Wednesday, January 14, 2004

Era baru hubungan jiran

Oleh Marhaini Kamaruddin

HUBUNGAN Malaysia-Singapura memasuki era baru dengan lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke republik itu semalam, apabila kedua-dua negara berjiran mencapai persetujuan untuk merungkai semula kekusutan dalam isu-isu tertangguh di meja rundingan.

Walaupun penyelesaian oleh pihak ketiga masih boleh digunakan, kedua-dua pihak memilih untuk mengambil pendekatan diplomasi yang menjadi amalan kejiranan ASEAN dan meletakkan peringkat timbang tara sebagai pilihan terakhir bagi memecahkan kebuntuan.

Keputusan itu tidak melibatkan dua isu iaitu tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih dan bantahan Malaysia terhadap kerja-kerja penambakan laut oleh Singapura yang masing-masing telah pun dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Tribunal Antarabangsa bagi Undang-undang Laut (ITLOS).

Bagaimanapun ia membuka jalan rundingan bagi beberapa isu tertangguh khususnya isu air yang menjadi duri dalam daging hubungan dua hala sejak sekian lama dan isu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor yang memerlukan perhatian segera.

Persetujuan antara Abdullah dan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Goh Chok Tong untuk kembali berunding mungkin kurang memuaskan hati mereka yang mengharapkan sesuatu keputusan drastik dicapai dalam isu tertentu pada kunjungan pertama Perdana Menteri baru Malaysia itu.

Malah ada di kalangan wakil media kedengaran mengeluh sebaik sahaja Abdullah-Goh selesai memberikan sidang akhbar bersama selepas pertemuan empat mata yang diikuti oleh mesyuarat delegasi lebih sejam di Kompleks Istana Singapura.

Berdasarkan kenyataan-kenyataan pemimpin dan laporan media di republik itu menjelang lawatan, menunjukkan negara pulau di seberang tambak itu meletakkan harapan yang agak tinggi untuk mencari titik pertemuan baru bagi menyelesaikan isu-isu tertangguh.

Bagaimanapun seperti yang dijelaskan oleh Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar sejak awal-awal lagi, adalah tidak realistik untuk mengharapkan semua isu tertangguh atau isu dua hala tertentu dapat diselesaikan dalam lawatan singkat ini.

Adalah tidak adil juga untuk membandingkan hasil lawatan Abdullah ke Singapura dengan Jakarta kerana perbezaan isu yang melibatkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan kedua-dua negara.

Ini kerana isu pekerja asing memang telah dijangka akan menjadi agenda perbincangan utama antara Abdullah dan Presiden Megawati Sukarnoputri semasa lawatan Perdana Menteri ke Indonesia, lantas perincian mengenai memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara difahamkan telah disiapkan lebih awal.

Bagaimanapun dalam konteks Singapura, walaupun isu air berada dalam senarai teratas isu-isu tertangguh yang sering menjadi punca ketegangan hubungan diplomatik dua negara, masih banyak isu lain yang menuntut penyelesaian segera.

Terbaru dan paling mendesak ialah isu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor yang telah pun dimulakan di pihak Malaysia tetapi dengan pelan yang berbeza dari asal ekoran tidak mendapat sokongan di pihak Singapura.

``Oleh yang demikian, tidak pernah menjadi impian kita yang semua isu tertangguh dapat diselesaikan dalam satu kunjungan singkat,'' kata Syed Hamid kepada wartawan tempatan ketika memberi taklimat ringkas tentang lawatan kerja sehari Abdullah di bilik hotelnya di Scotts Road di Kota Singa.

Justeru persetujuan kedua-dua Perdana Menteri untuk kembali menyelesaikan isu-isu tertangguh di meja rundingan dan bukannya melalui pihak ketiga seharusnya dilihat dari sudut positif yang membawa pembaharuan dalam status hubungan dua hala.

Kedua-dua pemimpin memahami kunjungan ini bukan tempatnya untuk menamatkan konflik serta-merta namun komitmen mereka untuk menyelesaikan isu-isu tertangguh dan kesedaran tentang kepentingan menyegerakannya membuka jalan dan memberi petunjuk kepada fasa baru hubungan dua hala.

Ia jelas mencerminkan stail kepimpinan Abdullah sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengambil pendekatan berbincang yang nampaknya diperluaskan dalam dasar luar negara.

Kedua-dua pemimpin memahami bahawa lawatan ini bukan tempat dan masanya untuk memutuskan sesuatu perkara secara spesifik, justeru tidak ada agenda khusus yang ditetapkan untuk perbincangan sebaliknya lebih untuk memperbaharui hubungan.

Namun ia tidak pula menghalang Abdullah dan Chok Tong menyentuh mengenai isu-isu yang tertangguh.

Pertemuan empat mata yang diatur secara berasingan untuk Abdullah menemui Chok Tong, Presiden S.R.Nathan dan Menteri Kanan Lee Kuan Yew memberi banyak peluang kepada beliau untuk bertukar-tukar pandangan tentang bagaimana mahu menggerakkan hala tuju hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

Lawatan ini sudah pasti akan menjadi garis panduan kepada menteri dan para pegawai Kementerian Luar untuk mengambil tindakan susulan kerana jalan di hadapan telah pun ditunjukkan oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara.

Untuk mewujudkan keyakinan terhadap era baru hubungan dua hala yang lebih harmoni, kedua-dua pihak perlu bersama-sama membina keyakinan itu dengan menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan isu-isu tertangguh antara kedua-dua negara.

Abdullah telah mencadangkan supaya kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan dalam menangani isu-isu tertangguh. Kita tidak boleh melihat seolah-olah Malaysia telah mengubah dasar luar dengan perkembangan terbaru ini kerana hakikatnya kita hanya mengubah suai pendekatan untuk mencari jalan keluar daripada kebuntuan yang membelenggu isu-isu dua hala.

Sememangnya Malaysia percaya jalan terbaik mencari penyelesaian kepada apa jua kebuntuan ialah di meja rundingan dan ia memang menjadi dasar luar negara sejak sekian lama.

Dasar luar negara adalah sesuatu yang berterusan dan tidak sewenang-wenang bertukar dengan perubahan pemimpin negara kerana perkara-perkara yang berkaitan dengannya sering kali melibatkan strategi dan kepentingan nasional. Ia tidak berubah dalam satu malam. Tetapi kita juga memberi pendekatan baru berasaskan syarat-syarat, persekitaran dan masa.

Menurut seorang diplomat kanan, keputusan Malaysia untuk kembali ke meja rundingan juga tidak harus dilihat seolah-olah kita berlembut dengan Singapura.

``Memang benar di bawah kepimpinan Dr. Mahathir, pertikaian mengenai isu tertangguh khususnya dalam soal harga air yang dijual Malaysia ke republik menemui jalan buntu dan hampir menyaksikan ia dibawa ke peringkat timbang tara,'' katanya.

Beliau tidak menyangkal ada pihak yang cuba membandingkannya dengan keputusan Abdullah untuk membincangkan semula isu-isu tertangguh dan menjadikan peringkat timbang tara sebagai pilihan terakhir.

``Namun kita tidak patut terperangkap dengan cubaan pihak tertentu untuk membanding-bandingkan kedua-dua pemimpin negara kerana baik Dr. Mahathir mahupun Abdullah akan mencari jalan penyelesaian tanpa mengorbankan kepentingan negara,'' kata diplomat tersebut.

Memetik kata Chok Tong: ``Pemimpin baru dengan stail baru dan kita (Singapura) akan memberi peluang mencuba untuk membina hubungan yang baru''.

Dalam sidang akhbar bersama semalam, Abdullah secara terbuka menyarankan supaya isu-isu tertangguh dibincangkan secara berasingan bukan lagi dalam bentuk pakej.

Tidak dapat dinafikan bahawa kongkongan pakej menyebabkan perbincangan isu-isu tertangguh dua hala kerap-kali menemui jalan buntu tanpa sebarang penyelesaian. Justeru saranan Perdana Menteri itu perlu diterima baik oleh Singapura. Sebagai tanda komitmen untuk mencipta lembaran baru dalam hubungan dua hala, saranan Abdullah itu nampak cukup realistik.

Persetujuan kedua-dua pemimpin untuk kembali ke meja rundingan memberi petunjuk baru tentang pendekatan `bukan konfrontasi' yang akan disusuli selepas ini. Inilah landasan sebenar hubungan dua negara berjiran yang rapat dan menjunjung prinsip setiakawan yang menjadi amalan ASEAN - Utusan Malaysia