Saturday, January 11, 2003

Malaysia perlukan tentera berwibawa

Oleh:Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Malaysia masih memerlukan angkatan tentera yang berwibawa walaupun amalan sekarang lebih menjurus kepada proses `timbangtara' ataupun pengadilan antarabangsa dalam mencari penyelesaian bagi sesuatu isu membabitkan negara lain.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan itu Malaysia tidak akan mengenepikan pembangunan angkatan tentera meskipun ia mengutamakan saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa.

``Walaupun amalan itu (timbangtara) akan menjadi amalan popular pada masa depan, ia tidak menafikan keperluan kita memiliki sebuah angkatan tentera yang berwibawa dan kredibel.

``Sekiranya kita lemah, orang luar boleh menindas kita atau memperlekehkan kita,'' katanya ketika berucap pada majlis penyampaian diploma dan penutupan kursus Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) siri 22/2002 di sini.

Menurut Najib, kemunculan peranan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam pertikaian bertindih mengenai Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan serta Pulau Batu Putih merupakan suatu perubahan besar yang harus diambil kira dalam perkiraan strategik negara.

Pada 17 Disember lepas, ICJ telah memutuskan bahawa Pulau Sipadan dan Ligitan di Perairan Sabah dimiliki oleh Malaysia, sekali gus menamatkan pertikaian selama hampir 30 tahun dengan Indonesia.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengumumkan bahawa Malaysia dan Singapura akan menandatangani Perjanjian Khas pada 6 Februari ini di Putrajaya bagi merujuk pertikaian mengenai Pulau Batu Putih di perairan Johor ke ICJ.

Menurut Najib, kerajaan Malaysia menghargai reaksi Jakarta yang menerima dengan baik keputusan ICJ tanpa menimbulkan sebarang isu yang boleh mengugat hubungan yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, tindakan merujuk tuntutan ke ICJ adalah selaras dengan dasar negara yang mahu sebarang pertikaian diselesaikan secara diplomatik bagi menjaga kestabilan dan keamanan rantau ini.

``Dasar kita jika terdapat sebarang pertikaian, akan diselesaikan menerusi meja perundingan,'' katanya.

Najib menambah dunia kini telah berubah dan ini menyebabkan perbezaan dalam mengendalikan peperangan atau operasi ketenteraan - Utusan Malaysia

No comments: