Sunday, January 12, 2003

Sejarah tuntutan Pulau Batu Putih

Oleh Azman Anuar

DALAM peta Malaysia yang terkini, ditunjukkan dengan jelas kedudukan Pulau Batu Putih (White Rock Island). Nama pulau ini digunakan sejak dari dahulu kerana dari jauh pulau itu pada asalnya kelihatan berwarna putih kesan tompokan-tompokan najis burung-burung laut.

Ahli-ahli pelayaran Portugis pada masa dahulu pula memanggil pulau ini Pedra Branca dan nama inilah yang digunakan oleh Singapura hingga sekarang.

Ketika pertikaian tuntutan bertindih ke atas pulau-pulau di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan reda, baru-baru ini muncul pula ketegangan di sudut barat daya perairan itu. Kedaulatan pulau berbatu yang mempunyai wilayah yang cukup kecil tetapi amat strategik menjadi tuntutan bertindih antara Malaysia dan Singapura.

Perkembangan isu Pulau Batu Putih mencapai tahap kemuncak baru-baru ini apabila semakin banyak artikel dan laporan mengenainya dihebahkan melalui media.

Pulau kosong tanpa hidupan dan tumbuhan itu pada asalnya tidak siapa peduli hinggalah terbina rumah api di pulau tersebut.

Mengikut tulisan R. Haller-Trost, Historical Legal Claims: A Study of Disputed Sovereignty Over Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) 1993, pada tahun 1842, seorang bendahari, James Horsburgh telah mengumpulkan yuran di Canton, China daripada para pedagang untuk disumbangkan kepada Kerajaan Negeri-Negeri Selat (Straits Settlements Government) supaya membina rumah api bagi kemudahan kapal-kapal yang melalui perairan yang bahaya di bahagian timur selat Singapura, terutama bagi mengelakkan kapal-kapal mengalami kemalangan merempuh batu-batu di laluan berkenaan akibat pertambahan lalu lintas kapal.

Hingga sekarang pun masih berlaku kemalangan pelanggaran antara kapal. Pada 3 Januari lalu kapal anti kapal selam Singapura, RSS Courageous berlanggar dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di belanda, kira-kira 1.8 batu nautika dari Pulau Batu Putih.

Berikutan cadangan Horsburgh itu, rumah api yang dinamakan sempena nama beliau dibina pada 1850 dan ia mula beroperasi pada 15 Oktober 1851. Tarikh inilah digunakan oleh Singapura sebagai tarikh bertapaknya kuasa mereka ke atas pulau itu.

Kedudukan batu-batuan yang membentuk pulau ini terletak di pintu masuk ke timur selat Singapura pada garisan 1*19.8'U, 104*24.4'T. Mengikut maklumat daripada Thomson, arkitek Rumah Api Horsburgh, terdapat sedikit anjakan daripada koordinatnya iaitu 1*20.15'U. 104*25'T.

Mengikut keterangan daripada Laporan Marin Bengal, permukaan pulau ini diukur berdasarkan panjangnya 137 meter semasa air pasang rendah dari arah timur laut ke barat daya. Bahagian permukaan besar pulau itu terdapat di sebelah utara, sementara bahagian selatan hanya sedikit sahaja.

Pada aras air rendah didapati permukaan batu-batu dipisahkan pada jarak 20 hingga 30 meter dari batu besar.

Kedudukan paras paling tinggi ialah 8.2 meter ketika air pasang tinggi. Bagaimanapun rupa bentuk Pulau Batu Putih sudah berubah sejak Singapura membina tempat pendaratan helikopter dan kemudahan radar dan marin di atas batu itu.

Permulaan pertikaian

Pembuktian hak ke atas wilayah biasanya menimbulkan masalah disebabkan penyediaan dokumen dan kandungannya yang tidak lengkap. Trost yang membuat kajian ke atas Pulau Batu Putih mendapati kebanyakan dokumen rasmi yang ditemui di India Office Library dan Public Record Office di London, hanya menunjukkan sedikit sahaja rujukan kepada Rumah Api Horsburgh di Pulau Batu Putih, dan tidak mengaitkan persoalan tentang kedaulatan ke atas wilayah berbatu itu sebelum struktur binaan didirikan.

Masalah pemilikan bonjolan batu itu hanya berbangkit selepas Malaysia mengeluarkan peta baru yang menunjukkan wilayah perairan dan sempadan pentas dunia pada 21 Disember 1979. Dalam peta baru itu Malaysia memasukkan pulau batu itu ke dalam wilayah perairannya bagi mengukuhkan turning point (TP) 30 pada persilangan pembahagi bersudut tepat (tegak) segi tiga yang dibentuk oleh tiga titik iaitu Pulau Batu Putih, Tanjong Sanding dan Tanjong Berakit (di Pulau Bintan, Indonesia).

Bukti

Tiada kenyataan atau bukti tentang sebarang pertikaian Pulau Batu Putih ditimbulkan sebelum 1979. Walaupun pada tahun 1953, setiausaha kerajaan negeri Johor yang menjawab soalan daripada kerajaan Singapura bahawa ia tidak menuntut pemilikan ke atas Pulau Batu Putih kerana kedua-dua kerajaan pada masa itu di bawah kawalan kerajaan British.

Pada September 1991, Menteri Besar Johor ketika itu menyatakan bahawa ``dari sudut pandangan sejarah, Pulau Batu Putih adalah milik kita'' dan ``kerajaan Johor bersedia menyediakan bukti jika perlu bagi membuktikan sesungguhnya pulau itu milik Johor.''

Pendapat ini diulangi pada forum khusus tentang Pulau Batu Putih yang diadakan di Johor Bahru pada Oktober 1991 yang dihadiri oleh ahli-ahli sejarah Malaysia.

Dalam menuntut kembali kedaulatan pulau tersebut, Malaysia menunjukkan bahawa Sultan Johor mempunyai hak ke atas kedaulatan Pulau Batu Putih itu sejak 1513 apabila Kesultanan Johor-Riau-Lingga ditubuhkan oleh Sultan Mahmud yang berundur setelah Portugis menawan Melaka pada 1511. Berdasarkan teori warisan negara, Pulau Batu Putih juga menjadi milik Persekutuan Malaysia kerana penyatuan Johor yang menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya pada 1957.

Malaysia terus menyandarkan fakta bahawa Singapura hanya dibenarkan menguruskan rumah api sahaja dan ia tidak melibatkan kesan hak milik ke atas pulau itu.

Manakala Singpaura pula terus beranggapan bahawa ia mempunyai hak sepenuhnya ke atas kedaulatan dan kuasa perundangan di Pulau Batu Putih berdasarkan Perjanjian Anglo-Belanda.

Malah ia juga berdasarkan fakta bahawa Syarikat Hindia Timur Inggeris yang membina rumah api dan menyelenggarakannya sejak 1851 dan kemudian menyerahkan pengurusannya kepada Singapura.

Tanggapan ini diperkuatkan lagi apabila tiada pihak berkuasa mana-mana kerajaan termasuk Johor dan Malaysia yang membuat sebarang tuntutan atau membantah status Pulau Batu Putih sehingga 1979.

Oleh yang demikian, Singapura mengambil kira batu-batu di perairan 7.7 batu nautika di tenggara Johor itu menjadi bahagian sah dalam wilayah republik itu.

Walau apa pun, beberapa dokumen yang ada kaitan dengan Pulau Batu Putih perlu dikaji dengan teliti termasuk maklumat abad terdahulu bersama-sama dokumen masa kini.

Sebenarnya tiada kesangsian lagi bahawa wujud hubungan rapat antara Johor dengan Riau-Lingga yang juga merangkumi seluruh wilayah Singapura dan kepulauan di sekitar berhampirannya, kerana ia diperintah oleh seorang sultan. Berdasarkan kepada wilayah-wilayah tertentu, fakta yang jelas ialah Johor dan Riau-Lingga pernah merupakan satu entiti politik yang diiktiraf.

Berdasarkan sejarah hubungan Sultan Johor dengan sekutu dan seterunya pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19, yang akhirnya membelah dua empayar Kesultanan Johor dengan Kesultanan Riau-Lingga pada 1814 hingga 1824, ia adalah akibat daripada Konvensyen London 1814.

Agenda konvensyen antara Britain dengan Belanda itu berkaitan dengan tanah jajahan Belanda di mana, British menyerah balik kepada kerajaan Belanda beberapa kedudukan tanah jajahan tertentu yang telah ditangani mereka pada 1803.

Perjanjian ini kemudian memberi laluan kepada pembahagian tanah jajahan di Asia Tenggara antara Britain dan Belanda melalui Perjanjian Anglo-Belanda 1824.

Pada Mac 1824, Perjanjian Anglo-Belanda itu akhirnya memisahkan Riau-Lingga daripada empayar Sultan Johor. Temenggung Hussain (Johor) dan Temenggung Jaafar (Riau-Lingga) yang bertelagah pula terlepas perhatian tentang Pulau Batu Putih kerana sibuk menjaga kepentingan masing-masing.

Syarikat Hindia Timur Inggeris membayar pampasan kepada Temenggung Johor itu sementara Belanda meningkatkan pendapatan kepada Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga.

Pulau Singapura pula secara langsung menjadi milik British dan kemudian ditubuh pentadbiran Kerajaan Negeri-Negeri Selat yang merangkumi Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Jika diambil kira tulisan R. Haller-Trost dari Unit Penyelidikan Sempadan-sempadan Antarabangsa, Universiti Durham, London itu, perjanjian yang sedia ada membuktikan bahawa isu kedaulatan Pulau Batu Putih ada kaitan dengan Kerajaan Negeri-Negeri Selat dan Pejabat Tanah Jajahan British di India bagi satu pihak dan Johor pada satu pihak lain.

Analisis

Ini tidak memeranjatkan kerana sifat pulau itu adalah bersendirian, kecil, hanya batu-batu yang tidak ada habitat dan kewujudannya sebelum ini tidak menarik minat mana-mana kerajaan atau pemerintah.

Menurut Trost, jika berdasarkan geografi, pulau itu bukan sebahagian Pulau Ramunia, sebuah pulau kecil 6 batu nautika ke barat laut, dan bukan dipunyai oleh Beting Ramunia pada jarak yang sama lebih ke utara sedikit.

Analisis yang digunakan oleh Trost menunjukkan bahawa Pulau Ramunia yang berada 3 batu nautika di luar pantai Johor adalah milik Sultan Johor, tetapi Pulau Batu Putih berada di luar penguasaannya. Ia tidak termasuk dalam perjanjian Crawfurd 1824 yang mengehadkan 10 batu geografi, diukur dari tanah besar Singapura. Ini menunjukkan bahawa pulau itu tidak boleh dimasukkan ke dalam wilayah Negeri-Negeri Selat dan Akta Perairan Johor 1928.

Bagaimanapun mengikut kajian Malaysia pula, Pulau Batu Putih terletak di utara garisan - lebih tepat 7.5 batu nautika utara Tanjong Sanding (di Pulau Bintan, Indonesia) dan kemudian disahkan berada di wilayah jajahan British. Negeri-Negeri Selat khususnya Singapura hanya menguruskan rumah api di Pulau Batu Putih sehingga Malaysia memasukkan pulau itu ke dalam petanya pada 1979.

Apabila Singapura berpisah dari Malaysia pada 1965, republik itu mengkanunkan wilayah-wilayahnya sebelum tahun 1963 yang kemudian menjadi sebahagian Malaysia, ia harus dikembalikan kepada Singapura.

Dengan demikian Kerajaan Singapura berkata Pulau Batu Putih atau Pedra Branca itu adalah miliknya. Malah Singapura menegaskan bahawa rumah api yang dikendalikannya di bonjolan batu itu adalah salah satu bukti pulau tersebut merupakan milik mereka.

Bagaimanapun kerajaan negeri Johor tidak pernah menyerahkan Pulau Batu Putih kepada mana-mana pihak termasuk Singapura dan kedudukan pihak berkuasa republik itu di pulau tersebut hanyalah sebagai pengurus rumah api yang dibina ketika di zaman penjajahan Inggeris.

Menurut Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, negara jiran itu juga tidak dibenarkan membina sebarang struktur bangunan lain di pulau tersebut.

``Pembinaan rumah api di Pulau Batu Putih adalah dengan kebenaran Kerajaan Johor yang ketika itu di bawah pentadbiran Sultan Sir Abu Bakar semasa penjajahan Inggeris.

``Kerajaan Johor tidak pernah memberikan pulau itu kepada mana-mana pihak dan tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian melibatkan penyerahan hak pulau tersebut.

``Kebenaran membina rumah api tidak bermakna menyerahkan pulau tersebut kepada Singapura,'' katanya.

Menurut Abdul Ghani, peta-peta yang dikeluarkan sejak tahun 1926 hingga yang terkini jelas menunjukkan pulau tersebut adalah dalam wilayah Johor.

Sehubungan itu, kata beliau, Kerajaan Johor berpendirian bahawa pulau itu sejak dahulu lagi adalah sebahagian daripada Johor dan hak negeri ini terhadapnya akan terus kekal dan tidak akan tergugat.

Menurut beliau, kehadiran republik itu di Pulau Batu Putih sama seperti di Pulau Pisang iaitu untuk menguruskan rumah api dengan kebenaran Kerajaan Johor dan Malaysia.

Pun begitu, Malaysia dan Singapura sudah mencapai persetujuan untuk mengemukakan tuntutan masing-masing ke atas Pulau Batu Putih kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague dengan memeterai perjanjian mengenai perkara tersebut di Wisma Putra, Putrajaya pada 6 Februari 2003 - Utusan Malaysia

Tambak laut: Tuntutan ganti rugi akan dikaji

PEKAN 11 Jan. - Kerajaan perlu membuat kajian terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada bantahan terhadap kerja-kerja penambakan laut oleh Singapura akan turut meliputi aspek ganti rugi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan perlu membuat kajian bagi menentukan skop bantahan itu terlebih dahulu dan ini memerlukan sedikit masa.

``Soal taksiran dan sebagainya itu agak perlu masa sedikit bagi menentukan kesan yang boleh ditaksir, kita kena tunggu dulu,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau mengulas mengenai aspek bantahan yang akan dikemukakan oleh Malaysia kepada Singapura berhubung penambakan laut oleh negara berkenaan berhampiran Tanjung Pengelih, Johor.

Rabu lepas, mesyuarat Kabinet dimaklumkan mengenai kesan negatif akibat kerja penambakan itu selepas menerima laporan daripada jawatankuasa khas yang menjalankan kajian berkenaan.

Penambakan laut yang dijalankan itu dibimbangi akan menyebabkan kesan terhadap ekologi dan alam sekitar serta mengakibatkan perubahan arus di kawasan berkenaan.

Najib berkata, hasil kajian yang dijalankan terhadap isu berkenaan adalah penting sebagai landasan kepada bantahan berkenaan.

``Bantahan kita bukan sesuatu yang tidak berasas sebaliknya kita telah membuat kajian yang mendalam, kajian saintifik bagi menunjukkan kesan penambakan laut itu,'' katanya.

Menurutnya, meskipun penambakan laut itu dilakukan di perairan Singapura, namun kesannya dirasai oleh Malaysia dan perkara itu memerlukan tindakan sewajarnya.

Ditanya mengenai isu Pulau Batu Putih, Najib berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tetap menjalankan rondaan di sekitar pulau berkenaan seperti biasa,

``TLDM membuat rondaan seperti biasa dan ia dijalankan dengan baik, tanpa perlu bertindak agresif malahan kita menutup meriam dan radar kita,'' katanya.

Jelasnya, rondaan yang dijalankan itu bukan bertujuan untuk berbalah dengan negara jiran tetapi demi keselamatan wilayah negara.

Ditanya sama ada kapal TLDM pernah diusir oleh pihak Singapura ketika berada di sekitar pulau itu, Najib berkata, pada umumnya kehadiran mereka diperhatikan oleh tentera negara jiran itu - Utusan Malaysia