Wednesday, December 25, 2002

BISIK-BISIK - AWANG SULUNG

Awang lega dengan sikap Indonesia yang menerima dengan hati terbuka keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memberikan hak kedaulatan Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Malaysia.

Kenyataan Panglima Tentera Nasionalnya, Jeneral Endriartono Sutarto di Jakarta kelmarin bahawa penyelesaian itu patut menjadi contoh kepada dunia tentang cara menangani masalah adalah suatu yang memberangsangkan.

Apa lagi bila kenyataan itu dibuat di depan Menteri Pertahanan kita, Najib Tun Razak, di Jakarta. Bagi Awang, sikap itu adalah manifestasi semangat sebenar saudara serumpun.

Awang memahami perasaan pemerintah dan rakyat Indonesia bila mereka kehilangan kedua-dua pulau itu. Bagaimanapun mereka telah menunjukkan kematangan serta keikhlasan yang terpuji.

Tentunya sikap ini akan membawa kebaikan dalam hubungan dua hala Malaysia-Indonesia pada masa akan datang.

Kini Malaysia akan berhadapan pula dengan Singapura dalam tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih. Eloklah isu ini segera dibawa ke ICJ supaya tidak timbul perbalahan.

Sementara menunggu keputusan tiada siapa patut menyentuh pulau itu.

- Awang - Harap Singapura faham.

No comments: