Friday, January 24, 2003

Jangan ugut kami

TPM: Malaysia akan terus laksana hak rondaan di Pulau Batu Putih

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Malaysia mahu Singapura menghentikan semua bentuk ugutan dan ancaman terhadap negara ini berhubung isu Pulau Batu Putih sebelum hak kedaulatannya diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Pihak berkuasa Malaysia juga akan terus melaksanakan haknya untuk mengadakan rondaan aman di perairan pulau berkenaan seperti yang dilakukan oleh Singapura.

Reaksi tegas Malaysia itu disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Di Putrajaya, Abdullah yang kesal dengan amaran tindakan keras oleh Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Tan Keng Yam, sekiranya pihak berkuasa Malaysia mendekati Pulau Batu Putih berkata, ancaman itu tidak wajar memandangkan kedua-dua negara menganggap pulau itu sebahagian daripada wilayah masing-masing.

``Ini bukanlah masanya untuk mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman atau nak mengugut, itu bukan caranya kita mahu menyelesaikan isu Pulau Batu Putih.

``Kita sama-sama hendak bawa kes itu ke ICJ jadi sebelum ia diputuskan, tidak ada sesiapa yang boleh mengatakan pulau itu dia punya dan orang lain tidak boleh pergi ke situ,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bagi Meningkatkan Daya Saing Negara di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Kelmarin, Keng Yam mengeluarkan amaran bahawa Malaysia harus bertanggungjawab terhadap sebarang ketegangan dan risiko berlakunya kejadian yang tidak diingini sekiranya pihak berkuasa negaraini mendekati perairan Pulau Batu Putih.

Kedua-dua negara sebelum ini bersetuju untuk menandatangani perjanjian pada 6 Februari ini untuk membawa isu tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih ke ICJ di The Hague, Belanda.

Menurut Abdullah, kenyataan Keng Yam itu tidak akan membantu penyelesaian isu tersebut sebaliknya boleh memburukkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

``Sebab-sebabnya kita hendak bawakan kes itu ke mahkamah dunia adalah untuk mengelak daripada kita berpanjangan berbalah mengenai pulau berkenaan.

``Kalau dia sudah berkata begitu, tidak apalah, kita tunggu sahaja keputusan yang akan dibuat di ICJ,'' ujar Timbalan Perdana Menteri.

Di Melaka, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan terus menjalankan rondaan di kawasan perairan Pulau Batu Putih kerana pulau tersebut masih dalam pertikaian dan belum menjadi milik Singapura.

Beliau menegaskan, Malaysia mempunyai hak untuk melakukan rondaan berterusan dan tindakan sedemikian bukan perkara baru malah telah dilakukan sejak tahun 1964 lagi.

Katanya, republik itu juga membuat kenyataan provokatif apabila menuduh Malaysia melakukan pencerobohan terhadap perairan pulau tersebut.

Menurutnya, kenyataan itu boleh menghangatkan lagi perasaan rakyat negara ini, khususnya anggota-anggota tentera yang berkhidmat di atas kapal TLDM.

``Tuduhan Singapura bahawa kehadiran kita di situ akan menimbulkan ketegangan atau boleh membawa kepada sesuatu kejadian tidak diingini, tidak timbul sama sekali.

``Malah (kenyataan itu) boleh disifatkan provokatif kerana ini akan menghangatkan lagi perasaan rakyat Malaysia dan anggota-anggota TLDM,'' tegasnya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat tahunan Kementerian Pertahanan, di sini.

Najib menarik perhatian bahawa pihak berkuasa Malaysia boleh melakukan rondaan di perairan tersebut seperti biasa.

Malah, katanya, Indonesia turut melakukan perkara yang sama terhadap perairan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan semasa kedua-dua pulau berkenaan masih dalam pertikaian dahulu.

Menurut beliau, rondaan pihak keselamatan Malaysia di kawasan perairan itu dibuat secara tidak agresif, jauh sama sekali untuk meningkatkan tahap ketegangan di kawasan itu.

``ATM akan bersifat profesional dalam hal ini dan kita tidak akan lakukan apa-apa yang boleh menambahkan ketegangan.

``Kita tidak akan tunjukkan meriam kita, misil dan radar kita, jauh sekali untuk timbulkan tindakan provokatif di kawasan itu,'' kata beliau.

Sehubungan itu, Najib mengingatkan pemimpin republik itu supaya tidak membuat kenyataan yang boleh menimbulkan konflik atau mencetuskan ketegangan antara kedua-dua buah negara.

``Kita mahukan perkara ini diselesaikan cara aman bukan melalui konflik atau sebarang tindakan yang boleh timbulkan ketegangan antara kedua-dua buah negara,'' katanya - Utusan Malaysia