Sunday, February 16, 2003

Syed Hamid jawab Awang Selamat

SAYA selalunya membaca ruang Awang Selamat dengan penuh minat kerana ianya ruang sebuah akhbar nasional yang ulung. Saya juga berpeluang untuk mengambil iktibar dan nasihat dari teguran bijaksana dan bistari penulis.

Justeru, saya sekali lagi telah membaca ruangan Awang Selamat pada hari Ahad, 9 Februari 2003, di antaranya berkenaan perang mulut saya dengan Menteri Luar Singapura.

Namun pada kali ini, saya terpanggil untuk membuat beberapa penjelasan ekoran tulisan Awang Selamat.

Mungkin Awang Selamat tidak maklum berkenaan aturcara Majlis Tandatangan Perjanjian Khas Pulau Batu Putih pada 6 Februari lalu.

Aturcara saya disusun dengan tiada sidang akhbar. Selepas tandatangan, hanya makan tengah hari sahaja sebagaimana Awang Selamat cadangkan.

Saya sendiri berpendapat `sidang akhbar' terbuka akan mencetuskan banyak masalah. Sebenarnya saya dari awal-awal lagi telah menyediakan kenyataan akhbar bertulis untuk edaran kepada para wartawan yang hadir.

Singapura walau bagaimanapun, meminta supaya diadakan sidang akhbar bersama secara terbuka. Dua puluh lima orang wartawan dari republik tersebut telah mengiringi menteri luarnya.

Untuk pengetahuan Awang Selamat, dalam perjumpaan saya dengan Menteri Luar Singapura dan delegasinya di kamar saya, sebelum upacara berlangsung, saya memberitahunya yang saya tidak berminat untuk mengadakan sidang akhbar bagi menjaga suasana majlis yang murni.

Selaras dengan harapan saya supaya majlis ini tidak dikeruhkan dengan apa-apa kenyataan atau perbezaan pendapat, maka saya hanya memberikan ucapan pendek.

Di dalam ucapan saya, antara lain saya menegaskan, saya gembira kerana kita berjaya mengadakan majlis ini dalam semangat muhibah dan kerjasama.

Lebih-lebih lagi oleh kerana kedua-dua pihak sudahpun bersetuju untuk merujuk pertikaian kepada ICJ, biarlah perkara ini kita serahkan untuk diputuskan oleh ICJ.

Saya anggap ini adalah satu ucapan yang agak mesra, jika diambil kira suasana hubungan dua hala kita sebelum majlis ini.

Tetapi sebagaimana umum mengetahui, ucapan balas Menteri Luar Singapura adalah agak panjang lebar. Namun begitu saya hanya berdiam diri mendengar ucapan beliau.

Apabila dibuka kepada soal jawab daripada media, media Singapura dengan terancang telah bertanya kepada menteri luarnya berkenaan kenyataan Dr. Mahathir, Perdana Menteri kita yang Singapura cuba mengalihkan pandangan dari masalah ekonomi dalamannya dengan membangkitkan suasana tegang dengan Malaysia.

Menteri Luar Singapura nyata sekali sudah mengatur pertanyaan dan jawapan yang hendak diberikan dengan membaca apa yang telah tertulis dalam teks yang kelihatan telah disediakan lebih awal
.

Saya berpendapat kandungannya terlalu kritikal kepada Malaysia dan Dr. Mahathir dan menyalahkan Malaysia di atas keadaan-keadaan hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

Begitulah bila beliau mempertahankan haknya untuk mendedahkan surat-menyurat di antara kedua-dua pemimpin negara atas alasan untuk membetulkan perkara-perkara yang tidak benar yang telah diperkatakan oleh Malaysia.

Oleh kerana perkara itu menyentuh soal maruah dan kehormatan negara, saya berpendapat amat perlu untuk ditegaskan keadaan sebenar. Dari segi etika, surat-menyurat di antara pemimpin seharusnya disimpan secara sulit dalam proses rundingan kita.

Keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila Menteri Luar Singapura menyentuh tentang soal kedaulatan Pulau Batu Putih yang dikatakannya sebagai wilayah Singapura sehingga ia diputuskan oleh ICJ.

Justeru, kerana Malaysia sentiasa berpendirian yang Pulau Batu Putih adalah sebahagian dari Wilayah Malaysia, saranan Menteri Luar Singapura terhadap Pulau Batu Putih adalah keterlaluan memandangkan kedua-dua negara mempunyai tuntutan bertindih
.

Seharusnya Singapura tidak mengambil sikap yang sedemikian memandangkan kedaulatanlah menjadi sebab kita bersetuju untuk membawa perkara tersebut ke ICJ.

Kalau perkara ini saya juga berdiam diri, ini bermakna Malaysia menerima bahawa selagi perkara ini tidak diputuskan, kedaulatan Pulau Batu Putih adalah di bawah hak Singapura.

Saya minta maaflah dalam hal ini saya tidak dapat bersetuju dengan Awang Selamat. Saya ingin memaklumkan kepada Awang Selamat bila mana soal maruah, hak dan kedaulatan negara disentuh, adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai menteri luar untuk mempertahankan kedudukan Malaysia tanpa ragu-ragu dan jelas.

Jika Awang Selamat turut serta mengikuti sidang akhbar tersebut, sudah tentu beliau akan menyedari suasana majlis tersebut telah menjadi sedemikian rupa oleh kerana tindak-tanduk Menteri Luar Singapura.

Saya telah cuba mengelakkan dari mengatakan sesuatu yang boleh melahirkan kontroversi. Tetapi, Singapura mempunyai sikap yang berlainan.

Biar saya katakan yang Singapura begitu particular sehingga bila kita mahu meletakkan `backdrop' pun mereka ambil kira dengan mengatakan ianya mestilah bermula `Pedra Branca/Pulau Batu Putih' dan bukan di sebaliknya.

Walaupun, Singapura tahu bahawa telah diperuntukkan yang apa-apa cara susunan ke atas nama pulau yang dipertikaikan tidak akan membawa kesan undang-undang.

Ketidakpercayaan Singapura diperlihatkan lagi apabila Menteri Luar Singapura meminta di initial di tiap-tiap muka halaman Perjanjian Khas sebelum ditandatangani di halaman akhir perjanjian sebagaimana lazim berlaku.

Untuk maklumat Awang Selamat, saya hanya mengambil bahagian bagi menjawab telahan Menteri Luar Singapura di atas kenyataan Dr. Mahathir menjelaskan pendirian Malaysia dalam soal pendedahan surat-menyurat serta menegaskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Putih hanya dapat dimuktamadkan melalui proses ICJ. Saya tidak dapat membiarkan negara dan pemimpin kita dicemuh di dalam perjumpaan di negara kita sendiri.

Saya harap perkara ini dapat dihayati oleh Awang Selamat. Walaupun begitu, saya mengucapkan terima kasih kepada Awang Selamat yang telah begitu objektif memberikan komennya. Saya akan terus menimba ilmu dari mereka yang arif.

SYED HAMID ALBAR MENTERI LUAR MALAYSIA