Friday, November 23, 2007

Pemangku SUK Johor tiada kuasa lepas hak milik pulau

THE HAGUE, Belanda 22 Nov. – Surat balasan yang menyebut Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Putih pada September 1953 ditulis oleh pegawai kerajaan negeri yang tidak mempunyai kuasa atau kapasiti undang-undang untuk berbuat demikian.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhujah, Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, M. Seth Bin Said yang menulis surat itu kepada pegawai British di Singapura hanyalah seorang pegawai kerajaan negeri Johor.

“Beliau pastinya tidak diberi kuasa atau mempunyai kapasiti undang-undang untuk menulis surat pada 1953 atau melepaskan, menafikan, atau mengesahkan hak milik ke atas mana-mana wilayah Johor,” katanya.

Abdul Gani menarik perhatian Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini hari ini mengenai surat yang ditulis oleh pegawai British, J.D. Hingam kepada kerajaan negeri Johor berhubung status Pulau Batu Putih dan surat balasan yang dikeluarkan oleh M. Seth.

Pertamanya, hujah beliau, surat daripada J.D. Hingam itu dialamatkan kepada Penasihat British di Johor dengan salinan kepada Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu dan bukannya kepada Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri.

Keduanya, Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri sendiri mengeluarkan surat kepada J.D. Hingam.

M. Seth, hujah Abdul Gani, menulis terus kepada pihak berkuasa tempatan koloni British iaitu Singapura.

Beliau (M. Seth) tidak sama sekali membuat salinan surat kepada Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu.

“Tiada bukti untuk menunjukkan bahawa Ketua Setiausaha (Persekutuan Tanah Melayu) atau Pesuruhjaya Tinggi tahu mengenai isi kandungan surat tersebut.

“Kaedah surat menyurat (berhubung status Pulau Batu Putih) adalah menyimpang daripada kebiasaan dan tidak betul,” hujah Gani di hadapan Naib Presiden ICJ, Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 15 hakim lain termasuk dua hakim ad hoc.

Duta Kelana di Kementerian Luar republik itu, Tommy Koh ketika menutup kes Singapura kelmarin berhujah: “Pada tahun 1953, ketika Johor merupakan sebuah negeri berdaulat di bawah undang-undang antarabangsa, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dengan kapasiti rasmi kerajaan telah memaklumkan kepada kerajaan Singapura bahawa Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Putih.”

Abdul Gani mempersoalkan hujah Singapura itu: “Persoalannya ialah sama ada beliau (Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor) diberi kuasa dan mempunyai kapasiti undang-undang untuk melepaskan, menafikan atau mengesahkan hak milik ke atas mana-mana wilayah Johor.” - Utusan Malaysia

No comments: