Thursday, November 08, 2007

Surat balasan istana jadi tumpuan

Daripada Noraini Abd. Razak

THE HAGUE, Belanda 7 Nov. – Surat balasan Sultan dan Temenggung Johor bertarikh 25 November 1844 yang memberi kebenaran kepada British untuk membina sebuah rumah api di sebuah pulau milik kerajaan Johor menjadi antara tumpuan Singapura pada hari kedua persidangan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini.

Alen Pallet yang bertindak sebagai ejen bersama Singapura mendakwa, isi kandungan surat itu langsung tidak menamakan secara khusus Pulau Batu Putih sebagai tempat yang diizinkan kepada British untuk membina rumah api.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu memberitahu mahkamah, surat tersebut juga hanya menyebut sebuah rumah api sambil mendakwa ia tidak merujuk kepada rumah api Horsburgh yang dibina oleh British di Pulau Batu Putih pada 1847.

Sehubungan itu, beliau melihat, Malaysia gagal membuktikan surat balasan Sultan dan Temenggung Johor memberi kebenaran kepada British membina sebuah rumah api sebagai bukti bahawa Pulau Batu Putih adalah terletak di bawah kerajaan Johor.

Surat tersebut juga dakwa Pallet, langsung tidak menunjukkan bahawa Johor mempunyai sebarang kuasa ke atas Pulau Batu Putih kerana ia secara jelas tidak menamakan pulau itu.

Beliau berhujah lagi, ketiadaan surat permohonan di pihak British kepada Sultan dan Temenggung untuk tujuan tersebut juga menimbulkan tanda tanya mengenai kawasan sebenar yang dipohon oleh British untuk dibina sebuah rumah api tersebut.

Katanya, walaupun surat balasan itu menunjukkan bahawa permohonan British melibatkan sebuah pulau di bawah kerajaan Johor namun jawapan oleh Sultan dan Temenggung Johor amat kabur dan gagal mengaitkannya dengan Pulau Batu Putih.

“Kebenaran (untuk membina rumah api) itu adalah bagi mana-mana kawasan di bawah pentadbiran Johor, boleh jadi Pulau Romania atau Pulau Mungging tetapi ia bukan Pulau Batu Putih,” katanya.

Profesor di University of Paris X-Nanterre itu mendakwa, pemilihan Pulau Batu Putih hanya dibuat dua tahun selepas tarikh surat balasan iaitu apabila Gabenor Butterworth menukar fikirannya.

Beliau mendakwa, pemilihan Pulau Batu Putih sebagai tapak Rumah Api Horsburgh bukan bertolak daripada surat kebenaran Sultan dan Temenggung Johor itu malah keputusan tersebut langsung tidak merujuk kepada surat balasan tersebut.

Justeru, Pallet mendakwa, penyerahan surat tersebut dalam memorial Malaysia bagi menyokong tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih tidak boleh dijadikan bukti bahawa pulau tersebut adalah milik Johor.

Pallet turut membangkitkan isu lawatan Temenggong Johor ke Pulau Batu Putih dua hari selepas upacara perasmian Rumah Api Horsburgh yang didakwanya amat jelas menunjukkan bahawa pulau itu bukan milik Johor.

Beliau memberitahu mahkamah, tatacara kedatangan Temenggong Johor ke Pulau Batu Putih itu menunjukkan beliau tidak dijemput oleh British pada hari perasmian sekali gus membuktikan bahawa Kesultanan Johor tidak mempunyai kuasa ke atas pulau tersebut.

Selain itu, Pallet berhujah, dakwaan Malaysia bahawa kehadiran orang laut (yang mempunyai kaitan dengan Temenggung) sebagai nelayan di Pulau Batu Putih juga tidak membuktikan bahawa Johor memiliki pulau tersebut.

Turut membentangkan hujah-hujah bagi pihak Singapura hari ini ialah Rodman R. Bundy. Singapura mempunyai dua hari lagi untuk mengemukakan hujah-hujah lisan pada pusingan pertama.

Perbicaraan berlangsung di Peace Palace di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Penasihat Hal Ehwal Luar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad manakala Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin bertindak sebagai wakil bersama. Turut tersenarai Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - Utusan Malaysia