Oleh Aznan Bakar
PULAU Batu Putih yang turut dikenali sebagai Pedro Branca kini sudah menjadi `milik' Singapura apabila negara itu secara bebas mendirikan pelbagai struktur binaan termasuk sebuah jeti marin dan tempat pendaratan helikopter yang dipercayai untuk kegunaan pasukan keselamatannya.
Padahal negara itu hanya diberi kebenaran untuk menguruskan rumah api yang dibina di pulau itu, namun Singapura telah bertindak melebihi daripada batas yang dibenarkan mungkin akibat sikap tidak kisah dan tidak endah kerajaan Malaysia.
Bagi nelayan tempatan, perairan Pulau Batu Putih telah lama dianggap sebagai wilayah asing apabila sering dihalau oleh pasukan marin Singapura setiap kali menghampirinya termasuk bagi tujuan berlindung daripada ribut dan ombak besar.
Jika berdasarkan kepada sejarah, kerajaan Johor pada suatu ketika diterajui oleh Temenggong Abdul Rahman hanya memberi kebenaran kepada pihak Inggeris untuk membina rumah api di pulau tersebut untuk panduan pelayaran.
Pembinaan rumah api di kawasan tersebut dirasakan perlu selepas pembukaan Negeri-negeri Selat atau kewujudan Colony of the Straits Settlement selepas Inggeris menduduki Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.
Ekoran itu syarikat insurans, pedagang dan pemilik kapal mencadangkan supaya sebuah rumah api dibina di laluan tersebut kerana sering terdapat kes serangan lanun dan kehilangan kapal di kawasan terbabit.
Pada mulanya, pihak pedagang Inggeris memilih untuk mendirikan rumah api di Tree Island dan Barn Island di wilayah Riau, tetapi tidak mendapat keizinan Sultan Riau.
Ekoran itu Pulau Batu Putih atau yang lebih dikenali sebagai Pedro Branca di kalangan pedagang terbabit telah dipilih sebagai lokasi binaan dan Temenggong Abdul Rahman telah memberi kebenaran.
Akhirnya rumah api di pulau itu dibina pada tahun 1851 hasil usaha-usaha pedagang yang mengutip tol dan dana yang diperoleh daripada mereka yang menggunakan laluan itu.
Gabenor Negeri-negeri Selat yang tinggal di Singapura pula dilantik sebagai pentadbir bagi mengurus rumah api itu.
Apabila negara mencapai kemerdekaan urusan mentadbir rumah api tersebut terus diserahkan kepada Singapura sehingga sekarang.
Berdasarkan kepada fakta terbabit jelas bahawa ketika pihak Inggeris memutuskan untuk membina rumah api di pulau itu, ia adalah di bawah kedaulatan Johor. Kerajaan Johor hanya memberi kebenaran untuk membina rumah api semata-mata.
Tetapi mungkin disebabkan pihak-pihak tertentu di Malaysia menganggap pulau itu yang hanya terdiri daripada bongkah-bongkah batu, tidak mempunyai apa-apa kepentingan ekonomi maka mereka tidak mengendahkan apa juga tindakan Singapura dalam kerja-kerja `menguruskan' rumah api tersebut.
Pergerakan Pemuda UMNO Johor Bahru menyifatkan tindakan berani Singapura mendirikan struktur bangunan di pulau itu berpunca daripada sikap tidak kisah Malaysia.
Ketuanya, Abu Talib Alias berkata, isu Pulau Batu Putih pernah dibawa oleh pergerakan itu pada tahun 1994, tetapi tidak ada sebarang tindakan susulan daripada kerajaan.
Singapura pula katanya, terus bertindak agresif mendirikan struktur binaan untuk mengukuhkan tuntutannya terhadap pulau tersebut.
``Kita sepatutnya, dari dulu sudah berusaha menyekat tindakan Singapura itu, tetapi walaupun perkara itu telah dibangkitkan, tidak ada sebarang usaha positif dilakukan,'' katanya.
Menurut Abu Talib, ia sama dengan isu air dan isu penambakan oleh negara jiran itu yang mana Malaysia akan melenting apabila semuanya sudah terlewat.
Kini, pendudukan Singapura di pulau tersebut semakin kukuh malah telah dianggap sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Bagi negara jiran itu, penguasaan terhadap Pulau Batu Putih amat penting kerana ia akan memperluaskan kawasan perairannya.
``Kalau orang itu singa, kita juga kena bertindak seperti singa, kita tidak boleh bertindak seperti kucing dalam menghadapi mereka,'' kata Abu Talib.
Bagi nelayan tempatan, kawasan perairan Pulau Batu Putih sudah dianggap sebagai wilayah dalam negara asing.
Pulau itu yang satu ketika dahulu menjadi tempat untuk mereka terutama yang dari kawasan Pengerang dan Teluk Ramunia berlindung jika berlaku ribut kini ia telah menjadi kawasan larangan.
Pulau Batu Putih seolah-olah sudah menjadi sebahagian daripada wilayah Singapura apabila ia `ditadbir' sepenuhnya oleh republik itu walaupun isu tuntutan bertindih akan dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Malah kawasan hampir keseluruhan permukaan pulau berbatu seluas 0.2 hektar itu telah dipenuhi dengan struktur binaan yang dibina oleh pihak Singapura.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pulau Batu Putih mendapati pulau kecil yang terdiri daripada batu tanpa sebatang pokok itu tidak mempunyai sebarang kepentingan dari segi ekonomi.
Ia tidak boleh dimajukan bagi tujuan pelancongan seperti Pulau Sipadan dan Ligitan tetapi ia amat penting bagi tujuan keselamatan kerana kedudukannya yang strategik di perairan antarabangsa serta terletak di laluan masuk utama sama ada untuk ke pelabuhan Johor atau Singapura.
Dengan kata lain, lokasinya adalah strategik untuk mengawasi pergerakan kapal dari Laut China Selatan yang menuju ke Selat Melaka dan sebaliknya.
Selain menara rumah api dan radar, Singapura kini turut membina kuarters dua tingkat serta jeti yang dipercayai untuk kegunaan pasukan marinnya di samping sebuah tempat pendaratan helikopter.
Ketika tinjauan dibuat, tidak terdapat helikopter atau bot peronda marin negara jiran itu, tetapi ketika wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia semakin menghampiri pulau tersebut, sebuah bot marin Singapura muncul dan bergerak menuju ke arah bot yang dinaiki oleh wartawan Utusan Malaysia.
Bot marin itu hanya beredar apabila kumpulan wartawan dan jurugambar terbabit kembali ke perairan Malaysia walaupun sebenarnya, perairan di sekitar Pulau Batu Putih itu juga masih lagi hak Malaysia.
Jika berdasarkan kepada sejarah, penyerahan Pulau Singapura kepada Inggeris pada tahun 1824 hanya melibatkan sebuah pulau, laut, selat dan pulau-pulau yang terletak dalam lingkungan 10 batu dari pesisir pantai pulau Singapura.
Pulau Batu Putih yang terletak 20 minit perjalanan dengan bot laju dari Teluk Ramunia adalah milik Malaysia jika berdasarkan kepada sejarah, lokasi dan pemetaan.
Pulau itu hanya terletak lapan batu dari Pengerang dan 40 batu dari timur Singapura.
Sehubungan itu, sebelum terlewat kerajaan perlu melakukan sesuatu supaya masyarakat antarabangsa tidak menganggap ia hak mutlak Singapura.
Sikap acuh tidak acuh terhadap perkembangan di pulau tersebut menyebabkan pihak berkuasa negara jiran itu semakin berani.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Ayub Rahmat berkata kerajaan tidak boleh bertindak sambil lewa dalam perkara ini dan hanya membiarkan Singapura bertindak sesuka hati.
Sikap berlengah-lengah hanya akan mengukuhkan lagi pendudukan Singapura di pulau itu.
``Kemudahan yang didirikan oleh Singapura di pulau itu boleh mengukuh alasan negara itu dalam tuntutannya.
``Kerajaan perlu bertindak segera termasuk mengumpul bukti dan membawa perkara ini secepat mungkin ke ICJ,'' tegasnya.
Bagi nelayan, kawasan itu sudah tidak penting kerana perairannya tidak lagi dihuni oleh hidupan laut yang boleh memberikan pulangan lumayan kepada mereka.
Bagaimanapun, seorang nelayan Syed Ahmad Syed Yasin, 67, berkata Pulau Batu Putih tetap penting kepada kedaulatan negara.
Pada mereka, maruah lebih penting daripada segala-galanya dan sesuatu perlu dilakukan supaya pulau yang satu ketika dahulu menjadi milik kita tidak terlepas begitu sahaja - Utusan Malaysia
Tuesday, December 24, 2002
Bebaskan Batu Putih
Posted by 9T9 at 6:30 PM
Labels: Artikel, Bantahan, Pulau Batu Putih, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment