Friday, January 03, 2003

Singapura perlu berlapang dada

Tidak ada yang melemaskan selain daripada mempunyai `jiran' yang selalu mencari punca pertelagahan dengan kita. Jiran yang tidak pernah tahu berterima kasih dan melihat hubungan baik sebagai sesuatu yang lebih positif berbanding sikap `kiasu' yang diamalkan ketika ini.

Apa yang berlaku, pada pandangan saya adalah berpunca daripada `penyakit klaustrafobik' (claustrafobia) yang dialami oleh pimpinan Singapura. Mereka yang menghidap penyakit jenis ini tidak selesa berada dalam ruangan yang sempit. Mereka cepat lemas. Badan mereka berpeluh dan resah. Tak kurang juga yang mampu menjadi histeria dalam keadaan yang begitu sifatnya.

Hakikatnya, Singapura sudah terlalu biasa dengan keadaan mewah dan segalanya ada. Dalam pada itu, wujud pula `jiran' yang semakin membangun, dengan ruang dan potensi yang lebih luas. Apa sahaja yang dilakukan oleh jiran yang satu ini, akan disifatkan sebagai saingan langsung kepada mereka. Walhal, ketika mana mereka lebih dahulu mencapai kemewahan ekonomi berdasarkan perdagangan entreport, kita hanya mampu memandang dan berasa cukup bangga dengan pencapaian mereka.

Ramai yang menganggap, apalah pentingnya Pulau Batu Putih yang dikatakan tidak mempunyai sebarang sumber asli yang mampu membawa keuntungan. Masyarakat Malaysia perlu jelas, yang kita pertahankan bukannya batuan yang tidak sepertinya itu, tetapi lebih merupakan `hak dan kepentingan' kita buat sekian lama.

Siapa tahu, dengan sikap pentingkan diri sendiri dan terdesak Singapura; usaha untuk menambak laut sepanjang 64 kilometer (kawasan Singapura yang paling hampir dengan Batu Putih) akan dilakukan dengan pantas dan tanpa mempedulikan sensitiviti orang lain.

Kita sedia maklum, Singapura mampu bersikap angkuh kerana adanya `sokongan belakang' oleh orang lain. Kadangkala, kita berasa musykil dengan sikap yang begini. Kita tidak ragu-ragu dengan usaha Singapura melengkapkan pasukan tentera sebegitu rupa, seakan-akan ada ancaman langsung kepada mereka. Ini memberikan kita gambaran bahawa Singapura sememangnya resah dengan keadaan mereka yang sempit. Penyakit klaustrafobik Singapura semakin jelas dan nyata.

Pada ketika ini, kita hanya mahu Singapura berlapang dada dalam dua isu utama; (1) Isu harga air; dan (2) Pulau Batu Putih. Luka kerana terpaksa memindahkan pangkalan tentera laut dan pencerobohan pesawat gempur Singapura, kita letakkan dahulu ke tepi. Yang penting, Singapura perlulah bersikap matang dan bertanggungjawab dalam memperkatakan dua isu utama ini.

Singapura mampu beroleh keuntungan dengan perdagangan entreport untuk barangan pengguna lain, tetapi bukannya `air'. Margin keuntungan `perniagaan air' yang dinikmati Singapura buat sekian lama, adalah tidak masuk akal. Inilah yang kita mahu perbincangkan.

Sebagai antara negara perdagangan utama dunia, Singapura tidak perlu bersikap pentingkan diri, tanpa mempunyai ruang perbincangan kecil untuk jiran dan bekas keluarganya sendiri.

Sikap Perdana Menteri Singapura yang menuduh media Malaysia sebagai `histeria' dengan beberapa isu adalah tidak tepat. Kerap kali, apa yang didedahkan oleh media Malaysia adalah perkara-perkara tepat dan berasas. Bukannya berita yang sekadar ingin disensasikan. Hubungan Malaysia - Singapura perlu diperbaiki kerana kita mempunyai lebih banyak ruang untuk membangun secara bersama, berbanding terus bercakaran atas isu yang boleh diselesaikan sekelip mata.

Di atas semangat tahun baru 2003 ini, pimpinan Singapura perlulah lebih terbuka dan berlapang dada. Umum faham, Singapura sedikit resah dengan permasalahan ekonomi yang melanda negara mereka, tapi sedikit ingatan buat Singapura; Malaysia pernah merasai lebih daripada itu sekitar tahun 1997-98.

Untuk bertelagah dengan jiran, ketika mana krisis ekonomi di hadapan mata bukanlah suatu pilihan yang baik. Berbuat baiklah kepada jiran sekali-sekala, manalah tahu kita mampu mendapatkan pertolongan mereka ketika waktu yang tidak disangka-sangka.

Hubungan Malaysia-Singapura sememangnya istimewa. Ikatan kita bukan sekadar atas dasar jiran geografikalnya semata-mata, tetapi lebih kepada jiran sosiopolitik dan budaya. Hubungan yang sebenarnya cukup rapat dan begitu terpaut. Tidak berapa lama dahulu, terlepas juga daripada mulut Penasihat Kanan Singapura mengenai `kemungkinan' Singapura kembali kepada Malaysia. Kita tidak mengharapkan kemuncak perhubungan yang sebegitu rupa, tetapi cukuplah jika kedua-dua negara mampu duduk semeja dan berbincang dalam menyelesaikan isu-isu utama.

Malaysia yang maju dan makmur adalah baik kepada Singapura, begitulah juga sebaliknya. Justeru, usaha memperbaiki hubungan mestilah dilakukan dengan ikhlas dan jujur. Jangan biarkan masyarakat umum kedua-dua negara berasa resah dengan hubungan tegang yang tidak berkesudahan. Yang lebih penting, pimpinan kedua-dua negara perlu meletakkan asas hubungan yang baik untuk generasi akan datang.

Semoga tahun baru 2003, rakyat Malaysia dan Singapura terus mampu keluar masuk negara masing-masing tanpa rasa curiga dan culas. Semoga rakyat Singapura terus terpesona dengan dendangan Siti Nurhaliza dan M. Nasir; dalam masa yang sama, rakyat Malaysia ketawa dengan lawak jenaka Phua Chu Kang. Tanpa ada rasa keraguan, kita semua `jiran yang baik'.

- KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN, Kuala Lumpur.

No comments: