Tuesday, July 02, 2002

Bekalan air sejak 1927

Oleh: NIK ANUAR NIK MAHMUD

Singapura adalah sebuah pulau kecil, keluasannya lebih kurang 660 kilometer persegi sahaja. Kawasan tadahan airnya adalah terhad dan airnya pula kurang berkualiti. Walau bagaimanapun, Singapura telah dapat mengatasi masalah itu dengan mendapat bekalan air dari Johor, jiran terdekatnya yang mempunyai kawasan tadahan air yang luas.

Sejak 1927 hingga ke hari ini, melalui pelbagai perjanjian, Johor telah membekalkan air kepada Singapura dengan harga yang paling istimewa. Kerana air Johor, maka Singapura dapat hidup selesa dan selamat.

Perjanjian bekalan air pertama telah dimeterai antara Sultan Ibrahim dengan Pesuruhjaya Majlis Perbandaran Singapura pada 5 Disember 1927.

Di bawah perjanjian tersebut, Kerajaan Johor telah memperuntukkan seluas 2,100 ekar tanah di Gunung Jerai sebagai kawasan tadahan dan pembekalan air untuk Singapura.

Singapura mempunyai hak ke atas kawasan itu selama 21 tahun dengan hanya dikenakan bayaran sebanyak 30 sen seekar atau sebahagian daripadanya setahun.

Di bawah perjanjian itu, Kerajaan Johor juga boleh mendapatkan bekalan air tersebut tetapi perlu membayar kepada Majlis Perbandaran Singapura sebanyak 25 sen bagi setiap 1,000 gelen air yang dibekalkan, tidak melebihi 1,200,000 gelen sehari.

Walaupun Singapura melaksanakan pelbagai usaha bagi mengatasi masalah pembekalan air, ia masih bergantung kepada Johor untuk mendapatkan bekalan air. Keadaan semakin terdesak dengan bertambahnya bilangan penduduk memaksa Singapura meneruskan bekalan air dari Johor.

Menjelang penubuhan Malaysia, Kerajaan Singapura telah mengambil kesempatan daripada semangat setiakawan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia bagi memeteraikan dua perjanjian air baru dengan Kerajaan Johor.

Perjanjian pertama telah dimeterai pada 1 September 1961, manakala perjanjian kedua pada 29 September 1962.

Di bawah Perjanjian 1961, Singapura diberi hak eksklusif untuk mendapat sebanyak mungkin air dari Sungai Skudai dan Sungai Tebrau dengan harga yang sangat istimewa iaitu pada harga RM0.03 sen bagi setiap ribu gelen air sehingga tahun 2011.

Manakala di bawah Perjanjian 1962, Kerajaan Johor telah membekalkan sebanyak 86 juta gelen sehari sehingga tahun 2051 dengan harga yang sama.

Dalam perjanjian ini Singapura boleh mengepam air daripada Sungai Johor sehingga 250 juta gelen air sehari untuk membolehkan saluran paip dan reservoir dibina.

Kerajaan Johor bersetuju untuk membenarkan Singapura menggunakan tanahnya seluas 120 ekar selama 99 tahun di bawah Perjanjian 1961 dan seluas 341 ekar selama 99 tahun di bawah Perjanjian 1962 dengan bayaran RM5.00 seekar.

Kedua-dua Perjanjian itu memberi hak kepada Johor untuk mendapatkan sebanyak 2 peratus daripada jumlah air yang dibekalkan kepada Singapura dengan harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen air yang dirawat.

Perjanjian-Perjanjian itu tidak menguntungkan Johor, tetapi atas sifat kerjasama, Kerajaan Johor sanggup berkorban untuk Singapura.

Semangat setiakawan Malaysia terbukti lagi apabila Singapura berpisah dengan Malaysia pada 7 Ogos 1965. Anehnya pemisahan itu tidak menjejaskan komitmen Malaysia untuk membekalkan air kepada Singapura.

Kerajaan Malaysia bersetuju memasukkan Fasal 14 yang dicantumkan dalam Annex B dalam Perjanjian Pemisahan dengan memberi jaminan bahawa Kerajaan Johor akan menghormati segala syarat dan tanggungjawab yang dipersetujui di bawah Perjanjian 1961 dan 1962 bagi membekalkan air kepada Singapura.

Kerajaan Malaysia juga tidak membantah apabila Kerajaan Singapura mendaftarkan Perjanjian itu dengan Pejabat Sekretariat Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada 1 Jun 1966 bagi mengukuhkan lagi jaminan tersebut.

Sejak 1965 hingga kini, air Johor tetap mengalir ke Singapura tanpa sebarang gangguan walaupun hak Johor diusik oleh Singapura, seperti dalam kes Pulau Batu Puteh dan tambakan laut di Selat Tebrau.

Menerusi pengalaman dan rentetan masalah lalu, pada 1 dan 2 Julai 2002 Malaysia dan Singapura mengadakan rundingan bagi membincangkan isu harga air dan bekalan tambahan ke republik itu selama dua hari sejak semalam.

Singapura telah meminta Malaysia menambahkan bekalan air kepada Singapura sebanyak 750 juta gelen selama 150 tahun atas kadar 45 sen bagi setiap gelen. Harga yang ditawarkan itu terlalu murah berbanding RM8.00 yang dibayar oleh Hong Kong bagi bekalan sama dibeli dari wilayah berjiran di China.

Jika Singapura hendak juga membeli air dari Johor daripada apa yang ditetapkan dalam Perjanjian tersebut, Singapura kenalah membayar dengan kadar yang kita tetapkan kerana Malaysia tidak lagi mampu untuk membekalkan air kepada Singapura dengan harga yang semurah itu.

Selama ini pun, Singapura telah mengaut keuntungan sebanyak RM630 juta.

* Prof. Dr. Nik Anuar Nik Mahmud, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).