KUALA LUMPUR 25 Dis. - Tindakan Singapura menghantar kapal perangnya berkawal di Pulau Batu Putih menunjukkan republik itu tidak menghormati hakikat bahawa pulau tersebut masih dalam proses pertikaian.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sepatutnya konsep pengendalian pulau itu dibuat secara terbuka antara Singapura dan Malaysia.
Katanya, sikap Singapura itu tidak mencerminkan kesungguhan untuk menyelesaikan pertikaian antara dua negara berjiran secara baik.
``Kita sudah lama protes melalui Wisma Putra berkenaan sikap Singapura berhubung Pulau Batu Putih kerana kalau pulau itu dianggap kawasan yang dipertikaikan, maka tak ada pihak patut mengatakan ia hak mutlaknya.
``Jadi pengawasan tidak seharusnya dilakukan oleh tentera dan polis Singapura terhadap rakyat Malaysia yang hendak memasuki pulau tersebut lebih-lebih lagi nelayan kita,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri jamuan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Abdul Rauf Yusoh, di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Pasukan Pengawal Pantai (PPP) Singapura mengusir sekumpulan wartawan Malaysia yang membuat tinjauan di Pulau Batu Putih semalam, setelah memberi amaran yang perairan itu adalah milik Singapura.
Najib kesal kerana walaupun bantahan dibuat tetapi Singapura masih berdegil untuk terus menjalankan penguatkuasaan di pulau tersebut seolah-olah sudah menjadi hak mutlak republik itu.
``Kita tidak boleh terima perkara ini dan akan terus mengemukakan bantahan dan berharap akhirnya akan menang di peringkat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),'' katanya.
Ditanya adakah Malaysia juga akan bertindak meletakkan kapal perang bagi mengawasi perairan di pulau berkenaan, beliau berkata:
``Setakat ini kita buat bantahan dan perkembangan selanjutnya menunggu arahan Kabinet berhubung isu ini.
``Kita tidak boleh terangkan segala-gala perancangan dan strategi tetapi apa yang dilakukan oleh Singapura kita ambil kira dan akan tentukan reaksi sewajarnya.''
Beliau menolak tanggapan bahawa Malaysia terlalu berlembut dalam soal ini.
``Kita nak masuk kawasan itu tak boleh apabila sekatan dibuat oleh Singapura tetapi segala perilaku republik itu kita akan ambil kira dan menjadi fakta dalam penentuan muktamad nanti,'' tegasnya.
Najib berkata: ``Ini bukan soal berlembut kerana kalau lihat kes pertikaian Pulau Sipadan dan Ligitan, keputusan ICJ tidak berasaskan penglibatan tentera.
``ICJ tidak ambil kira siapa yang letak kapal perang di pulau berkenaan tetapi lebih kepada pentadbiran pulau itu dan aspek perundangan dalam menentukan keputusan.''
Beliau menyangkal bahawa `penguasaan' Singapura ke atas pulau itu akan mendorong keputusan ICJ memihak kepada republik itu.
Ini kerana, katanya, kes Pulau Batu Putih berbeza daripada tuntutan ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan.
Najib bagaimanapun merasakan tidak wajar untuk mendedahkan fakta yang ada bagi mengelakkan strategi Malaysia diketahui umum - Utusan Malaysia
Thursday, December 26, 2002
Tindakan Singapura hantar kapal perang dikesali
Posted by 9T9 at 2:39 PM
Labels: Media, Ulasan, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment