Saturday, December 28, 2002

Keikhlasan Singapura bawa isu tuntutan ke ICJ diragui

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Keikhlasan Singapura membawa tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) diragui memandangkan republik itu belum memuktamadkan tarikh bagi memeterai persetujuan bersama melalui Perjanjian Khas.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Malaysia sebaliknya telah mencadangkan empat atau lima tarikh sepanjang tahun ini untuk menandatangani perjanjian tersebut tetapi tidak dipersetujui oleh Singapura.

``Kita bersedia bila-bila masa, malah sudah cadangkan empat atau lima tarikh, termasuk semasa membincangkan isu air dahulu tetapi mereka tidak setuju.


``Sekarang jika mereka kata sudah sedia, sepatutnya berilah tarikh untuk kita berbuat demikian,'' ujarnya.

Beliau yang berada di luar negara berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Syed Hamid mengulas kenyataan Singapura semalam yang menyatakan sudah bersedia untuk menandatangani perjanjian khas tersebut bagi mempercepatkan penyelesaian tuntutan bertindih Pulau Batu Putih.

Isu tuntutan bertindih itu menjadi hangat selepas pendedahan Mingguan Malaysia pada Ahad lalu mengenai Singapura yang rancak meneruskan kegiatan pembinaan di pulau tersebut.

Singapura turut dikecam hebat oleh pelbagai pihak di negara ini selepas Pasukan Pengawal Pantainya menghalau polis Malaysia secara keras di perairan pulau berkenaan dua hari kemudiannya.

Syed Hamid berkata, Wisma Putra akan menghantar nota bantahan rasmi kepada Singapura mengenai tindakan Pasukan Pengawal Pantai itu secepat mungkin sekembalinya ke tanah air esok.

``Saya tidak boleh memberikan sebarang komen mengenainya sehingga saya periksa draf itu dahulu,'' katanya.

Menurut Syed Hamid, Malaysia menuntut hak ke atas pulau berkenaan atas rekod sejarah yang mencatatkan bahawa ia diiktiraf sebagai tanah jajahan Johor.

``Apa yang didakwa oleh Singapura itu bukannya hak kedaulatan ke atas pulau tersebut.

``Sebenarnya mereka diberikan hak untuk mentadbir rumah api itu sahaja,''
katanya - Utusan Malaysia

S'pura harus contohi KL, Jakarta jaga perasaan jiran

KOTA KINABALU 27 Dis. - Singapura harus lebih sensitif dan mencontohi cara Malaysia menangani pertikaian Pulau Sipadan dan Ligitan dengan Indonesia tanpa mengguris perasaan negara jiran.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Shafie Apdal berkata, apabila Pulau Sipadan dan Ligitan menjadi tuntutan bersama dan dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Malaysia tidak mengambil tindakan yang boleh menyentuh perasaan Indonesia.

Malah, katanya, Malaysia bukan sahaja menghentikan pembangunan di kedua-dua pulau itu tetapi penempatan pihak keselamatan juga dihadkan.

``Tidak ada insiden halau-menghalau negara jiran kita waktu itu bila mana mereka membuat rondaan di Sipadan dan Ligitan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kursus Pengetua dan Guru Besar Daerah Semporna di Hotel Berjaya Palace di sini hari ini.

Shafie mengulas mengenai gesaan pelbagai pihak di negara ini supaya Malaysia menimbang menempatkan kapal perang di perairan Pulau Batu Putih sebagaimana yang dilakukan oleh Singapura.

Bagaimanapun semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak akan menghantar kapal perang ke perairan pulau itu kerana ia boleh menyebabkan negara ini berperang dengan Singapura.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia mahu mengelak sebarang konfrontasi dengan negara jiran itu walaupun Singapura telah pun menempatkan kapal perangnya di perairan pulau berkenaan yang menjadi subjek tuntutan bertindih antara kedua-dua negara.

Shafie berkata, Singapura tidak mengamalkan semangat setiakawan ASEAN dan juga tidak mempunyai sensitiviti terhadap negara jiran.

Tegasnya, peperangan tidak akan membawa kebaikan kepada kedua-dua negara dan juga rantau ini kerana hanya kebaikan akan membawa banyak manfaat.

Menurut beliau, banyak langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah itu secara baik, tetapi Singapura nampaknya membuat pelbagai helah termasuk pengawalan sebelum perkara itu diselesaikan.

``Tetapi (langkah itu) tidaklah langkah untuk berperang menunjukkan mereka atau kita yang lebih kuat.

``Bukan kita tidak mampu, kita mampu jaga keselamatan dan keamanan negara kita. Bila keadaan terdesak kita tidak teragak-agak menjaga keamanan dan keselamatan kita,''
tegasnya.

Mengenai penempatan baru anggota tentera di Pulau Ligitan, Shafie berkata, perkara itu tidak perlu kerana kawalan yang sedia ada sudah mencukupi - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO Johor akan lawat Pulau Batu Putih

JOHOR BAHRU 27 Dis. - Pergerakan Pemuda UMNO Johor akan melawat Pulau Batu Putih bagi menyaksikan sendiri pembangunan di pulau itu yang menjadi milik Malaysia.

Di samping itu, Pemuda UMNO Negeri ingin menyampaikan mesej bahawa mereka sangat prihatin masalah tersebut dan berharap dapat diselesaikan segera.

Ketuanya, Ayub Rahmat memberitahu, dengan melihat sendiri pulau tersebut akan memberi lebih kefahaman mengenainya sebelum melakukan tindakan susulan.

Beliau yang menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini berkata, idea rombongan itu dicetuskan pada mesyuarat Pemuda UMNO Negeri dan dipersetujui.

``Apa yang kita inginkan ialah Singapura menghentikan sebarang kerja-kerja baru di pulau tersebut sehingga Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membuat keputusan,'' katanya.

Ditanya adakah Pemuda tidak gentar dengan tindakan polis marin Singapura, Ayub berkata pihaknya tidak akan mencetuskan sebarang anasir provok semasa lawatan.

Beliau juga berpendapat Singapura perlu memberitahu dengan jelas bilakah tarikh untuk membawa isu Pulau Batu Putih ke ICJ.

``Dalam proses itu (membawa ke ICJ) sekurang-kurangnya rakyat kita dibenarkan ke pulau itu,'' katanya.

Beliau berkata, Johor lebih terasa dalam isu tersebut kerana kedudukannya yang lebih kepada Johor serta hubungan di antara dua jiran.

``Isu ini juga jika tidak ditangani oleh pemerintah Singapura secara berhemah, ia boleh mencetuskan konflik antara rakyat Johor dan Singapura,'' jelas beliau lagi - Utusan Malaysia

Singapura perlu henti tindakan provokasi - Puteri

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Puteri UMNO mendesak Singapura menghentikan sebarang tindakan provokasi terhadap rakyat dan agensi kerajaan negara ini mengenai isu Pulau Batu Putih.

Ketua Biro Antarabangsa Puteri, Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kerja-kerja pembangunan di pulau tersebut juga hendaklah dihentikan sehingga keputusan pemilikan dicapai oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

``Singapura juga hendaklah mempercepatkan proses rujukan mereka ke ICJ untuk menyelesaikan isu ini,'' katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Pertama Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Mark Neo di sini hari ini.

Menurut, isu ini tidak perlu dilengahkan lagi kerana akan mendatangkan pelbagai masalah lagi jika isu ini terus berlarutan.

Beliau menambah, dalam isu air pula, Singapura juga janganlah menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menyebabkan ia berlanjutan terlalu lama.

Dalam pada itu, Pemuda Barisan Nasional dan Kelab Penyokong Kerajaan turut menyampaikan memorandum bantahan masing-masing Selasa lalu - Utusan Malaysia

DAP alu-alukan kenyataan PM

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Biro Publisiti Nasional DAP mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semalam untuk tidak menggunakan sebarang kaedah yang boleh mengundang peperangan termasuk menghantar kapal perang ke perairan Pulau Batu Putih.

Setiausahanya, Gobind Singh Deo berkata, ini menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia sebuah negara yang menolak cara peperangan sebaliknya mengutamakan diplomasi dalam menyelesaikan sebarang pertikaian.

``Pendirian Malaysia jelas memberi kemenangan awal kepada kita walaupun peperangan yang sebenar di mahkamah belum bermula dan pihak Singapura patut malu dengan tindakan mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr. Mahathir semalam yang menolak cadangan Pemuda Barisan Nasional untuk menghantar kapal perang ke perairan Pulau Batu Putih kerana ia boleh mengundang kepada peperangan - Utusan Malaysia