Thursday, December 26, 2002

S'pura didakwa sengaja lewatkan bawa pertikaian Batu Putih ke ICJ

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Kedua Singapura Lim Yew Hock, Profesor Mohammed Yacob mendakwa, kerajaan republik itu mempunyai muslihat tersendiri apabila sengaja melewat-lewatkan proses membawa isu pertikaian Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menurutnya, agenda tersebut jelas kelihatan berdasarkan sikap negara itu yang mengambil masa yang lama untuk memberi persetujuan rasmi membawa kes tersebut ke mahkamah antarabangsa tersebut.


Sedangkan, kata beliau, persetujuan awal telah dicapai antara Singapura dan Malaysia pada April 1988 untuk merujuk pertelingkahan itu ke ICJ.

Beliau berkata, ada kemungkinan juga Singapura bersikap sedemikian kerana masih ragu-ragu dengan kemampuannya memenangi pertikaian itu nanti.

``Bila ia (Singapura) lengah-lengahkan sampai sekarang belum mahu tandatangan, ada yang ia belum terang lagi.

``Ada perkara yang ia masih musykil lagi,'' katanya yang menetap di Johor Bahru sewaktu dipetik dari siaran Buletin Utama TV3 malam ini.

Mohamed berkata demikian sebagai mengulas tindakan Singapura yang masih belum mahu menandatangani perjanjian bagi membolehkan pertikaian ke atas kedaulatan Pulau Batu Putih diselesaikan di ICJ.

Pada masa yang sama, negara jiran itu tetap meneruskan pembinaan bangunan tambahan di pulau berkenaan sehingga menimbulkan rasa tidak senang pelbagai pihak di negara ini seolah-olah pulau berkenaan telah sah menjadi milik Singapura.

Mohamed yang sering mengulas mengenai isu-isu melibatkan Malaysia-Singapura menambah, Malaysia pada hakikatnya mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kes itu nanti.

Bagaimanapun, untuk memastikan hasrat itu tercapai beliau berharap kerajaan akan bekerja keras membuat segala kajian terhadap segala undang-undang berkaitan yang ada.

Dalam pada itu, Mohamed turut menyifatkan tindakan pihak berkuasa Singapura menghalau kapal peronda Polis Marin Malaysia yang berada berhampiran Pulau Batu Putih semalam sebagai perbuatan biadap.

``Bila satu tempat itu masih menjadi pertikaian, kedua-duanya masih mempunyai hak undang-undang (di situ) kecuali keputusan sudah dibuat.

``Ini keputusan belum dibuat ia sudah halau orang. Itu adalah perbuatan biadap dan kurang ajar,''
katanya.

Mohamed, 84, menjawat jawatan setiausaha politik kepada Ketua Menteri Kedua Singapura Lim Yew Hock pada 1958. Beliau adalah bekas Setiausaha Agung Parti Perikatan Singapura 1958-59 - Utusan Malaysia

No comments: