Friday, January 10, 2003

ICJ: Tandatangan dengan Singapura di Putrajaya 6 Feb.

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Perjanjian untuk membawa kes tuntutan Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan ditandatangani oleh Malaysia dan Singapura pada 6 Februari ini di Wisma Putra, Putrajaya.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Singapura telah bersetuju dengan tarikh berkenaan yang dicadangkan oleh Malaysia.

Bercakap kepada Bernama hari ini, Syed Hamid memberitahu dalam majlis menandatangani perjanjian itu, beliau akan mewakili Kuala Lumpur sementara Singapura oleh Menteri Luarnya, Prof S.Jayakumar.

Dilaporkan kedua-dua pihak sebelum ini telah mencadangkan beberapa tarikh tetapi ia tidak dapat diterima oleh Malaysia kerana Syed Hamid akan berada di luar negara selama 11 hari bermula Sabtu ini.

Dengan tarikh perjanjian telah diputuskan, Syed Hamid berharap tuntutan bertindih terhadap pulau itu, yang pertama kali timbul pada 1979 dan menjadi lebih hangat sejak beberapa bulan kebelakangan ini tidak akan menjadi polemik.

Beliau juga berharap perjanjian itu akan mengekalkan status quo terhadap Pulau Batu Putih, iaitu sama ada KL ataupun Singapura tidak akan menuntut kedaulatan pulau itu sehingga diputuskan oleh ICJ.

"Saya berharap kedua-dua pihak akan menggunakan hak masing-masing tanpa halangan ataupun gangguan daripada mana-mana pihak dan saya berpendapat tiada pihak buat masa ini boleh menuntut kedaulatan pulau itu," kata Menteri Luar.

Syed Hamid berkata, kedua-dua pihak telah membuat keputusan yang betul dalam memilih jalan penyelesaian menerusi ICJ di sebalik menghadapi konflik terbuka.

Beliau juga berkata, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ICJ akan dihormati tidak kira keputusan itu memihak kepada Kuala Lumpur ataupun sebaliknya.

"Saya rasa orang ramai berhak mengambil berat akan isu itu tetapi saya rasa mereka juga harus sedar akan akibat tuntutan itu diselesaikan melalui mahkamah keadilan," katanya.

Syed Hamid juga ditanya mengenai hikmah tarikh 6 Februari dan mengapa ia tidak ditandatangani di luar sesi Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) bulan depan seperti yang diramalkan oleh pelbagai pihak.

"Sebab mengapa kita tidak melakukannya di luar sesi sidang kemuncak itu ialah kerana kita ikut apa yang Singapura pernah katakan sebelum ini."

Dalam menjelaskan ini Syed Hamid berkata, semasa Malaysia mahu menandatangani Perjanjian Khas ini di luar proses rundingan air bersama Singapura pada tahun lepas, Menteri Luar republik pulau itu berkata, ia "dokumen yang sangat penting" untuk ditandatangani di luar aturcara ataupun secara sampingan.

"Saya kata O.K. Bagus. Saya bersetuju dengannya. Mari kita cari satu tarikh."

Tetapi aneh sekali, Singapura telah mencadangkan supaya perjanjian ini ditandatangani di luar sesi mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Eropah di Brussels bulan depan, katanya.

"Sebab itulah saya tidak memilih (untuk menandatangani perjanjian) di luar sesi NAM dan juga mesyuarat ASEAN-EU."

"Ia harus merupakan perjanjian tersendiri dan saya mahu melakukannya secepat mungkin supaya ia tidak terus menjadi polemik. Dan terdapat banyak fitnah, banyak faktor yang akan menegangkan keadaan yang saya rasa kedua-dua negara harus elakan."

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Hamid berkata, sementara Kuala Lumpur dan Singapura menunggu penghakiman ICJ, kedua-dua pihak harus melaksanakan hak masing-masing terhadap pulau itu, kecuali dalam pengurusan rumah api itu yang akan dikendalikan oleh Singapura sehingga pertikaian itu selesai.

Oleh sebab itu, Syed Hamid berkata, Singapura tidak harus menghalang nelayan-nelayan Malaysia menangkap ikan di kawasan pulau itu yang kaya dengan sumber ikan.

"Saya rasa mereka tidak harus melakukan sesuatu yang akan menganggu ataupun menjejaskan hak orang untuk menangkap ikan di situ.

"Itu (kawasan) adalah kawasan penangkapan ikan tradisional bagi nelayan di sekeliling. Mereka telah menangkap ikan di kawasan itu untuk agak lama. Mereka sebelum ini sentiasa berada di situ," kata beliau. - Bernama

No comments: