Sunday, November 25, 2007

Malaysia bimbang wujud rejim maritim baru

Daripada: Noraini Abd. Razak

THE HAGUE , Belanda 24 Nov. – Malaysia hari ini menutup kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih dengan menyuarakan kebimbangan mengenai wujudnya satu lagi rejim maritim yang boleh menjejaskan sempadan serta bidang kuasa maritim sedia ada antara negara ini dengan Indonesia, jika keputusan kes tersebut memihak kepada Singapura.

Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, perkara itu juga jika menjadi kenyataan akan menuntut satu persempadanan baru wilayah perairan antara Singapura dan Indonesia meskipun telah ada perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

Hujah beliau, Malaysia berusaha untuk mengemukakan kes itu dengan sempurna dan adil kerana ia mempunyai kepentingan dalam kerjasama dan keselamatan di perairan Selat Singapura.

Malaysia juga, katanya, mempunyai kepentingan bersama untuk mengekalkan kedamaian dan hubungan persahabatan antara negara jiran berasaskan undang-undang antarabangsa.

“Ini terutamanya penting bagi hubungan dengan negara-negara jiran terdekat seperti Singapura. Sebab itu Malaysia tampil di mahkamah ini untuk mencari penyelesaian secara aman berhubung pertikaian terhadap Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge,” hujah Abdul Kadir.

Beliau menarik perhatian mahkamah mengenai hujah Profesor Jayakumar (Timbalan Perdana Menteri Singapura) Isnin lalu bahawa kes itu bukan mengenai hak untuk mengendalikan rumah api sehingga menimbulkan persoalan, ia sebenarnya mengenai apa.

Abdul Kadir berkata, mahkamah telah mendengar mengenai pelan penambakan laut Singapura - dalam jawapan balasnya republik itu mendakwa ia ‘sebuah negara yang mematuhi undang-undang serta berbangga dengan rekodnya berhubung perkara itu.’

Katanya, Singapura tidak membuat penafian mengenai pelan penambakan laut sambil menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah diajak berunding sebelum republik itu memulakan kerja-kerja penambakan secara besar-besaran di Selat Johor tanpa mengambil kira sempadan-sempadan Malaysia atau persekitaran marin.


Dan semasa berlangsungnya kes tuntutan bertindih di ICJ, peguam Singapura Profesor Alain Pellet tampil dengan idea yang tidak pernah dikemukakan oleh republik itu sebelum ini iaitu apabila beliau merujuk Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge sebagai gugusan kepulauan - satu lagi idea yang boleh dipersoalkan.

“Oleh itu saya berharap mahkamah akan memahami keprihatinan kami bahawa Singapura tidak mempunyai apa-apa untuk dihadapkan ke mahkamah, sebaliknya memburukkan keadaan,” hujah beliau.

Dalam hujah penggulungannya selama 20 minit itu, Abdul Kadir menegaskan pendirian negara iaitu meminta ICJ membuat keputusan bahawa Malaysia mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

Di hadapan barisan 16 hakim yang diketuai oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh, beliau dengan tegas menjawab satu persatu dakwaan Jayakumar terhadap Malaysia berhubung tuntutan bertindih itu.

Beliau menarik perhatian mahkamah mengenai kehadiran tentera republik itu di Pulau Batu Putih apabila Singapura mengakui telah memperkenalkan peralatan komunikasi radar di pulau berkenaan.

Singapura, menurut beliau, juga telah memperkenalkan zon rondaan F5 pada tahun 1975 yang langsung tidak mempunyai kaitan spesifik dengan Pulau Batu Putih.

Katanya, hanya pada tahun 1986 kawalan 24 jam dijalankan di sekeliling Pulau Batu Putih dengan hasrat untuk menjadikan wilayah di sekitar ketiga-tiga bentuk maritim itu sebagai kawasan larangan.


Profesor Jayakumar berkata, Singapura tidak pernah menangkap nelayan Malaysia di perairan Pedra Branca (Pulau Batu Putih).

“Isunya di sini ialah bukannya mengenai mana-mana nelayan Malaysia telah ditangkap, ia adalah mengenai nelayan-nelayan Johor yang dihalang sepenuhnya daripada menangkap ikan di kawasan berhampiran Pulau Batu Putih.

“Mereka tidak dibenarkan berlindung di pulau tersebut ketika cuaca buruk, nelayan-nelayan Malaysia dinafikan hak untuk mendekati kawasan penangkapan ikan tradisional mereka,” hujahnya.

Selain isu kehadiran tentera dan keangkuhan Singapura menjadikan perairan Pulau Batu Putih kawasan larangan yang ada kaitan dengan pembentukan rejim maritim, Abdul Kadir menjawab satu lagi dakwaan Singapura iaitu berhubung status quo republik itu sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh.

Katanya, dalam hal itu pendirian Malaysia amat jelas iaitu tidak akan mengubah status quo pengurusan rumah api tersebut walaupun Jayakumar menyifatkan kenyataan itu sebagai satu kesilapan bersejarah.

Beliau kemudian menegaskan bahawa kebenaran oleh Kerajaan Johor untuk pembinaan dan pengurusan rumah api telah diminta serta diberi secara sukarela dan tiada apa yang berubah.

Sebaliknya, tegas Abdul Kadir, Singapura telah mengubah polisi yang telah terpakai oleh British sejak sekian lama - seperti yang digambarkan oleh Pavit (pernah menjadi Pengarah Marin Singapura) dalam bukunya serta Akta Yuran Rumah Api 1969.

“Singapura ingin mentakrifkan semula statusnya di Pulau Batu Putih dengan menuntut kedaulatan bukan sahaja ke atas Pulau Batu Putih malah di Middle Rocks dan South Ledge,” katanya - Utusan Malaysia

No comments: