Sunday, January 26, 2003

S'pura dakwa tindakannya di Batu Putih sama Malaysia di Sipadan

SINGAPURA 25 Jan. - Singapura berkata tindakannya di Pulau Batu Putih tiada bezanya daripada segi undang-undang jika dibandingkan dengan tindakan Malaysia di Pulau Sipadan.

Menteri Luarnya, S. Jayakumar memberitahu Parlimen republik itu hari ini bahawa Malaysia mendakwa ia tidak pernah melakukan apa-apa tindakan yang `tidak mesra' ataupun `membelakangkan semangat kejiranan' terhadap Indonesia dalam pertikaian antara kedua-dua negara itu berhubung tuntutan terhadap Pulau Sipadan dan Ligitan.

Dengan memberi contoh dokumen-dokumen yang difailkan oleh Indonesia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), beliau berkata Jakarta telah membantah sekurang-kurangnya lima kali mengenai aktiviti Malaysia yang berterusan di Sipadan.

Aduan-aduan ini, katanya, ditolak oleh Malaysia, dengan alasan mereka hanya meneruskan aktiviti yang telah mereka mulakan sebelum timbulnya pertikaian itu.

``Dalam hal ini, tindakan Singapura di Pedra Branca (Pulau Batu Putih) tiada bezanya daripada segi undang-undang berbanding tindakan Malaysia di Pulau Sipadan,'' kata beliau.

Malaysia dan Singapura menuntut kedaulatan pulau berkenaan di sempadan maritim kedua-dua negara itu dan menunggu untuk menandatangani perjanjian di Putrajaya pada 6 Februari ini bagi merujuk isu kedaulatan pulau itu ke ICJ di The Hague.

Mengenai dakwaan Singapura meneruskan aktiviti pembinaan dan aktiviti lain di pulau itu, Menteri itu berkata tiada aktiviti pembinaan baru di pulau itu dan struktur terakhir yang didirikan di pulau itu dibina pada 1991 iaitu sudah lebih 10 tahun.

``Bagaimanapun, tiada alasan bagi kita untuk menjadikannya satu isu, memandangkan undang-undang antarabangsa jelas menyatakan bahawa sebarang tindakan pihak-pihak dalam pertikaian untuk membuktikan kes mereka selepas pertikaian itu timbul tidak akan diambil kira,'' kata Jayakumar.

Pendirian Singapura terhadap pulau itu masih jelas dan konsisten, katanya.

``Kedaulatan kita dan tuntutan hak milik kita terhadap Pedra Branca (Pulau Batu Putih) adalah berdasarkan kepada fakta dan prinsip undang-undang.''

Menekankan bahawa Singapura sedia untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam menggerakkan proses ICJ itu, Menteri itu berkata: ``Kita sentiasa menguruskan tuntutan Malaysia secara persahabatan dan atas semangat muhibah, dan akan terus berbuat demikian.'' - Bernama