Saturday, December 28, 2002

S'pura harus contohi KL, Jakarta jaga perasaan jiran

KOTA KINABALU 27 Dis. - Singapura harus lebih sensitif dan mencontohi cara Malaysia menangani pertikaian Pulau Sipadan dan Ligitan dengan Indonesia tanpa mengguris perasaan negara jiran.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Shafie Apdal berkata, apabila Pulau Sipadan dan Ligitan menjadi tuntutan bersama dan dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Malaysia tidak mengambil tindakan yang boleh menyentuh perasaan Indonesia.

Malah, katanya, Malaysia bukan sahaja menghentikan pembangunan di kedua-dua pulau itu tetapi penempatan pihak keselamatan juga dihadkan.

``Tidak ada insiden halau-menghalau negara jiran kita waktu itu bila mana mereka membuat rondaan di Sipadan dan Ligitan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kursus Pengetua dan Guru Besar Daerah Semporna di Hotel Berjaya Palace di sini hari ini.

Shafie mengulas mengenai gesaan pelbagai pihak di negara ini supaya Malaysia menimbang menempatkan kapal perang di perairan Pulau Batu Putih sebagaimana yang dilakukan oleh Singapura.

Bagaimanapun semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak akan menghantar kapal perang ke perairan pulau itu kerana ia boleh menyebabkan negara ini berperang dengan Singapura.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia mahu mengelak sebarang konfrontasi dengan negara jiran itu walaupun Singapura telah pun menempatkan kapal perangnya di perairan pulau berkenaan yang menjadi subjek tuntutan bertindih antara kedua-dua negara.

Shafie berkata, Singapura tidak mengamalkan semangat setiakawan ASEAN dan juga tidak mempunyai sensitiviti terhadap negara jiran.

Tegasnya, peperangan tidak akan membawa kebaikan kepada kedua-dua negara dan juga rantau ini kerana hanya kebaikan akan membawa banyak manfaat.

Menurut beliau, banyak langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah itu secara baik, tetapi Singapura nampaknya membuat pelbagai helah termasuk pengawalan sebelum perkara itu diselesaikan.

``Tetapi (langkah itu) tidaklah langkah untuk berperang menunjukkan mereka atau kita yang lebih kuat.

``Bukan kita tidak mampu, kita mampu jaga keselamatan dan keamanan negara kita. Bila keadaan terdesak kita tidak teragak-agak menjaga keamanan dan keselamatan kita,''
tegasnya.

Mengenai penempatan baru anggota tentera di Pulau Ligitan, Shafie berkata, perkara itu tidak perlu kerana kawalan yang sedia ada sudah mencukupi - Utusan Malaysia

No comments: