KUALA LUMPUR 25 Dis. - Beberapa pemimpin politik hari ini melahirkan rasa tidak senang dengan sikap Kerajaan Singapura yang bertindak seolah-olah Pulau Batu Putih yang sedang dalam pertikaian dengan Malaysia telah sah menjadi hak milik mereka.
Menurut mereka, negara republik itu tidak seharusnya menunjukkan kuasa sewenang-wenangnya dengan melakukan tindakan keterlaluan berhubung isu pulau tersebut sehingga menyinggung jiran mereka.
Di Kuantan, Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman berkata, Singapura wajar menunjukkan setiap tindakan mereka mencerminkan ia sebagai jiran bertanggungjawab dan sentiasa menjaga perasaan jiran.
``Tidak perlulah Singapura menunjukkan kekerasan atau menampakkan mereka telah berhak ke atas pulau itu sedangkan ia belum ditentukan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
``Juga tak perlulah Singapura menunjukkan kuasa ketenteraan mereka sewenang-wenangnya kerana pulau itu belum jadi milik mereka,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri dan penyampaian bantuan kepada penduduk Kampung Chempaka di sini, hari ini.
Zaharah mengulas tindakan Pasukan Pengawal Pantai dan Tentera Laut Singapura mengusir kapal peronda PA41 Polis Marin Wilayah Selatan yang membawa sekumpulan wartawan Malaysia di perairan dekat pulau tersebut semalam.
Salah seorang anggota Pasukan Pengawal Pantai Singapura dengan menggunakan pembesar suara berkata: ``Anda telah memasuki perairan Singapura. Sila keluar sekarang.''
Menurut Zaharah, tindakan Singapura jelas membuktikan ia langsung tidak mahu menggunakan pendekatan diplomasi dalam menyelesaikan masalah malah mula mahu menunjukkan kekuatan ketenteraannya.
Beliau menegaskan bahawa tindakan itu juga membuktikan negara kecil itu tidak menghargai sikap toleransi yang ditunjukkan oleh Malaysia selama ini dalam menyelesaikan setiap masalah.
Di Melaka, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, insiden terbaru itu amat dikesali kerana ia hanya menunjukkan sikap Singapura yang melampau dan tidak menghormati semangat setia kawan sebagai negara yang berjiran.
``Jika tidak dikawal ia akan mewujudkan rasa permusuhan antara rakyat di kedua-dua negara,'' katanya.
Menurutnya, adalah tidak wajar Singapura bertindak sedemikian atas alasan bot Marin berkenaan menceroboh perairan mereka sedangkan pertikaian mengenai hak pulau itu belum diputuskan dan Malaysia pula yakin pulau tersebut adalah miliknya.
``Kita juga boleh menghalau mereka kerana kawasan perairan sekitar Pulau Batu Putih adalah milik kita,'' katanya.
Mohd. Ali bagaimanapun percaya, tindakan keterlaluan pihak berkuasa Singapura dalam isu pertikaian Pulau Batu Putih hanya melibatkan beberapa pemimpin republik itu.
Katanya, hubungan rakyat antara kedua-dua negara tidak menghadapi masalah malah pada masa yang sama juga kerajaan Singapura turut berkempen menarik kedatangan rakyat negara ini untuk melawat Singapura.
Dalam pada itu, katanya, 4B Malaysia akan menghantar surat bantahan kepada Kedutaan Singapura di negara ini dan meminta agar kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.
Di Kuala Lumpur, Pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara, Datuk Noh Omar berkata, tindakan Singapura menjalankan aktiviti di Pulau Batu Putih secara tidak langsung mengajar rakyatnya supaya tidak menghormati undang-undang.
Kata beliau, ini kerana Singapura sendiri tidak menghormati perundangan dengan melakukan kerja-kerja pembinaan di pulau tersebut walaupun republik itu mengetahui ia menjadi tuntutan kedua-dua buah negara.
Tambahnya, dengan mengetahui pulau itu menjadi tuntutan, Singapura sepatutnya arif bahawa jalan penyelesaian bagi tuntutan berkenaan ialah melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Menurutnya, dengan menghormati perundangan dan yakin bahawa penyelesaian melalui ICJ merupakan jalan terbaik, Singapura sepatutnya menghentikan kerja-kerja pembinaan berkenaan.
``Kami meminta republik itu memegang kepada semangat setiakawan ASEAN dan sebagai jiran terdekat Malaysia.
``Melalui semangat setiakawan dan jiran ini, Singapura harus akur bahawa jalan penyelesaian terbaik berhubung tuntutan Pulau Batu Putih ialah melalui ICJ,'' katanya.
Noh menambah, biarlah ICJ yang menentukan siapa milik Pulau Batu Putih dan setiap keputusan ICJ perlulah dipatuhi kerana ia merupakan pihak perundangan tertinggi antarabangsa dalam mencari sesuatu penyelesaian - Utusan Malaysia
Thursday, December 26, 2002
Pemimpin politik tidak senang sikap Singapura
Posted by 9T9 at 1:53 PM
Labels: Batu Putih, Media, Ulasan, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment