Friday, January 03, 2003

Pulau Batu Putih: Malaysia sedia terima keputusan ICJ

Oleh:Jamdi Nasir

KUALA TERENGGANU 2 Jan. - Malaysia bersedia menerima risiko terlepas hak ke atas Pulau Batu Putih jika Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan demikian suatu hari nanti.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar bagaimanapun berkata, sementara menunggu keputusan tersebut Malaysia tetap mempertahankan bahawa tidak ada pihak boleh mendakwa pulau itu sebagai hak mutlak mereka.

Menurut beliau, Singapura perlu faham bahawa status Pulau Batu Putih masih dalam tuntutan bersama dan tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan konflik dan ketegangan.

``Kita nak apabila kapal-kapal (ronda) kita juga terbabit menjaga keselamatan pulau itu dan dia (Singapura) tidak mengancam atau mengambil tindakan yang berbahaya.

``Status quo pulau itu pada masa ini adalah kedua-dua pihak menuntut kedaulatan dan dia tidak boleh kata pulau itu sudah menjadi hak mutlak dia, bermakna kedua-dua pihak mempunyai persamaan untuk menentukan kawasan itu bebas dari ancaman,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar Wanita Dalam Era Globalisasi anjuran Biro Hal Ehwal Wanita Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), di sini hari ini.

Syed Hamid berkata, sikap Malaysia yang bertolak ansur dalam menyelesaikan isu Pulau Batu Putih tidak bermakna negara ini lemah atau beralah.

Sebaliknya ujar beliau, Malaysia mahukan sesuatu pertelingkahan dapat diselesaikan secara baik termasuk melalui ICJ meskipun berhadapan dengan risiko keputusan yang tidak akan menyebelahi negara.

``Kita kena selesaikan konflik itu dengan bijaksana melalui pendekatan pengadilan undang-undang untuk mendapatkan kepastian. Bila keputusan dikeluarkan tidak akan ada apa-apa lagi yang boleh dipertikaikan,'' ujar beliau.

Tambah beliau, semua pihak perlu sedar meskipun Pulau Batu Putih hanya sekadar batu tetapi ia mempunyai makna yang besar kepada negara kerana berkait secara langsung dengan maruah dan kedaulatan.

``Walaupun sekadar batu ini soal maruah, kedaulatan dan martabat...jika bawa ke ICJ kita kena menerima hakikat keputusan sama ada menang atau kemungkinan kita kalah.

``Tetapi pada masa ini jangan Singapura ingat dia berhak ke atas pulau itu. Dia belum lagi berhak kalau dia bersetuju serah kepada ICJ, sehinggalah ICJ putuskan nanti,'' ujar beliau - Utusan Malaysia

No comments: