Thursday, January 09, 2003

Malaysia, Singapura setuju tandatangan sebelum 28 Januari

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian khas bagi membawa isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum 28 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tempat untuk pemeteraiannya pula akan dibuat sama ada di Malaysia atau pun di Singapura.

``Ini satu kelegaan... Malaysia tidak suka melihat isu-isu dua hala antara Malaysia dan Singapura terbiar tanpa dapat penyelesaian,'' kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Persetujuan itu dicapai setelah Malaysia menolak cadangan Singapura supaya perjanjian berkenaan disempurnakan di Brussels, Belgium sempena mesyuarat ASEAN-Kesatuan Eropah pada 27 dan 28 Januari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia pada dasarnya bersetuju dengan cadangan Singapura untuk menandatangani perjanjian khas mengenai pertikaian itu ke ICJ, tetapi mahu ia diadakan di negara ini atau Singapura.

Abdullah seterusnya berkata, kedua-dua pihak perlu mengenal pasti aspek-aspek mana yang hendak diberi perhatian sebagai parameter supaya ia tidak berleret-leret di ICJ kelak.

Beliau menjelaskan mesyuarat Kabinet hari ini turut menyentuh soal tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih yang terletak 7.7 batu nautika dari Tanjung Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia tetap berpegang kepada prinsip tiada hak bagi sesiapa jika wujud tuntutan bertindih seperti ke atas Pulau Batu Putih.

Oleh itu, katanya, Singapura yang dibenarkan mengendalikan rumah api di pulau tersebut tidak boleh menganggap ia pulau mereka.

``Soal kejar mengejar tidak patut berlaku di sekitar perairan pulau itu, dan kalau tersilap boleh berlaku insiden yang tidak diingini,'' katanya ketika diajukan kes bot polis Marin Malaysia dihalau keluar oleh kapal tentera Singapura di perairan berkenaan baru-baru ini.

Pada 3 Januari lalu, sebuah kapal peronda antikapal selam Tentera Laut Singapura, RSS Courageous, rosak teruk dan hampir tenggelam akibat berlanggar dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda dekat Pulau Batu Putih.

Abdullah berkata, sepatutnya kawasan perairan Batu Putih boleh dilawati oleh kedua-dua pihak, asalkan ia saling dalam pengetahuan bersama.

``Kedua-dua negara perlu memahami bahawa pulau itu akan diputuskan kelak oleh ICJ.

``Keputusan itu kelak kita akan terima dan bersetuju dengannya,'' tegas beliau.

Pada perkembangan yang sama, Bernama melaporkan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kedua-dua pihak bersetuju dengan salah satu daripada tiga tarikh yang dicadangkan oleh Malaysia.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus ketiga-tiga tarikh berkenaan.

``Kami kini cuba menetapkan tempat (untuk menandatangani perjanjian), sama ada di Singapura atau Malaysia. Jadi, esok atau lusa, kita boleh beritahu anda,'' katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Ireland Brian Cowen di Kementerian Luar, Putrajaya, hari ini.

Ditanya sama ada perjanjian itu akan dilakukan sebelum Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN-Kesatuan Eropah, Syed Hamid berkata: ``Lebih awal.''

Mengulas mengenai bagaimana persetujuan mengenai tarikh itu dicapai, Syed Hamid berkata, beliau mencadangkan tiga tarikh, manakala Singapura mengemukakan satu tarikh.

Syed Hamid bagaimanapun berkata, tarikh yang dicadangkan Singapura tidak sesuai memandangkan beliau tidak berada di sini.

Republik itu bagaimanapun bersetuju dengan ketiga-tiga tarikh yang dikemukakan Malaysia, katanya.

``Jadi, saya pilih satu tarikh untuk menandatangani perjanjian itu,'' katanya.

Syed Hamid berkata persoalan mengenai bila perjanjian itu akan ditandatangani tidak wajar menjadi satu polemik memandangkan kedua-dua pihak bersetuju supaya tuntutan bertindih itu dirujuk kepada ICJ.

``Sebaik kita rujuk kepada ICJ, ini bermakna status quo kekal. Status quo bermakna tidak ada mana-mana negara boleh menuntut kedaulatan eksklusif ke atas pulau yang dipertikaikan itu sehingga ia diselesaikan oleh ICJ,'' katanya.

``Ini penting untuk difahami,'' katanya.

Syed Hamid menegaskan bahawa setelah keputusan dibuat oleh ICJ, ia adalah muktamad dan konklusif dan kedua-dua negara perlu menerima apa sahaja keputusan.

Beliau berkata, keputusan merujuk tuntutan ke atas Pulau Batu Putih ke ICJ merupakan tindakan yang baik bagi mengelak konflik antara kedua-dua negara berjiran itu.

Menjawab soalan mengenai kehadiran kapal-kapal tentera laut di kawasan Pulau Batu Putih, Syed Hamid berkata: ``Jika mereka mahu meronda di kawasan itu, mereka boleh berbuat demikian, tetapi tiada siapa yang boleh menghalang kita daripada meronda kawasan itu.'' - Utusan Malaysia

No comments: