Showing posts with label Amaran. Show all posts
Showing posts with label Amaran. Show all posts

Thursday, January 30, 2003

Pemuda UMNO mahu nilai semula hubungan dengan Pemuda PAP

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Pergerakan Pemuda UMNO mahu menilai semula hubungan dan kerjasamanya dengan Pemuda Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang terjalin selama ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, ini berikutan tindakan cabang golongan muda parti itu - Young PAP membangkitkan cadangan mengenai kemungkinan republik berkenaan akan berperang dengan Malaysia.

``Saya rasa kita perlu lihat semula hubungan dengan mereka, ini tindakan orang gila. Mereka langsung tidak mempunyai pemikiran yang rasional,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah Young PAP, cabang golongan muda PAP, parti pemerintah Singapura yang menyediakan laman Young PAP Discussion Forum' bagi memberi peluang kepada rakyat negara itu membincangkan kemungkinan republik itu berperang dengan Malaysia.

Peperangan dengan Malaysia dicadangkan oleh beberapa penghantar e-mel sebagai langkah untuk menyelesaikan beberapa isu antara kedua-dua negara termasuk soal air dan tuntutan Pulau Batu Putih.

Abdul Aziz berkata, hubungan antara Pemuda Umno dengan Pemuda PAP selama ini telah dikeruhkan oleh tindakan `gila' cabang golongan muda PAP itu.

Menurutnya, walaupun negara itu mendakwa mereka bertamadun dan merupakan negara maju, tetapi sekarang terbukti bahawa pemikiran mereka masih ketinggalan.

Ini katanya, berbeza dengan generasi muda Malaysia yang sibuk mempromosikan keamanan dunia seperti yang dijalankan menerusi kempen Aman Malaysia.

Namun Pemuda UMNO tetap bersedia mempertahankan segala hak negara dengan tidak membenarkan mana-mana pihak mengambil kesempatan atas sikap negara yang mengutamakan keamanan.

``Kita sentiasa berpendapat bahawa keamanan perlu dihargai, tetapi kita bersedia menghadapi apa jua kemungkinan'' tegasnya.

Katanya, Pemuda UMNO menganggap kerjasama dengan Singapura dan negara-negara ASEAN sangat penting dan generasi mudanya perlu mempunyai hubungan yang rapat.

``Tetapi kalau keikhlasan kita selama ini diambil kesempatan oleh Young PAP, kita akan tengok hubungan itu sama ada hanya membuang masa atau perlu lakukan sesuatu yang lebih baik,'' katanya.

Mengenai kemungkinan Pemuda UMNO akan menghantar bantahan kepada Singapura mengenai sikap Young PAP itu, Abdul Aziz berkata, tindakan itu tidak perlu - Utusan Malaysia

Monday, January 27, 2003

Syed Hamid ingatkan Jayakumar jangan cari sebab

PUTRAJAYA 26 Jan. - Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini mengingatkan rakan sejawatannya di Singapura, agar tidak mencari sebab untuk menuduh pemimpin dan media Malaysia tidak bertanggungjawab dalam memperkatakan isu yang melibatkan kepentingan negara ini.

Syed Hamid mengingatkan S. Jayakumar, sekiranya Malaysia mengambil pendekatan yang sama seperti dilakukan oleh Singapura sekarang, ia pasti akan mencetuskan ketegangan dalam hubungan dua hala.

Syed Hamid berkata, Malaysia juga boleh menyenaraikan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Singapura yang selama ini membuatkan rakyat negara ini tersinggung dan marah, tetapi tidak berbuat demikian kerana menghormati jiran.

``Saya berharap rakan sejawatan saya jangan sentiasa mengambil pendekatan `itemise' apa yang kita buat...ini kerana kalau kita hendak mengkategorikan perkara-perkara apa yang telah Singapura lakukan untuk menyinggung perasaan dan membangkitkan ketegangan di negara ini, memang banyak,'' katanya ketika ditemui pemberita di Hotel JW Marriot di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan, Menteri Hal Ehwal Luar republik itu dalam sidang tergempar di Parlimen Singapura semalam yang menuduh ahli-ahli politik dan media di Malaysia khususnya akhbar berbahasa Melayu suka `lepas cakap' mengenai perang dalam menyelesaikan isu Pulau Batu Putih.

Jayakumar mendakwa, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin kanan Malaysia adalah merujuk kepada peperangan dan perbuatan itu memberi kesan kepada emosi yang sukar dikawal.

Syed Hamid menegaskan, adalah tidak adil apabila sesuatu isu yang membabitkan kepentingan negara diperkatakan dan diperbahaskan secara umum, pemimpin-pemimpin Singapura pula mengambil sikap menuduh pemimpin politik atau media di Malaysia mencetuskan ketegangan.

``Saya rasa semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin Singapura ini bukan semangat timbang rasa sedangkan sebagai jiran, setiap perkara yang dibuat akan memberikan kesan kepada kita.

``Kita tidak pernah mengambil sebarang pendekatan secara fizikal atau mengisytiharkan perang.

``Pendekatan kita apabila ada masalah kita selesaikan dengan cara rundingan,'' katanya.

Menurut Syed Hamid, Malaysia sering menjalankan dasar memperkayakan jiran dengan sikap sopan-santun dan timbang rasa.

``Yang membuat para pemimpin-pemimpin politik dan media kita `bangkit' sekarang ialah apabila Singapura membuat tuduhan kepada kita apabila isu dua hala ditimbulkan.

``Sudah pasti, perkara-perkara yang menjadi kepentingan Malaysia akan menarik minat ramai serta pemimpin politik yang bertanggungjawab kepada kedudukan negara kita. Bukannya kita ingin membangkitkan ketegangan,'' katanya.

Beliau menambah, perkara itu juga timbul apabila Singapura menganggap Pulau Batu Putih adalah di bawah kedaulatannya sedangkan republik itu sendiri memahami ada tuntutan bertindih.

Kata beliau, tindakan Singapura yang agresif ketika melakukan rondaan di Pulau Batu Putih dan tidak membenarkan nelayan-nelayan Malaysia menghampiri pulau berkenaan turut mengundang rasa tidak senang rakyat negara ini.

``Apa yang penting sekarang, kita tunggu keputusan muktamad Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Masing-masing harus menyediakan hujah-hujah kukuh untuk mendapatkan pulau tersebut daripada mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan,'' katanya.

Bagaimanapun, katanya, sementara menunggu keputusan muktamad ICJ, Malaysia berhak membuat rondaan di pulau berkenaan.

Menjawab tuduhan Jayakumar yang mendakwa kapal tentera laut dan polis Malaysia mengambil kesempatan daripada suasana tegang untuk memperhebatkan rondaan di perairan Batu Putih sejak sebulan lalu, beliau berkata:

``Kita tidak bertindak agresif ketika membuat rondaan dan saya ingin tegaskan kita akan meneruskan rondaan di pulau berkenaan kerana agak aneh tidak melakukannya,'' kata Syed Hamid - Utusan Malaysia

Friday, January 24, 2003

Jangan ugut kami

TPM: Malaysia akan terus laksana hak rondaan di Pulau Batu Putih

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Malaysia mahu Singapura menghentikan semua bentuk ugutan dan ancaman terhadap negara ini berhubung isu Pulau Batu Putih sebelum hak kedaulatannya diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Pihak berkuasa Malaysia juga akan terus melaksanakan haknya untuk mengadakan rondaan aman di perairan pulau berkenaan seperti yang dilakukan oleh Singapura.

Reaksi tegas Malaysia itu disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Di Putrajaya, Abdullah yang kesal dengan amaran tindakan keras oleh Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Tan Keng Yam, sekiranya pihak berkuasa Malaysia mendekati Pulau Batu Putih berkata, ancaman itu tidak wajar memandangkan kedua-dua negara menganggap pulau itu sebahagian daripada wilayah masing-masing.

``Ini bukanlah masanya untuk mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman atau nak mengugut, itu bukan caranya kita mahu menyelesaikan isu Pulau Batu Putih.

``Kita sama-sama hendak bawa kes itu ke ICJ jadi sebelum ia diputuskan, tidak ada sesiapa yang boleh mengatakan pulau itu dia punya dan orang lain tidak boleh pergi ke situ,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bagi Meningkatkan Daya Saing Negara di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Kelmarin, Keng Yam mengeluarkan amaran bahawa Malaysia harus bertanggungjawab terhadap sebarang ketegangan dan risiko berlakunya kejadian yang tidak diingini sekiranya pihak berkuasa negaraini mendekati perairan Pulau Batu Putih.

Kedua-dua negara sebelum ini bersetuju untuk menandatangani perjanjian pada 6 Februari ini untuk membawa isu tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih ke ICJ di The Hague, Belanda.

Menurut Abdullah, kenyataan Keng Yam itu tidak akan membantu penyelesaian isu tersebut sebaliknya boleh memburukkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

``Sebab-sebabnya kita hendak bawakan kes itu ke mahkamah dunia adalah untuk mengelak daripada kita berpanjangan berbalah mengenai pulau berkenaan.

``Kalau dia sudah berkata begitu, tidak apalah, kita tunggu sahaja keputusan yang akan dibuat di ICJ,'' ujar Timbalan Perdana Menteri.

Di Melaka, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan terus menjalankan rondaan di kawasan perairan Pulau Batu Putih kerana pulau tersebut masih dalam pertikaian dan belum menjadi milik Singapura.

Beliau menegaskan, Malaysia mempunyai hak untuk melakukan rondaan berterusan dan tindakan sedemikian bukan perkara baru malah telah dilakukan sejak tahun 1964 lagi.

Katanya, republik itu juga membuat kenyataan provokatif apabila menuduh Malaysia melakukan pencerobohan terhadap perairan pulau tersebut.

Menurutnya, kenyataan itu boleh menghangatkan lagi perasaan rakyat negara ini, khususnya anggota-anggota tentera yang berkhidmat di atas kapal TLDM.

``Tuduhan Singapura bahawa kehadiran kita di situ akan menimbulkan ketegangan atau boleh membawa kepada sesuatu kejadian tidak diingini, tidak timbul sama sekali.

``Malah (kenyataan itu) boleh disifatkan provokatif kerana ini akan menghangatkan lagi perasaan rakyat Malaysia dan anggota-anggota TLDM,'' tegasnya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat tahunan Kementerian Pertahanan, di sini.

Najib menarik perhatian bahawa pihak berkuasa Malaysia boleh melakukan rondaan di perairan tersebut seperti biasa.

Malah, katanya, Indonesia turut melakukan perkara yang sama terhadap perairan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan semasa kedua-dua pulau berkenaan masih dalam pertikaian dahulu.

Menurut beliau, rondaan pihak keselamatan Malaysia di kawasan perairan itu dibuat secara tidak agresif, jauh sama sekali untuk meningkatkan tahap ketegangan di kawasan itu.

``ATM akan bersifat profesional dalam hal ini dan kita tidak akan lakukan apa-apa yang boleh menambahkan ketegangan.

``Kita tidak akan tunjukkan meriam kita, misil dan radar kita, jauh sekali untuk timbulkan tindakan provokatif di kawasan itu,'' kata beliau.

Sehubungan itu, Najib mengingatkan pemimpin republik itu supaya tidak membuat kenyataan yang boleh menimbulkan konflik atau mencetuskan ketegangan antara kedua-dua buah negara.

``Kita mahukan perkara ini diselesaikan cara aman bukan melalui konflik atau sebarang tindakan yang boleh timbulkan ketegangan antara kedua-dua buah negara,'' katanya - Utusan Malaysia

Monday, January 06, 2003

Singapura didesak tinggalkan Batu Putih

Oleh: Hata Wahari

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mengulangi desakannya kepada Kerajaan Singapura supaya mengeluarkan pasukan keselamatannya daripada Pulau Batu Putih dan perairannya serta merta.

Naib Ketuanya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, tindakan republik itu secara berterusan meletakkan pasukan keselamatan di Pulau Batu Putih dan perairannya menimbulkan banyak masalah bukan sahaja kepada negara ini.

Tambahnya, ia juga menimbulkan masalah kepada kapal-kapal dagang yang melalui perairan sekitar Pulau Batu Putih.

``Pemuda UMNO kesal, kerajaan Singapura masih enggan mengeluarkan pasukan keselamatannya dari perairan Pulau Batu Putih menyebabkan berlakunya kemalangan tersebut.

``Kali ini ia hanya menyebabkan seorang anggota tentera terbunuh dan tiga yang lain, semuanya wanita hilang, mungkin selepas ini akan berlaku tragedi lebih buruk lagi'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian sebuah kapal peronda anti kapal selam Tentera Laut Singapura, RSS Courageous, yang rosak teruk dan hampir tenggelam dalam pelanggaran dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda dekat Pulau Batu Putih malam kelmarin.

Seorang anggota tentera Singapura dilaporkan terbunuh dan tiga yang lain, semuanya wanita, hilang.

Kejadian berlaku kira-kira satu batu nautika (1.8 kilometer) dari Pulau Batu Putih ketika Singapura meningkatkan kawalan dan rondaan sekitar Pulau Batu Putih yang didakwanya merupakan sebahagian wilayah maritim republik itu.

Abdul Aziz bimbang, sekiranya berlaku sekali lagi pelanggaran antara kapal perang Tentera Laut Singapura dengan kapal dagang ia mungkin akan menyebabkan malapetaka yang lebih besar.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan membuat bantahan terhadap Singapura dan meminta mereka menarik keluar pasukan keselamatan dari pulau itu dengan segera.

Beliau juga menyokong kerajaan menolak cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas bagi membawa isu tuntutan Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Brussels, Belgium, pada akhir bulan ini.

Abdul Aziz berkata, tindakan Singapura itu tidak rasional langsung memandangkan Malaysia telah mencadangkan enam atau tujuh tarikh untuk menandatangani perjanjian khas tersebut.

``Ini jelas membuktikan negara itu tidak ikhlas dalam usaha menyelesaikan masalah tersebut.

``Pemuda UMNO yakin, republik itu mempunyai agenda terutama untuk mendapatkan simpati dari negara lain apabila mencadangkan perjanjian khas itu ditandatangani di Brussels, Belgium,'' katanya.

Beliau mencadangkan, sekiranya Singapura tidak mahu perjanjian itu ditandatangani di negaranya atau di Malaysia ia boleh ditandatangani di salah sebuah negara dalam ASEAN.

Malaysia sebelum ini mencadangkan enam atau tujuh tarikh kepada Singapura bagi melaksanakan perjanjian khas tersebut tetapi ditolak oleh republik itu - Utusan Malaysia

Sunday, January 05, 2003

Jangan pandang rendah keupayaan pertahanan kita

KOTA TINGGI 4 Jan. - Malaysia mengingatkan mana-mana pihak luar supaya tidak mencetuskan provokasi dengan memandang rendah terhadap keupayaan negara ini mempertahankan kedaulatannya.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, keupayaan Malaysia mempertahankan kedaulatannya tidak harus dipandang rendah dengan hanya berdasarkan aset pertahanan sedia ada.

``Kedaulatan dan integriti negara ini terletak pada tahap yang paling tinggi sekali dan saya tidak fikir sesiapapun boleh mengambil risiko dengan merendah-rendahkan prosedur (pertahanan) kerana ia memberikan kesan yang tinggi,'' katanya pada sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya di kediamannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas artikel di dalam akhbar berbahasa Inggeris mengenai laporan oleh Pihak Berkuasa Ketenteraan Britain tentang keupayaan pertahanan Malaysia jika dibandingkan dengan Singapura.

Artikel di dalam akhbar itu melaporkan Singapura mampu menewaskan Malaysia dalam masa sejam berdasarkan kepada aset persenjataan lojistik meliputi bilangan kereta kebal, pesawat pejuang, kapal selam dan sebagainya di antara Malaysia dan Singapura.

``Saya fikir kenyataan ini datang dalam masa yang bahaya dan (bersifat) provokasi, ada pihak di luar rantau ini cuba untuk mengganggu gugat kestabilan di rantau ini,'' jelas Syed Hamid.

``Saya juga berfikir adalah bahaya untuk mencetuskan cerita ini dalam keadaan begini seolah-olah ingin mencetuskan peperangan antara Singapura dan Malaysia,'' tegas beliau.

Beliau menyifatkan artikel itu seperti menggugat hubungan Malaysia dan Singapura yang kebelakangan ini tegang berikutan dengan pelbagai isu seperti tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, penambakan dan isu pembekalan air ke Singapura.

``Saya kecewa dengan artikel ini dan tidak tahu motifnya,'' kata beliau sambil menambah adalah normal bagi media barat untuk merendah-rendahkan apa yang Malaysia lakukan di dalam menangani beberapa isu.

Ditanya mengenai mesyuarat ketiga isu air antara Malaysia dan Singapura di Kuala Lumpur tahun ini, Syed Hamid menegaskan pihaknya tidak mempunyai cadangan untuk bermesyuarat dalam masa terdekat ini.

``Saya tidak mempunyai cadangan dalam masa terdekat ini, saya lebih suka ia diselesaikan mengikut undang-undang dan kepentingan Malaysia sebagai pemilik tanah dan air,'' jelas beliau.

Malaysia katanya, mendapati Singapura belum berniat menyelesaikan isu air walaupun hanya berminat untuk berunding.

Tambah beliau, perjanjian pembekalan air ke Singapura adalah mengikut undang-undang Malaysia dan terdapat beberapa pilihan yang ada dan Malaysia akan mengambil pilihan yang terbaik.

Beliau berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap rakyat, pemerintah akan cuba menyelesaikan beberapa isu dengan Singapura secara jangka panjang dan mengambil kira hubungan dua hala dari segi politik, ekonomi dan sebagainya.

``Kita inginkan setiap pertikaian (dengan Singapura) itu, hak kita dipertahankan dan kita akan membuat pendekatan berasaskan perundangan,'' katanya.

Beliau berkata menjadi harapan bahawa setiap pertelingkahan yang ada dapat diselesaikan dengan baik untuk terus menentukan kestabilan di rantau ini tidak terjejas dan tergugat - Utusan Malaysia

Friday, January 03, 2003

Batal niat ke Batu Putih beramai-ramai - Polis

MUAR 2 Jan. - Polis menasihatkan Pergerakan Pemuda UMNO Johor supaya membatalkan niat untuk menganjurkan lawatan beramai-ramai ke Pulau Batu Putih dengan menaiki bot-bot nelayan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mukhtar Ismail berkata, langkah itu tidak selamat kerana kebanyakan bot nelayan tidak dilengkapi dengan jaket keselamatan.

``Nasihat ini untuk keselamatan mereka sendiri, lebih-lebih lagi jika berlaku kemalangan di laut, usaha menyelamat sukar dijalankan.

``Saya hormati hasrat murni mereka tetapi sebagai orang yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan, saya nasihatkan mereka jangan teruskan niat itu,'' tegasnya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ketua-Ketua Polis Daerah di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rancangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor yang mahu meneruskan usaha ke pulau tersebut sebagai membantah tindakan Singapura menjalankan kerja-kerja pembinaan di pulau berkenaan.

Mukhtar berkata, lagipun, sudah ada persetujuan antara kedua-dua negara supaya kes tuntutan pulau tersebut dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

``Biarlah isu itu diselesaikan antara kerajaan dengan kerajaan kerana persetujuan sudah hampir tercapai untuk membawa kes ini ke ICJ,'' tambah beliau sambil menegaskan nasihat tersebut turut ditujukan kepada semua pihak yang bercadang berbuat demikian.

Kelmarin, polis telah menghalang sekumpulan pemimpin dan ahli Pergerakan Pemuda UMNO Johor daripada berlepas ke Pulau Batu Putih dengan menaiki bot-bot nelayan di jeti nelayan Sungai Rengit di Kota Tinggi.

Terdahulu, beliau menasihatkan institusi-institusi kewangan dan kedai-kedai emas di seluruh negeri agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian samun menjelang perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Mukhtar berkata, mereka mesti memastikan sistem litar kamera tertutup di premis masing-masing berfungsi dengan baik bagi memudahkan polis menjalankan siasatan jika berlaku sebarang kes rompakan.

Ini kerana dalam beberapa kejadian rompakan, polis mendapati sistem tersebut tidak berfungsi dengan baik menyebabkan siasatan sukar dijalankan - Utusan Malaysia

Thursday, January 02, 2003

Mempertahankan diri daripada keangkuhan

Oleh Zulkiflee Bakar

``Kita berjanji jika ada sesiapa mencabul kebebasan negara kita dengan tindakan pre-emptive atau forward defence mereka akan dapat apa yang disebut mat saleh sebagai a bloody nose (padah).''

Demikian kenyataan tegas yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam perutusan sempena menyambut tahun baru 2003.

Walaupun kenyataan itu tidak menyebut siapakah yang dimaksudkan tetapi berdasarkan kepada perkembangan semasa adalah jelas ia ditunjukkan kepada Singapura dan Australia.

Ini kerana Singapura semakin menunjukkan keangkuhannya terhadap Malaysia dalam berhadapan dengan sebarang isu termasuk tuntutan bertindih di Pulau Batu Putih.

Manakala Australia yang berhasrat menjadi `Amerika kecil' di rantau ini pula pernah menundukkan kebongkakannya apabila mengancam akan menceroboh mana-mana negara yang dikatakan menjadi tempat pengganas berlindung.

Namun keangkuhan kedua-dua negara tersebut tidak pernah membimbangkan Malaysia atas sebab itulah Dr. Mahathir memberikan amaran tegas berkenaan.

Ini kerana sepertimana kata Presiden Pergerakan Keadilan Dunia (Just), Dr. Chandra Muzaffar, mana-mana negara berhak mempertahankan kedaulatannya jika dicerobohi.

``Begitu juga Malaysia, kita berhak mempertahankan kedaulatan negara walau apa pun yang terjadi,'' katanya ketika dihubungi.

Oleh itu kenyataan tegas Perdana Menteri tersebut tidak harus dipandang remeh oleh kedua-dua negara berkenaan terutamanya Singapura yang semakin hari semakin menjadi `jiran yang buruk' kepada Malaysia.

``Apa yang terjadi sekarang sudah keterlaluan seolah-olah negara lain tidak ada kedaulatan, oleh itu Dr.Mahathir telah mengeluarkan satu kenyataan yang tegas yang ditujukan kepada kedua-dua negara berkenaan,'' kata pemerhati politik, Prof. Dr. Mustapa Ishak.

Menurut beliau, kenyataan Dr. Mahathir itu selaras dengan ketetapan antarabangsa bahawa semua negara berhak mempertahankan kedaulatan masing-masing.

``Sekurang-kurangnya kenyataan itu akan mengingatkan negara-negara yang mengamalkan doktrin sedemikian supaya memikirkan kembali apa juga langkah mereka,'' katanya.

Sememangnya sebagai pemimpin yang sentiasa berjuang untuk kesejahteraan rakyatnya dan bersedia berhadapan dengan apa juga ancaman, Dr. Mahathir secara halus ingin memberi ingatan kepada Singapura dan Australia bahawa keangkuhan yang mereka tunjukkan hanya akan memusnahkan diri sendiri.

``Ketidakadilan dan kebongkakan seperti itulah yang menyebabkan bangsa yang lemah dan kecewa memilih keganasan sebagai cara bertindak kerana tiada pilihan lain,'' kata Perdana Menteri.

Oleh itu Singapura sebagai sebuah negara yang merasa dirinya serba sempurna dan sering iri hati dengan jiran-jirannya perlu memahami bahawa keangkuhan yang ditunjukkan selama ini terutamanya berurusan dengan Malaysia tidak akan mendatangkan kebaikan.

Sebab itulah ketika diminta mengulas mengenai sikap Singapura ini, Dr. Mustapa menganggap Singapura hakikatnya takut dengan bayang-bayang sendiri dan menganggap Malaysia sebagai ancaman.

``Kita tidak pernah melihat Singapura sebagai ancaman tetapi Singapura bersikap sebaliknya, tetapi Singapura tidak berhak untuk menjadi `Israel' di rantau ini dan Malaysia bukanlah mempunyai sikap seperti negara-negara Arab.

``Jika Singapura ingin bertindak seperti Israel ke atas Malaysia, mereka telah melakukan kesilapan yang cukup besar,'' katanya.


Justeru sikap angkuh yang ditunjukkan oleh Singapura dan Australia tidak harus dibiarkan berterusan, Malaysia perlu mengamalkan pendekatan hubungan diplomatik yang lebih tegas dengan kedua-dua negara berkenaan.

Apatah lagi selama ini kita tidak pernah memerlukan kedua-dua negara berkenaan sama ada untuk mencapai pembangunan atau memperkembangkan ekonomi kita.

Langkah Malaysia sepertimana kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang akan mengutamakan kepentingan negara dalam sebarang pertimbangan berkaitan hubungan kerjasama dua hala dengan Singapura di masa akan datang adalah satu tindakan yang wajar.

``Selama ini Singapura menganggap kita tidak berani bertindak tegas dalam menjalin hubungan dengan mereka kerana mereka tahu kita mengamalkan sikap berbaik-baik dengan jiran.

``Tetapi kini melalui kenyataan Syed Hamid dan ketegasan Dr. Mahathir adalah jelas kita tidak akan membiarkan `kepala kita dipijak' oleh mana-mana negara' yang cuba mengambil kesempatan atas kebaikan kita,'' kata seorang diplomat Malaysia yang bertugas di sebuah negara ASEAN ketika dihubungi.

Sememangnya masa sudah tiba bagi Malaysia untuk menunjukkan ketegasan dalam soal mengadakan hubungan dengan Singapura atau mana-mana negara yang cuba menunjukkan keangkuhan mereka sama ada di rantau ini atau rantau-rantau lain.

Kita selamanya tidak boleh membiarkan kebaikan kita menjadi sandaran kepada mana-mana negara untuk menjadi `Israel atau Amerika Syarikat' di rantau ini.

Justeru peringatan yang diberikan oleh Dr. Mahathir boleh menjadi titik permulaan sebagai amaran awal kepada negara-negara berkenaan bahawa Malaysia tidak pernah berhasrat untuk tunduk dengan kehendak mana-mana negara.

Jika Singapura atau Australia merasakan keberanian mereka itu disebabkan `polis dunia' (Amerika Syarikat) berada di belakang mereka sehingga mendorong mereka mengeluarkan kenyataan yang angkuh, maka mereka sudah melakukan satu kesilapan besar yang akan merugikan mereka sendiri.

Ini kerana mereka harus berhadapan dengan Malaysia sebuah negara yang sudah membuktikan keupayaannya mampu menyelesaikan apa juga krisis, masalah atau kemelut dengan caranya sendiri dan lebih pada itu kita tidak pernah tunduk kepada tekanan mana-mana negara.

Kini segala-galanya terserah kepada kedua-dua negara berkenaan terutamanya Singapura sama ada untuk menjadi jiran yang baik atau buruk, apa juga pilihan Singapura dalam soal ini ia tidak akan menjejaskan Malaysia.

Apa yang pasti kita lebih rela tidak mempunyai jiran daripada memiliki jiran yang lebih banyak menyusahkan kita seperti Singapura.

Untuk Australia pula, kejayaan mereka membantu memisahkan Timor Leste dari Republik Indonesia tidak harus dijadikan sandaran bahawa mereka boleh sewenang-wenangnya menceroboh negara lain pula.

Mereka sebaliknya harus mendalami kata-kata Dr. Mahathir bahawa perjuangan untuk membebaskan Malaysia dilakukan bukannya supaya orang asing boleh membuat apa sahaja yang disukai kepada negara ini.

Oleh itu jika Singapura dan Australia masih ingin kekal dengan keangkuhan mereka, maka kita juga berhak menunjukkan keangkuhan kita kepada mereka - Utusan Malaysia

Wednesday, January 01, 2003

Bersedia terima padah - PM

Negara asing diberi amaran jangan berani cabul kebebasan kita

Oleh: Noraini Abdul Razak

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad membawa mesej tahun baru 2003 yang tegas dengan memberi amaran kepada negara asing untuk bersedia menerima padah jika mereka berani mencabul kebebasan negara ini.

Tanpa menyatakan negara asing tersebut, Perdana Menteri berkata: ``sudah ada negara yang bongkak yang mendakwa mereka berhak untuk mengambil tindakan pre-emptive (pencegahan) dan forward defence (mempertahankan diri dari awal) yang melibatkan negara kita.''

Dalam kata-kata tegas pada perutusannya yang disiarkan oleh RTM ke seluruh negara, beliau berkata:

``Kita berjanji jika ada sesiapa mencabul kebebasan negara kita dengan tindakan pre-emptive atau forward defence mereka akan dapat apa yang disebut oleh Mat Saleh sebagai a bloody nose (padah).

Dr. Mahathir mengingatkan bahawa ketidakadilan dan kebongkakan seperti itulah yang menyebabkan bangsa yang lemah dan kecewa memilih keganasan sebagai cara bertindak balas kerana tiada pilihan lain.

Singapura merupakan antara negara jiran yang dilihat menunjukkan keangkuhan apabila enggan berkompromi menyelesaikan beberapa isu melibatkan Malaysia termasuk yang terbaru melibatkan tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih.

Dalam hubungan ini, Perdana Menteri menegaskan, rakyat Malaysia hendaklah menentukan negara ini aman dan tenteram jika ingin mengelak keadaan di sini menjadi sama buruk seperti di lain-lain tempat.

Pihak-pihak di Malaysia yang ingin mengganas, katanya, harus berfikir bahawa negara ini bukan seperti lain-lain negara yang memiliki kerajaan yang gagal dan tidak dapat membangunkan negara, mengatasi kemiskinan dan menggunakan kekerasan untuk mengekalkan kuasa mereka.

Di Malaysia, kata Dr. Mahathir, rakyat boleh menukar kerajaan hanya dengan mengundi, oleh itu apa perlunya keganasan untuk merebut kuasa kerana ia bermakna niat untuk mendirikan kerajaan kuku besi yang membelakangkan hak rakyat.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan puak pelampau yang tidak sensitif terhadap puak dan kaum lain di negara ini supaya menghentikan tuntutan keterlaluan mereka yang hanya akan menggugat kestabilan negara.

``Ingatlah, keterlaluan hanya mengundang keterlaluan,'' katanya.


Dr. Mahathir berkata, Malaysia sudah diakui dan diiktiraf sebagai negara Islam malah majoriti orang Islam di negara ini berpuas hati dengan keislaman di sini selain mendapat pengiktirafan di kalangan negara Islam yang lain.

Selain itu, Perdana Menteri menggesa rakyat Malaysia supaya yakin dengan kebolehan sendiri dan perancangan serta pendekatan kerajaan dalam menangani masalah serta memajukan negara.

Dr. Mahathir percaya keyakinan tersebut kemungkinan besar boleh menyelamatkan negara daripada bencana yang sedang melanda dunia.

``Namun, kita perlu pupuk budaya kerja dan etika yang sesuai dengan kejayaan,'' katanya.

Menurut Perdana Menteri, terdapat segelintir rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan cara berfikir kebaratan sehingga tidak yakin terhadap kemampuan kerajaan menangani masalah negara.

Kumpulan berkenaan, tegas beliau, akan terus berkata walaupun negara berjaya tetapi adalah lebih baik jika mengikut cara ortodoks yang disarankan oleh pakar-pakar dunia.

``Jika tidak, kata mereka, nescaya kita akan runtuh,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata, banyak yang sudah dilakukan oleh kerajaan yang pihak asing meramalkan tidak mungkin akan berjaya seperti projek kereta nasional, jambatan Pulau Pinang, lebuh raya Utara-Selatan, lapangan terbang Senai, kawalan modal dan penetapan tukaran Ringgit Malaysia, pembangunan Langkawi, Labuan sebagai pusat kewangan luar pesisir pantai dan bermacam lagi.

Malah, kata beliau, peralihan dari negara pertanian kepada negara industri juga dikatakan tidak mungkin akan berjaya tetapi hakikatnya ialah Malaysia menjayakan hampir semua daripada perancangan dan pendekatan dengan cara sendiri.

Mengenai ekonomi Perdana Menteri berkata, jika tidak ada malapetaka besar seperti peperangan di Iraq, ekonomi dunia akan pulih sedikit dan ekonomi negara mampu mencapai pertumbuhan yang lebih baik dari tahun lepas.

``Tetapi segala-galanya bergantung kepada kita iaitu kerajaan dan rakyat Malaysia.

``Jika kita bijak, kita kekalkan keamanan, urus kewangan kita dengan baik dan bekerja kuat, Insya-Allah kita akan dapat bangunkan negara kita secara berterusan untuk kebahagiaan dan kesejahteraan kita,'' katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengajak rakyat Malaysia berusaha bersungguh-sungguh pada tahun 2003 untuk mengukuhkan ketahanan negara dan terus hidup sebagai bangsa yang bebas dan bermaruah.

Dr. Mahathir turut menyingkap kejadian letupan bom di Bali dan Kenya yang menurut beliau secara umumnya telah diduga kerana tidak ada percubaan bersungguh-sungguh yang dibuat untuk menangani sebab-sebab keganasan yang berlaku.

Katanya, tumpuan kepada peningkatan benteng keselamatan dan ketahanan dengan menggunakan teknologi semata-mata tidak mungkin dapat mengawal keganasan.

``Sebab itu kita berpendapat selagi ada pengganas tidak ada tempat di mana manusia seratus peratus selamat dan secara ikhlas kita berkata kita di Malaysia juga tidak boleh diselamatkan seratus peratus,'' katanya.

Menurut Perdana Menteri, pengganas sebenarnya lebih berjaya daripada harapan mereka, seluruh dunia sekarang hidup dalam ketakutan dan ekonomi dunia merosot dengan teruk.

Katanya, syak wasangka dan hubungan tegang antara negara telah meningkat, pendek kata serangan 11 September 2001 bukan sahaja berkesan terhadap negara sasar tetapi terhadap dunia.

``11 September membawa perubahan pemikiran dan lagak manusia yang tidak boleh dipulih semula seperti sebelumnya,'' katanya.

Dr. Mahathir memberitahu, Malaysia tidak boleh menggoncang dunia tetapi dalam masa yang sama negara juga tidak mampu memperbetulkan dunia.

Tetapi, katanya, Malaysia boleh secara relatif menentukan keselamatan, kemajuan dan kesejahteraan hidup manusia sejagat.

``Mungkin tidak sebaik yang boleh dicapai jika dunia aman dan maju tetapi sedikit sebanyak dapat juga kita tentukan nasib kita lebih baik daripada yang diramalkan oleh orang yang membenci kita,'' katanya - Utusan Malaysia

TUDM terus ronda ruang udara Batu Putih

Oleh: Sharilfuddin Saari


TUDM menerima sebuah pesawat pengangkut yang telah diubah suai oleh Airod Sdn. Bhd. dari jenis Hercules C-130H (M30-06) yang disempurnakan oleh Ahmad Johan dan Suleiman Mahmud di Subang, semalam.

SUBANG 31 Dis. - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terus mengadakan rondaan di ruang udara di Pulau Batu Putih bagi mencegah pencerobohan pesawat-pesawat dari negara luar terutama dari Singapura.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Suleiman Mahmud berkata, dalam hal ini pihaknya akan mengambil tindakan jika mendapati pesawat negara berkenaan memasuki zon larangan tanpa kebenaran.

Katanya, ini merupakan prosedur biasa yang dilakukan oleh mana-mana negara dalam mendokong kedaulatan ruang udara negara masing-masing.

``Jika mendapati pencerobohan dilakukan kita akan memberikan amaran sebelum tindakan seterusnya seperti menghalau pesawat berkenaan keluar,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan pesawat Hercules C-130H (M30-06) di Airod Sdn. Bhd. (Airod) di sini, hari ini.

Suleiman mengulas isu Pulau Batu Putih yang menjadi tuntutan bersama antara Malaysia dan Singapura.

Sebelum ini, akhbar melaporkan mengenai sebuah kapal ronda Polis Marin Malaysia yang melakukan rondaan berhampiran Pulau Batu Putih diusir Polis Pengawal Pantai Singapura kerana didakwa menceroboh perairan republik itu.

Dalam pada itu, C-130H (M30-06) menjalani kerja-kerja pengubahsuaian dan pemanjangan pesawat bagi meningkatkan lagi kemampuan kapasiti muatan kargo pesawat tersebut.

Pesawat tersebut telah diserahkan kepada Airod pada Mac lalu serentak dengan pemeriksaan berkala pada setiap 24 tahun sekali.

Suleiman berkata, semua kerja pemanjangan dilakukan tanpa bantuan tenaga pakar dari luar sama ada dari segi tenaga kerja atau kawal selia.

Katanya, negara juga dapat menjimatkan kos sebanyak RM16 juta jika kerja-kerja pemanjangan dilakukan di luar negara seperti Amerika Syarikat (AS).

``Empat ujian penerbangan telah dilakukan dan didapati pesawat ini lulus serta menepati parameter yang dijangka.

``Ia juga mendapat pengiktirafan daripada Lockheed Martin dari AS, sebuah syarikat pemeriksa pembuat pesawat,'' katanya.

Katanya, TUDM juga berhasrat untuk meningkatkan lagi sistem avionik bagi 14 buah pesawat Hercules yang lain dan sistem pertahanan pesawat miliknya di masa hadapan.

``Ia akan dilakukan jika kerajaan mempunyai sumber kewangan mencukupi namun tidak membabitkan kos yang tinggi,'' katanya.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, TUDM akan membelanjakan RM70 juta untuk memanjangkan dua buah pesawat pengangkut C-130H miliknya mulai September tahun 2000.

Kedua-dua pesawat berkenaan dipanjangkan sebanyak 2.5 meter di bahagian hadapan dan dua meter di bahagian belakang.

Dengan kerja-kerja pemanjangan itu, kedua-dua pesawat tersebut dijangka dapat meningkatkan keupayaan mengangkut sebanyak 20 tan.

Sementara itu, Presiden Airod, Tan Sri Ahmad Johan berkata, kejayaan mengubahsuai pesawat C-130H (M30-06) ini membuktikan kemampuan anak-anak tempatan dalam melakukan kerja-kerja rumit bidang aeroangkasa.

Beliau memberitahu, pada masa ini, Airod telah pun mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai sebuah pusat membaik-pulih dan memanjangkan pesawat C-130H.

``Selain itu, Airod juga mendapat pengiktirafan pusat penyelenggaraan gear mendarat dan pusat pengubahsuaian tangki,'' katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap Airod akan menjadi sebuah pusat menaiktaraf sistem avionik pesawat Hercules antarabangsa di masa hadapan - Utusan Malaysia

Malaysia-Singapore air incursions not critical

KUALA LUMPUR Dec 31 - Accidental incursions by aircraft of the Singapore and Malaysian air forces have not reached a critical level that requires interception, Malaysian Air Force Chief Datuk Seri Suleiman Mahmud said today.

He said there had been instances of Singapore aircraft entering Malaysian airspace and vice versa but they were only given warnings.

"We have never scrambled our airplanes and Singapore has also not reached the extent where they intercept our aircraft. Normally both parties give early warning via radio only," he told reporters after taking delivery of a C-130 (stretched version) aircraft from Airod in Subang, near here.

He said this when asked to comment on Singapore's recent action in stopping a Malaysian marine police patrol boat from approaching Pulau Batu Putih, which the two countries have laid claim to.

Earlier, in his speech, he called on the Defence Ministry to equip all transport planes and helicopters of the Royal Malaysian Air Force (RMAF) with a self-defence system.

He told reporters later that without such a system, the RMAF's transport aircraft could easily be shot down.

He said the RMAF realised the importance of the systeme when flying over the conflict area in Bosnia several years ago.

Malaysia had 14 transport aircraft but none of them was equipped with a minimal self-defence system, he said.

He was referring to the armour to protect the pilot and fuel tank from machine gunfire, radar for early warning of attacks by guided missiles and the "Chaff" system (a decoy in the form of a sunburst to confuse the enemy's guided missile which targets heat sources).

The C-130 aircraft which he took delivery of today has been stretched to accommodate more cargo - Utusan Malaysia

Friday, December 27, 2002

Malaysia tak akan hantar kapal perang ke Batu Putih - PM

PUTRAJAYA 26 Dis. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tidak akan menghantar kapal perang ke perairan Pulau Batu Putih kerana ia boleh menyebabkan negara ini berperang dengan Singapura.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mahu mengelak sebarang konfrontasi dengan negara jiran itu walaupun Singapura telah pun menempatkan kapal perangnya di perairan pulau berkenaan yang menjadi subjek tuntutan bertindih antara kedua-dua negara.

``Kita hendak mengelak daripada berkonfrontasi, kita bukannya hendak berperang dengan orang.

``(Tapi) kita bukannya mengalah, sebaliknya kita cuma tidak hendak cari sebab berperang,''
kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri majlis rumah terbuka Jabatan Perdana Menteri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Perdana Menteri mengulas permintaan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional, Datuk Hishammuddin Tun Hussein semalam supaya kerajaan menimbang untuk menempatkan kapal perang di perairan pulau berkenaan sebagaimana yang dilakukan Singapura.

Hishammuddin menyatakan, setiap tindakan awal Singapura memerlukan tindak balas setimpal daripada Malaysia memandangkan republik tersebut menunjukkan sikapnya yang sebenar dengan mendakwa pulau itu adalah milik mereka.

Malaysia juga harus mengambil tindakan tegas supaya tidak ada lagi warga negara ini yang berdepan dengan risiko diusir menggunakan kapal perang seperti yang berlaku kepada para nelayan sebelum ini dan juga beberapa wartawan yang meninjau keadaan perairan pulau berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian itu, wartawan tempatan yang menaiki sebuah bot peronda Polis Marin menerima amaran lisan daripada Pasukan Pengawal Pantai Singapura supaya meninggalkan kawasan tersebut kerana didakwa ``telah memasuki perairan Singapura.''

Pulau Batu Putih di Laut China Selatan yang terletak kira-kira 64 kilometer (km) dari Singapura itu berada sejauh 12.8 km sahaja dari Teluk Rumania di Johor.

Semalam, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Malaysia akan tetap mempertahankan Pulau Batu Putih kerana kerajaan percaya ia berada dalam wilayah negara ini.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan Singapura sedang rancak meneruskan kerja-kerja pembinaan di pulau berkenaan walaupun tuntutan terhadapnya belum lagi diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Republik itu menerima pelbagai kecaman dari negara ini kerana tidak mencerminkan semangat kejiranan dengan menghalau warga Malaysia dan tidak menghormati status quo pulau berkenaan kerana meneruskan pembinaan di situ.

Mengenai dakwaan Singapura bahawa rumah api yang dikendalikannya di pulau itu merupakan bukti nyata hak miliknya, Perdana Menteri berkata, bukti itu perlu dikemukakan kepada ICJ untuk diputuskan.

Katanya, Malaysia juga hanya akan memikirkan tindakan susulan sekiranya Singapura tidak mahu memberikan persetujuan untuk membawa isu itu ke ICJ ``bila kita sampai ke masa itu.''

Ketika menjawab pertanyaan mengenai kehadiran tentera Singapura di sebuah lagi pulau milik Malaysia, iaitu Pulau Pisang, Dr. Mahathir berkata, kerajaan memberikan kebenaran kepada republik berkenaan bagi memasuki pulau tersebut.

``Yang itu kita beri kebenaran dia masuk (untuk) jaga rumah api,'' ujar Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

Thursday, December 26, 2002

Kita tidak boleh biarkan sesiapa ambil apa-apa bahagian pun - PM

Batu Putih tetap dipertahan

``Tentunya ia (Pulau Batu Putih) penting kerana ia wilayah kita dan kita tidak kira sama ada ia mempunyai sumber minyak atau tidak.

``Negara kita adalah negara kita dan kita tidak boleh membenarkan sesiapa mengambil apa-apa bahagian pun,'' tegas Perdana Menteri.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan akan menyerahkan kepada Wisma Putra untuk menghantar bantahan rasmi kepada Singapura berhubung tindakan republik itu mengusir sebuah kapal peronda polis Marin Malaysia dari pulau yang menghadapi tuntutan bertindih itu semalam.


``Saya fikir terpulang kepada Wisma Putra mengkaji kemungkinan untuk membantah tetapi jika Singapura anggap pulau itu miliknya, alasannya tentu ia bertindak atas anggapan ia adalah milik mereka.''

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis keraian Hari Natal anjuran Persekutuan Kristian Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri menekankan mengenai kepentingan tuntutan terhadap Pulau Batu Putih ketika mengulas tindakan Pasukan Pengawal Pantai Singapura mengusir bot polis Marin Malaysia yang membawa sekumpulan wartawan meninjau perairan pulau berkenaan semalam.

Salah seorang anggota Pasukan Pengawal Pantai Singapura dengan menggunakan pembesar suara berkata: ``Anda telah memasuki perairan Singapura. Sila keluar sekarang.''

Pulau di Laut China Selatan yang terletak kira-kira 64 kilometer (km) dari Singapura itu berada sejauh 12.8 km sahaja dari Teluk Ramunia di Johor.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan Singapura sedang rancak meneruskan kerja-kerja pembinaan di pulau berkenaan walaupun tuntutan terhadapnya belum diputuskan lagi.

Mengenai usaha untuk mendapatkan pengadilan tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Dr. Mahathir berkata:

``Singapura belum mengemukakan sebarang dokumen bagi menyokong dakwaannya walaupun republik itu telah menyatakan persetujuan untuk berbuat demikian sejak empat tahun dulu.''

Katanya, sikap Singapura itu telah melambatkan usaha Malaysia untuk mendapatkan pengadilan segera dari ICJ atau mengekalkan status quo ke atas pulau berkenaan.

``Walaupun mereka setuju sejak tahun 1998 lagi untuk membawanya kepada ICJ, mereka belum sediakan segala dokumentasi untuk tuntutan yang mereka buat.

``Memanglah (Singapura mendakwa sedang memeriksa bukti) tetapi sejak tahun 1998 hingga sekarang, tiada apa-apa pun, itu adalah masa yang lama (sedangkan) kita sudah bersedia,'' tegas Perdana Menteri.

Menurut Dr. Mahathir, Singapura juga tidak seharusnya membuat pelbagai dakwaan melalui medianya sebaliknya memberikan bukti-bukti kepada ICJ untuk diadili.

``Yang itu kita serahkan kepada ICJ, sama ada ia iktiraf atau tidak (bukti yang didakwa dimiliki ICJ),'' ujarnya.

Baru-baru ini, sebuah akhbar republik berkenaan mengeluarkan artikel yang mendakwa Pulau Batu Putih telah berada di bawah seliaan Singapura sejak 1840 lagi dan Malaysia hanya berminat untuk menuntut hak ke atasnya pada tahun 1979.

Mengenai tindakan Singapura menjalankan kegiatan pembinaan di pulau tersebut, Perdana Menteri mengulangi pendiriannya bahawa ia tidak sesuai dari segi perundangan antarabangsa.


``Kalau ada pertikaian, patutnya hentikanlah, tunggu keputusan ICJ dulu,'' jelas beliau - Utusan Malaysia

Kerajaan diminta timbang tempatkan tentera, kapal perang

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini meminta kerajaan menimbang untuk menempatkan pasukan tentera dan kapal perang di perairan Pulau Batu Putih sebagaimana yang dilakukan oleh Singapura sekarang.

Pengerusinya, Datuk Hishammuddin Tun Hussein Onn berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan secara serius kerana setiap tindakan awal dari pihak Singapura memerlukan tindak balas setimpal dari Malaysia.

Menurut beliau, tindakan Singapura menempatkan kapal perang berhampiran Pulau Batu Putih itu menunjukkan sikap sebenar Singapura berbanding negara-negara ASEAN lain.

``Bagi menghadapi sikap republik itu, Malaysia harus menimbang untuk meletakkan tentera serta kapal perang di perairan pulau tersebut.

``Selain itu, Malaysia harus mengambil tindakan tegas supaya tidak ada lagi warga negara kita yang berdepan dengan keadaan yang sama lagi (diusir oleh tentera Singapura),'' katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pasukan Pengawal Pantai dan kapal perang Tentera Laut Singapura yang mengusir sebuah kapal peronda Polis Marin Malaysia yang membawa sekumpulan wartawan yang melakukan tinjauan di perairan berhampiran pulau itu petang semalam.

Pada perkembangan yang sama, Hishammuddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, Malaysia akan terus mendesak Singapura supaya menghentikan sebarang tindakan yang bercanggah dengan persetujuan mereka untuk menyerahkan isu tuntutan ke atas pulau itu kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menurut beliau, Pemuda BN dan UMNO tidak akan berkompromi dengan tindakan Singapura yang disifatkan sebagai tidak menghormati keputusan kedua-dua buah negara untuk membawa perkara tersebut kepada ICJ.

Jelasnya, apabila Indonesia bersetuju untuk menyerahkan isu tuntutan bertindih ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan ke ICJ, mereka tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan perhubungan dua hala dengan Malaysia.

Kata beliau, tetapi dalam hal tuntutan bertindih mengenai Pulau Batu Putih, Singapura nampaknya melakukan provokasi atau cuba mengeruhkan keadaan.

Hishammuddin menyifatkan tindakan yang diambil oleh Singapura sebagai cuba mengambil kesempatan untuk menggambarkan bahawa Pulau Batu Putih adalah hak mereka.

Ditanya mengenai tindakan susulan Pemuda BN selepas menghantar memorandum bantahan semalam, beliau berkata, penghantaran memorandum hanyalah satu prosedur tetapi apa yang penting ialah menyuarakan perasaan tidak puas hati.

Tambahnya, jika keadaan demikian berterusan, kemungkinan besar Pemuda UMNO dan Pemuda BN terpaksa bersemuka dengan pihak Singapura - Utusan Malaysia

Singapura diberi amaran keras tarik keluar pasukan keselamatan

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pergerakan Pemuda UMNO hari ini memberi amaran keras kepada Kerajaan Singapura supaya mengeluarkan pasukan keselamatannya daripada Pulau Batu Putih dan perairannya serta-merta atau menghadapi tindakan balas Malaysia.

Naib Ketuanya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan menyifatkan perbuatan republik itu yang menempatkan pasukan keselamatan sekitar pulau berkenaan amat angkuh dan biadap.


Malah, katanya, tindakan tersebut juga telah menunjukkan seolah-oleh mereka mempunyai ketuanan ke atas pulau itu walaupun ia belum diputuskan milik mana-mana pihak.

``Apa hak mereka untuk menghalau rakyat negara ini sedangkan ia (Pulau Batu Putih) belum tentu milik mereka,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pihaknya juga mendesak Kerajaan Malaysia supaya jangan memberi muka kepada republik itu selagi mereka gagal mengembalikan semangat muhibah jiran tetangga yang dianggap sudah hilang ketika ini.

Tegasnya, kerajaan juga diminta supaya tidak tunduk kepada tindakan negara itu yang gagal menetap tarikh serta cuba berdolak-dalik untuk membawa isu tuntutan Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).


``Seboleh-bolehnya kerajaan jangan bagi peluang langsung kepada Singapura. Apa yang perlu dilakukan ialah desak mereka supaya menyegerakan proses bawa isu ini ke majlis timbang tara.

``Jika terus dibiarkan berdolak-dalik, mereka akan anggap kita takut dan menjadikan republik itu makin hari makin angkuh,'' katanya.

Isu tuntutan Pulau Batu Putih semakin hangat diperkatakan pelbagai pihak berikutan pendedahan eksklusif Mingguan Malaysia baru-baru ini mengenai tindakan republik itu meneruskan kerja-kerja pembinaan di pulau tersebut walaupun hak terhadap pulau berkenaan yang masih menjadi tuntutan bersama dengan Malaysia masih dipertikaikan.

Ketika isu tuntutan itu dibawa ke ICJ, Singapura telah bertindak seolah-olah pulau itu telah menjadi miliknya termasuk menempatkan pasukan keselamatan secara tetap.

Selain rumah api, terdapat kuarters dua tingkat yang asalnya hanya setingkat beberapa tahun lalu untuk pekerja dari republik itu dan menara radar yang dipercayai untuk mengawal laluan kapal - Utusan Malaysia

DR. M: Kita mahu henti bincang air dengan Singapura

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia mahu menghentikan perbincangan mengenai harga bekalan air mentah ke Singapura kerana ia tidak membawa sebarang penyelesaian.

Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dirujuk kepada penimbang tara memandangkan perbincangan antara kedua-dua pihak mundur ke belakang berikutan keengganan Singapura mengiktiraf hak Malaysia untuk menyemak semula harga.

``Kita sedang mengkaji proses timbang tara kerana kita tidak mencatat sebarang perkembangan (sedangkan) bila Lee Kuan Yew (Menteri Kanan Singapura) datang jumpa saya, dia datang khas untuk bincangkan harga air.

``Sebenarnya mereka mundur ke belakang dengan mengatakan masanya (untuk Malaysia menyemak semula harga) telah lepas,'' kata Perdana Menteri.


Beliau menambah, kemungkinan untuk Malaysia membawa perkara itu ke pihak timbang tara iaitu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sudah dibincangkan beberapa kali di Kabinet.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita di majlis keraian Hari Natal anjuran Persekutuan Kristian Malaysia di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan sama ada Malaysia sedang menimbangkan untuk membawa isu harga air yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu kepada ICJ.

Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan, Malaysia perlu mendapat persetujuan Singapura terlebih dahulu sebelum membawa perkara tersebut ke mahkamah tersebut.

``Kita bagaimanapun perlu mendapatkan persetujuan Singapura juga, jika tidak, jalan mati,'' ujarnya.

Selain masalah air, Malaysia juga sedang menunggu Singapura untuk memberikan persetujuan bagi membawa isu tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih ke ICJ.

Menurut Dr. Mahathir, Singapura memberikan alasan, perjanjian air pada tahun 1961 dan 1962 itu menyatakan Malaysia hanya berhak menyemak semula harga selepas tepat 25 tahun dan tidak boleh lebih dari itu.


``Kepada kita 30 tahun atau 40 tahun atau 50 tahun, semuanya selepas 25 tahun tetapi kepada mereka selepas 25 tahun ialah tepat pada masanya.

``Itu hanya bergantung kepada anggapan masing-masing,'' katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak akan memutuskan bekalan air sekiranya tidak dapat membawa isu itu kepada penimbang tara sebaliknya hanya boleh membekalkan air untuk keperluan minum dan mandi sahaja untuk rakyat republik itu.

``Kita tidak akan bekalkan air untuk mereka jual pula (kerana) saya tahu mereka jual air yang dirawat sebanyak 20 dolar Singapura (kira-kira RM40) bagi setiap 1,000 gelen air dirawat, sedangkan kita jual 30 sen sahaja bagi setiap 1,000 gelen air mentah.

``Jika kos merawat kira-kira dua dolar Singapura pun, sudah boleh buat untung yang amat besar jadi kita rasa tidak perlulah kita menyumbang begitu banyak ke dalam tabung mereka,''
ujarnya - Utusan Malaysia

Monday, November 25, 2002

Hubungan perdagangan Malaysia- Singapura tidak terjejas - Rafidah

PETALING JAYA 24 Dis. - Hubungan perdagangan di antara Malaysia dan Singapura tidak akan terjejas walaupun kedua-dua negara kini sedang menghadapi isu tuntutan bersama ke atas Pulau Batu Putih.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, Malaysia yakin bahawa perkara tersebut tidak akan menimbulkan sebarang masalah kerana tuntutan itu tidak melibatkan hubungan dagangan secara langsung.

``Perhubungan perdagangan di antara kita dengan Singapura tetap berjalan lancar kerana ia (tuntutan Pulau Batu Putih) tidak ada kena-mengena dengan urusan menjual beli secara langsung,'' katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk A. Razak Ramli dan Ketua Pengarah NPC, Mah Lok Abdullah.

Pada majlis tersebut, sebanyak 30 orang anak yatim dari Rumah Bakti Hulu Klang diraikan dengan pelbagai hidangan jamuan beserta sumbangan duit raya.

Mengulas lanjut, Rafidah berkata, hubungan perdagangan yang berjalan lancar telah dibuktikan oleh Malaysia dan Indonesia baru-baru ini yang terlibat dalam tuntutan Pulau Sipadan dan Ligitan.

``Bahkan hubungan perdagangan dengan Indonesia juga menunjukkan trend yang semakin meningkat,'' jelasnya.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO menegaskan, Singapura haruslah bertindak berhati-hati terhadap isu tuntutan Pulau Batu Putih kerana negara itu perlu menjaga sensiviti rakyat negara ini.

``Kita berharap bahawa Singapura tidak akan terus melakukan apa-apa jua yang menjejaskan usaha penyelesaian tuntutan pulau itu.


``Ini kerana kalau Singapura terus membuat tindakan seperti membina bangunan dan menempatkan anggota keselamatannya, ia seolah-olah mengenepikan proses timbang tara yang seterusnya menjejaskan proses tersebut,'' tegasnya.

Isu tuntutan Pulau Batu Putih semakin hangat diperkatakan berikutan pendedahan eksklusif Mingguan Malaysia, baru-baru ini mengenai tindakan Singapura meneruskan kerja-kerja pembinaan di pulau tersebut walaupun hak terhadap pulau itu yang menjadi tuntutan bersama dengan Malaysia masih dipertikaikan.

Ketika isu tuntutan itu akan dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Singapura bertindak seolah-olah pulau itu telah menjadi miliknya termasuk menempatkan unit peronda marin secara tetap.

Selain rumah api, terdapat kuarters dua tingkat yang asalnya hanya setingkat beberapa tahun lalu untuk pekerja dari republik itu dan menara radar yang dipercayai untuk mengawasi kapal.

Dalam perkembangan lain, Rafidah menjelaskan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung ura-ura terdapatnya sekatan perdagangan yang dibuat oleh Singapura ke atas beberapa barangan pertanian dari negara ini - Utusan Malaysia