KUALA LUMPUR 23 Dis. - Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) mendesak Singapura menghentikan segera segala aktiviti pembinaan di Pulau Batu Putih yang menjadi rebutan kedua-dua negara itu.
Pengerusi BBC, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamad berkata, Singapura perlu menghentikan segera tindakan itu kerana mereka tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian.
Beliau berkata,tindakan itu tidak wajar dilakukan kerana kedua-dua negara sedang berusaha menyelesaikan tuntutan bertindih ke atas pulau tersebut menerusi rundingan.
Beliau menegaskan, BBC akan mengemukakan bantahan rasmi kepada pihak Pesuruhjaya Tinggi Singapura di sini.
``Kita juga akan meminta Wisma Putra menyampaikan bantahan kita kepada kerajaan Singapura. Kita minta Singapura menghentikan kerja-kerja haram ini. Mereka tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian,'' katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Hari Raya anjuran BBC di bangunan Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas pendirian BBC terhadap tindakan Singapura meneruskan kerja-kerja pembinaan di Pulau Batu Putih termasuk membina sebuah bangunan dua tingkat dan tempat pendaratan helikopter walaupun hak terhadap pulau itu yang menjadi tuntutan bersama dengan Malaysia masih dipertikaikan.
Ketika isu tuntutan itu akan dibawa ke ICJ, Singapura bertindak seolah-olah pulau itu telah menjadi miliknya termasuk menempatkan unit peronda marin secara tetap.
Selain rumah api terdapat kuarters dua tingkat yang asalnya hanya setingkat beberapa tahun lalu untuk pekerja dari republik itu dan menara radar yang dipercayai untuk pengawasan kapal.
Mengulas lanjut Mohd. Zin berkata, kedua-dua negara masih berusaha untuk menyelesaikan pertikaian itu menerusi rundingan.
``Oleh itu, dalam peringkat masih belum diputuskan lagi tidak patut Singapura mendirikan bangunan tetap di pulau itu,'' katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Mohamad Aziz turut mendesak kerajaan bertegas dan tidak lagi berlembut dengan helah Singapura.
``Selagi kita tidak bertindak tegas, selagi itulah masalah ini akan berlarutan. Sebenarnya itulah yang dimahukan oleh Singapura,'' katanya.
Tuesday, December 24, 2002
BBC akan hantar bantahan kepada Singapura
Posted by 9T9 at 3:52 PM
Labels: Bantahan, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment