Thursday, December 26, 2002

Singapura wajar hentikan provokasi

Malaysia bukan negara yang ghairah untuk menuntut mana-mana pulau yang menjadi tuntutan bertindih selepas berjaya mendapat hak ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini. Itu bukan dalam agenda kita.

Dalam isu Pulau Batu Putih, Malaysia dan Singapura sama-sama membuat tuntutan terhadap pulau yang berada di lokasi yang strategik untuk maritim antarabangsa itu. Malah Singapura pada dasarnya telah bersetuju untuk membawa kes ini ke ICJ. Tetapi tindakan Singapura meneruskan kerja-kerja pembinaan di Pulau Batu Putih termasuk membina sebuah bangunan dua tingkat dan tempat pendaratan helikopter mengundang perasaan kurang senang kepada Malaysia.

Singapura mungkin sedar dan faham bahawa ia adalah sebuah negara yang kecil. Jika Malaysia mengambil tindakan yang agak keras, ia akan memperlihatkan negara kita sebagai `pembuli'. Sebab itu ketika isu tuntutan ini akan dibawa ke ICJ, Singapura sengaja bertindak seolah-olah pulau itu telah menjadi miliknya termasuk menempatkan unit peronda marinnya secara tetap.


Sebenarnya sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Malaysia pernah mengemukakan bantahan kepada kerajaan Singapura pada tahun ini tetapi negara jiran itu masih meneruskan kerja-kerja pembinaan yang tidak sepatutnya dilakukan. Jika kita terus bertindak agresif seperti misi ketenteraan ke atas pulau itu, keadaan itu akan menunjukkan negara kita seolah-olah mahu membuli negara kecil itu.

Namun, kita tertanya-tanya apakah permainan yang hendak dimainkan oleh Singapura dalam menyelesaikan beberapa masalah bersama. Isu-isu tertangguh antara kedua-dua negara yang mengganggu hubungan dua hala sebelum ini masih belum ada tanda penyelesaiannya dan kini ditambah dengan tindak-tanduknya di Pulau Batu Putih.

Persetujuan supaya tuntutan bertindih Pulau Batu Putih dikemukakan kepada ICJ secepat mungkin kini hanya menunggu tarikh menandatangani persetujuan bersama daripada kerajaan Singapura sahaja. Tetapi sehingga kini jelas Singapura masih belum dapat memberi sebarang tarikh. Meminjam kata Syed Hamid, ia bukanlah satu proses yang sukar.

Singapura sepatutnya bertolak ansur dengan Malaysia atas semangat kejiranan dan permuafakatan dalam ASEAN. Caranya mudah iaitu menghentikan provokasi dan segera mengadakan rundingan bagi menyelesaikan semua masalah bersama.

Tidak rugi Singapura mendengar kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bahawa republik itu sepatutnya menghentikan sebarang pembinaan di Pulau Batu Putih selagi negara itu masih terbabit dalam tuntutan bertindih terhadap kedaulatan pulau berkenaan dengan Malaysia.

Dalam tuntutan terhadap Pulau Sipadan dan Ligitan contohnya, Malaysia tidak melakukan sebarang kerja-kerja pembinaan di kedua-dua pulau itu selagi kes tersebut belum selesai.

Tetapi tindakan Singapura meneruskan kerja pembinaan di Pulau Batu Putih, membuktikan republik itu degil dan sengaja membuat provokasi terhadap kesabaran Malaysia selama ini.

Namun, kita akan terus memantau dan menghormati undang-undang antarabangsa yang menyarankan sesuatu pertikaian yang berlaku hendaklah diselesaikan secara aman - Utusan Malaysia

No comments: