Thursday, December 26, 2002

Singapura tidak hormati semangat kejiranan - NGO

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Tindakan Singapura mengusir sekumpulan wartawan Malaysia dari Pulau Batu Putih semalam dianggap sebagai keterlaluan dan langsung tidak menghormati semangat kejiranan.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika menegaskan demikian hari ini turut menggesa kerajaan Singapura menyelesaikan isu tersebut segera ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), Dr. Chandra Muzaffar berkata, tindakan pihak berkuasa Singapura mengusir para wartawan itu menunjukkan negara tersebut mempunyai sikap angkuh dan mengamalkan budaya `kiasu' kerana sanggup melanggar prinsip dan norma perhubungan antarabangsa.

Kata beliau, para wartawan sepatutnya tidak dihalang untuk membuat liputan kerana kehadiran mereka tidak akan menggugat keselamatan negara tersebut.


Beliau juga percaya mesti ada sesuatu yang hendak disembunyikan dari diketahui umum terutamanya kepada rakyat Malaysia hinggakan Singapura sanggup melakukan tindakan sebegitu walaupun mereka sedar yang ia boleh menjejaskan hubungan dua hala.

``Isu tersebut telah dipersetujui untuk diselesaikan di ICJ dan mereka tidak berhak sama sekali mendakwa kawasan yang dipertikai itu sebagai milik mereka selagi belum diputuskan oleh ICJ,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Pasukan Pengawal Pantai Singapura yang mengusir sekumpulan wartawan Malaysia dari membuat liputan mengenai Pulau Batu Putih semalam sambil mendakwa telah memasuki perairan negara tersebut.

Dalam kejadian itu juga, sebuah kapal perang Tentera Laut Singapura dan sebuah kapal peronda Pasukan Pengawal Pantai telah menghalang laluan bot marin Polis Diraja Malaysia yang membawa sekumpulan wartawan.

Salah seorang anggota berpakaian seragam dari kapal peronda Pasukan Pengawal Pantai kemudian menggunakan pembesar suara dan berkata: ``Anda telah memasuki perairan Singapura. Sila keluar sekarang.''

Mengulas lanjut, Chandra menegaskan bahawa tindak-tanduk Singapura kebelakangan ini jelas menunjukkan keangkuhan dan kedegilan mereka yang mungkin disebabkan mereka merasakan ada kuasa besar di belakang yang sentiasa dapat melindungi negara tersebut.

``Bagaimanapun, sikap sedemikian hanya akan merugikan negara tersebut kerana hubungan di antara negara yang berjiran jauh lebih penting,'' tegasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Senator Datuk Muhamad Abdul Ghani menyifatkan tindakan Singapura itu sebagai ala Israel kerana `merampas' wilayah yang masih menjadi pertikaian.

Katanya, ini mungkin disebabkan negara tersebut mempunyai kerjasama pertahanan dengan Israel dan tidak hairanlah jika pendekatan yang sama cuba digunakan apatah lagi mereka juga mempunyai kekuatan ketenteraan yang agak kuat.

``Walau apa sekalipun, Singapura tidak boleh berbuat demikian kerana ia bertentangan dengan prinsip hubungan antarabangsa kerana kedudukan pulau tersebut belum diputuskan oleh ICJ.


``Saya percaya kerajaan Malaysia tidak akan mudah melatah dengan kejadian ini dan segala kekusutan akan diselesaikan melalui meja rundingan,'' katanya.

Dalam pada itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk keras tindakan terbaru Singapura kerana bertindak seolah-olah seperti pemilik yang sah ke atas pulau tersebut.

Presidennya, Ahmad Azam Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, tindakan yang berupa provokasi seperti itu perlu dihentikan sebagai menghormati kesabaran Malaysia yang sanggup untuk menunggu penyelesaian melalui ICJ walaupun faktor sejarah adalah jelas memihak kepada Malaysia.

``Dalam hal ini, Singapura sepatutnya bersikap rasional kerana kehadiran para wartawan di sekitar pulau tersebut hanyalah untuk melakukan tinjauan bagi mendapatkan keadaan yang sebenar dan bukan untuk berperang,'' katanya - Utusan Malaysia

No comments: