Monday, January 06, 2003

TLDM hantar 2 kapal peronda

Najib: Singapura minta bantuan Malaysia lancarkan operasi menyelamat

Oleh: Suhana Abdul Mutalib

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Malaysia menghantar dua buah kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke Pulau Batu Putih bagi membantu operasi mencari dan menyelamat tiga anak kapal RSS Courageous milik Tentera Laut Singapura yang hilang sejak Jumaat lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bantuan diberikan selepas Singapura meminta kebenaran Malaysia untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat tiga anak kapal tersebut yang hilang dalam kemalangan di perairan Pulau Batu Putih,.

Sehubungan itu juga, beliau berkata, Malaysia telah memberikan kebenaran kepada republik berkenaan untuk meneruskan gerakan mencari di perairan negara ini.

``Kita menghantar dua buah kapal peronda yang berlepas dari Pelabuhan Kuantan malam tadi bagi mengawasi operasi berkenaan,'' katanya.

Najib berkata, bantuan tersebut diberikan atas dasar pertimbangan perikemanusiaan selain menjaga hubungan dua hala.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia tidak akan mencampuri urusan siasatan punca kejadian berkenaan.

``Kita tidak akan campur tangan. Terpulang kepada kerajaan Singapura untuk siasat perkara itu dan kita akan bergantung sepenuhnya kepada hasil siasatan mereka,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Najib mengulas perlanggaran sebuah kapal peronda antikapal selam republik berkenaan, RSS Courageous dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda, kira-kira 1.8 batu nautika dari Pulau Batu Putih.

Dalam kejadian pukul 11.35 malam itu, seorang anak kapal wanita yang juga pakar pengendalian senjata disahkan terbunuh manakala tiga lagi rakannya, semuanya wanita dilaporkan hilang.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Singapura dalam satu kenyataan berkata, satu mayat ditemui hari ini di pantai peranginan di Pulau Bintan, Indonesia yang mungkin seorang daripada tiga pegawai tentera wanita Singapura yang hilang dalam pelanggaran kapal tersebut.

Pihak Singapura telah diberitahu bahawa mayat seorang wanita Cina ditemui di situ pada pukul 10 pagi ini, jelas kenyataan tersebut.

Semalam, penyelam tentera laut menemui mayat pegawai tentera, Goh Hui Ling, 22, tersepit di antara kabin-kabin tidur yang rosak teruk.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai seorang penulis, Tim Huxley yang dipercayai cuba mewujudkan ketegangan antara Malaysia dan Singapura melalui bukunya yang bertajuk Defending The Lion City; The Armed Forces of Singapore, Najib menyifatkannya sebagai permainan taktik kotor media barat.

Kata beliau, penulis berkenaan tidak sewajarnya membuat perbandingan sistem pertahanan antara kedua-dua negara tanpa mengkaji aspek lain terlebih dahulu.

Ini kerana, katanya, Singapura merupakan sebuah pulau yang kecil berbanding Malaysia dan sistem pertahanan antara kedua-dua negara juga berbeza.

``Analisis seperti itu tidak wajar diterbitkan kerana hanya mendorong situasi yang lebih tegang antara dua negara. Masalah antara Malaysia dan Singapura harus diselesaikan cara baik. Tak perlulah kita dengar komen pihak luar untuk selesaikan masalah ini,'' katanya - Utusan Malaysia

Hadapi realiti perbezaan hubungan

Dalam memperkatakan hubungan Malaysia-Singapura, sebenarnya kita tidak boleh lari daripada melihatnya sebagai hubungan di antara dua budaya kuasa yang berbeza. Satu mewakili sifat yang mudah bertolak ansur (accommodating), berbudi bahasa dan bertimbang rasa, manakala satu lagi jelas mewakili sifat mentaliti dikepung (siege mentality).

Walaupun perspektif ini tidak pernah diakui oleh Singapura, namun kata-kata Lee Kuan Yew dalam penulisannya, jelas mencerminkan hakikat berkenaan.

Berbeza dengan Malaysia yang telah mengalami empat kali peralihan kepimpinan, Singapura melalui peralihan kepimpinan hanya sekali sahaja, sejak penubuhan Malaysia. Empat kali peralihan kepimpinan itu membawakan Malaysia ke dalam kedudukan yang lebih pragmatik dalam kehidupan berjiran dengan negara tetangganya itu.

Sedangkan Singapura walaupun sudah beralih kepimpinannya sekali, ia masih dibayangi pengaruh Lee Kuan Yew, yang merupakan tonggak yang mewarisi nilai-nilai dan pandangan yang berasaskan pengalamannya di dalam dan di luar Malaysia sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman dahulu. Maka jelas sekali hubungan ini sentiasa disalut dengan madu dan hempedu.

Menyorot kembali penyingkiran Singapura dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, setelah hanya dua tahun mereka `berkahwin', perpisahan tersebut yang dimeterai oleh tiga bacaan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat melambangkan lafaz talak tiga, dalam perceraian orang-orang Melayu Islam. Yakni tidak ada rujuk kembali.

Bertitik tolak dari situ, Malaysia menjadi rimas dengan gelagat jirannya seperti yang terdapat dalam beberapa peristiwa penting. Antaranya, pada tahun 1986, Singapura telah melukai hati Malaysia dengan mengalu-alukan lawatan Presiden Chaim Herzoz dari Israel. Pada tahun 1987 pula, Brigedier Jeneral (B) Lee Hsien Loong, yang dikatakan akan mewarisi kepimpinan Singapura, menegaskan bahawa kekurangan orang Melayu Islam dalam Angkatan Tentera Singapura adalah agar tidak timbul konflik di antara kesetiaan dengan emosi dan agama, apabila republik itu diserang. Ini jelas memberi implikasi bahawa musuh mereka adalah Malaysia, sebuah negara Islam.

Pada tahun yang sama juga dua buah bot penggempur dengan 6 orang tentera beruniform menceroboh masuk ke Sungai Melayu di Johor Bahru. Manakala pada akhir tahun 2001, isu pelajar Nurul Nasihah yang tegas tidak mahu menanggalkan tudungnya telah disingkir dari sekolah atas alasan yang sukar diterima oleh penganut Islam.

Kini, dalam kehangatan isu bekalan air yang belum selesai, diikut pula isu penambakan laut dan terakhirnya isu hak milik Pulau Batu Putih.


Adakah isu-isu akan menjadi satu faktor penentu yang akan memberi kesan jangka pendek dan panjang dalam hubungan dua negara berjiran ini? Atau adakah Tambak Johor tetap berdiri gagah sebagai laluan kasih mesra orang berjiran?

Sebenarnya Singapura sudah awal-awal lagi terperangkap dalam sindrom mentaliti dikepung ini sejak dari zaman ia masih berada dalam Malaysia. Seperti kata Lee Kuan Yew, sebagai negara kecil yang sumbernya sedikit, tetapi rakyatnya perlu memikirkan strategi untuk terus hidup.

Hasrat Lee Kuan Yew untuk menjadikan Singapura sebagai Israel bermula selepas Singapura keluar dari Malaysia di mana Goh Keng Swee, Menteri Kewangannya yang merangkap Menteri Pertahanan bertemu dengan Mordecai Kidron, Duta Israel di Bangkok pada tahun 1965.

Pada November 1965, sekumpulan pakar ketenteraan Israel yang dipimpin oleh Kolonel Jak Ellazari, tiba di Singapura dan diikuti pula oleh enam orang lagi pada Disember 1965. Mereka ini menyamar sebagai `Mexicans'.

Dari situ, dalam masa 10 tahun sahaja Singapura sudah memiliki satu angkatan tentera yang lengkap dan kini menjadi semakin canggih dengan perbelanjaan tahunan pertahanan terkini mencecah 3.7 bilion dolar.


Memahami keadaan pemikiran mereka sebenarnya juga memahami pemikiran jiran yang bimbang dengan kemajuan dan kemakmuran jiran bersebelahannya. Dalam jangka masa 10 tahun kebelakangan ini, kelihatan segala-galanya telah bertukar tempat.

Dunia tidak lagi melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berada di pinggiran Singapura. Malaysia muncul sebagai negara yang mempunyai jati diri dan kedaulatannya sendiri. Malaysia tidak lagi perlu meniru Singapura. Malah sebaliknya yang berlaku.

Maka dengan daya saingan yang sudah mula dimiliki oleh Malaysia ke atas Singapura, negara tersebut tidak harus dilihat sebagai satu ancaman besar. Hasrat utama Singapura adalah mahu survive di sebelah negara jirannya yang sejak dahulu membantu ia menjadi makmur.

Sebarang langkah agresif terhadap Malaysia pasti akan menjejaskan peranan Malaysia sebagai pembantunya yang sekian lama bersifat matang dan sabar. Hanya jiran yang berjiwa kecil sahaja akan merosakkan hubungannya dengan jiran yang mempunyai sifat gentleman sedemikian.

Itulah realiti yang kita perlu lihat dalam hubungan dua hala ini. Realiti itu tentu sekali perlu difahami Singapura.

- Hamdan Sulaiman, Hulu Klang, Selangor.

Singapura didesak tinggalkan Batu Putih

Oleh: Hata Wahari

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mengulangi desakannya kepada Kerajaan Singapura supaya mengeluarkan pasukan keselamatannya daripada Pulau Batu Putih dan perairannya serta merta.

Naib Ketuanya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, tindakan republik itu secara berterusan meletakkan pasukan keselamatan di Pulau Batu Putih dan perairannya menimbulkan banyak masalah bukan sahaja kepada negara ini.

Tambahnya, ia juga menimbulkan masalah kepada kapal-kapal dagang yang melalui perairan sekitar Pulau Batu Putih.

``Pemuda UMNO kesal, kerajaan Singapura masih enggan mengeluarkan pasukan keselamatannya dari perairan Pulau Batu Putih menyebabkan berlakunya kemalangan tersebut.

``Kali ini ia hanya menyebabkan seorang anggota tentera terbunuh dan tiga yang lain, semuanya wanita hilang, mungkin selepas ini akan berlaku tragedi lebih buruk lagi'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian sebuah kapal peronda anti kapal selam Tentera Laut Singapura, RSS Courageous, yang rosak teruk dan hampir tenggelam dalam pelanggaran dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda dekat Pulau Batu Putih malam kelmarin.

Seorang anggota tentera Singapura dilaporkan terbunuh dan tiga yang lain, semuanya wanita, hilang.

Kejadian berlaku kira-kira satu batu nautika (1.8 kilometer) dari Pulau Batu Putih ketika Singapura meningkatkan kawalan dan rondaan sekitar Pulau Batu Putih yang didakwanya merupakan sebahagian wilayah maritim republik itu.

Abdul Aziz bimbang, sekiranya berlaku sekali lagi pelanggaran antara kapal perang Tentera Laut Singapura dengan kapal dagang ia mungkin akan menyebabkan malapetaka yang lebih besar.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan membuat bantahan terhadap Singapura dan meminta mereka menarik keluar pasukan keselamatan dari pulau itu dengan segera.

Beliau juga menyokong kerajaan menolak cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas bagi membawa isu tuntutan Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Brussels, Belgium, pada akhir bulan ini.

Abdul Aziz berkata, tindakan Singapura itu tidak rasional langsung memandangkan Malaysia telah mencadangkan enam atau tujuh tarikh untuk menandatangani perjanjian khas tersebut.

``Ini jelas membuktikan negara itu tidak ikhlas dalam usaha menyelesaikan masalah tersebut.

``Pemuda UMNO yakin, republik itu mempunyai agenda terutama untuk mendapatkan simpati dari negara lain apabila mencadangkan perjanjian khas itu ditandatangani di Brussels, Belgium,'' katanya.

Beliau mencadangkan, sekiranya Singapura tidak mahu perjanjian itu ditandatangani di negaranya atau di Malaysia ia boleh ditandatangani di salah sebuah negara dalam ASEAN.

Malaysia sebelum ini mencadangkan enam atau tujuh tarikh kepada Singapura bagi melaksanakan perjanjian khas tersebut tetapi ditolak oleh republik itu - Utusan Malaysia

Singapura sedia tandatangani di mana saja

JOHOR BAHRU 5 Jan. - Singapura bersedia menandatangani perjanjian khas dengan Malaysia di mana sahaja untuk membawa kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menteri Luarnya, Profesor S. Jayakumar berkata, Malaysia boleh mengemukakan tarikh baru jika mendapati 27 atau 28 Januari iaitu tarikh yang dicadangkan oleh republik itu tidak sesuai untuk ditandatangani di Brussels, Belgium.

``Kami tidak kisah di mana perjanjian itu akan dimeterai... Malaysia boleh mencadangkan tarikh lain dan kita akan menimbangkannya,'' katanya yang dipetik oleh Sunday Times Singapura.

Beliau merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semalam bahawa Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas itu di Brussels semasa mesyuarat ASEAN-Kesatuan Eropah (EU).

Menurut Jayakumar, cadangan agar perjanjian itu ditandatangani di Brussels berikutan kemahuan Malaysia supaya perjanjian itu disegerakan.

Sementara itu di Kota Tinggi, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Malaysia akan mengemukakan tarikh baru kepada Singapura supaya perjanjian khas itu dapat dimeterai di Malaysia atau Singapura bulan ini juga atau pun bulan depan.

Beliau berkata, jika tidak bulan ini ia boleh dilakukan semasa sidang kemuncak Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) di Kuala Lumpur bulan depan.

``Ada besar kemungkinan, kita boleh buat dalam bulan Januari ini. Kalau tidak, saya fikir dalam bulan Februari.

``Kita akan tengok kalau nak buat di samping mesyuarat NAM, Singapura adalah anggota NAM dan ia boleh dilakukan di Kuala Lumpur, tak menjadi masalah,'' katanya.

``Ia (penetapan tarikh) tak menjadi masalah tetapi pada saya kita akan beri tarikh khusus dan kita tengoklah respon Singapura,'' katanya selepas merasmikan bangunan Unit Haemodialisis, Hospital Kota Tinggi, di sini.

Beliau ditanya tarikh yang akan dicadangkan oleh Malaysia selepas menolak cadangan Singapura supaya perjanjian itu ditandatangani di Brussels.

Syed Hamid menjelaskan cadangan Singapura itu sangat tidak sesuai dengan agenda mesyuarat ASEAN-EU.

Selain itu, katanya, beliau kemungkinan besar tidak dapat menghadiri mesyuarat berkenaan.

``Oleh itu, kita akan mencadangkan tarikh untuk menandatangani, saya lebih suka (perjanjian khas) ditandatangani di Malaysia atau dia (Singapura) nak menandatangani di Singapura, saya tak ada masalah,'' katanya.

Menurut Syed Hamid, Malaysia sememangnya mahu menandatangani perjanjian khas itu secepat mungkin cuma pihaknya baru mendapat tahu mengenai perkara tersebut Jumaat lalu yang mencadangkan supaya ia diadakan di Brussels dan ia tidak sesuai.

``Biarlah ia ditandatangani di rantau kita dan berdasarkan pandangan yang diberi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir ia lebih tepat dan kita akan mengambil bahagian sewajarnya bagi memastikan kedua-dua pihak untuk menandatanganinya secepat mungkin,'' tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan meneliti tarikh yang sesuai sebelum mengusulkannya kepada Singapura secepat mungkin untuk memuktamadkan pemeteraian perjanjian khas itu.

``Saya selalu tak umumkan tarikh pada akhbar sehingga kita sudah hantar (kepada Singapura) kerana kita tidak mahu sesiapa dipersalahkan jika tarikh yang dicadangkan itu tidak sesuai.

``Ini tidak, dia (Singapura) bagi tarikh dan umum pada surat khabar dan saya tengok macam tak sesuai,'' jelas beliau.

Syed Hamid menegaskan, tindakan Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas itu di Brussels bukan bertujuan untuk melengah-lengahkan perkara itu.

``Soal melengah-lengahkan tak timbul kerana kita hanya cuba menguruskan hubungan kita dengannya sebaik mungkin di dalam keadaan yang agak dingin.

``Kita tak nak menyalahkan sesiapa kerana yang penting kita nak mentadbirkan hubungan dua hala di dalam suasana yang sebaik mungkin,'' tegasnya lagi - Utusan Malaysia

Pulau Batu Putih wajar diawasi bersama

KOTA TINGGI 5 Jan. - Pengawasan di perairan Pulau Batu Putih wajar dilakukan secara bersama antara pihak berkuasa Malaysia dan Singapura sebagai langkah mencegah sebarang kemalangan di lautan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.

Beliau berkata, kemalangan antara kapal peronda anti kapal selam Tentera Laut Singapura, RSS Courageous, dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda dekat Pulau Batu Putih pada Jumaat lepas sebenarnya boleh dielakkan.

``Pada saya, ada baiknya bila kedua-dua pihak membuat pengawasan... kehadiran masing-masing diketahui supaya tidak boleh berlaku kemalangan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Unit Hemodialisis Hospital Kota Tinggi di sini.

Kehadiran kapal-kapal keselamatan sama ada dari Malaysia atau Singapura di Pulau Batu Putih perlu diketahui oleh pihak berkuasa kedua-dua negara berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sehubungan itu, katanya, kedua-dua negara perlu mengadakan `satu pusat' untuk mengetahui kehadiran pasukan keselamatan apabila kedua-dua pihak membuat pengawasan di pulau berkenaan.

``Pada saya, ada baiknya bila kedua-dua belah pihak membuat pengawasan, kehadiran masing-masing diketahui agar tidak berlaku insiden yang tidak diingini,'' katanya.

Syed Hamid mengulas insiden pelanggaran kapal peronda anti kapal selam Singapura dengan kapal dagang milik syarikat Belanda seberat 52,000 tan itu di kawasan perairan yang terletak kira-kira 1 batu nautika dari Pulau Batu Putih.

Sementara itu, kata Syed Hamid, Malaysia berasa sedih di atas kejadian itu serta mengucapkan takziah kepada Kerajaan Singapura serta ahli keluarga anak kapal yang terbunuh.

``Kita sampaikan takziah kepada keluarga dan Kerajaan Singapura atas kehilangan jiwa... ini menunjukkan bahawa kemungkinan perkara-perkara sedemikian (kemalangan) boleh berlaku jika kita tidak berhati-hati dalam melaksanakan pengawasan,'' jelasnya - Utusan Malaysia