ICJ nanti.

``Sebagaimana usaha kita yang berjaya dalam menuntut Pulau Sipadan dan Ligitan, kita mengalu-alukan kesediaan mana-mana pihak dalam negara termasuk kerajaan negeri untuk membantu menjayakan usaha tuntutan kita,'' katanya.

Semalam Syed Hamid berkata, Malaysia berharap perjanjian khas itu dapat ditandatangani dengan Singapura sebelum Persidangan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada Februari depan.

``Kita hanya mengetahui kenyataan Singapura menerusi media massa bahawa mereka mahu menandatangani perjanjian tersebut pada bulan ini juga,'' katanya.

Mengenai nasihat polis supaya orang awam tidak mendekati atau mengunjungi Pulau Batu Putih, Syed Hamid berkata, ia perlu disambut baik demi keselamatan mereka sendiri.

Isnin lalu, hasrat 100 anggota delegasi pemimpin Pemuda UMNO untuk meninjau Pulau Batu Putih dekat sini tidak kesampaian apabila mereka tidak dibenarkan berbuat demikian oleh pihak polis atas sebab-sebab keselamatan.

Antara mereka yang terlibat ialah Setiausaha Pemuda UMNO, Zulkifli Alwi serta dua Exco Pemuda UMNO iaitu Dr. Shamsul Anwar Sulaiman dan Dr. Adham Baba.

Turut menyertai delegasi tersebut ialah Ketua Pemuda UMNO Johor, Ayub Rahmat dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, Pandak Ahmad.

Mengulas mengenainya, Syed Hamid berkata: ``Kita tidak melarang sesiapa termasuk golongan nelayan ke pulau itu tetapi cuma beranggapan demi keselamatan, eloklah mereka patuhi nasihat polis.'' - Utusan Malaysia

Singapura perlu berlapang dada

Tidak ada yang melemaskan selain daripada mempunyai `jiran' yang selalu mencari punca pertelagahan dengan kita. Jiran yang tidak pernah tahu berterima kasih dan melihat hubungan baik sebagai sesuatu yang lebih positif berbanding sikap `kiasu' yang diamalkan ketika ini.

Apa yang berlaku, pada pandangan saya adalah berpunca daripada `penyakit klaustrafobik' (claustrafobia) yang dialami oleh pimpinan Singapura. Mereka yang menghidap penyakit jenis ini tidak selesa berada dalam ruangan yang sempit. Mereka cepat lemas. Badan mereka berpeluh dan resah. Tak kurang juga yang mampu menjadi histeria dalam keadaan yang begitu sifatnya.

Hakikatnya, Singapura sudah terlalu biasa dengan keadaan mewah dan segalanya ada. Dalam pada itu, wujud pula `jiran' yang semakin membangun, dengan ruang dan potensi yang lebih luas. Apa sahaja yang dilakukan oleh jiran yang satu ini, akan disifatkan sebagai saingan langsung kepada mereka. Walhal, ketika mana mereka lebih dahulu mencapai kemewahan ekonomi berdasarkan perdagangan entreport, kita hanya mampu memandang dan berasa cukup bangga dengan pencapaian mereka.

Ramai yang menganggap, apalah pentingnya Pulau Batu Putih yang dikatakan tidak mempunyai sebarang sumber asli yang mampu membawa keuntungan. Masyarakat Malaysia perlu jelas, yang kita pertahankan bukannya batuan yang tidak sepertinya itu, tetapi lebih merupakan `hak dan kepentingan' kita buat sekian lama.

Siapa tahu, dengan sikap pentingkan diri sendiri dan terdesak Singapura; usaha untuk menambak laut sepanjang 64 kilometer (kawasan Singapura yang paling hampir dengan Batu Putih) akan dilakukan dengan pantas dan tanpa mempedulikan sensitiviti orang lain.

Kita sedia maklum, Singapura mampu bersikap angkuh kerana adanya `sokongan belakang' oleh orang lain. Kadangkala, kita berasa musykil dengan sikap yang begini. Kita tidak ragu-ragu dengan usaha Singapura melengkapkan pasukan tentera sebegitu rupa, seakan-akan ada ancaman langsung kepada mereka. Ini memberikan kita gambaran bahawa Singapura sememangnya resah dengan keadaan mereka yang sempit. Penyakit klaustrafobik Singapura semakin jelas dan nyata.

Pada ketika ini, kita hanya mahu Singapura berlapang dada dalam dua isu utama; (1) Isu harga air; dan (2) Pulau Batu Putih. Luka kerana terpaksa memindahkan pangkalan tentera laut dan pencerobohan pesawat gempur Singapura, kita letakkan dahulu ke tepi. Yang penting, Singapura perlulah bersikap matang dan bertanggungjawab dalam memperkatakan dua isu utama ini.

Singapura mampu beroleh keuntungan dengan perdagangan entreport untuk barangan pengguna lain, tetapi bukannya `air'. Margin keuntungan `perniagaan air' yang dinikmati Singapura buat sekian lama, adalah tidak masuk akal. Inilah yang kita mahu perbincangkan.

Sebagai antara negara perdagangan utama dunia, Singapura tidak perlu bersikap pentingkan diri, tanpa mempunyai ruang perbincangan kecil untuk jiran dan bekas keluarganya sendiri.

Sikap Perdana Menteri Singapura yang menuduh media Malaysia sebagai `histeria' dengan beberapa isu adalah tidak tepat. Kerap kali, apa yang didedahkan oleh media Malaysia adalah perkara-perkara tepat dan berasas. Bukannya berita yang sekadar ingin disensasikan. Hubungan Malaysia - Singapura perlu diperbaiki kerana kita mempunyai lebih banyak ruang untuk membangun secara bersama, berbanding terus bercakaran atas isu yang boleh diselesaikan sekelip mata.

Di atas semangat tahun baru 2003 ini, pimpinan Singapura perlulah lebih terbuka dan berlapang dada. Umum faham, Singapura sedikit resah dengan permasalahan ekonomi yang melanda negara mereka, tapi sedikit ingatan buat Singapura; Malaysia pernah merasai lebih daripada itu sekitar tahun 1997-98.

Untuk bertelagah dengan jiran, ketika mana krisis ekonomi di hadapan mata bukanlah suatu pilihan yang baik. Berbuat baiklah kepada jiran sekali-sekala, manalah tahu kita mampu mendapatkan pertolongan mereka ketika waktu yang tidak disangka-sangka.

Hubungan Malaysia-Singapura sememangnya istimewa. Ikatan kita bukan sekadar atas dasar jiran geografikalnya semata-mata, tetapi lebih kepada jiran sosiopolitik dan budaya. Hubungan yang sebenarnya cukup rapat dan begitu terpaut. Tidak berapa lama dahulu, terlepas juga daripada mulut Penasihat Kanan Singapura mengenai `kemungkinan' Singapura kembali kepada Malaysia. Kita tidak mengharapkan kemuncak perhubungan yang sebegitu rupa, tetapi cukuplah jika kedua-dua negara mampu duduk semeja dan berbincang dalam menyelesaikan isu-isu utama.

Malaysia yang maju dan makmur adalah baik kepada Singapura, begitulah juga sebaliknya. Justeru, usaha memperbaiki hubungan mestilah dilakukan dengan ikhlas dan jujur. Jangan biarkan masyarakat umum kedua-dua negara berasa resah dengan hubungan tegang yang tidak berkesudahan. Yang lebih penting, pimpinan kedua-dua negara perlu meletakkan asas hubungan yang baik untuk generasi akan datang.

Semoga tahun baru 2003, rakyat Malaysia dan Singapura terus mampu keluar masuk negara masing-masing tanpa rasa curiga dan culas. Semoga rakyat Singapura terus terpesona dengan dendangan Siti Nurhaliza dan M. Nasir; dalam masa yang sama, rakyat Malaysia ketawa dengan lawak jenaka Phua Chu Kang. Tanpa ada rasa keraguan, kita semua `jiran yang baik'.

- KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN, Kuala Lumpur.

Muhammad: Selesaikan masalah dalam parti

IPOH 2 Jan. - Semua bahagian dan cawangan UMNO di seluruh negara diarah menyelesaikan masalah dalaman parti sebagai persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya umum.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, walaupun pilihan raya umum hanya perlu diadakan selewat-lewatnya hujung tahun depan, persiapan awal mustahak bagi memantapkan jentera parti dan Barisan Nasional (BN).

``Kita telah keluarkan arahan ini sejak tahun lalu termasuk pelantikan ketua 10 dan bilik gerakan,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hari Raya Umno Bahagian Gopeng di Sungai Rokam di sini, petang semalam.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua UMNO Gopeng, Abdul Mukti Rahman.

Muhammad berkata, semua pemimpin dan anggota parti juga perlu mengambil langkah mengelakkan masalah dalaman parti daripada dibesar-besarkan.

``Kita tidak mahu masalah dalaman parti ini akan menjadi musuh di dalam selimut yang akan menggagalkan perancangan parti. Jika ada isu-isu dalaman, ia seolah-olah musuh dalam parti kita sendiri dan ini perlu kita elakkan,'' tambahnya.

Muhammad berkata, berdasarkan pengalaman beliau mengendalikan jentera UMNO bagi beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, kejayaan mudah dicapai apabila bahagian-bahagian tidak mempunyai masalah dalaman.

``Jika bermasalah, kita kalah. Walaupun masalah itu kecil, kita masih kalah dan ini telah berlaku,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pemimpin dan anggota parti mengetepikan masalah dalaman atau pertelingkahan peribadi sesama mereka demi kepentingan UMNO.

Beliau berkata, UMNO tidak memberi pengkhususan terhadap kawasan-kawasan tertentu kerana tarikh pilihan raya masih belum diketahui, tetapi semua bahagian perlu membuat persiapan mengikut apa yang dikehendaki oleh ibu pejabat.

Muhammad turut meminta semua anggota parti di bahagian Gopeng bekerjasama dan merapatkan hubungan memandangkan sebuah kerusi baru Dewan Undangan Negeri iaitu Sungai Rapat di kawasan itu akan diwujudkan di bawah persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Sementara itu ketika diminta mengulas isu Pulau Batu Putih yang menjadi tuntutan Malaysia dan Singapura, Muhammad berkata, Malaysia lebih berminat untuk menyelesaikan masalah itu dengan cara baik.

Katanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang matang ia tidak akan menimbulkan ketegangan hubungan dengan negara jiran
- Utusan Malaysia