THE HAGUE Belanda 24 Nov. – Buat pertama kalinya - pada pusingan kedua hujah lisan Singapura Isnin lalu - Malaysia diberitahu bahawa Singapura tidak mempunyai surat penting Gabenor Butterworth berhubung permohonan kebenaran daripada Sultan dan Temenggung Johor untuk membina rumah api di wilayah negeri itu.
Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad membangkitkan perkara itu semasa menggulung kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, hari ini.
Menurut beliau, cadangan mengadakan rundingan pusingan ketiga pada tahun 1994 yang dirujuk oleh Profesor S. Jayakumar Isnin lalu bukan jawapan Singapura terhadap pertanyaan spesifik Malaysia berhubung surat tersebut.
Timbalan Perdana Menteri Singapura itu dalam hujahnya mendakwa, pihaknya telah menjawab pertanyaan Malaysia secara lisan menerusi Suruhanjaya Tinggi di republik itu di Kuala Lumpur sambil mencadangkan supaya diadakan rundingan pusingan ketiga.
Surat Gabenor Butterworth itu penting kerana di dalamnya terkandung hasrat serta kawasan kesultanan Johor yang dimaksudkan bagi tujuan pembinaan rumah api.
Menurut Abdul Kadir, Malaysia tidak mempunyai surat tersebut dan perkara itu telah ditegaskan dalam hujah bertulisnya.
“Besar kemungkinan surat-surat tersebut diterima oleh Sultan dan Temenggung di Singapura kerana mereka mendiami kawasan tersebut ketika itu. Kediaman tersebut di Singapura kini tidak wujud lagi,” katanya di hadapan barisan 16 hakim pada hari terakhir kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge di ICJ, hari ini.
Menurut Abdul Kadir, para penyelidik Malaysia telah berusaha mencari surat tersebut di semua istana di Johor dan di arkib diraja namun gagal menemuinya.
“Oleh itu, hujah-hujah peguam kami minggu lepas adalah fakta paling hampir yang boleh diterima oleh mahkamah,” katanya - Utusan Malaysia
Sunday, November 25, 2007
Singapura tidak ada surat Gabenor Butterworth
Posted by 9T9 at 2:37 PM
Labels: ICJ, Media, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment