Monday, November 25, 2002

Hubungan perdagangan Malaysia- Singapura tidak terjejas - Rafidah

PETALING JAYA 24 Dis. - Hubungan perdagangan di antara Malaysia dan Singapura tidak akan terjejas walaupun kedua-dua negara kini sedang menghadapi isu tuntutan bersama ke atas Pulau Batu Putih.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, Malaysia yakin bahawa perkara tersebut tidak akan menimbulkan sebarang masalah kerana tuntutan itu tidak melibatkan hubungan dagangan secara langsung.

``Perhubungan perdagangan di antara kita dengan Singapura tetap berjalan lancar kerana ia (tuntutan Pulau Batu Putih) tidak ada kena-mengena dengan urusan menjual beli secara langsung,'' katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk A. Razak Ramli dan Ketua Pengarah NPC, Mah Lok Abdullah.

Pada majlis tersebut, sebanyak 30 orang anak yatim dari Rumah Bakti Hulu Klang diraikan dengan pelbagai hidangan jamuan beserta sumbangan duit raya.

Mengulas lanjut, Rafidah berkata, hubungan perdagangan yang berjalan lancar telah dibuktikan oleh Malaysia dan Indonesia baru-baru ini yang terlibat dalam tuntutan Pulau Sipadan dan Ligitan.

``Bahkan hubungan perdagangan dengan Indonesia juga menunjukkan trend yang semakin meningkat,'' jelasnya.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO menegaskan, Singapura haruslah bertindak berhati-hati terhadap isu tuntutan Pulau Batu Putih kerana negara itu perlu menjaga sensiviti rakyat negara ini.

``Kita berharap bahawa Singapura tidak akan terus melakukan apa-apa jua yang menjejaskan usaha penyelesaian tuntutan pulau itu.


``Ini kerana kalau Singapura terus membuat tindakan seperti membina bangunan dan menempatkan anggota keselamatannya, ia seolah-olah mengenepikan proses timbang tara yang seterusnya menjejaskan proses tersebut,'' tegasnya.

Isu tuntutan Pulau Batu Putih semakin hangat diperkatakan berikutan pendedahan eksklusif Mingguan Malaysia, baru-baru ini mengenai tindakan Singapura meneruskan kerja-kerja pembinaan di pulau tersebut walaupun hak terhadap pulau itu yang menjadi tuntutan bersama dengan Malaysia masih dipertikaikan.

Ketika isu tuntutan itu akan dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Singapura bertindak seolah-olah pulau itu telah menjadi miliknya termasuk menempatkan unit peronda marin secara tetap.

Selain rumah api, terdapat kuarters dua tingkat yang asalnya hanya setingkat beberapa tahun lalu untuk pekerja dari republik itu dan menara radar yang dipercayai untuk mengawasi kapal.

Dalam perkembangan lain, Rafidah menjelaskan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung ura-ura terdapatnya sekatan perdagangan yang dibuat oleh Singapura ke atas beberapa barangan pertanian dari negara ini - Utusan Malaysia