Friday, December 07, 2007

"1957: Hati Malaya" Movie, Batu Putih Documentary For TV

KUALA LUMPUR, Dec 6 - The movie "1957: Hati Malaya" and a documentary on Batu Putih, films which depict two of the country's historical events, will be making it to the small screen.

Deputy Information Minister Datuk Ahmad Zahid Hamidi said the two films were suitable for all levels of society as scenes showing the struggle for independence would have a lasting effect on the audience
.

"However, the movie `1957: Hati Malaya' will only be shown on television once it has completed making the cinema rounds," he said in reply to questions from Datuk Dr Mat Yasir Ikhsan (BN-Sabak Bernam) and Razali Ibrahim (BN-Muar) during the winding-up of the debate on the 2008 Supply Bill in the Dewan Rakyat here today.

"Having watched the movie, I found that it has an interesting storyline and can deliver a message to society particularly students, foster unity among the races and instil love for the country," he added.

"1957: Hati Malaya" is directed by Shuhaimi Baba with a stellar cast including Maya Karin, Rusdi Ramli, Azri Iskandar and Ida Nerina. It began screening in November.

On Batu Putih, Zahid said the ministry had sent journalists from several agencies to cover the hearing at The Hague, Netherlands.

"Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama and Filem Negara have cooperated during the hearing which can be documented for screening to the public."

However, the screening will have to wait until the hearing is completed in two months.

The Dewan Rakyat sitting continues on Monday - Bernama

Filem 1957: Hati Malaya, Dokumentari Pulau Batu Puteh Ditayangkan Di TV

KUALA LUMPUR, 6 Dis - Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa filem 1957: Hati Malaya dan dokumentari Pulau Batu Puteh, yang memaparkan peristiwa penting negara, akan ditayangkan di televisyen tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata kedua-dua paparan berhubung peristiwa bersejarah itu sesuai ditayangkan kepada seluruh lapisan masyarakat kerana ia mampu memberi kesan yang mendalam ketika menghayati perjuangan memerdekakan negara.

Beliau berkata demikian bagi menjawab cadangan Datuk Dr Mat Yasir Ikhsan (BN-Sabak Bernam) dan Razali Ibrahim (BN-Muar) ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 di peringkat jawatankuasa kementeriannya di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata bagi filem 1957: Hati Malaya, tayangan di televisyen akan dilaksanakan selepas filem itu selesai ditayangkan di pawagam seluruh negara.

"Kalau filem ini ditayangkan di televisyen pada waktu terdekat ini, kos yang terpaksa ditanggung adalah amat tinggi.

"Saya pun sudah menonton filem ini semalam dan jalan ceritanya amat menarik serta dapat memberikan mesej kepada masyarakat di negara ini terutamanya pelajar-pelajar sekolah, di samping memupuk semangat perpaduan di antara pelbagai kaum dan memberikan semangat cintakan negara," katanya.

Filem 1957: Hati Malaya diarahkan oleh Shuhaimi Baba dan membariskan pelakon terkenal tanah air termasuk Maya Karin, Rusdi Ramli, Azri Iskandar serta Ida Nerina dan ditayangkan di pawagam mulai November lepas.

Terdahulu, ketika mengemukakan cadangannya, Mat Yasir berkata filem itu memaparkan perjuangan negara yang menempuh pelbagai cabaran untuk mendapatkan kemerdekaan dari zaman sebelum pendudukan Jepun di Malaya, zaman Jepun dan seterusnya.

"Satu agenda khusus perlu diadakan dan saya berharap agar filem ini ditayangkan secara terus kepada semua peringkat masyarakat bukan sahaja masyarakat dewasa, malahan di peringkat sekolah," katanya.

Beliau berkata kementerian juga perlu menyediakan peruntukan khas agar filem ini dapat ditayangkan secara berterusan di sekolah dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

Mengenai cadangan Razali berhubung perbicaraan Pulau Batu Puteh, Ahmad Zahid berkata kementerian sudah menghantar pemberita dari beberapa agensi untuk membuat liputan mengenai perbicaraan kes itu dan terdapat "footage" sepanjang perbicaraan berlangsung.

"Radio Televisyen Malaysia, Bernama dan Filem Negara bekerjasama sepanjang perbicaraan kes tersebut dan mereka juga boleh mendokumentasikan perbicaraan untuk ditayangkan kepada masyarakat,"
katanya.

Namun begitu, beliau berkata penyiaran perbicaraan kes itu perlu ditangguhkan sehingga kes itu selesai.

"Kita perlu menunggu sehingga perbicaraan kes ini selesai dan kementerian akan mengambil perhatian tentang perkara ini dan tidak akan teragak-agak untuk mempertontonkan perbicaraan kes ini kepada masyarakat umum, sekiranya kemenangan berpihak kepada Malaysia," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat disambung Isnin depan - Bernama

RTM dokumentasi kes Pulau Batu Putih

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Bernama dan Filem Negara akan mendokumentasikan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pulau Batu Putih yang dituntut bersama oleh Malaysia dan Singapura.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan menyediakan satu slot khas untuk dokumentasi itu ditayangkan kepada umum pada waktu yang difikirkan sesuai dengan turut memaparkan bahan-bahan lain yang diperolehi sepanjang perbicaraan kes tersebut.

‘‘RTM telah menghantar pemberita dan kita ada bahan-bahan yang telah diperolehi sepanjang perbicaraan tersebut.

‘‘Filem Negara juga sedang mengikhtiarkan beberapa perubahan (bahan) yang diperolehi sebagai tambahan,”
katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Perbicaraan tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge antara Malaysia dan Singapura telah didengar oleh ICJ di The Hague, Belanda, dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh enam bulan lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Jabatan Penerangan sedia menayangkan filem Hati Malaya di sekolah-sekolah dan tempat awam dalam usaha membangkitkan semangat patriotik di kalangan rakyat - Utusan Malaysia

Thursday, December 06, 2007

Hujah, bukti Malaysia lebih kukuh

Oleh Khirul Bahri Basaruddin

Singapura jaja surat pemangku SUK Johor untuk miliki Pulau Batu Puteh

SELEPAS Malaysia dan Singapura mengemukakan hujah masing-masing kini timbul siapa pula yang menang dalam kes tuntutan Pulau Batu Puteh. Bagi Malaysia jika negara itu menang tidak ada sebarang perubahan pada keadaan fizikal kepada ketiga-tiga bentuk muka bumi, malah Malaysia akan mengekalkan status quo pentadbiran rumah api yang kini dikendalikan Singapura.

Bagaimanapun, tawaran Malaysia itu ditolak Singapura dengan angkuh mengatakan soal pentadbiran rumah api tidak timbul sama sekali kerana pulau itu hak Singapura.

Jika kemenangan di pihak Singapura, timbul banyak persoalan antaranya Singapura akan mewujudkan satu lagi rejim maritim di rantau ini sekali gus memberi kesan kepada persempadanan maritim sedia ada dan bidang kuasa antara Malaysia dan Indonesia.

Ejen Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, berkata persempadanan wilayah perairan baru antara Singapura dan Indonesia perlu diadakan juga walaupun kedua-dua negara sudah menandatangani perjanjian sebelum ini. Ia akan memberikan fokus kepada sikap membisu Singapura mengenai tuntutan maritimnya.

Abdul Kadir juga mempersoalkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Prof S Jayakumar, Isnin minggu lalu bahawa kes di depan mahkamah itu bukan mengenai soal hak mentadbir rumah api.

Katanya, Singapura sebelum ini memberitahu mahkamah, republik itu sebuah negara yang mematuhi undang-undang dan berbangga dengan rekodnya itu, tetapi tidak pernah menafikan rancangannya untuk menambak kawasan perairan Pulau Batu Puteh.

"Saya ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa Malaysia tidak pernah diajak berunding sebelum kerja penambakan laut dijalankan di Selat Johor tanpa mengambil kira sempadan dan alam sekitar marin Malaysia.

"Malah, peguam Singapura Prof Alain Pellet merujuk ketiga-tiga bentuk bumi itu sebagai gugusan pulau-pulau, satu lagi idea yang dicurigai yang sebelum ini tidak pernah ditimbulkan negara itu.

"Saya berharap, mahkamah dapat memahami keprihatinan kami, Singapura sebelum ini tidak pernah menjelaskan perkara itu kepada mahkamah tetapi menokok tambah fakta, " katanya.

Katanya, sebelum ini Singapura juga memberitahu mahkamah negara itu tidak pernah menahan nelayan Malaysia yang menangkap ikan di perairan Pulau Batu Puteh. Isu di depan mahkamah ini bukan nelayan Johor ditangkap, tetapi mereka dihalang menangkap ikan berdekatan Pulau Batu Puteh, berteduh di pulau itu berikutan cuaca buruk serta kehilangan tempat tradisi menangkap ikan.

Berhubung penempatan tentera di pulau itu, pertamanya, republik itu mengakui memasang peralatan radar komunikasi tentera, kedua, mendakwa zon rondaan F5 pada 1975 tidak mempunyai kaitan dengan pulau serta rondaan 24 jam sekeliling pulau itu bermula 1986. Kesan daripada ketiga-tiga tindakan itu Singapura ingin menjadikan kawasan di sekitar Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sebagai kawasan larangan.

Apa yang jelas Singapura datang ke pusat pentadbiran Belanda, The Hague untuk menjaja cerita kononnya negara itu pemilik Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Singapura datang ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberitahu barisan panel hakim tetap dan ad hoc bahawa Pulau Batu Puteh terra nullius atau tidak bertuan sejak berzaman sehinggalah ditemui Syarikat India Timur (EIC) British pada 1844.

Negara itu kemudian cuba meyakinkan kepada mahkamah melalui hujah terra nullius dan disokong hujah kegiatan yang dijalankan selama 130 tahun oleh British dan kemudian Singapura menjadikan negara itu pemilik sah sekali gus mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.

Singapura mendakwa selepas penemuan itu seorang kakitangan EIC, J T Thomson diberi tugas menjalankan projek pembinaan rumah api bermula pada 1847 sehingga siap beroperasi 1851. Rumah api itu kemudian dikenali sebagai Rumah Api Horsburgh sempena mengambil nama pelayar dan ahli hidrografi terkenal, Kapten James Horsburgh.

Singapura mendakwa dalam tempoh 1847-1851, pihak British menjadi hak milik ke atas pulau itu dan tidak pernah meminta kebenaran daripada Raja-raja pribumi untuk membina rumah api yang digunakan untuk mengawal kapal yang masuk ke Selat Singapura.

Antara kegiatan yang dikatakan dilakukan di pulau yang mendapat nama daripada orang Portugis itu, termasuk projek pembinaan jeti yang dibuat melalui tender terbuka pada 1853-1902 yang tidak dibantah langsung Malaysia jika benar negara itu mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.

British dan Singapura dengan megah mengibarkan bendera mereka di pulau itu secara terbuka bagi memberitahu dunia tempat berkenaan milik mereka sejak ratusan tahun lagi. Negara itu juga mengenakan peraturan yang memerlukan rakyat asing termasuk Malaysia yang ingin menjalankan penyelidikan perlu mendapat permit daripada negara itu.

Mereka mendakwa pada Mac 1974, pasukan ukur Malaysia memohon kebenaran untuk menjalankan penyelidikan di sekitar perairan pulau itu untuk tempoh lapan minggu dan mereka dibenarkan berbuat demikian oleh Kerajaan Singapura selepas memberi butiran kakitangan terbabit.

Bagaimanapun, pada 4 Mei 1978 apabila dua rakyat Malaysia yang mendakwa dari Jabatan Ukur cuba masuk ke pulau berkenaan tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa Singapura terlebih dulu, mereka diminta meninggalkan pulau berkenaan.

Selain itu, Singapura mendakwa Malaysia gagal mengemukakan bukti effectivit'es atau pentadbiran berkesan ke atas Pulau Batu Puteh untuk menyokong kes negara itu. Malaysia mengemukakan afidavit bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri K Thanabalasingsam berhubung surat sulit perisytiharan kepada kakitangan Bahagian Tentera Laut, Kementerian Pertahanan Malaysia menyatakan Pulau Batu Puteh (termasuk Batuan Tengah dan Tubir Selatan) berada dalam wilayah Malaysia.

Selain mendakwa Malaysia datang ke mahkamah tanpa sebarang bukti kukuh untuk menyokong kes negara itu, Singapura menafikan pernah wujud surat permohonan Gabenor Butterworth bagi mendapat kebenaran Sultan dan Temenggong Johor pada 1844 untuk membina Rumah Api Horsburgh.

Malah, Singapura mendakwa Malaysia pada 1953 melalui surat pemangku Setiausaha Kerajaan (SUK) Johor menolak pemilikan ke atas pulau itu sekali gus menguatkan hujah negara itu mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sejak tarikh itu atau sebelum itu sehinggalah Malaysia secara rasmi mengumumkan pulau sebagai sebahagian wilayahnya melalui penerbitan peta 1980.

Malaysia pula datang ke mahkamah dengan hujah utama bahawa Pulau Batu Puteh bukan terra nullius kerana Johor pemilik asal ke atas pulau itu dan Batuan Tengah serta Tubir Selatan sejak zaman berzaman.

Pada 1844, Sultan dan Temenggong Johor memberi kebenaran kepada Syarikat Hindia Timur membina dan mengendali Rumah Api Horsburgh.

Malaysia berhujah Singapura hanyalah pentadbir rumah api yang ada di Pulau Batu Puteh, dan semua kegiatan yang dilakukan oleh republik itu di sana tidak lebih daripada tindakan yang perlu dilakukan oleh mana-mana pengendali rumah api.

Kegiatan Britain dalam hubungan dengan rumah api Horsburgh dan pulau itu selepas 1851 hanyalah mengendali operasi rumah api dan tidak menunjukkan sebarang hasrat untuk memiliki kedaulatan pulau itu.

Bagi menguatkan hujah itu Malaysia mengemukakan bukti melalui peta, dokumen dan fakta undang-undang yang gagal disanggah Singapura satu persatu berhubung hak kedaulatan ketiga-tiga bentuk bumi itu.

Antaranya, pemangku SUK tidak pernah menyerahkan hak kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura melalui surat yang dihantar kepada Setiausaha Penjajah Singapura pada 21 September 1953.

Peguam Malaysia, Peguam Diraja, Sir Elihu Lauterpacht, berhujah pegawai kanan itu hanya menyatakan negeri itu tidak menuntut pemilikan pulau itu.

Katanya, ada perbezaan 'kedaulatan dan pemilikan', iaitu kedaulatan adalah konsep undang-undang antarabangsa manakala pemilikan, konsep undang-undang persendirian. Undang-undang antarabangsa membabitkan isu kedaulatan manakala undang-undang persendirian berhubung urusan individu seperti hartanah.

Lauterpact berkata, jawapan surat itu merujuk kepada pemilikan pulau berdasarkan kepada undang-undang persendirian dan bukan kedaulatan kerana pegawai terbabit tidak mempunyai kuasa untuk menyerahkan wilayah Johor kepada British.

"Bagaimanapun, apa-apa maksud surat jawapan pemangku Setiausaha Kerajaan Johor tidak mengikat Johor seperti yang didakwa Singapura dalam kes republik itu.

"Malah, kita hairan dengan tingkah laku Singapura yang mendakwa memperoleh hak kedaulatan Pulau Batu Puteh daripada British lebih 100 tahun lalu, menghantar surat pada 1953 untuk mengetahui status sebiji batu (Pulau Batu Puteh) daripada kerajaan Johor.

"Jika pemilikan batu itu dimaksudkan sebagai kedaulatan oleh pemangku Setiausaha Kerajaan Johor, tidak ada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan Singapura itu," katanya.

Malah, pada hujah pusingan kedua, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, Kerajaan Johor tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang perjanjian dengan negara luar pada 1953 berdasarkan kepada dua perjanjian yang ditandatangani dengan British pada 1948.

Sehubungan itu, pemangku SUK Johor, sebagai seorang kakitangan awam tidak mempunyai kuasa dalam undang-undang menulis surat kepada Singapura berhubung keputusan negeri itu tidak menuntut hak milik Pulau Batu Puteh pada tahun itu.

Mengikut Fasal 3 (2) Perjanjian Johor, Sultan Johor tanpa pengetahuan dan kebenaran Raja British tidak boleh membuat sebarang perjanjian, rundingan mengenai politik dengan menghantar wakil ke negara luar.

Perjanjian Johor dan Perjanjian Persekutuan Malaya 1948 menyatakan semua hak, kuasa dan bidang kuasa mengenai hal-ehwal luar Johor dipindahkan kepada penjajah serta dikuatkuasakan melalui Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan.

"Pesuruhjaya Tinggi itu dilantik oleh Raja British manakala kedua-dua perjanjian itu sah hingga 1957 apabila Akta Kemerdekaan Persekutuan Malaya 1957 berkuat kuasa," katanya.

Abdul Gani berkata, pemangku SUK Johor menulis surat jawapan itu yang bukan dialamatkan kepadanya terus kepada pihak berkuasa tempatan British di Singapura.

Katanya, pegawai awam itu tidak memberi salinan surat itu kepada Ketua Setiausaha Persekutuan dan tidak ada sebarang bukti menunjukkan Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya serta Ketua Setiausaha mengetahui mengenai kandungan surat 1953.

Sehubungan itu, katanya, cara surat-menyurat itu dijalankan menyalahi prosedur dan silap. Hak Pesuruhjaya Tinggi British atas nasihat dan persetujuan Majlis Perundangan Persekutuan boleh membuat undang-undang mengenai hal ehwal luar serta pertahanan, bukan Setiausaha Kerajaan Johor.

Katanya, Johor tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan sebarang perjanjian mengenai hal ehwal luar sekali gus membuat perisytiharan undang-undang.

Hujah Abdul Gani itu mendapat perhatian mahkamah apabila memerintahkan Singapura mengemukakan hujah bertulis dan diserahkan kepada mahkamah sebelum 30 November lalu. Bukti baru yang dikemukakan kepada mahkamah itu menimbulkan pertanyaan, adakah Singapura mengetahui kandungan kedua-dua perjanjian itu, jika mengetahuinya kenapa negara itu berdiam diri dan teruskan menjaja cerita surat pemangku SUK itu.

Bagaimanapun, perintah mahkamah itu satu kemenangan moral kepada pihak Malaysia yang diberi peluang untuk membuat komen mengenai jawapan Singapura dan dihantar kepada mahkamah sebelum 7 Disember ini - Berita Harian

Sunday, December 02, 2007

Bukan milik Singapura

Gagal buktikan 3 pulau dituntut hak republik itu - Peguam Negara

THE HAGUE, Belanda 22 Nov. – Malaysia memulakan pusingan kedua hujah lisan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih dengan menegaskan bahawa Singapura gagal membuktikan, jauh sekali mengemukakan sebarang dokumen, bahawa pulau tersebut milik republik itu.

Malah, Malaysia berhujah, kelewatan Singapura membuat tuntutan ke atas dua bentuk maritim iaitu Middle Rocks dan South Ledge (13 tahun selepas tuntutan Pulau Batu Putih) menunjukkan republik itu tidak mempunyai hak ke atas ketiga-tiga pulau berkenaan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menarik perhatian Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini hari ini mengenai dakwaan Singapura bahawa Malaysia bukan pemilik asal Pulau Batu Putih.

Berhubung isu itu, beliau mempertikaikan dakwaan Singapura bahawa pulau tersebut menjadi milik British pada tahun 1847 hingga 1851 kerana ketika British datang ke situ, ia adalah terra nullius (tiada pemilik).

Menurut Abdul Gani, Singapura tidak dapat mengemukakan sebarang bukti bahawa Pulau Batu Putih ketika itu adalah terra nullius.

“Singapura tidak membuktikan kesnya, sebaliknya kes republik itu berdasarkan kepada kesimpulan mereka bahawa Pulau Batu Putih adalah terra nullius,” hujah beliau di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 15 hakim lain termasuk dua hakim ad hoc yang dilantik oleh Malaysia dan Singapura.

Abdul Gani kemudian berhujah mengenai perkara kedua iaitu sikap berdiam diri Singapura atau kegagalan republik itu mengemukakan dokumen undang-undang yang tidak boleh dipertikaikan sehingga tahun 1978 untuk menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik mereka.

Malaysia, hujah beliau, telah menunjukkan bahawa kebenaran yang diberi oleh Johor berhubung pembinaan Rumah Api Horsburgh di pulau itu dibuktikan menerusi surat keizinan Sultan dan Temenggung bertarikh 25 November 1844.

“Sikap Singapura yang berdiam diri berhubung perkara ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja,” kata beliau sambil memetik keputusan ICJ dalam kes Temple of Preah Vihear mengenai pertikaian antara Kemboja dan Thailand.

Dalam kes itu, ICJ menggariskan bahawa beban untuk membuktikan sesuatu tuntutan sudah pasti terletak kepada pihak yang membuat dakwaan atau mengemukakan tuntutan.

“Malaysia telah membuktikan kesnya, bagaimanapun Singapura tidak berbuat demikian,” hujah beliau.

Abdul Gani turut menarik perhatian mahkamah mengenai dakwaan Peguam Negara Singapura semasa hujah lisan republik itu pada 19 November 2007 berhubung tarikh penting tuntutan ke atas Middle Rocks dan South Ledge.

Menurut beliau, Singapura mendakwa tarikh penting itu adalah berikutan jawapan balas kepada kenyataan Malaysia bahawa kedua-dua bentuk maritim itu adalah milik negara ini iaitu sehari sebelum rundingan dua hala antara kedua-dua negara diadakan.

Sebaliknya, Abdul Gani berkata, jika republik itu ingin menuntut kedaulatan ke atas Middle Rocks dan South Ledge, sudah pasti ia telah memasukkan nama kedua-dua pulau itu dalam nota bantahannya pada 14 Februari 1980 iaitu ketika bermulanya pertikaian ke atas Pulau Batu Putih tetapi Singapura tidak berbuat demikian.

‘‘Kedua-dua bentuk maritim itu telah dikenali dengan namanya sekarang ini sejak lama dulu, iaitu pada abad ke-14 bagi Pulau Batu Putih dan abad ke-19 bagi dua bentuk maritim lagi.

‘‘Kenyataan bahawa Singapura membangkitkan perkara itu sebagai tindak balas kepada apa yang Malaysia katakan adalah tidak relevan kerana tiada pertikaian langsung berhubung kedaulatan Malaysia ke atas kedua-dua bentuk maritim itu sebelum 6 Februari 1993,” katanya.

Esok Malaysia akan menyambung hujah lisan dan menggulung kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge - Utusan Malaysia