Thursday, December 26, 2002

DR. M: Kita mahu henti bincang air dengan Singapura

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia mahu menghentikan perbincangan mengenai harga bekalan air mentah ke Singapura kerana ia tidak membawa sebarang penyelesaian.

Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dirujuk kepada penimbang tara memandangkan perbincangan antara kedua-dua pihak mundur ke belakang berikutan keengganan Singapura mengiktiraf hak Malaysia untuk menyemak semula harga.

``Kita sedang mengkaji proses timbang tara kerana kita tidak mencatat sebarang perkembangan (sedangkan) bila Lee Kuan Yew (Menteri Kanan Singapura) datang jumpa saya, dia datang khas untuk bincangkan harga air.

``Sebenarnya mereka mundur ke belakang dengan mengatakan masanya (untuk Malaysia menyemak semula harga) telah lepas,'' kata Perdana Menteri.


Beliau menambah, kemungkinan untuk Malaysia membawa perkara itu ke pihak timbang tara iaitu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sudah dibincangkan beberapa kali di Kabinet.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita di majlis keraian Hari Natal anjuran Persekutuan Kristian Malaysia di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan sama ada Malaysia sedang menimbangkan untuk membawa isu harga air yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu kepada ICJ.

Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan, Malaysia perlu mendapat persetujuan Singapura terlebih dahulu sebelum membawa perkara tersebut ke mahkamah tersebut.

``Kita bagaimanapun perlu mendapatkan persetujuan Singapura juga, jika tidak, jalan mati,'' ujarnya.

Selain masalah air, Malaysia juga sedang menunggu Singapura untuk memberikan persetujuan bagi membawa isu tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih ke ICJ.

Menurut Dr. Mahathir, Singapura memberikan alasan, perjanjian air pada tahun 1961 dan 1962 itu menyatakan Malaysia hanya berhak menyemak semula harga selepas tepat 25 tahun dan tidak boleh lebih dari itu.


``Kepada kita 30 tahun atau 40 tahun atau 50 tahun, semuanya selepas 25 tahun tetapi kepada mereka selepas 25 tahun ialah tepat pada masanya.

``Itu hanya bergantung kepada anggapan masing-masing,'' katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak akan memutuskan bekalan air sekiranya tidak dapat membawa isu itu kepada penimbang tara sebaliknya hanya boleh membekalkan air untuk keperluan minum dan mandi sahaja untuk rakyat republik itu.

``Kita tidak akan bekalkan air untuk mereka jual pula (kerana) saya tahu mereka jual air yang dirawat sebanyak 20 dolar Singapura (kira-kira RM40) bagi setiap 1,000 gelen air dirawat, sedangkan kita jual 30 sen sahaja bagi setiap 1,000 gelen air mentah.

``Jika kos merawat kira-kira dua dolar Singapura pun, sudah boleh buat untung yang amat besar jadi kita rasa tidak perlulah kita menyumbang begitu banyak ke dalam tabung mereka,''
ujarnya - Utusan Malaysia

No comments: