Monday, January 06, 2003

Pulau Batu Putih wajar diawasi bersama

KOTA TINGGI 5 Jan. - Pengawasan di perairan Pulau Batu Putih wajar dilakukan secara bersama antara pihak berkuasa Malaysia dan Singapura sebagai langkah mencegah sebarang kemalangan di lautan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.

Beliau berkata, kemalangan antara kapal peronda anti kapal selam Tentera Laut Singapura, RSS Courageous, dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda dekat Pulau Batu Putih pada Jumaat lepas sebenarnya boleh dielakkan.

``Pada saya, ada baiknya bila kedua-dua pihak membuat pengawasan... kehadiran masing-masing diketahui supaya tidak boleh berlaku kemalangan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Unit Hemodialisis Hospital Kota Tinggi di sini.

Kehadiran kapal-kapal keselamatan sama ada dari Malaysia atau Singapura di Pulau Batu Putih perlu diketahui oleh pihak berkuasa kedua-dua negara berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sehubungan itu, katanya, kedua-dua negara perlu mengadakan `satu pusat' untuk mengetahui kehadiran pasukan keselamatan apabila kedua-dua pihak membuat pengawasan di pulau berkenaan.

``Pada saya, ada baiknya bila kedua-dua belah pihak membuat pengawasan, kehadiran masing-masing diketahui agar tidak berlaku insiden yang tidak diingini,'' katanya.

Syed Hamid mengulas insiden pelanggaran kapal peronda anti kapal selam Singapura dengan kapal dagang milik syarikat Belanda seberat 52,000 tan itu di kawasan perairan yang terletak kira-kira 1 batu nautika dari Pulau Batu Putih.

Sementara itu, kata Syed Hamid, Malaysia berasa sedih di atas kejadian itu serta mengucapkan takziah kepada Kerajaan Singapura serta ahli keluarga anak kapal yang terbunuh.

``Kita sampaikan takziah kepada keluarga dan Kerajaan Singapura atas kehilangan jiwa... ini menunjukkan bahawa kemungkinan perkara-perkara sedemikian (kemalangan) boleh berlaku jika kita tidak berhati-hati dalam melaksanakan pengawasan,'' jelasnya - Utusan Malaysia

No comments: