Wednesday, December 25, 2002

Kemukakan segera tuntutan Batu Putih ke ICJ - Karpal

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Kerajaan Malaysia wajar mengemukakan segera tuntutan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi mendapatkan perintah sementara agar status Pulau Batu Putih dikekalkan sehingga kes perebutan hak ke atasnya diselesaikan.

Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, pada masa yang sama, Singapura harus meruntuhkan semua bentuk binaan yang didirikannya di pulau tersebut.

``Adalah salah sama sekali bagi Singapura menduduki pulau itu selepas ia bertindak melarang para nelayan Malaysia menangkap ikan di perairan berhampiran pada tahun 1989.

``Singapura harus menepati janji untuk membawa kes itu ke ICJ dan membiarkan status pulau tersebut kekal sehingga satu keputusan dibuat,'' kata Karpal.


Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini sebagai mengulas pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bahawa Singapura harus menghentikan sebarang bentuk pembinaan di Pulau Batu Putih.

Menurut Perdana Menteri, seharusnya menjadi amalan negara-negara yang terbabit dalam tuntutan bertindih untuk saling menghormati dengan tidak melakukan sebarang pembangunan di wilayah atau pulau yang menjadi rebutan.

Dalam hubungan ini, Karpal menggesa kerajaan agar bertegas dalam mempertahankan kedaulatan wilayahnya dan tidak sekali-kali membenarkan Singapura menggunakan kuasa untuk menaklukinya.

``Kerajaan Singapura pula perlu matang dan tidak cuba mengalih perhatian rakyatnya daripada kegawatan ekonomi yang sedang dihadapi dengan mendakwa Pulau Batu Putih miliknya biarpun sebelum ICJ mencapai keputusannya,'' tegas beliau - Utusan Malaysia

No comments: