Thursday, January 02, 2003

PM pengerusi mesyuarat bincang isu tuntutan pulau

KAJANG 1 Jan. - Satu mesyuarat peringkat tinggi kerajaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad akan diadakan Jumaat ini bagi membincangkan isu Pulau Batu Putih yang menjadi tuntutan bertindih antara Malaysia dengan Singapura.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Aseh Che Mat berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Jabatan Perdana Menteri agar menghadiri mesyuarat itu.

Katanya, antara menteri-menteri yang terlibat termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak dan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan.

Menjawab soalan, Aseh berkata: ``Saya tidak diberitahu secara terperinci apa yang akan dibincangkan, kita tunggulah pada Jumaat ini.''

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan anak-anak yatim, fakir miskin dan orang kurang upaya bagi daerah Ulu Langat di kediaman Datuk Ujang Bagong di sini, hari ini - Utusan Malaysia

Mempertahankan diri daripada keangkuhan

Oleh Zulkiflee Bakar

``Kita berjanji jika ada sesiapa mencabul kebebasan negara kita dengan tindakan pre-emptive atau forward defence mereka akan dapat apa yang disebut mat saleh sebagai a bloody nose (padah).''

Demikian kenyataan tegas yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam perutusan sempena menyambut tahun baru 2003.

Walaupun kenyataan itu tidak menyebut siapakah yang dimaksudkan tetapi berdasarkan kepada perkembangan semasa adalah jelas ia ditunjukkan kepada Singapura dan Australia.

Ini kerana Singapura semakin menunjukkan keangkuhannya terhadap Malaysia dalam berhadapan dengan sebarang isu termasuk tuntutan bertindih di Pulau Batu Putih.

Manakala Australia yang berhasrat menjadi `Amerika kecil' di rantau ini pula pernah menundukkan kebongkakannya apabila mengancam akan menceroboh mana-mana negara yang dikatakan menjadi tempat pengganas berlindung.

Namun keangkuhan kedua-dua negara tersebut tidak pernah membimbangkan Malaysia atas sebab itulah Dr. Mahathir memberikan amaran tegas berkenaan.

Ini kerana sepertimana kata Presiden Pergerakan Keadilan Dunia (Just), Dr. Chandra Muzaffar, mana-mana negara berhak mempertahankan kedaulatannya jika dicerobohi.

``Begitu juga Malaysia, kita berhak mempertahankan kedaulatan negara walau apa pun yang terjadi,'' katanya ketika dihubungi.

Oleh itu kenyataan tegas Perdana Menteri tersebut tidak harus dipandang remeh oleh kedua-dua negara berkenaan terutamanya Singapura yang semakin hari semakin menjadi `jiran yang buruk' kepada Malaysia.

``Apa yang terjadi sekarang sudah keterlaluan seolah-olah negara lain tidak ada kedaulatan, oleh itu Dr.Mahathir telah mengeluarkan satu kenyataan yang tegas yang ditujukan kepada kedua-dua negara berkenaan,'' kata pemerhati politik, Prof. Dr. Mustapa Ishak.

Menurut beliau, kenyataan Dr. Mahathir itu selaras dengan ketetapan antarabangsa bahawa semua negara berhak mempertahankan kedaulatan masing-masing.

``Sekurang-kurangnya kenyataan itu akan mengingatkan negara-negara yang mengamalkan doktrin sedemikian supaya memikirkan kembali apa juga langkah mereka,'' katanya.

Sememangnya sebagai pemimpin yang sentiasa berjuang untuk kesejahteraan rakyatnya dan bersedia berhadapan dengan apa juga ancaman, Dr. Mahathir secara halus ingin memberi ingatan kepada Singapura dan Australia bahawa keangkuhan yang mereka tunjukkan hanya akan memusnahkan diri sendiri.

``Ketidakadilan dan kebongkakan seperti itulah yang menyebabkan bangsa yang lemah dan kecewa memilih keganasan sebagai cara bertindak kerana tiada pilihan lain,'' kata Perdana Menteri.

Oleh itu Singapura sebagai sebuah negara yang merasa dirinya serba sempurna dan sering iri hati dengan jiran-jirannya perlu memahami bahawa keangkuhan yang ditunjukkan selama ini terutamanya berurusan dengan Malaysia tidak akan mendatangkan kebaikan.

Sebab itulah ketika diminta mengulas mengenai sikap Singapura ini, Dr. Mustapa menganggap Singapura hakikatnya takut dengan bayang-bayang sendiri dan menganggap Malaysia sebagai ancaman.

``Kita tidak pernah melihat Singapura sebagai ancaman tetapi Singapura bersikap sebaliknya, tetapi Singapura tidak berhak untuk menjadi `Israel' di rantau ini dan Malaysia bukanlah mempunyai sikap seperti negara-negara Arab.

``Jika Singapura ingin bertindak seperti Israel ke atas Malaysia, mereka telah melakukan kesilapan yang cukup besar,'' katanya.


Justeru sikap angkuh yang ditunjukkan oleh Singapura dan Australia tidak harus dibiarkan berterusan, Malaysia perlu mengamalkan pendekatan hubungan diplomatik yang lebih tegas dengan kedua-dua negara berkenaan.

Apatah lagi selama ini kita tidak pernah memerlukan kedua-dua negara berkenaan sama ada untuk mencapai pembangunan atau memperkembangkan ekonomi kita.

Langkah Malaysia sepertimana kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang akan mengutamakan kepentingan negara dalam sebarang pertimbangan berkaitan hubungan kerjasama dua hala dengan Singapura di masa akan datang adalah satu tindakan yang wajar.

``Selama ini Singapura menganggap kita tidak berani bertindak tegas dalam menjalin hubungan dengan mereka kerana mereka tahu kita mengamalkan sikap berbaik-baik dengan jiran.

``Tetapi kini melalui kenyataan Syed Hamid dan ketegasan Dr. Mahathir adalah jelas kita tidak akan membiarkan `kepala kita dipijak' oleh mana-mana negara' yang cuba mengambil kesempatan atas kebaikan kita,'' kata seorang diplomat Malaysia yang bertugas di sebuah negara ASEAN ketika dihubungi.

Sememangnya masa sudah tiba bagi Malaysia untuk menunjukkan ketegasan dalam soal mengadakan hubungan dengan Singapura atau mana-mana negara yang cuba menunjukkan keangkuhan mereka sama ada di rantau ini atau rantau-rantau lain.

Kita selamanya tidak boleh membiarkan kebaikan kita menjadi sandaran kepada mana-mana negara untuk menjadi `Israel atau Amerika Syarikat' di rantau ini.

Justeru peringatan yang diberikan oleh Dr. Mahathir boleh menjadi titik permulaan sebagai amaran awal kepada negara-negara berkenaan bahawa Malaysia tidak pernah berhasrat untuk tunduk dengan kehendak mana-mana negara.

Jika Singapura atau Australia merasakan keberanian mereka itu disebabkan `polis dunia' (Amerika Syarikat) berada di belakang mereka sehingga mendorong mereka mengeluarkan kenyataan yang angkuh, maka mereka sudah melakukan satu kesilapan besar yang akan merugikan mereka sendiri.

Ini kerana mereka harus berhadapan dengan Malaysia sebuah negara yang sudah membuktikan keupayaannya mampu menyelesaikan apa juga krisis, masalah atau kemelut dengan caranya sendiri dan lebih pada itu kita tidak pernah tunduk kepada tekanan mana-mana negara.

Kini segala-galanya terserah kepada kedua-dua negara berkenaan terutamanya Singapura sama ada untuk menjadi jiran yang baik atau buruk, apa juga pilihan Singapura dalam soal ini ia tidak akan menjejaskan Malaysia.

Apa yang pasti kita lebih rela tidak mempunyai jiran daripada memiliki jiran yang lebih banyak menyusahkan kita seperti Singapura.

Untuk Australia pula, kejayaan mereka membantu memisahkan Timor Leste dari Republik Indonesia tidak harus dijadikan sandaran bahawa mereka boleh sewenang-wenangnya menceroboh negara lain pula.

Mereka sebaliknya harus mendalami kata-kata Dr. Mahathir bahawa perjuangan untuk membebaskan Malaysia dilakukan bukannya supaya orang asing boleh membuat apa sahaja yang disukai kepada negara ini.

Oleh itu jika Singapura dan Australia masih ingin kekal dengan keangkuhan mereka, maka kita juga berhak menunjukkan keangkuhan kita kepada mereka - Utusan Malaysia

Meterai perjanjian tuntutan Pulau Batu Putih ke ICJ sebelum NAM

KUALA TERENGGANU 1 Jan. - Malaysia berharap perjanjian khas dengan Singapura bagi merujuk isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dapat ditandatangani sebelum Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada Februari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, berikutan itu pihaknya telah mengarahkan Wisma Putra supaya menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Singapura secepat mungkin bagi mendapat penjelasan berhubung penetapan tarikh tersebut.

Beliau memberitahu, sehingga ini pihaknya masih belum menerima permohonan rasmi daripada negara tersebut berhubung penetapan tarikh bagi menandatangani perjanjian tersebut.


``Pihak kami hanya membaca kenyataan Menteri Luar Singapura melalui media massa bahawa Singapura akan menandatangani perjanjian tersebut pada Januari depan,'' katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, Singapura tidak sepatutnya mengendalikan isu tersebut melalui media saja, tetapi ia perlu berhubung terus dengan kementeriannya bagi memaklumkan sebarang perkembangan.

``Kita harap perjanjian itu dapat ditandatangani pada bulan Januari atau selewat-lewatnya sebelum sidang kemuncak NAM,'' ujarnya.

Sidang kemuncak NAM akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dari 15 hingga 28 Februari depan.

Sementara itu, Syed Hamid berharap negara jiran itu tidak melakukan sebarang tindakan yang menimbulkan kontroversi sebelum isu berkenaan diselesaikan oleh ICJ, termasuk mengusir pihak berkuasa Malaysia yang meronda di sekitar pulau tersebut.

``Pada masa yang sama kita juga tidak mahu orang awam mendekati pulau berkenaan kerana tindakan itu boleh menjejaskan keselamatan mereka,'' ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Syed Hamid berkata, pihaknya akan mengambil pelbagai langkah yang terbaik bagi menyelesaikan isu harga air yang dijual kepada republik tersebut - Utusan Malaysia