Thursday, December 26, 2002

Kerajaan diminta timbang tempatkan tentera, kapal perang

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini meminta kerajaan menimbang untuk menempatkan pasukan tentera dan kapal perang di perairan Pulau Batu Putih sebagaimana yang dilakukan oleh Singapura sekarang.

Pengerusinya, Datuk Hishammuddin Tun Hussein Onn berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan secara serius kerana setiap tindakan awal dari pihak Singapura memerlukan tindak balas setimpal dari Malaysia.

Menurut beliau, tindakan Singapura menempatkan kapal perang berhampiran Pulau Batu Putih itu menunjukkan sikap sebenar Singapura berbanding negara-negara ASEAN lain.

``Bagi menghadapi sikap republik itu, Malaysia harus menimbang untuk meletakkan tentera serta kapal perang di perairan pulau tersebut.

``Selain itu, Malaysia harus mengambil tindakan tegas supaya tidak ada lagi warga negara kita yang berdepan dengan keadaan yang sama lagi (diusir oleh tentera Singapura),'' katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pasukan Pengawal Pantai dan kapal perang Tentera Laut Singapura yang mengusir sebuah kapal peronda Polis Marin Malaysia yang membawa sekumpulan wartawan yang melakukan tinjauan di perairan berhampiran pulau itu petang semalam.

Pada perkembangan yang sama, Hishammuddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, Malaysia akan terus mendesak Singapura supaya menghentikan sebarang tindakan yang bercanggah dengan persetujuan mereka untuk menyerahkan isu tuntutan ke atas pulau itu kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menurut beliau, Pemuda BN dan UMNO tidak akan berkompromi dengan tindakan Singapura yang disifatkan sebagai tidak menghormati keputusan kedua-dua buah negara untuk membawa perkara tersebut kepada ICJ.

Jelasnya, apabila Indonesia bersetuju untuk menyerahkan isu tuntutan bertindih ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan ke ICJ, mereka tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan perhubungan dua hala dengan Malaysia.

Kata beliau, tetapi dalam hal tuntutan bertindih mengenai Pulau Batu Putih, Singapura nampaknya melakukan provokasi atau cuba mengeruhkan keadaan.

Hishammuddin menyifatkan tindakan yang diambil oleh Singapura sebagai cuba mengambil kesempatan untuk menggambarkan bahawa Pulau Batu Putih adalah hak mereka.

Ditanya mengenai tindakan susulan Pemuda BN selepas menghantar memorandum bantahan semalam, beliau berkata, penghantaran memorandum hanyalah satu prosedur tetapi apa yang penting ialah menyuarakan perasaan tidak puas hati.

Tambahnya, jika keadaan demikian berterusan, kemungkinan besar Pemuda UMNO dan Pemuda BN terpaksa bersemuka dengan pihak Singapura - Utusan Malaysia

Singapura diberi amaran keras tarik keluar pasukan keselamatan

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pergerakan Pemuda UMNO hari ini memberi amaran keras kepada Kerajaan Singapura supaya mengeluarkan pasukan keselamatannya daripada Pulau Batu Putih dan perairannya serta-merta atau menghadapi tindakan balas Malaysia.

Naib Ketuanya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan menyifatkan perbuatan republik itu yang menempatkan pasukan keselamatan sekitar pulau berkenaan amat angkuh dan biadap.


Malah, katanya, tindakan tersebut juga telah menunjukkan seolah-oleh mereka mempunyai ketuanan ke atas pulau itu walaupun ia belum diputuskan milik mana-mana pihak.

``Apa hak mereka untuk menghalau rakyat negara ini sedangkan ia (Pulau Batu Putih) belum tentu milik mereka,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pihaknya juga mendesak Kerajaan Malaysia supaya jangan memberi muka kepada republik itu selagi mereka gagal mengembalikan semangat muhibah jiran tetangga yang dianggap sudah hilang ketika ini.

Tegasnya, kerajaan juga diminta supaya tidak tunduk kepada tindakan negara itu yang gagal menetap tarikh serta cuba berdolak-dalik untuk membawa isu tuntutan Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).


``Seboleh-bolehnya kerajaan jangan bagi peluang langsung kepada Singapura. Apa yang perlu dilakukan ialah desak mereka supaya menyegerakan proses bawa isu ini ke majlis timbang tara.

``Jika terus dibiarkan berdolak-dalik, mereka akan anggap kita takut dan menjadikan republik itu makin hari makin angkuh,'' katanya.

Isu tuntutan Pulau Batu Putih semakin hangat diperkatakan pelbagai pihak berikutan pendedahan eksklusif Mingguan Malaysia baru-baru ini mengenai tindakan republik itu meneruskan kerja-kerja pembinaan di pulau tersebut walaupun hak terhadap pulau berkenaan yang masih menjadi tuntutan bersama dengan Malaysia masih dipertikaikan.

Ketika isu tuntutan itu dibawa ke ICJ, Singapura telah bertindak seolah-olah pulau itu telah menjadi miliknya termasuk menempatkan pasukan keselamatan secara tetap.

Selain rumah api, terdapat kuarters dua tingkat yang asalnya hanya setingkat beberapa tahun lalu untuk pekerja dari republik itu dan menara radar yang dipercayai untuk mengawal laluan kapal - Utusan Malaysia

No comments: