Monday, May 19, 2003

Seminar Mempertahankan Maruah dan Kedaulatan Negara

Menangani Agenda Serantau dan Antarabangsa 20-21 Mei 2003 - Isu serantau gugat kedaulatan negara

Oleh Azman Anuar

Banyak isu antarabangsa sedang diperkatakan oleh semua pemimpin dan lapisan masyarakat. Pelbagai isu yang melanda dunia khususnya rantau ini turut memberi kesan kepada masyarakat negara kita.

Dalam menghadapi masalah antarabangsa, masyarakat negara ini bukan sahaja perlu perpaduan tetapi kita juga memerlukan sokongan daripada rakan negara kita dan negara jiran dalam menghadapi segala dugaan dan masalah yang melibatkan dunia pada hari ini.

Sebab itu suasana yang tidak menentu di dunia termasuk masalah di rantau ASEAN menyebabkan kadangkala hubungan negara kita dengan negara tertentu masih belum selesai. Selepas selesai isu tuntutan bertindih Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan di Sabah, kini kita berdepan dengan isu Pulau Batu Putih yang telah dirujuk ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Malah ada beberapa tuntutan negara jiran yang mempertikai sempadan dan sebagainya dengan negara kita.

Justeru kesedaran dan kepekaan kepada isu-isu serantau dan antarabangsa akan membolehkan lapisan masyarakat mengambil langkah tindak balas kepada pelbagai perkembangan tersebut
.

Cara masyarakat boleh bertindak balas ialah dengan memberi maklum balas kepada kerajaan untuk menggubal polisi yang relevan bagi menangani sesuatu masalah iaitu melalui seminar.

Seminar

Sebab itu Seminar Mempertahankan Maruah dan Kedaulatan Negara: Menangani Agenda Serantau dan Antarabangsa diadakan selama dua hari (Selasa dan Rabu ini) di Institut Latihan Keselamatan Sosial KWSP (ESSET), Bangi bertujuan bagaimana masyarakat dapat membantu kerajaan dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara ini.

``Fokus utama seminar ini adalah untuk mempertahankan hak kedaulatan negara kita. Kadangkala, apabila ia tidak didedahkan mungkin ada yang berpendapat seperti isu Pulau Sipadan tidak siapa yang sedar, pulau kecil itu menjadi rebutan Malaysia dan Indonesia hingga diselesaikan melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa,'' kata Pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Noh Omar baru-baru ini.

Sungguhpun Malaysia telah merdeka sejak 46 tahun lalu, tetapi masih terdapat isu yang belum selesai seperti perebutan pulau-pulau tertentu yang seolah-olah mempersoalkan sempadan negara.

Soal menjaga maruah negara kita harus disedari dan difahami oleh semua lapisan masyarakat negara ini.

Bersesuaian dengan sambutan ulang tahun UMNO ke-57 dan menjelang Perhimpunan Agung UMNO pertengahan Jun depan, Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara dengan kerjasama Kumpulan Utusan, The Star, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3 menganjurkan seminar ini.

Menurut Noh, kira-kira 36 kertas kerja akan dibentangkan oleh pelbagai tokoh yang pakar dalam bidang masing-masing.

Bidang-bidang yang diberi tumpuan dalam seminar ini kelak ialah sejarah, undang-undang, kedaulatan wilayah, psikologi rakyat, ekonomi dan perdagangan, keselamatan dan politik, perhubungan antarabangsa dan diplomasi, pendidikan dan pergerakan belia.

Kesemua 36 kertas kerja akan dibentang dalam empat sesi sidang yang dijalankan secara serentak.

Peserta

Menurut Noh dijangkakan 800 peserta akan mengambil bahagian dalam seminar itu. Ia akan dihadiri oleh peserta yang terdiri daripada pembuat dasar seperti ahli-ahli politik kerajaan dan pembangkang, pelaksana dasar-dasar kerajaan seperti pegawai tinggi kementerian dan agensi kerajaan, ahli akademik, ahli korporat, pendidik dan orang perseorangan yang peka terhadap pelbagai perkembangan serantau dan antarabangsa.

Seminar ini akan dirasmi dan ditutup oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Di samping seminar, forum turut diadakan bertajuk Kerjasama dan Konflik Dalam Perspektif ASEAN pada 20 Mei (Selasa) 8.30 malam. Ahli panelnya ialah Timbalan Ketua Setiausaha 1, Kementerian luar Negara, Datuk Aziz Muhamad; Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin dan pakar sejarah, Datuk Dr. Khoo Kay Kim.

``Kita mengharap seminar ini akan dapat mengumpul dan membukukan 36 kertas kerja ini supaya ia dijadikan bahan rujukan oleh seluruh lapisan masyarakat selepas seminar ini berlangsung,'' kata Noh.

Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara menurut Noh, mengharapkan seminar ini akan benar-benar membantu kerajaan dalam usaha menangani dan mempertahan maruah dan kedaulatan negara.

``Kalau kesedaran dari segi moral sudah ada ditambah dengan bahan bacaan dan rujukan ia akan membantu menyedarkan masyarakat terhadap isu antarabangsa dan serantau.

``Seminar ini untuk kepentingan negara, sebab itu semua ahli Parlimen dari parti pembangkang dijemput menyertai seminar dan diharap sama-sama berbincang dan memberi pandangan dalam mempertahankan kedaulatan negara. Suasana perbincangan mungkin berbeza kerana berbincang secara akademik dan ilmiah,'' kata Noh. Seminar ini akan membincangkan isu antarabangsa dan serantau secara keseluruhan tetapi isu Pulau Batu Putih yang merupakan isu paling hampir dengan negara ini bakal menjadi tumpuan dan rujukan utama.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Seminar, Datuk Mohd. Rais Zainuddin, kita ingin menyediakan minda rakyat, apakah kesan terhadap maruah dan kedaulatan negara.

``Seminar ini dibuka bukan untuk parti orang Melayu atau kerajaan sahaja tetapi parti pembangkang dan semua kaum. Kalau kalah apa akan berlaku dan bagaimana pula reaksi rakyat. Kalau menang pula, bagaimana.

``Ini menaikkan kesedaran rakyat tentang kesannya kepada mereka jika kalah dan sebaliknya, jika menang. Kita ingin lihat soal ketaatsetiaan mereka kepada negara, adakah kita bersatu dalam menghadapi isu ini?'' tanya Mohd Rais yang juga Timbalan Pengerusi pertubuhan alumni tersebut - Utusan Malaysia