Sunday, January 05, 2003

ICJ: Malaysia tolak tandatangan perjanjian khas di Brussels

Oleh: Rosni Hassan dan Hamden Ramli

LANGKAWI 4 Jan. - Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas bagi membawa isu tuntutan Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Brussels, Belgium, pada akhir bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak tahu mengapa Singapura mahu perjanjian itu ditandatangani di luar negara kerana ia sepatutnya dilakukan di sini.

Menurut beliau, Malaysia pada dasarnya bersetuju dengan cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas mengenai pertikaian yang berlaku itu ke ICJ tetapi mahu ia diadakan di sini dan bukannya di luar negara.

``Kita setuju tetapi pasal apa hendak buat (menandatangani perjanjian khas) di Brussels, buat di sini la,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini tanpa merujuk sama ada perkara itu perlu dibuat di Malaysia mahupun di Singapura.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas bagi membawa isu tuntutan Pulau Batu Putih ke ICJ pada 27 dan 28 Januari ini sempena Mesyuarat ASEAN-Kesatuan Eropah di Brussels, Belgium.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, nota mengenai cadangan tarikh itu diterimanya dari Kementerian Luar Singapura hari ini.

Nota itu adalah cadangan balas kepada beberapa tarikh yang dicadangkan oleh Malaysia sehingga September tahun lalu.

Ditanya apa motif Singapura yang mahu perjanjian itu ditandatangani di Brussels, kata Dr. Mahathir,``Itu saya tak tahu, itu kena tanya dia, mana saya tahu.''

Malaysia sebelum ini telah mencadangkan enam atau tujuh tarikh kepada Singapura bagi melaksanakan perjanjian khas tersebut tetapi ditolak oleh republik itu.

Perbincangan penyelesaian mengenai hak kedaulatan ke atas pulau berkenaan telah bermula sejak tahun 1981 lagi.

Walaupun begitu, pemimpin kedua-dua negara hanya bersetuju pada tahun 1991 untuk merujuk pertikaian yang berlaku ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Biarpun begitu, usaha untuk mendapatkan persetujuan agar satu perjanjian khas diadakan bagi membolehkan isu berkenaan di bawa ke ICJ mengambil masa dan hanya dicapai pada tahun 1998.

Sementara itu, Syed Hamid ketika dihubungi Mingguan Malaysia berkata, Malaysia mungkin mengemukakan satu tarikh baru kepada Singapura bagi menandatangani perjanjian khas tersebut.

Syed Hamid berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu kerana tarikh dan tempat yang dicadangkan oleh Singapura itu kelihatan sukar untuk dipenuhi.

Menurut beliau, terdapat beberapa perkara perlu diputuskan sebelum bersetuju dengan tarikh tersebut.

``Pertama, kita belum pasti mesyuarat tersebut akan diadakan atau tidak, kerana perkara tersebut belum dimuktamadkan lagi dan kita juga masih belum pasti sama ada kita akan mengambil bahagian dalam mesyuarat itu.

``Oleh itu tarikh yang diberikan itu mungkin kita boleh buat tetapi kalau tidak, kita cari tarikh yang sesuai,'' katanya.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, pada dasarnya Malaysia tidak ada masalah untuk menerima cadangan tarikh yang dikemukakan oleh Singapura itu.

``Jika boleh kita hendak cepat dari tarikh itu lagi,'' katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, disebabkan masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan penelitian lanjut daripada kerajaan, maka tarikh tersebut perlu dikaji terlebih dahulu.

Beliau menambah, sekiranya Malaysia mencadangkan tarikh baru ia bukan bertujuan untuk melambat-lambatkan usaha tersebut tetapi semata-mata untuk mencari satu masa yang menjadi kesesuaian bersama - Utusan Malaysia

Kapal tentera Singapura nahas

Seorang anggota peronda antikapal selam terbunuh, 3 hilang dekat Batu Putih

SINGAPURA 4 Jan. - Sebuah kapal peronda antikapal selam Tentera Laut Singapura, RSS Courageous, rosak teruk dan hampir tenggelam dalam perlanggaran dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda dekat Pulau Batu Putih malam tadi.

Seorang anggota tentera Singapura dilaporkan terbunuh dan tiga yang lain, kesemuanya wanita hilang.


KAPAL peronda antikapal selam Singapura, RSS Courageous ditunda ke Pangkalan Tentera Laut Changi selepas dilanggar oleh kapal kargo ANL Indonesia, milik syarikat Belanda, O&P Nedlloyd di kawasan perairan yang terletak kira-kira satu batu nautika (1.8 kilometer) dari Pulau Batu Putih, semalam. - Gambar AP

Kejadian itu yang dianggap sebagai kemalangan terburuk dalam sejarah moden Singapura berlaku di kawasan perairan yang terletak kira-kira satu batu nautika (1.8 kilometer) dari Pulau Batu Putih.

Kejadian tersebut berlaku ketika Singapura meningkatkan kawalan dan rondaan sekitar Pulau Batu Putih yang didakwanya merupakan sebahagian wilayah maritim republik itu.

Laporan awal menyatakan sebuah kapal dagang Malaysia terlibat dengan perlanggaran itu tetapi kemudiannya ia disahkan kapal dagang milik syarikat Belanda.

Insiden tersebut menarik perhatian banyak pihak terutama ketika Singapura dan Malaysia sedang berbalah berhubung tuntutan ke atas pulau berkenaan.

Baru-baru ini, sebuah bot polis marin Malaysia yang membawa sekumpulan wartawan dihalang daripada mendekati pulau berkenaan oleh republik itu yang turut menempatkan kapal tentera laut di situ.

Dalam kejadian malam tadi, kapal peronda antikapal selam itu hampir tenggelam dan mengalami kerosakan besar terutama di bahagian belakang. Bagaimanapun kapal kargo seberat 52,000 tan yang dimiliki syarikat P&O Nedlloyd itu hanya mengalami kerosakan kecil.

RSS Courageous merupakan satu daripada enam buah kapal peronda antikapal selam dalam armada laut Singapura. Republik itu dikatakan mempunyai kelengkapan pertahanan termoden di Asia Tenggara termasuk dari segi kemampuan pertahanan maritimnya.

Timbalan Perdana Menteri, Tony Tan berkata, kapal peronda itu berada di kawasan perairan Singapura sewaktu ia dilanggar oleh ANL Indonesia.

``Perlanggaran tersebut merupakan kemalangan yang paling dahsyat,'' kata Tan, yang juga merupakan Menteri Pertahanan Singapura.

``Di segi kehilangan nyawa, ini merupakan satu kemalangan yang paling banyak mengorbankan nyawa anggota tentera laut Singapura,'' kata beliau.

Menurut satu kenyataan Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan Singapura, Valerie Yeo, ketika kejadian keempat-empat anak kapal itu sedang tidur di kabin wanita yang terletak di bahagian belakang RSS Courageous.

Kapal peronda seberat 500 tan itu dirempuh oleh kapal kargo ANL Indonesia pada kira-kira pukul 11.35 malam tadi. Seorang anak kapal yang juga pakar pengendalian senjata disahkan terbunuh akibat kemalangan tersebut manakala tiga lagi rakannya, kesemuanya wanita, masih hilang.

Harapan untuk menemui kesemua mangsa dalam keadaan selamat dipercayai agak tipis pada masa ini.

``Singapura perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan buruk,'' kata Tan merujuk kepada nasib ketiga-tiga anak kapal tersebut.

Menurutnya, lapan daripada 44 orang anak kapal itu cedera ringan dan tiga daripada mereka dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, kenyataan Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa pihak berkuasa pelabuhan terpaksa menunda RSS Courageous ke Pangkalan Tentera Laut Changi untuk mengeringkan kabin-kabin yang dimasuki air bagi mencari mangsa yang hilang.

Kementerian itu sebelum ini berkata, mereka percaya ketiga-tiga anak kapal itu sedang tidur sewaktu RSS Courageous dirempuh oleh ANL Indonesia.

``Kabin mereka terletak di bahagian belakang kapal iaitu bahagian yang mengalami kerosakan teruk akibat perlanggaran itu,'' kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun tidak ada laporan mengenai kecederaan di pihak anak kapal ANL Indonesia yang ditunda ke Dermaga Timur di Pelabuhan Singapura.

Syarikat P&O Nedlloyd tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan mengenai kemalangan tersebut.

Sementara itu, Jurucakap Biro Maritim Antarabangsa Malaysia berkata, pihak berkuasa Malaysia dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut tetapi tidak terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat.

Katanya, Malaysia hanya akan membantu sekiranya diminta oleh pihak Singapura. - AP

Jangan pandang rendah keupayaan pertahanan kita

KOTA TINGGI 4 Jan. - Malaysia mengingatkan mana-mana pihak luar supaya tidak mencetuskan provokasi dengan memandang rendah terhadap keupayaan negara ini mempertahankan kedaulatannya.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, keupayaan Malaysia mempertahankan kedaulatannya tidak harus dipandang rendah dengan hanya berdasarkan aset pertahanan sedia ada.

``Kedaulatan dan integriti negara ini terletak pada tahap yang paling tinggi sekali dan saya tidak fikir sesiapapun boleh mengambil risiko dengan merendah-rendahkan prosedur (pertahanan) kerana ia memberikan kesan yang tinggi,'' katanya pada sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya di kediamannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas artikel di dalam akhbar berbahasa Inggeris mengenai laporan oleh Pihak Berkuasa Ketenteraan Britain tentang keupayaan pertahanan Malaysia jika dibandingkan dengan Singapura.

Artikel di dalam akhbar itu melaporkan Singapura mampu menewaskan Malaysia dalam masa sejam berdasarkan kepada aset persenjataan lojistik meliputi bilangan kereta kebal, pesawat pejuang, kapal selam dan sebagainya di antara Malaysia dan Singapura.

``Saya fikir kenyataan ini datang dalam masa yang bahaya dan (bersifat) provokasi, ada pihak di luar rantau ini cuba untuk mengganggu gugat kestabilan di rantau ini,'' jelas Syed Hamid.

``Saya juga berfikir adalah bahaya untuk mencetuskan cerita ini dalam keadaan begini seolah-olah ingin mencetuskan peperangan antara Singapura dan Malaysia,'' tegas beliau.

Beliau menyifatkan artikel itu seperti menggugat hubungan Malaysia dan Singapura yang kebelakangan ini tegang berikutan dengan pelbagai isu seperti tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, penambakan dan isu pembekalan air ke Singapura.

``Saya kecewa dengan artikel ini dan tidak tahu motifnya,'' kata beliau sambil menambah adalah normal bagi media barat untuk merendah-rendahkan apa yang Malaysia lakukan di dalam menangani beberapa isu.

Ditanya mengenai mesyuarat ketiga isu air antara Malaysia dan Singapura di Kuala Lumpur tahun ini, Syed Hamid menegaskan pihaknya tidak mempunyai cadangan untuk bermesyuarat dalam masa terdekat ini.

``Saya tidak mempunyai cadangan dalam masa terdekat ini, saya lebih suka ia diselesaikan mengikut undang-undang dan kepentingan Malaysia sebagai pemilik tanah dan air,'' jelas beliau.

Malaysia katanya, mendapati Singapura belum berniat menyelesaikan isu air walaupun hanya berminat untuk berunding.

Tambah beliau, perjanjian pembekalan air ke Singapura adalah mengikut undang-undang Malaysia dan terdapat beberapa pilihan yang ada dan Malaysia akan mengambil pilihan yang terbaik.

Beliau berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap rakyat, pemerintah akan cuba menyelesaikan beberapa isu dengan Singapura secara jangka panjang dan mengambil kira hubungan dua hala dari segi politik, ekonomi dan sebagainya.

``Kita inginkan setiap pertikaian (dengan Singapura) itu, hak kita dipertahankan dan kita akan membuat pendekatan berasaskan perundangan,'' katanya.

Beliau berkata menjadi harapan bahawa setiap pertelingkahan yang ada dapat diselesaikan dengan baik untuk terus menentukan kestabilan di rantau ini tidak terjejas dan tergugat - Utusan Malaysia

Pulau Batu Putih: Jangan aibkan nama Malaysia

Oleh: Mazlan Nordin

SAYA pikir, kalau masih dalam sengketa saja pulau ini sudah sedemikian rapi diawasi oleh Malaysia, bagaimana mengharap Indonesia bisa memiliki Sipadan dan Ligitan? Keputusan Mahkamah Internasional di Den Haag untuk memenangkan Malaysia saya kira masuk akal juga. ... faktanya memang Malaysia sudah lama mengurus pulau ini, sementara Indonesia hanya menggambarnya di sebuah peta.

Demikian catatan seorang wartawan majalah Tempo di Jakarta baru-baru ini. Di halaman lain pula disiarkan interviu khas majalah tersebut dengan Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirajuda. Menarik perhatian ialah jawapan beliau kepada dua pertanyaan, termasuk mengenai beberapa bantahan yang telah diajukan oleh Indonesia kepada Malaysia, seperti berikut:

Pertanyaan: Kita punya perjanjian status quo dengan Malaysia pada 1969 agar kedua-dua pihak tak melakukan aktivitas di sana sampai ada keputusan tentang status kepemilikan. Kenapa Malaysia membuka resor-resor wisata (resort pelancongan) di sana?

Jawapan: Kita mengirim protes diplomatik berkali-kali ke Malaysia tentang hal ini. Tapi kita juga tahu bahawa tindakan yang melanggar atau bertentangan dengan status quo yang tidak mempunyai nilai hukum.

Pertanyaan: Kalau demikian, mengapa Indonesia mahu bersepakat tentang status quo?

Jawapan: Ini bagian dari proses besar. Kita harus mengamati kenapa ada keperluan untuk meredam kasus Sipadan dan Ligitan. Kita baru pulih dari konfrontasi dengan Malaysia pada 1966.

Pada 8 Augustus 1967 kita mendirikan ASEAN. Kesepakatan para pemimpin ASEAN ketika itu adalah membuat Asia Tenggara menjadi netral, damai dan aman. Kerana itu, para pemimpin Asia Tenggara berupaya keras untuk menyelesaikan konflik - atau minimal meredamnya supaya tidak merebak.

Hal ini disebut berikutan laporan demi laporan oleh pihak media Malaysia mengenai Pulau Batu Putih yang kini dituntut oleh Malaysia. Ada pihak mahu isu itu diajukan segera tetapi seperti telah disebut oleh Menteri Luar Indonesia, kes Sipadan- Ligitan dahulu diproses melalui jalur hukum Mahkamah Keadilan Antarabangsa selama lima tahun kebelakangan ini.

Reaksi marah telah disuarakan oleh ahli-ahli politik dan badan-badan bukan kerajaan mengenai laporan-laporan bahawa Singapura sedang meneruskan beberapa projek pembangunan di Pulau Batu Putih. Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir segera menolak supaya Malaysia mengirim kapal-kapal perang ke pulau itu.

Tegasnya: ``Kita ingin mengelakkan konfrontasi. Kita bukan mahu berperang dengan sesiapa... kita tidak beralah, tapi kita bukan mencari alasan untuk berperang.''

Akhbar Utusan Malaysia pada hari Selasa lalu melaporkan bahawa hasrat 100 orang pemimpin Pemuda UMNO mahu ``meninjau'' pulau itu tidak kesampaian apabila mereka tidak dibenarkan berbuat demikian oleh pihak polis atas sebab-sebab keselamatan.

Menurut catatan sejarah Pulau Batu Putih memang sebahagian dari Malaysia, khususnya negeri Johor. Singapura menuntutnya selepas perpisahannya pada tahun 1965. Namun, pada hakikatnya jarak pulau itu dari Johor hanya satu per lima jarak dari Singapura.

Terpaksa diambil kira ialah pengurusan pulau itu oleh Singapura sejak 1965, termasuk urusan rumah api di situ. Timbul pertanyaan apakah kerana sebab itu, antara lainnya, Singapura akhirnya bersetuju untuk merujukkan hal kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Seperti dilaporkan beberapa hari lalu, Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong, yakin bahawa Singapura mempunyai bukti-bukti jelas mengenai hak milik Batu Putih.

Wajar disebut dalam konteks sengketa ini ialah kedudukan Kepulauan Falklands, tanah jajahan British yang begitu jauh dari Britain dan hanya 650 kilometer (410 batu) dari Argentina.

Perang berlaku di antara Britain dan Argentina beberapa tahun lampau manakala Argentina cuba mendudukinya tetapi akhirnya ia tewas dan pulau-pulau itu terus menjadi milik British. Kepada Argentina nama kepulauan itu ialah Islas Malvinas.

Semasa menunggu Singapura bersetuju merujukkan kes ke ICJ dan mahkamah itu meneliti dengan cermat serta membuat keputusan muktamad yang mesti diterima oleh kedua-dua pihak sebagaimana dengan kes Sipadan dan Ligitan, jangan hendaknya kita melakukan hal-hal yang boleh membawa aib pada diri sendiri dan menjatuhkan nama baik Malaysia di mata dunia. Apatah lagi setelah kita menang dua - Utusan Malaysia

Memerhati Media

PERDANA Menteri Singapura Goh Chok Tong baru-baru ini menuduh media Malaysia membuat hal dan mempamerkan kemarahan mengenai isu Pulau Batu Putih. Mungkin beliau rasa berhak berkata demikian.

Bagi kita, media Malaysia hanya menjalankan tugas untuk melaporkan isu-isu semasa yang menyentuh rakyat dan negara ini. Dalam penyampaian mereka, setiap media mempunyai cara tersendiri dalam melaporkan isu tersebut. Kadangkala mungkin terdapat laporan yang berbentuk sensasi tetapi di masa-masa lainnya, laporan media Malaysia bernas dan rasional.

Bagi media Singapura pula, mereka sering kali mahu menunjukkan bahawa mereka lebih matang dan jujur daripada rakan kerja mereka di seberang tambak. Ini juga hanya merupakan pendapat mereka. Namun yang jelas diperhatikan ialah media Singapura akan menggunakan segala helah untuk memenangi hati rakyat mereka dalam hal-hal berkaitan republik tersebut. Kita harus sedar helah yang digunakan adalah lebih licik.

TEMPO DIJADIKAN JURUCAKAP
PADA 3 Januari 2003 akhbar Singapore Straits Times (ST) telah memuatkan sebuah rencana panjang yang ditulis oleh wartawan Indonesia, Wenseslaus Manggut yang melawat Pulau Sipadan sebelum Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membuat keputusan tentang negara yang berhak memilikinya.

Rencana tersebut yang disiarkan pada 24-30 Disember dalam majalah Tempo di Indonesia telah dipetik oleh ST dan diberi tajuk Tekanan jiwa di Sipadan (ST - 2.1.03). Manggut menceritakan tentang kesukaran beliau mendapat tempahan bagi calet di Sipadan terutama apabila pengurus calet mengetahui bahawa beliau adalah wartawan dari Indonesia.

Beliau mendakwa pelik dengan alasan kekurangan calet kerana ``daripada 30 rumah penempatan yang ada, hanya dua yang penuh. Yang lainnya kosong belaka.''

Setelah berdegil, beliau kononnya diberi bilik tetapi diberi amaran bahawa tidak boleh berada di pantai selepas pukul 9 malam. Jika ingkar, ``awak akan diberkas oleh pihak polis atau tentera.''

Manggut menulis tentang kawalan sekuriti yang ketat di pulau tersebut dan menggunakan ungkapan seorang pengurus calet bahawa ``kawalan yang ketat adalah disebabkan oleh keputusan ICJ yang bakal diumumkan.'' Wartawan ini juga menceritakan tentang ``penahanan'' dan ``soal siasat'' terhadap beliau oleh pihak polis dan tentera Malaysia.

Beliau memulakan pengalamannya begini. ``Semasa saya sedang berehat di dalam bilik saya, sekumpulan pegawai dan anggota polis Malaysia memukul-mukul pintu bilik saya.'' Manggut mendakwa beliau dikerah ke pejabat polis selepas mereka merampas laptop dan menggeledah bilik beliau. Beliau juga mendakwa dituduh menjadi ejen perisik Indonesia. Beliau kononnya dibawa dengan bot laju ke Semporna dan dikawal oleh dua anggota tentera bersenjatakan raifal Styer.

Di sana beliau telah disoal siasat sekali lagi. Manggut mendakwa segala fail di dalam komputer beliau telah dibaca oleh anggota polis tersebut termasuk fail mengenai mesyuarat pemegang saham majalah Tempo, laporan pemegang saham, organisasi syarikat serta melihat gambar-gambar pengurus dan pesuruhjaya majalah tersebut.

Selepas disoal siasat, Manggut diberitahu bahawa beliau ditahan kerana tidak mempunyai permit untuk berada di Sipadan. Beliau mengakhiri cerita beliau dengan berkata, ``apa yang saya alami di Sipadan mengingatkan saya bahawa jika beginilah ketatnya kawalan pihak Malaysia ke atas Sipadan dan Ligitan, tatkala pemilikan pulau-pulau tersebut masih dipertikaikan, bagaimana boleh Indonesia berharap untuk mengawal pulau-pulau tersebut? Hakikatnya, selama ini Malaysia telah membangunkan pulau-pulau tersebut sedangkan bagi Indonesia, ia hanya merupakan satu titik di atas peta, jauh di mata, jauh di hati. Itulah realiti mengenai hal ini.

MAULANA: Soalan pertama yang timbul dalam sanubari kita ialah kenapa ST memutuskan untuk menggunakan rencana ini? Jawapannya terserlah, untuk mempamerkan Malaysia dan pihak penguat kuasa Malaysia sebagai angkuh, ganas dan telah bertindak di luar bidang kuasa mereka di Sipadan.

Ini bukannya satu kebetulan kerana tuduhan yang sama telah dilemparkan oleh Malaysia terhadap Singapura dalam isu Pulau Batu Putih. ST terlalu licik untuk membuat tuduhan ini, lalu mereka menggunakan sebuah rencana dari Indonesia untuk menjadi jurucakap mereka. Ini membenarkan mereka untuk menjawab, ``Kami tidak berkata apa-apa, Tempolah yang berkata demikian.''

Dan siapa akan peduli jika apa yang didakwa oleh wartawan Tempo tersebut benar atau hanya rekaan sahaja?

Tujuan Singapura hanyalah untuk menggunakan rencana Tempo tersebut. Ia tidak ada kaitan langsung dengan keputusan ICJ tentang Sipadan dan Ligitan. Dua perenggan terakhir rencana tersebut secara kebetulan adalah selaras dengan alasan-alasan tentang haknya ke atas Pulau Batu Putih.

Niat Singapura jelas apabila di Internet, ST telah menyusun rencana Tempo tersebut sebagai bahan rujukan dalam isu tuntutan Malaysia ke atas Pulau Batu Putih. Mungkin pihak Malaysia harus menyiasat dakwaan Manggut dan mengumumkan hasil siasatan mereka untuk mendapat kebenaran dalam hal ini.

Rakyat Malaysia merupakan rakyat yang sederhana. Mereka sukakan fakta yang senang difahami, bukannya perdebatan yang sukar dan retorik. Media Singapura dan sesetengah ahli politik mereka pula mengambil jalan yang bertentangan. Mereka menggunakan kritikan tersorok, ejekan dan debat yang bersimpang- siur untuk menutup kelemahan mereka.

MEDIA SINGAPURA LICIK
DALAM sebuah komentar ST bertajuk Ini dikatakan melatah, satu ledakan marah tentang pelbagai dakwaan (30 Disember 2002), penulis kanan ST, Mafoot Simon mengejek sekumpulan wartawan Malaysia yang telah diusir oleh pihak marin Singapura apabila mahu membuat liputan tentang Pulau Batu Putih.

Beliau menulis bagaimana pemberita BBC di Malaysia, Jonathan Kent, mendapati kejadian tersebut sebagai bahan lawak. Beliau menulis, ``Jonathan Kent, pemberita BBC di Kuala Lumpur, melihat kejadian tersebut sebagai kelakar apabila bercakap dengan rakannya Tim Luard dalam program The World Today pada Jumaat lepas. `Cara kejadian tersebut diceritakan membuat saya tersenyum seolah-olah wartawan Malaysia tersebut pulang setelah berhadapan dengan ikan raksasa dan hampir maut.

`Apa yang nampaknya berlaku ialah sebuah bot polis yang membawa wartawan tersebut telah menghampiri pulau tersebut tetapi sebuah kapal tentera Singapura dan bot penjaga pantai menghalau mereka dengan berkata melalui pembesar suara. ``Awak berada di dalam kawasan perairan Singapura, segera keluar.'' Kumpulan wartawan tersebut pun berpatah balik dan menceritakan tentang keberanian mereka.

``Saya rasa kejadian itu adalah perkara yang paling memberangsangkan dalam bidang kewartawanan Malaysia, tetapi ia menjadi bahan yang menarik.'' Setelah mengejek beberapa komentar ruangan pengarang dalam akhbar Utusan Malaysia, Mafoot terus bertanya, ``bagaimana harus Singapura melayani semua dakwaan ini?'' Jawab beliau: ``Singapura tidak seharusnya mengikut jejak Malaysia dan bersusah payah menjustifikasikan kenapa mereka lakukan sedemikian. Kata sebuah pepatah Melayu: ``Tepuk dada, tanya selera''- hanya pihak Malaysia sahaja yang tahu alasannya. Tetapi ada sebuah perkataan yang boleh menggambarkan pelakuan Malaysia. Ia dipanggil ``melatah''. Sebuah kamus mendefinisikannya sebagai ledakan kemarahan atau ketawa.

Tetapi apa yang nyata ialah: Kamus tersebut berkata bahawa melatah adalah kekusutan saraf. Ini bermakna bahawa Singapura harus bersedia untuk menghadapi hal-hal yang sama pada masa akan datang.

MAULANA: Hakikatnya, media Malaysia tidak pernah menulis berlebih-lebihan tentang isu ini ataupun menggambarkan yang mereka di ambang maut ketika diusir oleh kapal marin Singapura.

Yang benar ialah media Singapura akan mengetepikan segala fakta yang tidak menyokong mereka, sambil menuduh media Malaysia melakukan demikian. Mereka lakukan ini dengan cara yang licik dan tersirat melalui penggunaan ayat-ayat yang sukar, ungkapan yang halus dan bantuan daripada kawan-kawan mereka yang berkulit putih - Utusan Malaysia