Saturday, February 01, 2003

Malaysia minta Singapura hentikan isu sensitif

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Malaysia meminta Singapura berhenti membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mengeruhkan lagi hubungan dua hala di antara kedua buah negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kenyataan-kenyataan negatif termasuk membincangkan secara terbuka agenda kemungkinan perang dengan negara ini tidak mendatangkan faedah kepada republik itu.

Katanya, Singapura harus mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Phnom Penh, Kemboja, minggu lalu.

Katanya, sesebuah negara perlu menjaga sensitiviti sesebuah negara lain, menghormati budayanya dan menjaga hati jirannya.

``Jangan sentuh soal agama, kedaulatan dan kedudukan sesebuah negara sesedap rasa kita hingga menyinggung perasaan negara jiran kita,'' jelasnya.

Syed Hamid menyatakan demikian kepada pemberita selepas menjadi tamu dalam program Wawancara Pagi di RTM, di sini hari ini.

Rusuhan dan tindakan membakar kedutaan Thailand tersebut meletus ekoran komen seorang pelakon negara tersebut yang mengatakan Angkor Wat yang menjadi simbol kebangsaan Kemboja adalah milik Thailand.

Kata Syed Hamid, semua pihak harus berhenti membuat kenyataan dan tidak perlu menuding jari antara satu sama lain dalam menyelesaikan masalah.

Beliau mengakui hubungan kedua-dua negara mengalami beberapa `kerenggangan' akibat isu harga air dan Pulau Batu Putih.

``Memang kita akui ada perselisihan pendapat yang ketara dengan negara itu, tapi tidak sepatutnya diterjemahkan dengan tidak wajar seperti pendedahan dokumen-dokumen rahsia rundingan tentang harga air dan isu Pulau Batu Putih.


``Saya fikir agak tidak bertanggungjawab apabila tidak setuju dengan rundingan mengenainya, dokumen-dokumen didedah kepada umum,'' katanya.

Syed Hamid berkata, semua pihak perlu menekankan kepada kepentingan hubungan dua hala dalam bidang ekonomi, politik dan kebudayaan yang lebih erat antara kedua-dua negara dalam semangat kejiranan.

Dalam hal ini, katanya, Malaysia tetap menginginkan hubungan yang baik dengan republik itu dan menyelesaikan semua masalah hubungan dua hala dan penyelesaian isu harga air serta beberapa isu lain secara aman.

Mengenai tindakan Singapura mendedahkan dokumen-dokumen perjanjian dan rundingan berkenaan, Syed Hamid berkata: ``Kita tidak akan menulis sebarang surat kepada Singapura dan perlu berhati-hati jika menulis''.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed di mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam tentang sikap agresif Singapura terhadap Malaysia sehingga sanggup berperang berpunca daripada masalah dalaman republik tersebut - Utusan Malaysia