KUALA LUMPUR 25 Dis. - Insiden Polis Marin Malaysia dihalau oleh Tentera Laut Singapura semalam bukanlah pertama kali berlaku semenjak isu hak tuntutan Pulau Batu Putih menjadi pertikaian di antara kedua-dua buah negara.
Ketika mendedahkan perkara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin berkata, kerajaan bagaimanapun tidak mahu membesar-besarkan perkara tersebut sebelum ini kerana ingin menjaga hubungan baik yang sedia terjalin dengan republik berkenaan.
``Saya akui sebelum ini memang ada beberapa insiden yang tidak menyenangkan berlaku di antara pasukan Polis Marin kita dan pasukan keselamatan Singapura, tetapi kita telah menyelesaikan permasalahan ini di peringkat jabatan.
``Cuma kerajaan berharap Singapura tidak berbuat sesuka hati memandangkan masalah tuntutan itu belum lagi selesai,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tegas beliau, selagi keputusan belum dicapai, kerajaan tidak akan menghentikan kawalan dan rondaan di kawasan Pulau Batu Putih kerana keselamatan nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di situ harus diberi keutamaan.
Hari ini akhbar melaporkan mengenai sebuah kapal ronda Polis Marin Malaysia yang melakukan rondaan berhampiran Pulau Batu Putih diusir Polis Pengawal Pantai Singapura kerana didakwa menceroboh perairan republik itu.
Anak kapal PA41 Polis Marin Wilayah Selatan mematuhi arahan berkenaan dan meninggalkan perairan pulau berkenaan kira-kira lima minit selepas tiba di situ bagi mengelak kejadian buruk, terutama selepas sebuah kapal perang Tentera Laut Singapura turut menghampiri pulau berkenaan.
Sementara itu Komander Pasukan Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II Muhammad Muda berkata, anggotanya yang berpangkalan di Tanjung Pengelih dan Tanjung Puteri akan terus menjalankan rondaan di kawasan pulau itu walaupun terdapat laporan mereka dihalau oleh Tentera Laut Singapura semalam.
``Semuanya berjalan seperti biasa dan tidak timbul persoalan untuk menghentikan pemantauan dan kawalan di Pulau Batu Putih,'' katanya ketika dihubungi di London hari ini.
Pulau Batu Putih merupakan lokasi yang cukup strategik di laut terutama untuk mengawasi laluan kapal-kapal di Laut China Selatan.
Pulau Batu Putih yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dengan bot laju dari Teluk Ramunia, Kota Tinggi itu adalah milik Malaysia berdasarkan sejarah, lokasi dan pemetaan - Utusan Malaysia
Thursday, December 26, 2002
Bukan pertama kali Polis Marin kita diusir
Posted by 9T9 at 2:28 PM
Labels: Media, Ulasan, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment