Thursday, January 09, 2003

Malaysia, Singapura setuju tandatangan sebelum 28 Januari

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian khas bagi membawa isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum 28 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tempat untuk pemeteraiannya pula akan dibuat sama ada di Malaysia atau pun di Singapura.

``Ini satu kelegaan... Malaysia tidak suka melihat isu-isu dua hala antara Malaysia dan Singapura terbiar tanpa dapat penyelesaian,'' kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Persetujuan itu dicapai setelah Malaysia menolak cadangan Singapura supaya perjanjian berkenaan disempurnakan di Brussels, Belgium sempena mesyuarat ASEAN-Kesatuan Eropah pada 27 dan 28 Januari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia pada dasarnya bersetuju dengan cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas mengenai pertikaian itu ke ICJ, tetapi mahu ia diadakan di negara ini atau Singapura.

Abdullah seterusnya berkata, kedua-dua pihak perlu mengenal pasti aspek-aspek mana yang hendak diberi perhatian sebagai parameter supaya ia tidak berleret-leret di ICJ kelak.

Beliau menjelaskan mesyuarat Kabinet hari ini turut menyentuh soal tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih yang terletak 7.7 batu nautika dari Tanjung Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia tetap berpegang kepada prinsip tiada hak bagi sesiapa jika wujud tuntutan bertindih seperti ke atas Pulau Batu Putih.

Oleh itu, katanya, Singapura yang dibenarkan mengendalikan rumah api di pulau tersebut tidak boleh menganggap ia pulau mereka.

``Soal kejar mengejar tidak patut berlaku di sekitar perairan pulau itu, dan kalau tersilap boleh berlaku insiden yang tidak diingini,'' katanya ketika diajukan kes bot polis Marin Malaysia dihalau keluar oleh kapal tentera Singapura di perairan berkenaan baru-baru ini.

Pada 3 Januari lalu, sebuah kapal peronda antikapal selam Tentera Laut Singapura, RSS Courageous, rosak teruk dan hampir tenggelam akibat berlanggar dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda dekat Pulau Batu Putih.

Abdullah berkata, sepatutnya kawasan perairan Batu Putih boleh dilawati oleh kedua-dua pihak, asalkan ia saling dalam pengetahuan bersama.

``Kedua-dua negara perlu memahami bahawa pulau itu akan diputuskan kelak oleh ICJ.

``Keputusan itu kelak kita akan terima dan bersetuju dengannya,'' tegas beliau.

Pada perkembangan yang sama, Bernama melaporkan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kedua-dua pihak bersetuju dengan salah satu daripada tiga tarikh yang dicadangkan oleh Malaysia.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus ketiga-tiga tarikh berkenaan.

``Kami kini cuba menetapkan tempat (untuk menandatangani perjanjian), sama ada di Singapura atau Malaysia. Jadi, esok atau lusa, kita boleh beritahu anda,'' katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Ireland Brian Cowen di Kementerian Luar, Putrajaya, hari ini.

Ditanya sama ada perjanjian itu akan dilakukan sebelum Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN-Kesatuan Eropah, Syed Hamid berkata: ``Lebih awal.''

Mengulas mengenai bagaimana persetujuan mengenai tarikh itu dicapai, Syed Hamid berkata, beliau mencadangkan tiga tarikh, manakala Singapura mengemukakan satu tarikh.

Syed Hamid bagaimanapun berkata, tarikh yang dicadangkan Singapura tidak sesuai memandangkan beliau tidak berada di sini.

Republik itu bagaimanapun bersetuju dengan ketiga-tiga tarikh yang dikemukakan Malaysia, katanya.

``Jadi, saya pilih satu tarikh untuk menandatangani perjanjian itu,'' katanya.

Syed Hamid berkata persoalan mengenai bila perjanjian itu akan ditandatangani tidak wajar menjadi satu polemik memandangkan kedua-dua pihak bersetuju supaya tuntutan bertindih itu dirujuk kepada ICJ.

``Sebaik kita rujuk kepada ICJ, ini bermakna status quo kekal. Status quo bermakna tidak ada mana-mana negara boleh menuntut kedaulatan eksklusif ke atas pulau yang dipertikaikan itu sehingga ia diselesaikan oleh ICJ,'' katanya.

``Ini penting untuk difahami,'' katanya.

Syed Hamid menegaskan bahawa setelah keputusan dibuat oleh ICJ, ia adalah muktamad dan konklusif dan kedua-dua negara perlu menerima apa sahaja keputusan.

Beliau berkata, keputusan merujuk tuntutan ke atas Pulau Batu Putih ke ICJ merupakan tindakan yang baik bagi mengelak konflik antara kedua-dua negara berjiran itu.

Menjawab soalan mengenai kehadiran kapal-kapal tentera laut di kawasan Pulau Batu Putih, Syed Hamid berkata: ``Jika mereka mahu meronda di kawasan itu, mereka boleh berbuat demikian, tetapi tiada siapa yang boleh menghalang kita daripada meronda kawasan itu.'' - Utusan Malaysia

Singapura eksploit kelemahan jiran

Singapura berperanan sebagai pelabuhan entreport moden sejak 1819 lagi. Hubungan ekonomi yang erat kedua-dua negara membolehkan kedua-duanya membangun dengan pantas. Sekiranya hubungan ini berkenaan berterusan diperkemaskan lagi sudah tentu ia akan membawa banyak manfaat kepada kedua-dua negara.

Ekonomi Singapura dari dulu lagi bergantung dan berkembang berasaskan sektor perkhidmatan. Pada masa dulu, sebagai sebuah negara yang rendah cukai importnya Singapura pernah menjadi pusat membeli-belah antarabangsa yang besar.

Identiti Singapura sebagai sebuah pelabuhan bebas dan kedudukannya yang strategik menjadikan ia sebagai pintu keluar-masuk barangan bagi negara jiran, khasnya Malaysia dan Indonesia. Fungsi ini diperkukuhkan lagi dengan kecekapan sektor perkhidmatan negara itu. Kecekapan sektor perkhidmatannya menyebabkan ramai pengeksport dan pengimport Malaysia memilih untuk menggunakan pelabuhan negara itu berbanding dengan pelabuhan domestik.

Begitu juga dengan pedagang antarabangsa, mereka lebih gemar menggunakan pelabuhan Singapura, berbanding pelabuhan lain di rantau ini. Justeru, banyak syarikat besar dunia, bukan sahaja dalam bidang perkapalan malah di dalam bidang urus niaga lain pun membuka ibu pejabat mereka di Singapura. Ini semua menyemarakkan lagi kedudukan sektor perkhidmatan di negara itu.

Aktiviti ekonomi Singapura ketika itu samalah seperti peranan orang tengah di sektor pertanian. Mereka membeli barangan di rantau ini, kemudian menjualnya ke negara lain. Maka, import negara itu terlalu besar berbanding bila-ngan penduduknya agak kecil. Misalnya, pada tahun 2000, jumlah import Singapura ialah RM485 bilion, 40 peratus lebih besar daripada import Malaysia. Ini terjadi kerana negara itu mengimport untuk dieksport semula, sedikit sahaja untuk penggunaan dalam negeri. Justeru, eksport negara itu juga lebih besar dari Malaysia, sedangkan kapasiti industri perusahaan dan pembuatannya amat terhad. Pada 2000, jumlah eksport negara itu ialah RM527 bilion berbanding dengan Malaysia yang hanya RM373 bilion.

Seperti kata Fellow Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Azmi Setapa, kejayaan Singapura mengeksploitasi pasaran di rantau ini ialah kerana kelemahan teknologi, pengurusan kewangan, pengurusan perniagaan dan penerokaan pasaran di negara lain. Keupayaan ekonomi Singapura yang lebih baik de-ngan negara jirannya, sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor sejarah. Tahap ekonomi penduduk, infrastruktur dan pendidikan yang ditinggalkan oleh penjajah British begitu tinggi.

Tanpa perlu membentuk dasar ekonomi yang kompleks kerana tidak ada ketidakseimbangan pendapatan antara kaum dan geografi, Singapura sudah tentu mampu menggerakkan ekonominya de-ngan mudah. Jadi pembentukan dasar ekonomi di Singapura hanya perlu menumpukan kepada kecekapan ekonomi sahaja.

Bagaimanapun kini lebih banyak barang kita diproses dan dieksport sendiri secara terus ke destinasinya. Pada 1990, 26.9 peratus daripada barang industri pembuatan kita dieksport ke Singapura. Peratusan ini jatuh kepada 24.1 peratus (2000).

Begitu juga dengan minyak sawit, eksportnya ke Singapura jatuh dari 13.2 peratus di tahun 1990 kepada hanya 4.3 peratus (2000). Eksport kayu digergaji ke republik itu juga jatuh dari 8.9 peratus kepada 4.3 peratus untuk tempoh yang sama. Paling ketara sekali ialah eksport petroleum mentah. Ia jatuh dengan banyaknya daripada 26.8 peratus kepada 3.9 peratus sahaja bagi tempoh masa yang berkenaan.

Kini Malaysia mulai beralih kepada ekonomi yang lebih bergantung kepada sektor perkhidmatan. Tumpuan dasar kini sama dengan Singapura. Sektor perkhidmatan di Malaysia akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan sektor-sektor lain di dalam ekonomi.

Sekiranya sektor perkhidmatan kita dibangunkan sepenuhnya, ekonomi kita tidak memerlukan sektor perkhidmatan Singapura lagi. Menyedari hakikat ini, Singapura mula beralih perlahan-lahan, mewujudkan rantaian ekonominya di kawasan persempadanannya dengan Indonesia yang masih rendah taraf ekonominya.

Sektor perkhidmatan tidak boleh berdiri sendiri. Ia perlu disokong oleh sektor-sektor lain. Di Singapura, sektor lain adalah terhad dan sempit atau lebih tepat tidak boleh memberi sokongan kuat kepada sektor perkhidmatannya.

Di Malaysia, sektor perkhidmatan disokong kuat oleh pelbagai sektor lain. Kita boleh terus meneroka dan mencipta produk baru. Dengan keupayaan kita, kita tahu untuk mencari pelanggan dan memasarkannya terus ke destinasi tanpa perlu melalui Singapura. Ini akan menggugat kedudukan Singapura sebagai orang tengah atau broker terhormat.

Perkara kedua yang mungkin menjadi agenda Singapura ialah melemahkan sentimen pelaburan di negara kita yang sememangnya sudah dilemahkan oleh isu keganasan. Perselisihan pendapat antara dua negara jiran akan dilihat oleh pelabur sebagai tanda-tanda tidak sihat yang boleh membawa kepada ketidakstabilan ekonomi. Perkara sebegini akan memberi kesan buruk kepada Malaysia kerana pelaburan asing adalah salah satu faktor penting untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia. Berbeza dengan Singapura yang kuat bergantung kepada sektor perkhidmatan, Malaysia memerlukan modal dan kepakaran asing untuk membangunkan pelbagai aktiviti industri. Singapura pula mempunyai rizab yang besar untuk bertahan daripada kemerosotan ekonomi jangka pendek. Pelaburan pula banyak dibuat di luar negara.

Singapura boleh melabur di mana sahaja dan membawa balik keuntungan. Jadi kesan daripada menurunnya sentimen pelaburan di rantau ini akan lebih memberi kesan negatif kepada Malaysia.

Ketiga, Singapura mungkin menggunakan isu tuntutan pulau ini sebagai mengendurkan ketegasan Malaysia di dalam membincangkan isu air. Apakah Malaysia akan setuju untuk menurunkan harga air yang dituntut sekiranya Singapura menggugurkan tuntutannya ke atas Pulau Batu Putih?

Sebenarnya, jika Singapura sanggup meneruskan hubungan baik antara kedua negara, masih banyak faedah yang boleh digembleng walaupun taraf kemajuan kedua-dua negara hampir sama. Oleh kerana Singapura, selama ini mengaut kekayaan dengan mudah iaitu dengan mengambil kesempatan daripada kemunduran teknologi, pengurusan dan penerokaan pasaran negara serantau, mereka tidak bersedia untuk bersaing secara bersih seperti dikehendaki oleh Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

- NIK YAHYA RAHMAN, Kuala Lumpur.