Saturday, October 11, 2003

Penambakan diteruskan

Singapura umum tidak bersedia menurut kehendak Malaysia

JOHOR BAHRU 10 Okt. - Singapura meneruskan kerja penambakan di Tuas dan Pulau Tekong dan tidak bersedia menurut kehendak Malaysia supaya ia diberhentikan, kata Menteri Pembangunan Negara republik itu Mah Bow Tan.

Mah dipetik oleh akhbar Berita Harian Singapura sebagai berkata bahawa jika dihentikan, ia akan menjejaskan bukan sahaja penambakan itu tetapi juga kegiatan pembangunan di Singapura.

Kenyataan itu mendapat reaksi keras daripada Pergerakan Pemuda UMNO di KUALA LUMPUR yang menyifatkan Singapura sebagai jiran angkuh kerana masih menganggap keputusan Tribunal Antarabangsa Undang-Undang Laut (ITLOS) kelmarin menyebelahi mereka.

Ketuanya, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata, kedegilan republik itu untuk mengakui keputusan ITLOS menunjukkan mereka hanya mahu menang dan tidak berusaha menyelesaikan pertikaian kes penambakan laut di Selat Johor dengan cara diplomasi.

Menurut beliau, pendirian Singapura selain menyukarkan hubungan diplomatik selepas ini, akan terus mencipta masa depan yang membahayakan alam sekitar kawasan berkenaan khususnya kepada generasi akan datang.

``Kita sebaliknya berpendapat, keputusan ITLOS mengarahkan pembentukan sekumpulan pemantau bebas untuk mengkaji kesan penambakan itu memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua negara.

``Malaysia sentiasa mahu melihat kepada kepentingan bersama dan kita berpendapat kehadiran pakar pemantau bebas itu akan banyak membantu menyelesaikan pertikaian ini,'' katanya ketika melancarkan Kempen Jelajah Aman Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Mengenai arahan ITLOS di Jerman dua hari lalu itu supaya kajian dijalankan oleh pakar-pakar bebas mengenai kesan penambakan tersebut, Mah berkata Singapura akan membuat penjelasan kepada pakar-pakar terbabit.

``Kami akan menjelaskan kepada pakar-pakar tersebut mengenai Kawasan D (kawasan di selatan Pulau Tekong) dan semua langkah yang telah kita laksanakan bagi memastikan kesan kepada persekitarannya dikurangkan,'' katanya.

Menurut Mah kawasan itu digunakan oleh kontraktor sebagai tempat membuang tanah hasil daripada kerja penambakan di samping kerja pembinaan terowong MRT dan sistem kumbahan bawah tanah di republik itu.

ITLOS dalam keputusannya antara lain mengarahkan Singapura tidak melaksanakan projek penambakan dalam cara yang boleh menjejas hak Malaysia, yang tidak boleh diubah lagi, atau menyebabkan kerosakan serius terhadap persekitaran marin dengan mengambil kira laporan daripada kumpulan pakar bebas.

Akhbar yang sama turut melaporkan bahawa Duta Kelana Singapura Prof. Tommy Koh akan memimpin pasukan Singapura dalam kes pertikaian Pulau Batu Putih, yang dikenali sebagai Pedra Branca oleh republik itu, di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda - Utusan Malaysia