Oleh Azman Anuar
Mesyuarat bersama tidak rasmi antara Kabinet Malaysia dengan Thailand di Haadyai pada 23 Disember lalu mengajak kita merenung tentang bagaimana anggota ASEAN harus memperbaiki hubungan dengan negara-negara jiran masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan rakan sejawatnya Thaksin Shinawatra sudah merintis jalan bahawa pelbagai isu dapat diketengahkan terus kepada pihak berkenaan dan diberikan tumpuan dalam merangka strategi bagi menyelesaikan masalah bersama.
Malaysia dan Thailand menunjukkan sikap jiran yang sebenar melangkaui garis sempadan bersama. Persahabatan kedua-dua kerajaan ini kerana ada sikap tolak ansur dan menjaga kepentingan dan kemakmuran bersama.
Walaupun pertemuan dijalankan setengah hari, beberapa perkara yang pernah dibincangkan sebelum ini dimeterai dengan perjanjian termasuk perjanjian bekalan tenaga, projek saluran paip gas dan kerjasama menentang keganasan, jenayah dan penyeludupan.
Ketika suasana menyenangkan hati berlaku di utara Semenanjung Malaysia, sebaliknya tindak-tanduk jiran di selatan semakin menyakitkan hati.
Rundingan isu-isu tertangguh memang bagaikan duri dalam daging bagi Malaysia dan Singapura. Kita perlu ingat juga, selain isu air, pakej isu dua hala yang penyelesaiannya masih tertangguh ialah isu pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pusat, pembangunan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan penempatan pusat pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin.
Isu harga air dan isu tuntutan lain yang sekian lama tertangguh masih belum selesai, tetapi tindak-tanduk Singapura semakin mencabar Malaysia dengan membina bangunan di Pulau Batu Putih yang menjadi tuntutan bertindih kedua-dua negara.
Malaysia berkali-kali menggesa Singapura supaya segera menyelesaikan semua isu tertangguh, termasuk isu Pulau Batu Putih.
Ini kerana matlamat utama Kuala Lumpur ialah untuk menyelesaikan segera setiap isu itu yang tertangguh begitu lama.
Singapura sebelum ini nampak banyak berdolak-dalik dan tidak ikhlas untuk menyelesaikan masalah bersama.
Keegoan Singapura yang ditunjukkan oleh pemimpin di Pulau Temasik itu sepatutnya tidak perlu dibawa hingga ke pihak mahkamah timbang tara antarabangsa atau ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Kerana perkara yang boleh diselesaikan melalui rundingan dan tolak ansur tidak perlu dilengah-lengahkan oleh prosedur mahkamah.
Jika Singapura sendiri mengaku mahu kes tuntutan ini dibawa ke ICJ maka ia perlu disegerakan tanpa mengukuhkan lagi kedudukannya di Pulau Batu Putih.
Melihat kepada senario ini, walaupun kita sedar masalah dan isu Malaysia-Thailand dan Malaysia-Singapura adalah berbeza, tetapi kenapa payah sangat untuk mencapai kata sepakat dengan kerajaan negara di selatan berbanding di utara Semenanjung?
Menurut Ketua Program Strategi dan Hubungan Antarabangsa, Pusat Pengajian Politik, Sejarah dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Kamarulnizam Abdullah, dalam menilai hubungan Malaysia dengan negara jiran di utara dan selatan, ia harus dilihat dalam perspekstif yang berbeza.
``Hubungan Malaysia-Thailand dan Malaysia-Singapura tak boleh disamakan. Kita kena faham budaya kita dengan Thailand adalah berbeza sedangkan budaya kita dengan Singapura agak rapat,'' kata Kamarulnizam.
Menurut kolumnis majalah Massa ini, hubungan Malaysia dengan Singapura menghadapi kesukaran kerana negara kita berkongsi sejarah, budaya, bahasa dan sebagainya. Berbanding dengan Thailand, budaya mereka adalah berlainan.
``Apabila budaya adalah berlainan, kita akan cuba memahami antara satu sama lain. Tetapi mempunyai budaya dan sejarah yang sama, kita menghadapi kesukaran kerana pihak satu lagi tahu kelebihan dan kelemahan dan akan cuba tunjuk siapa lebih hebat. Ini yang berlaku dalam hubungan kita dengan Singapura,'' kata Kamarulnizam.
Mengenai keserasian hubungan Malaysia dengan Thailand berbanding dengan Singapura pula, menurut Pensyarah Sejarah, Pusat Pengajian Politik, Sejarah dan Strategi UKM, Prof. Dr. Nik Anuar Nik Mahmud, hubungan Malaysia dengan Thailand sudah terjalin lama sebelum zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Malah Thailand yang sebelum ini dikenali sebagai Siam pernah menjajah negeri-negeri di utara Semenanjung.
``Hubungan sejarah yang terjalin itulah sedikit sebanyak menyebabkan kita lebih mesra dengan Thailand. Malah sewaktu zaman konfrontasi Malaysia-Indonesia, Thailand banyak membantu kita,'' katanya.
Dalam konflik antara dua negara serumpun itu, Bangkok menjadi tempat perundingan untuk mengakhiri konfrontasi. Thailand juga banyak memberi kerjasama dan bantuan kepada pasukan keselamatan kita untuk membanteras kegiatan pengganas komunis di kawasan sempadan bersama.
Tetapi hubungan kita dengan Singapura kata Nik Anuar, agak bermasalah. Ini kerana republik itu sudah menjadi koloni Cina. Asalnya pulau Singapura adalah sebahagian Tanah Melayu tetapi terlepas ke tangan Inggeris yang kemudiannya jatuh ke tangan pemimpin Cina.
``Hakikat yang harus diterima ialah Cina di Singapura dengan Cina di Semenanjung adalah berbeza. Kaum Cina di Malaysia tahu menghormati sultan dan orang Melayu. Itu masalah dengan Cina Singapura,'' jelas beliau yang baru-baru ini ke ICJ di Hague untuk mendengar keputusan mengenai tuntutan bertindih Pulau Ligitan dan Sipadan.
Para pemimpin PAP pernah bercita-cita untuk memegang kuasa di Malaysia, sebab itu mereka bawa konsep Malaysian Malaysia yang bertujuan menghapus hak-hak istimewa orang Melayu.
Sejak berpisah dengan Malaysia, Singapura cuba menunjukkan mereka lebih hebat daripada kita dan gemar memandang rendah keupayaan pemimpin negara ini.
Perkara ini disokong oleh pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Khairol Anuar Masuan.
``Inilah masalah negara kecil hendak tunjuk mereka lebih besar. Sesetengah negara kecil yang hendak jadi besar akan mencipta masalah kepada negara lain,'' komen beliau.
Psikologi dalam diri mereka bukan sangat hendak lawan tetapi ingin membuktikan kebolehan mereka. Tetapi dalam menunjuk-nunjuk itu ada kala ia melampaui batas-batas tertentu. Malaysia sebagai abang kepada Singapura mengikut konteks sejarah, maka perlu memperingatkan republik itu agar tidak menjadi kaduk naik junjung.
Khairol juga melihat peranan sistem beraja dalam mengeratkan hubungan antara negara-negara berjiran dengan Malaysia.
Hubungan Malaysia dengan Thailand agak baik kerana wujudnya sistem kerajaan dan raja berperlembagaan. Singapura tidak mempunyai raja atau sultan.
``Cuba kita lihat hubungan negara kita dengan negara jiran yang mempunyai raja seperti Thailand dan Brunei, dan lihat negara ASEAN yang tidak ada sistem beraja. Sebab itu kita tidak banyak masalah dengan negara yang ada raja.''
Perasaan hormat Thailand kepada negara kita jelas ditunjukkan sewaktu kemangkatan Yang di-Pertuan Agong tahun lalu. Walaupun ketika berita itu diumumkan Perdana Menteri Thailand, Thaksin berada di Jepun, tetapi beliau dengan segera mengarahkan negaranya mengibarkan bendera setengah tiang tanda berkabung. Rakyat Thai tanpa mengira agama Islam atau Buddha patuh pada arahan itu sebab psikologi mereka amat setia kepada lambang raja.
Mereka juga tidak ada rasa cemburu atau iri hati dengan Malaysia kerana mereka juga ada kekuatan sumber ekonomi dan teknologi.
Inilah antara faktor yang mengeratkan hubungan Malaysia-Thailand berbanding dengan Singapura. Walaupun Malaysia turut menghadapi masalah dengan negara-negara jiran yang bersempadan dengan kita seperti Indonesia dan Filipina yang kadangkala menggugat hubungan dua hala tetapi masalah dengan jiran, Singapura boleh dianggap berada dalam kedudukan kurang harmoni - Utusan Malaysia
Wednesday, December 25, 2002
Jiran yang baik
Posted by 9T9 at 2:22 PM
Labels: Artikel, ASEAN, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment