Oleh:Akmar Hisham Mokhles
KUALA LUMPUR 24 Dis. - Tindakan Singapura membina bangunan tambahan di Pulau Batu Putih tidak akan memberi kelebihan kepada republik tersebut dalam tuntutannya ke atas pulau berkenaan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Rozlinda Mohd. Fadzil berkata, ini kerana mahkamah tersebut tidak akan mengambil kira faktor itu semata-mata ketika membuat keputusan.
Sebaliknya, kata beliau, ICJ hakikatnya akan memberi perhatian yang lebih kepada aspek sejarah serta undang-undang berkaitan yang ada seperti yang diputuskan dalam kes perebutan Pulau Sipadan dan Ligitan.
Bagaimanapun dalam hal tersebut, tegas beliau, adalah penting pada masa yang sama Malaysia menghantar bantahan berterusan kepada negara jiran itu sebagai bukti bahawa ia tidak bersetuju dengan tindak-tanduk mereka yang meneruskan pembinaan di pulau tersebut.
``Jika kita tidak membuat bantahan ia akan membawa makna kita bersetuju dengan perbuatan mereka.
``Jadi dalam hal ini ada baiknya jika kerajaan menghantar delegasi ke Singapura untuk membuat bantahan serta menegaskan pendirian kita yang tidak bersetuju mereka meneruskan pembinaan di situ,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.
Semalam pelbagai pihak di negara ini melahirkan rasa tidak senang dengan sikap Singapura yang membuat binaan tambahan di Pulau Batu Putih yang masih dalam pertikaian antara Malaysia dan Singapura.
Pada masa yang sama, Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan tindakan Singapura itu sebagai bermain api kerana sengaja cuba mewujudkan ketegangan dengan mencabar kedaulatan negara ini secara terang-terangan.
Kelmarin, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kerajaan akan menghantar bantahan kepada Singapura kerana meneruskan kerja-kerja pembinaan di pulau itu.
Kenyataan itu dibuatnya selepas Utusan Malaysia membuat pendedahan bahawa Singapura sedang rancak meneruskan kerja-kerja pembinaan di pulau tersebut termasuk membina sebuah bangunan dua tingkat dan tempat pendaratan helikopter tanpa mempedulikan bantahan Malaysia sebelum ini.
Rozlinda menambah, secara prinsipnya Singapura tidak wajar meneruskan pembinaan di pulau tersebut selepas mereka bersetuju dengan cadangan penyelesaian pertikaian di ICJ.
Apatah lagi katanya, undang-undang antarabangsa menyarankan sesuatu pertikaian yang berlaku hendaklah diselesaikan secara aman - Utusan Malaysia
Wednesday, December 25, 2002
Tiada kelebihan kepada Singapura
Posted by 9T9 at 3:00 PM
Labels: Batu Putih, Ulasan, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment